Total Pageviews

FIRST BABY

Saturday 20 April 2013

Cerpen- Dendam Hadani

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1065&idc=5369#.UXx1hMonw-U

WARDAH tersenyum hambar. Apa yang ada pada fikiran Yazid agaknya? Menyambungkan ikatan yang Yazid sendiri putuskan? Wajarkah dia menemui Yazid? Walhal, dia sudah tidak ada hati pada lelaki itu. Dia sudah menemui seseorang yang lebih baik. Perbualan dia dan Yazid iaitu bekas tunangnya tadi berlayar-layar dalam fikirannya.

“Assalamualaikum, Wardah,” sapa Yazid.

“Waalaikumussalam. Hah? Ada apa?” soal Wardah, dingin. Yazid tersenyum.

“Yazid nak ambil masa Wardah sikit. Kita perlu berbincang tentang pertunangan kita,” ujar Yazid. Wardah mengangkat pandangannya. Mencerlung matanya memandang Yazid.

“Apa? Apa lagi yang kau nak bincangkan?! Kau sendiri yang putuskan ikatan pertunangan ni kan?! Apa lagi yang kau nak? Aku tak ada masa lah nak layan lakonan kau ni!” Lantang Wardah berkata-kata pada ketika itu. Yazid bungkam.

“War, Zid nak ambil sikit saja masa War. Zid nak tebus balik kesalahan Zid. Zid nak ikatan kita terjalin semula. Zid masih sayangkan War,” kata Yazid bersungguh- sungguh. Wardah menjeling sinis.

“Aku tak ada masa untuk kau. Sudahlah, lebih baik kau pergi. Banyak lagi kerja yang harus aku selesaikan. Kau datang pada waktu yang salah,” tegas Wardah.

“Baik, kalau War masih sayangkan Zid. War datang ke sini, malam ni. Di situ telah tertera segala- galanya. Zid tunggu War,” kata Yazid lantas meletakkan sekeping memo di atas meja kerja Wardah. Wardah buat tidak endah.

“Zid harap sangat supaya War dapat luangkan sedikit daripada masa War untuk Zid, malam ni. Assalamualaikum, War. Kirim salam Zid kepada keluarga War,” ucap Yazid seraya mengorak langkahnya meninggalkan Wardah. Wardah menghantar langkah lelaki itu dengan pandangan yang sinis.

“Waalaikumussalam,” jawab Wardah perlahan. Apa yang ada pada fikiran Yazid agaknya? Wardah sudah tidak punya ahli keluarga yang lain. Wardah tinggal sebatang kara. Mungkin, Yazid terlepas bicara. Memo yang berada di atas mejanya diambil lantas dimasukkan ke dalam beg tangannya. Dia mengemaskan meja kerjanya dan mengorak langkah keluar daripada pejabat.


“Restoran Harapan, sembilan malam...” Wardah mengeluh kecil.

"Jumpa, tak, jumpa, tak...” Wardah berkira- kira untuk menemui Yazid ataupun tidak. Telefon bimbitnya yang berdering mematikan monolognya. Pantas tangan Wardah mencapai telefon itu. Terukir senyuman di bibirnya tatkala melihat sebaris nama yang tertera pada skrin telefon itu. Dia menjawab panggilan itu.

“Assalamualaikum. Nafi, kebetulan Nafi telefon War. War nak beritahu yang Zid nak jumpa War malam ni. Nafi rasa, War patut tak jumpa Zid?” soal Wardah kepada Hanafi.

“Waalaikumussalam, War. Amboi, tak menyempat ya? Pergi ajelah War. War kena jelaskan juga apa yang War rasakan terhadap dia sekarang,” jawab Hanafi. Wardah tersenyum.

“Okey, Nafi. Nafi tak kerja ke?” soal Wardah.

"Kerjalah, kerja luar. Hari ini dengan esok, Nafi bertugas dekat luar,” terang Hanafi.

“Kerja elok-elok Nafi,” pesan Wardah.

“Baiklah bos!” sahut Hanafi. Wardah ketawa kecil.

“Nafi minta diri dulu ya? Kena tahan budak tak berlesen ni. Assalamualaikum,” ujar Hanafi meminta diri.

“Okey, Nafi. Waalaikumussalam,” jawab Wardah lantas Hanafi mematikan talian.

“Aku akan jumpa kau Zid tapi, bukan untuk memulihkan hubungan ini. Aku akan berjumpa dengan kau, untuk menyatakan perasaan aku terhadap kau,” kata Wardah, sendiri. Dia bangun daripada pembaringannya lantas bergerak pantas menukar pakaiannya.

Wardah mengemaskan lipatan tudungnya. Dia menoleh seketika memandang tingkap biliknya lantas memandang cermin meja solek itu semula. Otak Wardah ligat memikirkan sesuatu. Kalau tidak silap matanya, dia terpandangkan bayang seseorang pada tingkap biliknya tadi.

Wardah mengorak langkah merapati tingkap bilik itu. Langsir tingkap itu diselak dengan luas. Bagaikan hendak pecah jantung Wardah tatkala matanya terpandangkan wajah seorang lelaki yang dilumuri dengan darah melekap rapat pada tingkap biliknya. Mata dan kepalanya bagaikan hendak terpisah daripada jasad. Wardah menekup mulutnya. Dia menggigil ketakutan. Setitis demi setitis air matanya jatuh berjuraian.

Siapa lelaki itu? Wardah tertanya-tanya. Langsir tingkap itu ditutup perlahan. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil. Tatkala matanya terpandangkan telefon bimbitnya, pantas tangannya mencapai telefon itu. Lincah jarinya menaip nombor telefon Hanafi.

Sudah beberapa kali mencuba, namun Hanafi tidak dapat dihubungi. Wardah penasaran. Apa yang patut dilakukannya sekarang? Kak Aslinda tidak akan pulang pada hari ini memandangkan dia perlu pulang ke kampungnya. Wardah mencapai beg tangannya lantas mengorak langkah keluar daripada rumahnya. Tanpa sempat Wardah mengunci pintu utama rumahnya, kepalanya dihentak kuat dengan sesuatu. Wardah rebah.


Perlahan-lahan Wardah membuka matanya. Cahaya daripada sebuah lampu kalimantang menyilaukan pandangannya. Matanya dipejam celikkan buat beberapa kali. Terasa berat sekali kepalanya pada ketika ini. Wardah tertanya- tanya. Di manakah perginya tudung yang tersarung elok pada kepalanya sebentar tadi?

Pergelangan tangan dan kakinya terasa perit. Dia memandang keadaan di sekelilingnya. Wardah langsung tidak tahu di mana dia berada pada ketika ini. Keadaan di sekelilingnya sunyi dan sepi. Hanya bunyi cengkerik dan unggas yang menemani dirinya. Keadaan ruang itu suram sahaja. Wardah memandang lantai bilik yang berdebu itu. Fikirannya ligat mencari cara agar dia dapat bangun.

“Hai, dah bangun?” Kedengaran satu suara menyapa dirinya. Wardah mencari pemilik suara itu. Dia tidak mengenali suara itu, tetapi dia yakin yang dia mengenali wajah pemilik suara itu.

“Ingat aku lagi?” soal lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu sudah duduk berlutut di hadapannya. Rambut Wardah dielus- elus perlahan.

"Siapa kau?!” Lantang Wardah menyoal. Kepalanya sibuk digerakkan bagi menghindari sentuhan lelaki itu. Kedengaran lelaki itu ketawa kecil.

“Kau tak ingat siapa aku? Aku yakin, kau pasti masih ingat siapa itu Dafi kan?” soal lelaki itu. Wardah terpempan. Dafi? Ya, dia masih ingat lagi akan lelaki itu. Lelaki yang sangat setia sifatnya. Wardahlah yang menghampakan kesetiaan Dafi lantas tiada lagi khabar yang dia dengari tentang lelaki itu.

“Kau Dafi?” soal Wardah. Lelaki itu tersenyum sinis. Tangannya masih setia mengelus wajah Wardah.

“Kenapa kau nak tahu?” soal lelaki itu.

“Aku dah lama tak dengar khabar mengenai dia. Aku tidak tahu di mana dia berada, kini,” kata Wardah. Lelaki itu ketawa kuat.

“Kau dah bunuh dia Wardah... Kau bunuh Dafi... Kau tak ingat ke yang kau ni pembunuh? Kau tak sedar ke Wardah?!” Jerkah lelaki itu. Wajahnya dirapatkan dengan wajah Wardah. Matanya turut ditentangkan dengan mata Wardah. Wardah tersentak. Mata ini! Dia kenal mata ini.

“Dani? Kau Dani kan? Hadani?” soal Wardah. Lelaki itu tersenyum mengejek.

“Ya, aku Dani. Budak hingusan yang selalu menyibuk bila kau keluar dengan abang aku, Dafi,” kata Hadani.

“Apa yang kau nak dengan aku Dani? Lepaskan akulah bodoh!” teriak Wardah.

“Bodoh? Kau kata aku bodoh? Kau!” Hadani menghadiahkan sebuah penampar pada wajah Wardah. Tubuh Wardah ditarik dan disandarkan pada dinding.

“Lai, bawa masuk lelaki tu!” arah Hadani. Seorang lelaki berwajah Cina melangkah masuk bersama dengan seorang lelaki muda yang dimaksudkan oleh Hadani. Terlopong mulut Wardah pada ketika itu.

“Yazid!” laung Wardah. Lelaki Cina itu sudah mengorak langkah meninggalkan ruang itu.

"Kenapa dengan kau ni? Kau sayangkan dia lagi kan? Jadi, aku kena bunuh dia!” kata Hadani lantas melepaskan berdas-das tembakan pada dada Yazid. Yazid rebah.

"Woi, bangang! Apa yang kau buat ni setan?!” jerkah Wardah. Air matanya mengalir lesu. Kedengaran gelak tawa Hadani bergema pada setiap pelusuk ruang itu.

“Kau tanya aku buat apa? Aku balas dendamlah bodoh! Kau sedar tak engkau tu adalah setan yang sebenar- benarnya. Kau bunuh abang aku... kau bunuh mama aku... kau bunuh papa aku! Kau gila! Pembunuh!” Lantang Hadani berteriak.

"Apa yang kau cakap ni? Aku tak pernah bunuh orang. Kau jangan nak buat lawak bodoh boleh tak?” soal Wardah menyinis.

“Kau bunuh orang! Kau kecewakan Abang Dafi... dia... dia... dia bunuh diri sebab kau! Tahu tak?!” jerkah Hadani. Air matanya mengalir keluar.

“Siapa suruh dia bunuh diri? Aku tak suruh pun,” tegas Wardah.

“Shhh, kau diam!” kata Hadani. Dia mengorak langkahnya mendekati mayat Yazid. Sebilah pisau yang terdapat di atas lantai dicapai lantas dia membelah perut Yazid.

“Woi, gila ke?!” Kata Wardah nyaring.

"Aku tak gila. Tapi, inilah cara aku membalas dendam,” kata Hadani. Isi perut Yazid dikeluarkannya satu persatu. Wardah yang melihatnya terasa bagai hendak termuntah.

“Disebabkan mama dan papa terburu- buru memandu ke hospital, mereka mengalami kemalangan bersama Abang Dafi. Kau yang bunuh mereka... kau yang bunuh!” teriak Hadani kuat.

“Aku tak bunuh mereka! Inilah apa yang dinamakan takdir. Kau tak ingat Allah ke? Ini ketentuan Allah, qada’ dan qadar Allah. Kita, tak boleh nak halang. Dah sampai masanya mereka pergi!” tegas Wardah. Matanya terpaku pada tangan Hadani yang lincah menikam dada Yazid.

“Aku tak percaya dengan semua tu! Aku takkan bersendirian sekarang ni kalau kau tak wujud. Ya! Aku takkan bersendirian kalau kau tak wujud!” Lantang Hadani bersuara. Dia melemparkan pisau yang penuh dengan darah dan mengambil pistolnya kembali. Dia menghampiri Wardah lantas muncung pistol itu dihalakan hampir dengan kepala Wardah. Wardah menggigil ketakutan.

“Ingat Allah! Istighfar! Ingat Allah, Dani! Astaghfirullahalazim!” tegas Wardah.

“Buang masa! Kau, akan aku tamatkan. Kalau kau tak wujud, aku takkan keseorangan,” kata Hadani diikuti dengan gelak tawanya.

“Selamat tinggal, sayang...” Meleret Hadani berkata- kata. Wardah memejamkan matanya. Jantungnya berdetak laju. Kedengaran bunyi tembakan bertalu- talu. Wardah membuka matanya dek rasa terkejut. Dia tidak merasa sakit di mana- mana. Bukan dia yang ditembak tetapi, Hadani.

“Hanafi!” teriak Wardah. Tiba- tiba terasa perit bahunya. Hadani berjaya menembaknya, tepat pada bahunya. Wardah memandang darah yang membuak- buak keluar daripada tubuh Hadani lantas matanya dialihkan pada tubuh Yazid yang sudah kelihatan sangat teruk. Terasa berpinar- pinar matanya.

“Wardah.” Hanya itu yang Wardah dapat dengari sebelum dia rebah tidak menyedarkan diri.


“Syukur, alhamdulillah awak dah sedar War. Nafi risau sangat War,” ucap Hanafi. Bibir Wardah yang pucat mengukir senyum.

“Alhamdulillah. Nafi risau dekat War?” soal Wardah. Hanafi tersenyum.

"Nafi sayangkan War bukan sahaja sebagai seorang sahabat tetapi, Nafi sayangkan War lebih daripada itu. Izinkan Nafi memiliki hati War?” kata Hanafi. Wardah sedikit terpinga-pinga. Masakan tidak? Dia turut menyimpan rasa yang sama terhadap Hanafi yang selalu mengambil berat tentang dirinya.

"InsyaAllah Nafi, kalau kita ada jodoh yang diaturkan oleh Allah,” balas Wardah. Hanafi tersenyum senang.

“Nafi, macam mana awak boleh tahu yang saya ada dekat situ?” soal Wardah. Hanafi tetap tersenyum.

“Missed call daripada awak membuatkan saya datang ke rumah awak,” ujar Hanafi.

“Awak nampak mayat tu? Awak kenal tak mayat siapa tu awak? Awak... beritahu saya,” pinta Wardah. Hanafi tersenyum.

“Identitinya sudah dapat dikenal pasti. Apa- apa yang pasti, dia adalah mangsa Hadani. Pada mayat tu, ada tertera alamat rumah banglo lama tu. Jadi, saya dengan anggota yang lain mengambil keputusan untuk ke sana. Lagipun, awak meninggalkan rumah dalam keadaan yang membuatkan orang was-was,” terang Hanafi. Wardah tersenyum.

"Saya kena hentak, sedar-sedar aje dah sampai dekat tempat asing macam tu... ya Allah kesiannya dekat arwah Yazid. Tak fasal-fasal dia yang menjadi mangsa,” ujar Wardah.

“Sabarlah War. Nafi percaya, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Mereka berdua sudah selamat dikebumikan petang semalam, waktu War masih belum sedar,” kata Hanafi.

“Saya tetap mendoakan yang terbaik untuk mereka,” ucap Wardah dengan nada yang sayu. Dia tersenyum hambar. Hadani yang dia kenal dahulu bukanlah seperti Hadani yang sekarang. Hadani yang dahulu sangat ceria, sangat kuat pegangan agamanya. Oleh kerana dia kehilangan kesemua ahli keluarganya, dia hilang pertimbangan. Islam seolah- olah bukan lagi agamanya, Allah bukan lagi tuhannya, Rasulullah bukan lagi ikutannya, al-quran dan hadis bukan lagi pegangannya. Ya Allah, rapuhnya iman Hadani sehinggakan syaitan begitu mudah menghasutnya ke arah kegelapan. Itulah, lumrah dunia. Tatkala manusia menyimpan rasa dendam, rasa dendam itulah yang memudahkan syaitan untuk merosakkan anak-anak Adam. Bisikan- bisikan syaitan diterima dengan sepenuhnya. Hati yang sepatutnya bersih, menjadi kotor. Hari yang sepatutnya terang dan indah menjadi gelap dan suram. Semuanya kerana dendam!

Kini, harapannya agar tiada lagi peristiwa sebegini yang akan terjadi. Biarpun dia hanya sebatang kara dan hanya mempunyai Kak Aslinda sekeluarga, biarlah dia mencipta bahagia dengan orang-orang yang menyayanginya seperti Hanafi. Biarlah tiada dendam lagi yang bersisa dan biarlah bahagia yang mengambil tempat.

5 comments:

  1. Assalamualaikum! Seperti yang dijanjikan, jemput baca cerpen yang bertajuk Dendam Hadani. Mohon para pembaca tinggalkan komen korang ya? Terima kasih, korang! Hehe, ^_^

    ReplyDelete
  2. menarik juga..teruskan usaha utk mencapai kejayaan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas ucapannya. Jemput baca e-novel saya yang bertajuk Jika Itu Yang Kau Pinta. Ada di- post dalam blog ini!

      Delete
  3. Blog yang awesome:)
    saya dah follow blog nhe dan jangan lupa follow balik yerr :)
    Terima kasih~salam ukhuwah
    www.kamarularnizam.blogspot.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih! Saya dah follow balik, ^_^ Sama-sama dan salam ukhwah kembali. :D

      Delete