Total Pageviews

FIRST BABY

Monday 21 January 2019

Cerpen- My dear, Wahyu! (Part 1)



KATA orang, kalau hendak bersuami, biarlah lelaki yang menjadi suami kita itu menyayangi kita lebih daripada kita sayang dia. Tapi itu kata oranglah, yang tak ada siapa pun boleh buktikan dengan fakta akan kesahihannya.

Selagi aku tak didedahkan dengan bukti sahih bahawa kata orang itu betul, selagi itulah aku akan pakai kata-kata aku. Falsafah Hanum Syazana menyatakan bahawa sayang itu abstrak. Bukannya boleh diukur. Cukup dengan tarikan yang dirasai dalam hati, kau sudah boleh bersuami.

Dah tentulah falsafah yang aku cipta itu lahir berdasarkan pengaruh persekitaran. Pengaruh utama datangnya daripada Encik Wahyu yang bekerja satu pejabat dengan aku. Satu pejabat, tetapi dia ada biliknya sendiri. Yalah, bos kan. 

Encik Wahyu yang sudah 5 tahun menjadi suami aku. Cukup 2 minggu lagi, genaplah 6 tahun dia pegang jawatan sebagai suami aku.

Ops! Aku dah bagitahu ke yang falsafah Hanum Syazana yang aku cipta tu hanya terpakai sampai tiga tahun lepas sahaja? Masuk tahun keempat aku jadi isteri Wahyu, aku dah jadi malas nak berpegang kepada apa-apa falsafah. Malas juga nak mencipta apa-apa falsafah.

"Kosong lagi pejabat Encik Wahyu. Ke mana dia sebenarnya ni?" 

Aku tahu, soalan itu bukannya diajukan kepada setiausaha Encik Wahyu. Soalan itu diajukan kepada aku, lengkap dengan jelingan mata lagi semata-mata sebab nak baca ekspresi muka aku.

Aku kerling wajah Quzandria dengan hujung mata, "Tak ada pula aku dapat notis yang aku dah ditukarkan jawatan jadi setiausaha dia."

"Eh, bukan kau bini dia ke?" Nada bicara Quzandria kedengaran sinis.

"Ada tulis dekat dahi aku ke yang aku ni isteri dia?" Bukan semua orang di pejabat ni tahu yang aku ialah isteri Wahyu. Hanya lebih kurang 3 orang staf sahaja yang masih setia bekerja di sini sejak enam tahun lepas. Mereka saja yang memang sedia maklum yang aku sudah berkahwin.

"Semalam Ernie bagitahu aku yang kau ni isteri Encik Wahyu." Mata Quzandria bergerak ke arah meja aku. Aku tahu bahawa dia sedang mencari cincin pada jari-jemariku. Cincin yang aku dah tanggalkan sejak Wahyu tak pulang ke rumah dua hari lepas.

"Kau dengan Ernie tu dua-dua baru masuk kerja seminggu. Dah tak ada kerja sangat ke sampai nak bergosip aje? Aku dah 10 tahun kerja dekat sini. Mana-mana staf kahwin semua aku tahu. Tak pula aku tahu yang Hanum dah kahwin. Siapa yang pandai-pandai reka cerita ni?" Entah sejak bila dia mendengar perbualan kami, ringan sahaja mulut Kak Zarida menyampuk perbualan antara aku dengan Quzandria.

Quzandria tersengih-sengih memandang Kak Zarida, setiausaha kepada Encik Wahyu.

"Encik Wahyu tu ada event dekat Venice. Ada art expo kat sana. Seminggu juga rasanya baru dia balik," beritahu Kak Zarida.

Fuh! Patut pun luggage dia hilang. Aku ingatkan dia lari dari rumah.

Mungkin kerana jiwa aku tiba-tiba sahaja terasa ringan, tangan aku secara spontan bergerak mencapai bungkusan roti yang terletak di sudut meja. Aku memusingkan kepala ke belakang. Sebaik sahaja terpandangkan wajah Irman, staf baharu yang sedang menjalani praktikal di sini, aku terus mengangkat sedikit bungkusan roti berkenaan sebagai tanda terima kasih. 

Irman mengukir senyum sebagai balasan. 

Kadangkala aku hairan juga, setiap kali aku pandang Irman, pasti sahaja matanya pada ketika itu sudah sedia memandang aku. Dia memang selalu pandang aku ke macam mana eh?

"Kak." Aku cukup kenal dengan nada ajakan bergosip itu. Meskipun aku kelihatan seperti tidak berminat untuk bergosip, mata aku tetap mengerling ke arah Quzandria yang sedang tersengih-sengih gatal.

"Encik Wahyu tu dah kahwin ke belum eh?"

"Belum." Ringan mulutku menjawab sambil mencubit roti lalu menyuap ke dalam mulut.

"Cubalah masuk line. Mana tahu kau tu jodoh dia. Kesian, lama sangat membujang," tokokku lagi. Aku nampak Kak Zarida pandang aku semacam. Seolah-olah dia sedang memaki aku dengan kata-kata, "Tak sayang suami ke!"

Dapat aku lihat senyum pada bibir Quzandria semakin melebar. Badannya pula semakin meliuk-lentok bagai lalang ditiup angin. Alah, enam tahun lepas, reaksi aku pun macam tu apabila aku dapat tahu yang Encik Wahyu tu single. Tapi itulah, tak pula aku tahu yang Encik Wahyu tu tak bersedia untuk mingle!

"Encik Wahyu tu senyap orangnya. Aku tak tahulah kut diam-diam dia dah beristeri. Kau jangan nak berharap sangat. Takut nanti kau yang kecewa." Kalau ada anugerah untuk penyokong paing kuat Encik Wahyu, aku berani jamin yang Kak Zarida-lah yang akan jadi pemenangnya. Dia jaga segala urusan Encik Wahyu tu macam jaga suami sendiri! Aku masa 3 tahun pertama berkahwin dengan Encik Wahyu, bolehlah aku menang jika berlawan dengan Kak Zarida. Tapi bila dah nak masuk tahun keenam ni, aku angkat bendera putih sajalah. Tak kuasa aku nak jaga tepi kain Encik Wahyu yang beku dan dingin itu!

"Macam manalah saya tak berharap, kak. Encik Wahyu tu dahlah tinggi lampai, badan macam model, kacak, ada kereta sendiri, rumah sendiri, orangnya pun cool, berdisiplin..."

Loya tekak aku mendengar pujian yang keluar dari mulut Quzandria. Ya, itulah Wahyu yang aku kenal sejak enam tahun lepas. Tak berubah orangnya. Dari dulu sampai sekarang maintain aje.

Dulu, aku pun pandang Encik Wahyu dengan cara yang sama macam Quzandria pandang lelaki itu. Sekarang?

Aku tak rasa perwatakan dia yang dingin dan berat mulut tu sebagai sesuatu yang cool lagi dah! Aku rasa menyampah dengan perwatakan dia yang begitu! Sampaikan aku jadi ragu-ragu sama ada aku hidup sebumbung dengan manusia atau robot. Kadangkala aku terfikir juga, kenapalah dulu aku terhegeh-hegeh melamar dia jadi suami aku? Sumpah, aku lagi sanggup hidup membujang daripada bersuamikan Wahyu. Sumpah, bertahun-tahun aku menyalahkan hati aku sebab aku ada rasa suatu tarikan yang kuat buat Wahyu.

"Irman!" Aku melaung sambil bangkit dari kerusi.

"Ya, Cik Syazana!" Aku dapat dengar bunyi kerusi yang berlaga dengan dinding. Tak lain tak bukan, kerusi Irman-lah tu. Mungkin sebab terlalu bersemangat, setiap kali dia menyahut panggilan aku, kerusinya pasti sahaja tertolak ke belakang dan berlaga dengan dinding bilik Encik Wahyu.

"Ikut saya. Kita pergi survey material untuk festival musikal tu."

"Baik, cik!"

Aku terus mencapai beg tanganku seraya mula menapak meninggalkan ruang pejabat. Panas rasanya hati mengenang Encik Wahyu yang seorang itu. Boleh ya dia pergi ke Venice tanpa beritahu isteri dia? Kalau apa-apa jadi pada dia macam mana? Dahlah aku ni satu-satunya ahli keluarga yang dia ada. Satu-satunya ahli keluarga yang langsung tak tahu apa-apa tentang dia!


AKU pulang lewat hari ini. Dan buat pertama kali sepanjang aku bergelar isteri, aku tak beritahu kepada Wahyu bahawa aku perlu berjumpa dengan klien di luar masa pejabat. Selalunya aku akan beritahu Wahyu jika aku tak boleh pulang mengikut rutin biasa. Tetapi dek kesibukan yang melampau, semasa dalam perjalanan pulang dari berjumpa dengan klien, barulah aku teringat tentang Wahyu.

Lagipun, dah seminggu aku tak nampak muka Wahyu, aku macam dah terlupa yang aku ada suami. Bila dia ada, aku dah rasa macam tak ada suami. Inikan pula bila dia tiada. Lagilah aku rasa yang aku ni masih bujang!

Bagai nak gugur jantung aku apabila aku nampak wajah Wahyu di ruang rehat tingkat atas sebaik sahaja aku memijak tangga yang terakhir. Lelaki itu sibuk dengan sketch pad dan pensilnya. Lampu siling di ruang rehat tidak dinyalakan. Hanya floor lamp sahaja yang hidup. Aku tak boleh nak agak bila Wahyu pulang ke rumah. Yalah, dia meninggalkan rumah tanpa membawa kenderaannya.

"Assalamualaikum," sapaku.

Tangan Wahyu masih ligat melukis.

"Dah makan?" soalku. Entah apa yang sedang aku mengarutkan, aku tidak pasti. Jam sekarang menunjukkan pukul 11 malam. Sudah tentulah Wahyu sudah makan.

Wahyu masih juga begitu. Senyap dan diam sambil melukis. Tengoklah perangai dia tu. Nak sahaja aku tanya isteri-isteri lain di dalam dunia ni, kalau enam tahun mereka perlu hadap perangai suami serupa Wahyu, agak-agaknya mereka boleh tahan tak?

"Hanum masuk dulu," ujarku lalu mula melangkah. Dia tak nak bercakap dengan aku, buat apa aku tunggu lagi?

Sebelum aku memulas pintu bilik, tiba-tiba sahaja pendengaranku ditampar oleh suara Wahyu, "Awak dari mana?"

Aku berpaling menghadap Wahyu yang sedang memandang aku. Sketch pad di atas ribanya. Pensil dalam pegangannya. Wajahnya tidak bereaksi apa-apa.

"Jumpa klien. Wahyu tahu kan Director Lee tu macam mana orangnya. Tak nak jumpa masa pejabat dan Hanum kena layan perangai cerewet dia lagi. Tu yang dari pukul 8 sampai pukul 10.30 baru habis meeting dengan dia."

"Hanum lupa nak mesej Wahyu. Siang tadi busy dengan projek teater tu," tokokku lagi.

"Jumpa dengan Director Lee sorang-sorang?" Aku tahu dengan jelas alasan Wahyu menghulurkan soalan itu. Dia memang tidak pernah berkenan jika aku perlu bekerja berdua sahaja dengan lelaki lain. 

"Tak. Irman ada sekali. Seronok juga ada intern baru tu. Tak adalah rasa macam kena tanggung semua beban sendiri." Jujur aku meluah.

"Saya ke Venice."

Aku menarik nafas sedalam yang mungkin, mengajar diri untuk bertenang, "Ya? Kenapa Wahyu tak tunggu sampai hujung bulan ni baru Wahyu bagitahu Hanum ke mana Wahyu pergi? Tak adalah nampak sangat yang Hanum ni macam orang bodoh."

Wahyu meletakkan sketch pad dan pensil di atas meja kopi seraya dia bangkit daripada duduknya. Dia menapak mendekati aku dan entah kenapa aku rasa berdebar apabila melihat sepasang matanya. Dah lama aku tak rasa macam ni apabila pandang Wahyu.

Sebaik sahaja dia berdiri di hadapan aku, Wahyu terus melarikan matanya memandang pintu bilik yang sudah terbuka.

"Tepi sikit." 

Terkesima aku mendengar kata-kata Wahyu itu. Aku ingatkan dia nak bagitahu alasan yang munasabah atau nak pujuk aku. Sangkaan aku terlalu jauh meleset. Ah, memang aku tidak sepatutnya bersangka-sangka pun!

Aku bergerak ke tepi.

Wahyu masuk ke dalam bilik, berbaring di atas katil dan pejamkan matanya.

Hati aku terlalu sakit pada ketika ini. Dah terlalu lama aku simpan segala perasaan negatif terhadap Wahyu sampaikan aku sendiri yang makan hati dengan sikap dia. Aku sakit hati, aku yang kena pujuk hati sendiri. Wahyu? Dia bukannya sedar yang dia dah sakitkan hati aku!

"Wahyu." Aku menapak mendekati katil. Mungkin ini kali terakhir aku memanggil nama dia.

Wahyu tidak bergerak walau sedikit pun untuk menyahut panggilan aku. Buka mata pun tidak. Tarik nafas pun tidak.

"Wahyu, ceraikan Hanum," tuturku dengan penuh tekad. Kalau dengan bicaraku ini, Wahyu masih lagi tidak mahu memandang aku, tahulah aku bahawa aku ini tidak mempunyai apa-apa erti pun dalam hidup dia.

Mata Wahyu terbuka dan pandangannya melekat pada wajahku.

"Ceraikan Hanum, Wahyu," desakku apabila Wahyu tidak menutur apa-apa.

Wahyu menarik nafas dalam, "Umur awak dah 30 tahun ni. Apa yang awak dapat kalau saya ceraikan awak sekalipun? Tak ada lelaki yang nakkan awak pun."

Aku mencebik, "Wahyu pun tak nak dekat Hanum. Dah nak masuk enam tahun kahwin, Hanum masih tak mampu bagi Wahyu zuriat. Semua kerja dalam rumah ni Wahyu buat sendiri. Baik Hanum hidup single aje kalau tak memanfaatkan Wahyu. Hanum tak kisah kalau lepas bercerai nanti tak ada lelaki yang nak dekat Hanum. Cukuplah Wahyu seorang. Hanum tak larat nak layan perangai baru."

"Awak bercakap mengikut emosi. Pergi bersihkan diri dan solat," ujar Wahyu lalu memejamkan matanya.

Aku melepaskan keluhan berat. Meskipun berat, aku ikut juga arahan Wahyu.

Sesudah solat isyak, adalah aku rasa insaf sekejap. Entah apa yang merasuk aku agaknya sampai nak minta cerai segala. Walaupun hubungan ini hambar, tapi Wahyu itu tetap juga lelaki yang aku pilih sebagai suami aku. Takkanlah aku nak berputus asa dengan pilihan sendiri?


GILA!

Aku memang gila!

Macam mana aku boleh terbabas? Pula tu, aku terbabas setelah aku meminta Wahyu menceraikan aku!

Puas aku mengetuk kepala sendiri untuk mengingat semula kejadian malam semalam. Siapa yang menggoda siapa? Siapa yang memulakan segalanya?

Lepas solat, aku tutup lampu. Duduk di atas katil, aku letak bantal peluk di antara aku dengan Wahyu. Kemudian aku baring dan pejamkan mata. Masa aku dah nak hanyutlah tiba-tiba sahaja aku dapat rasa tangan Wahyu melingkar memeluk pinggang aku dan belakang tubuh aku bersentuh dengan dadanya.

Hah! Tak syak lagi!

Bukan aku yang bersalah dalam hal ini. Wahyu yang memulakan semuanya! Dia yang menggoda aku!

Aduh! Geli telinga aku apabila aku teringat semula bagaimana aku boleh termakan dengan godaan dia. Sampainya hati badan aku mengkhianati tuannya! Mentang-mentanglah dah lebih 6 bulan Wahyu tak sentuh aku, cepat aje badan aku terpujuk dengan godaan Wahyu.

Dan Wahyu tetap juga Wahyu. Celik sahaja mata aku, dia sudah tiada di sisi. Ada nota yang dia tinggalkan di meja lampu tidur, ada sarapan yang dia sediakan di meja makan dan suami aku tiada. Sewaktu tahun ketiga aku jadi isteri Wahyu, aku rasa seperti aku ni perempuan simpanan dia. Guna aku bila dia nak saja. Bila dia tak nak, aku buatlah apa-apa pun, dia macam tu juga.

Entah di mana dia bertapa subuh begini.


AKU masuk ke pejabat seperti biasa walaupun penat yang aku rasa luar biasa pada hari ini. Semuanya gara-gara pendirian tak tetap aku! Ada ke patut selepas aku minta Wahyu ceraikan aku, aku boleh hanyut dengan godaan dia? Huh!

"Lain macam aku tengok kau hari ni." Suara Kak Zarida menyapa gegendang telingaku.

"Apa yang lainnya?" Ringan pula mulut aku menjawab soalan Kak Zarida.

"Tu." Kak Zarida menjuihkan bibirnya ke arah tote bag yang aku letakkan di sudut meja, "Dah lama aku tak nampak kau bawa bekal."

"Tak sempat nak makan dekat rumah." Tak fasal-fasal rutin pagi aku lari sebab kena mandi wajib! Solat subuh aku tadi pun dah jadi subuh gajah. Pukul 7 pagi barulah aku siap solat.

"Wahyu balik semalam?" Kak Zarida bertanya separa berbisik.

Aku mengangguk.

"Habis tu dia tahu tak?"

Aku menggeleng.

"Kenapa tak bagitahu? Hisy, kau ni. Aku ni bukannya pandai sangat simpan rahsia. Risau terlepas cakap aje."

"Ala, benda kecil aje, kak."

"Benda kecil apanya? Kau sampai masuk hospital kut. Tu, Ernie tu. Baru pagi tadi sedar. Nasib baik kau tak ada apa-apa sangat."

"Kak Zarida." Suara Wahyu tiba-tiba sahaja bergema. Elok sahaja dia datang ke pejabat dengan pakaian pejabat. Entah bila dia pulang ke rumah untuk menukar pakaian.

Kelam-kabut Kak Zarida bangkit daripada duduknya, "Ya, Encik Wahyu."

"Masuk bilik saya sekejap," ujar Wahyu seraya dia menapak ke biliknya. Heh, sikit pun dia tak pandang muka aku. Kan aku dah kata, aku ni perempuan simpanan dia!

Sebelum Kak Zarida melangkah lebih jauh lagi, aku melelar lengan wanita itu.

"Kak, tak payah bagitahu dia," pintaku.

"Aku tak berani janji." Kak Zarida menarik lengannya.

Ah! Kak Zarida kan tak pernah berada di pihak aku. Dia selalu sangat back up Wahyu. Agaknya kalau aku jadi janda nanti, mesti aku yang dipersalahkan sebagai punca penceraian.


Nota penulis: Hey, guys. Assalamualaikum. It has been ages since the last time I put up anything on this blog. So, here's something. I am suck at choosing title and this title 'My dear, Wahyu!' kinda pops up in my head and that's it. Because even me, when I am writing this story, I get annoyed with Wahyu too. Bukan Hanum seorang aje yang makan hati dengan perangai Wahyu. Saya pun stress dengan perangai Wahyu.

'Nak sahaja aku tanya isteri-isteri lain di dalam dunia ni, kalau enam tahun mereka perlu hadap perangai suami serupa Wahyu, agak-agaknya mereka boleh tahan tak?'

So, please let me know if you can relate with Hanum's experience. Ada tak korang kenal lelaki macam Wahyu or pernah be in a relationship with lelaki macam Wahyu? What are their back story? Mesti ada sebab kenapa character diaorang macam tu. Do share your thoughts! Love you guys!

1 comment:

  1. 😍😍😍
    Rindu tulisan sis...
    Haiissh....wahyu, kalau sy dah lama tinggal tu

    ReplyDelete