Total Pageviews

FIRST BABY

Saturday 27 April 2013

Cerpen- Setulus Kasih Itu

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1102&idc=5497#.UXx8eMonw-U

AKU mempercepatkan langkahku. Jantungku sudah mempermainkan pelbagai irama. Reggae ada, rock ada, jiwang ada... pokok pangkalnya semua ada. Air mataku sudah berjuraian jatuh ke pipi.

Tidak betah berjalan laju, aku berlari anak. Hanya satu tujuanku dan hanya satu matlamatku, iaitu ayah! Ya, ayah! Pintu wad yang menempatkan ayah, aku buka. Detak jantungku terasa laju. Air mata yang bersisa pada pipiku, aku sapu sebersihnya. Tidak mahu sesiapa pun melihatnya.

“Kenapa kau datang sini? Kau nak sangat ikut jantan tu tempoh hari, bukan?” soal ayah. Aku tersentak. Tidak pernah suara ayah sekeras ini. Dia juga tidak berhadapan denganku ketika bercakap. Dia lebih rela berhadapan dengan dinding yang berwarna putih juga kosong itu. Semestinya dinding itu tidak memberi apa- apa makna buat diri ayah. Aku lebih bermakna.

Tetapi, keadaan sekarang sudah terbalik. Dinding itu lebih bermakna bagi ayah kerana aku telah memusnahkan harapan ayah. Aku telah membantutkan niat ayah untuk melihat aku berjaya. Oleh kerana itu, ayah jadi seperti sekarang. Terlantar sakit di hospital. Aku khilaf. Bodoh terasa diri ini.

Mataku meliar memandang mak, Abang Harraz, Abang Hilmi, Kak Hanisah, Abang Hanif dan Kak Hasni yang berdiri mengelilingi katil, tempat ayah berbaring. Hanya emak yang sedang duduk di atas sebuah kerusi yang disediakan. Mata mereka membawa seribu satu erti yang sukar untuk aku ungkapkan. Apa yang aku tahu, mereka juga mengharapkan sesuatu daripadaku. Mereka juga menyayangiku. Mereka juga mengasihiku.

"Ayah, Hajar minta maaf. Hajar bodoh, ayah. Hajar hilang pertimbangan. Ayah maafkan Hajar, ya?” ujarku. Aku menarik nafasku apabila ayah tidak memberikan sebarang reaksi.

“Ayah tak nak maafkan Hajar? Tak apalah. Hajar tidak mengharapkan lebih daripada itu. Hajar tidak mengharapkan supaya ayah menerima Hajar kembali. Hajar minta, ayah berilah Hajar peluang untuk ada bersama ayah ketika ayah berkeadaan begini,” pintaku. Sedih aku melihat keadaan ayah. Sekarang, barulah aku dapat merasakan betapa pentingnya ayah terhadapku. Betapa berharganya ayah di sisiku. Betapa bernilainya kasih daripada ayah selama ini.

Aku bodoh, aku lupa diri. Aku terhasut dengan bisikan syaitan. Aku tenggelam dengan godaan dunia. Aku lelah dengan pujuk rayu lelaki. Aku telah membuatkan ayah kecewa. Aku telah membuatkan ayah jatuh sakit. Aku yang memburukkan keadaan!

“Apa lagi yang kau nak? Jantan tu mana? Hari tu kau kata kau akan hidup bahagia dengan dia. Sekarang, mana? Mana buktinya?” kata ayah.

“Hajar tak nak apa- apa selain daripada menjaga ayah sehingga ayah sembuh. Hajar sedar yang Hajar patut dipersalahkan. Kerana Hajarlah ayah sakit. Kerana Hajar juga, Hajar sudah tidak berguna lagi. Benarlah kata ayah, lelaki seperti dia memang tidak boleh dipercayai,” rintihku.

“Nak, apa maksudmu bahawa kau sudah tidak berguna lagi Hajar? Hajar, jangan kau katakan yang kau sudah pergi jauh, nak...” Sayu suara emak. Air mataku menitis. Mak, Hajar sudah tidak berguna mak. Hajar sudah tidak berguna kepada emak dan ayah. Bagaimana agaknya Hajar dapat membalas jasa emak dan ayah sekiranya ayah sudah berkeras hati dengan Hajar?

“Tidak mak. Hajar tidak terpesong jauh,” kataku.

“Nak, kau tidak pernah terlanjur kan, Hajar?” soal emak. Mak, andaikata diri ini telah terlanjur, Hajar tidak akan datang ke sini emak. Andaikata diri ini telah terlanjur, Hajar akan memohon maaf daripada emak, ayah, kakak-kakak dan abang-abang tanpa menunjukkan diri ini. Tika itu, terasa diri ini begitu hina kerana terleka dengan dunia. Lupa bahawa dunia ini hanya sementara. Lupa juga bahawa ada yang melihat setiap tingkah Hajar.

“Cinta itu memang menenggelamkan Hajar, mak. Tetapi cinta itu tidak berjaya melemaskan Hajar mak. Hajar yakin, Hajar boleh timbul semula. Mencari udara kasih dan cahaya cinta yang sebenar-benarnya, daripada orang yang sebetul-betulnya,” tegasku. Mak, Hajar tidak pernah pergi jauh mak, tidak pernah! Ayah, andaikata ayah sudah tidak dapat terima diri ini, janganlah ayah terus buang Hajar. Berilah Hajar sedikit masa untuk merasai sisa-sisa kasih ayah. Andai kasih itulah benih kasih yang terakhir, akan Hajar semadikan di dalam diri ini. Biarlah ia tumbuh menjadi sebuah pohon yang dapat menghasilkan buah kasih yang sama bahkan mungkin lebih baik, juga lebih banyak.

"Sudahlah, aku tak nak tengok muka kau lagi. Kau sendiri yang buang kami daripada hidup kau!” kata ayah. Aku terpempan. Aku buang keluargaku? Tidak! Aku tidak pernah buang mereka. Cuma, aku telah meninggalkan mereka kerana seorang lelaki dan itulah tindakanku yang paling bodoh!

“Tidak ayah, Hajar tidak pernah membuang keluarga Hajar. Tidak pernah sekalipun rasa sayang di dalam hati ini, buat keluarga kita terhapus, ayah. Kini, Hajar sudah mengerti kasihnya sebuah keluarga itu. Hajar tidak rela meninggalkan keluarga kita ayah. Hajar yang bodoh selama ini. Hajar banyak buat salah. Hajar tak dapat membezakan perkara yang benar dan perkara yang salah. Ayah, sekali lagi Hajar minta, ayah maafkanlah Hajar. Ayah berilah Hajar peluang untuk memperbaiki diri ini dengan bimbingan ayah. Berilah Hajar peluang untuk berbakti kepada keluarga kita. Berilah Hajar peluang untuk menjaga ayah,” kataku dengan sayu. Aku cuba untuk mencapai tangan ayah. Tetapi ayah lebih pantas bertindak. Laju sahaja dia menarik tangannya sebelum sempat aku menyentuhnya. Air mataku mengalir. Aku mengetap bibirku. Keadaan yang berlaku ini pun puncanya daripadaku. Jadi, aku tidak berhak untuk marah dan aku tidak berhak untuk menghalang rasa amarah ayah terhadapku.

“Kau buatlah apa yang kau suka. Ada anak macam kau pun, bukan ada gunanya lagi,” ujar ayah. Ya Allah! Begitu sekalikah marah ayah terhadapku? Apa lagi yang harus aku bicarakan? Apa lagi?! Andai aku harus mencium kaki ayah sekalipun, aku sanggup asalkan ayah mahu memaafkanku. Aku tidak rela keadaan seperti ini terus berpanjangan. Aku sayangkan ayah, aku sayangkan mak dan aku sayangkan keluargaku.

Aku mengatur langkah keluar daripada wad yang didiami ayah. Aku hanya ingin bermunajat kepada Allah. Aku hanya ingin berbicara dengan Allah. Aku ingin memohon taubat daripada Allah. Sungguh, terasa dosa yang aku tanggung selama ini seperti tidak terhapus. Anak derhaka! Ayah ada mengatakannya kepadaku tempoh hari. Masih terbayang-bayang lagi peristiwa yang terjadi seminggu yang lalu.

“Hajar! Selangkah kau menapak keluar daripada rumah ini, anak derhakalah kau!” Kedengaran suara ayah begitu tegas. Aku yang pada ketika itu mengikut kata nafsu serta bisikan syaitan hanya memekakkan telinga dan tetap meneruskan langkahku. Ya Allah, pasti syaitan-syaitan yang ada disisiku melompat kegembiraan.

Hidupku selepas itu tidaklah segembira mana. Hidup dengan orang yang bukan halal buatku, terasa seperti bergelumang dengan zina yang sangat besar. Walhal, aku dan dirinya tidak membuat perkara terkutuk itu. Cuma, kami banyak menghabiskan masa bersama. Ya Allah, apabila mengenangkan kembali setiap sentuhan tangannya ke atas tanganku mahupun wajahku terasa bertimbun-timbun dosa yang semestinya tidak dapat aku kira. Aku tertanya-tanya, bisakah dosaku yang terlampau banyak itu dihapuskan?



Selesai berhadapan dengan Allah dan melakukan taubat nasuha, aku menghabiskan masa di hadapan wad ayah. Sambil-sambil berjalan secara mundar-mandir di hadapan wad itu, aku menatap sebuah majalah ilmiah.

"Assalamualaikum, Siti?” Kedengaran satu suara menyapaku. Siti itu adalah namaku juga. Nama yang diberikan oleh ayah, iaitu Siti Hajar. Aku mengangkat pandanganku. Sejak bila pula aku sudah duduk di atas kerusi ini? Pasti, minda aku dibawah sedar sebentar tadi.

“Awak buat apa dekat sini?” Suara itu menyoal lagi. Aku melihat doktor yang berada di hadapanku ini. Macam mana aku tahu bahawa dia adalah seorang doktor? Sudah pastilah melalui pakaian seragamnya. Aku hanya melemparkan sebaris senyuman. Aku tidak mempunyai sebarang rasa untuk membuka mulut pada ketika ini.

“Encik Khalid. Ayah awak kan Siti? Nama awak, Siti Hajar binti Khalid kan?” ujar doktor muda itu sambil menyelak beberapa helai kertas yang berada dalam pegangannya. Mengapalah doktor ini banyak bertanya? Sudahlah aku malas untuk berbicara sekarang ini.

“Ya, Doktor Amal Afif. Nama saya Siti Hajar binti Khalid dan pesakit yang berada dalam wad ini adalah ayah saya. Saya ke sini untuk melawat ayah saya. You know what? Saya rasa macam tak berguna lagi, macam dah tak nak...” Aku berhenti berkata-kata tatkala tersedar bahawa aku sudah terlepas berbicara. Aku tidak sepatutnya menceritakan masalah peribadiku kepada orang lain.

“Macam dah tak nak? Macam dah tak nak apa? Tak nak hidup? Nak bunuh diri?” soal Doktor Amal Afif atau dia lebih senang dipanggil Doktor Afif. Aku mengetap bibir seraya menundukkan pandanganku.

It is not the matter of killing myself. Saya tak nak tambah dosa saya lagi. Selama ni pun, dosa yang saya kumpul dah terlampau banyak. Tak mampu nak tanggung,” kataku dengan jujur. Doktor Afif mengambil tempat duduk selang dua buah kerusi di sebelah kananku. Aku memejamkan mataku seketika bagaikan mencari semangat.

“Ini ujian untuk awak, Siti. Ujian daripada Allah datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang datang dalam bentuk dugaan yang memeritkan dan ada yang datang dalam bentuk pujian yeng melambung tinggi. Apa yang diuji, bergantung kepada diri kita sendiri. Kekuatan iman kita, takkan menyebabkan kita berpaling daripada Allah. Ingatlah, seperit mana pun ujian itu, pasti akan ada kemanisan pada akhirnya, semanis mana pun pujian itu, pasti akan ada kepahitan pada akhirnya. Setiap perkara yang berlaku itu ada hikmahnya,” kata Doktor Afif.

“Surah al-Insyirah, ayat lima hingga enam,” kataku dengan perlahan. Saat aku mendengar kata-kata Doktor Afif tadi, ayat itulah yang bermain dalam fikiran. Aku lihat Doktor Afif mengukir senyum.

“Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesudah kesulitan itu ada kemudahan,” ujar Doktor Afif. Aku mengangguk, mengiakan apa yang diperkatakannya.

"Macam mana awak dengan Rizal?” soal Doktor Afif setelah aku tidak memberikan sebarang reaksi untuk berkata-kata. Aku hanya mengangkat bahuku.

“Tak ada apa-apa yang istimewa. Segalanya dah tak membawa apa-apa makna kepada saya. Sekarang, saya nak tumpukan perhatian kepada Allah, keluarga saya dan masyarakat di sekeliling saya. Saya nak lupakan kisah lalu. Biarlah saya anggap kisah itu seperti angin yang berlalu,” kataku. Ya, aku mahu lupakan segala apa yang telah aku lalui bersama Rizal, lelaki yang membawa aku hampir ke kancah kehinaan. Mujurlah aku tidak tenggelam.

“Jadi, siapa yang akan jadi bakal imam awak?” soal Doktor Afif lagi. Aku terkedu. Soalan apakah ini?

“Tak ada. Saya tak layak untuk sesiapa. Saya tak mengharapkan sesiapa,” balasku. Benar, aku tidak mengharapkan sesiapa untuk menjadi imamku. Aku tidak berharap untuk menjadi makmum kepada sesiapa pun.

“Kalau dah ditakdirkan yang awak akan ada imam awak sendiri?” soal Doktor Afif lagi. Aku diam.

“Awak? Siapa bakal makmum awak?” soalku sengaja mengubah topik perbicaraan. Aku nampak bibirnya mengukir senyum.

“Adalah. Kalau awak nak tahu, dia ada dalam hospital ini juga...” kata Doktor Afif. Aku mengangkat keningku.

“Doktor jugalah ni?” soalku ingin tahu.

“Tak. Dia tak bekerja di sini tapi, dia akan berada di sini buat masa sekarang sehingga orang yang berkenaan sudah tiada di sini,” balas Doktor Afif. Apalah yang cuba dikatakan oleh Doktor Afif ini? Sakit kepalaku memikirkan ayatnya yang menyimpan maksud tersirat itu. Buat sakit otak ajelah!

"Apa-apalah Doktor Amal Afif!” kataku seraya bangun daripada dudukku dan mengorak langkahku tanpa hala tuju yang sebenar. Telingaku sempat mengangkap tawa daripada Doktor Afif yang merupakan sahabatku sejak daripada sekolah menengah lagi. Pada asalnya, Doktor Afif memang seorang yang anti kepada perempuan. Andai ada perempuan yang mendekatinya, pasti dia akan menjauhkan diri. Termasuklah diriku. Kini, tidak semena-mena pula kami menjadi rapat. Puncanya? Aku sendiri pun tidak tahu.



Aku memejamkan mataku. Sampai bila agaknya ayah akan terus bersikap dingin denganku? Layanan keluargaku kepadaku tidaklah dingin seperti ayah tetapi, tidaklah semesra dahulu. Aku nampak bahawa akulah penyebab keretakan institusi keluargaku. Hubungan kami menjadi renggang hanya keranaku. Hanya mak yang bersikap adil dan sama rata. Mak masih sama seperti dulu. Namun, sepandai mana pun dia menyembunyikan riak keruh pada wajahnya, aku tetap nampak riak hiba pada wajahnya oleh kerana keadaan keluarga kami sekarang.

“Hajar, semalam ada yang meminang kamu,” kata Abang Hanif. Aku membuka mataku. Tubuhku yang mengiring menghadap dinding, aku palingkan menghadap Abang Hanif. Aku lihat dia sedang tersenyum. Aku turut tersenyum sama.

“Abang Hanif, jangan buat lawak boleh? Hajar lelah dengan semua ini. Hajar penat. Hajar nak rehat,” kataku.

“Tak, ni bukan lawak. Ni kenyataan. Mereka nak langsungkan pertunangan esok dan pernikahan minggu depan,” kata Abang Hanif. Aku meneguk liur. Apabila Abang Hanif sudah berkata-kata dengan nada serius seperti ini, dia benar-benar memaksudkannya. Inilah kenyataannya!

"Siapa?” soalku perlahan.

“Siapa Abang Hanif?! Siapa?!” jerkahku setelah Abang Hanif diam tidak terkutik.

"Abang tak tahu. Tak tahu langsung! Hanya ayah yang kenal. Abang dapat tahu ini pun daripada mak,” kata Abang Hanif. Aku memalingkan tubuhku menghadap dinding bilikku semula.

“Malang kan orang tu sebab dapat perempuan murah macam Hajar. Ayah pasti dah tak sayangkan Hajar lagi, jadi kalau Hajar dah kahwin, tak perlulah dia nak lihat wajah Hajar lagi kan? Kalau itu yang ayah nak, Hajar tak kisah. Hajar akan ikut aje,” kataku. Air mataku mengalir.

“Abang mungkin tak rasa apa yang Hajar rasa tapi ayah tak sekejam tu Hajar. Janganlah Hajar berburuk sangka.” Nasihat Abang Hanif aku diamkan. Hendak tak hendak sahaja nasihat itu masuk ke dalam telingaku.

“Hajar juga berhak untuk mendapatkan kemaafan. Hajar juga manusia biasa. Tak semestinya orang yang mempunyai kesalahan pada masa silam itu tidak ada masa depan dan tidak semestinya orang yang berjaya pada masa kini, tidak mempunyai masa silam. Jangan pernah menilai manusia itu dengan masa silamnya, kerana kita tak pernah tahu bagaimana masa hadapannya. Hajar nak keluarga kita yang dahulu. Hajar nak tebus kesalahan Hajar. Tapi bagaimana Hajar nak laksanakannya kalau Hajar langsung tak diberi peluang? Sakit abang, sakit hati Hajar ni,” luahku.

“Abang...”

“Hajar tak nak dengar apa-apa lagi. Kalau tujuan abang nak minta persetujuan Hajar untuk kahwin... ya, Hajar setuju. Kalau itu yang memuaskan ayah, Hajar setuju. Hajar akan ikut apa-apa yang membuatkan ayah bahagia. Asalkan ayah bahagia. Sudahlah, Hajar sudah cukup penat. Hajar nak rehat,” kataku. Aku memejamkan mataku setelah Abang Hanif menutup lampu dan melangkah keluar daripada bilikku itu.



“Jangan nak paksa aku makan boleh tak? Aku tak nak makan dengan anak macam kau ni!” Aku mengetap bibirku. Jijik sungguhkah ayah akan diriku? Hina sangatkah diriku ini? Setitis demi setitis air mataku jatuh ke pipi.

Secara tidak disangka-sangka, pinggan berisi nasi goreng yang dipegangku ditolak oleh ayah. Kedengaran bunyi kaca pecah. Cepat-cepat aku melutut dan mengemas lantai itu.

“Tak payahlah kau susah-susah nak jaga aku. Aku tak ingin kena jaga dengan kau bahkan, tengok muka kau pun aku tak nak,” kata ayah.

“Tak lama dah ayah. Esok, sebaik sahaja terlafaznya akad nikah oleh hamba Allah itu, Hajar bukan lagi tangunggjawab ayah. Hajar akan ikut hamba Allah yang sudah bergelar suami Hajar itu. Jadi, ayah tak perlu nak tengok muka ni lagi. Ayah tak perlu nak dengar tangisan ni lagi dan ayah tak perlu nak lihat pinggan pecah setiap hari. Ayah tak perlu nak marah-marah dah dan ayah boleh terus tersenyum. Ayah tak perlu nak sakiti mata ayah dah, dan ayah tak perlu nak sakiti telinga ayah dah,” kataku. Aku tidak menerima sebarang reaksi daripada ayah. Aku juga tidak memandang wajahnya. Aku tidak mahu dia melihat wajahku. Pasti dia sudah muak.


"Aku terima nikahnya, Siti Hajar binti Khalid dengan mas kahwin seratus lapan puluh ringgit tunai.” Melalui sekali lafaz yang telah disahkan oleh para saksi yang hadir, aku sudah sah menjadi isteri kepada seorang hamba Allah yang sehingga kini aku tidak kenal siapakah dia. Mujurlah ayah sudi menjadi waliku. Aku hanya menurut kata mak yang menyuruhku untuk duduk di dalam bilik sahaja.

Aku menundukkan pandanganku memandang baju kurung satin yang berwarna putih yang tersarung pada tubuhku. Baju kurung ini sungguh cantik meskipun hanya dihiasi dengan manik-manik berwarna putih, kelabu dan hitam yang membentuk bunga-bunga kecil pada hujung lengan baju dan hujung baju kurungku. Tudungku yang berwarna putih juga turut dihiasi dengan sedikit manik. Aku kira, harga untuk sepasang baju kurung bersama tudung ini pasti mahal.

Ada juga aku tertanya-tanya bagaimana baju kurung ini begitu sesuai dengan tubuhku? Kata mak, dia yang memilih baju ini untukku. Aku pula hanya mengiakan. Aku memandang jam di dinding. Sudah sepuluh minit rupanya masa berlalu setelah akad nikah tadi. Aku menundukkan padanganku kembali dan jariku mula bermain-main dengan hujung lenganku.

Tiba-tiba, tangan kananku dicapai oleh satu tangan kasar. Huh! Terkejut aku dibuatnya. Tangan itu menyarungkan sebentuk cincin pada jari manisku. Aku memandang cincin itu. Tanpa memandang wajah suamiku itu, aku mencium tangannya hendak tak hendak. Setelah itu, aku dapat merasakan sesuatu pada ubun-ubunku. Tersentak sedikit aku dibuatnya.

“Ya Allah, aku bermohon kepadamu kebaikannya dan kebaikan yang Engkau ciptakan padanya dan aku berlindung padaMu daripada keburukannya dan keburukan yang Engkau ciptakan padanya.” Sempat aku menangkap bicara seorang lelaki. Aku kenal suara itu. Setelah terasa yang tiada apa-apa lagi pada ubun-ubunku, aku mengangkat pandanganku. Tidaklah terlampau ramai orang yang berada di dalam bilikku. Tidak pula aku sedar akan kehadiran mereka ke dalam bilikku tadi. Apalah yang aku angankan ya?

Aku memandang lelaki di hadapanku. Benarlah tekaanku! Lelaki yang sedang tersenyum senget kepadaku itu adalah suamiku. Siapa yang tidak mengenali lelaki ini? Kini, barulah aku boleh mengungkapkan apa yang pernah diperkatakannya tempoh hari. Huh! Rasa macam nak belasah sahaja lelaki di hadapanku ini. Tetapi aku tidaklah sekejam itu untuk membelasah suamiku sendiri.



Aku melangkah masuk ke dalam bilikku. Sungguh, badanku terasa begitu berlengas. Aku mengunci pintu bilikku lantas membuka tudung yang tersarung pada kepalaku. Laju langkah kakiku aku atur ke tandas untuk membersihkan diri. Mujurlah di dalam bilikku ada sebuah tandas. Jadi, tidak perlulah aku mandi di luar.

Usai berpakaian dan menunaikan solat Isyak, aku mengelap rambutku yang basah. Jam di dinding aku perhatikan. Baru sahaja aku ingin menyidai tualaku, kedengaran beberapa ketukan pada pintu bilikku. Tuala tadi, aku letakkan di atas kepalaku.

“Ya Doktor Amal Afif, boleh Siti Hajar bantu?” soalku. Pintu bilikku aku buka secara kecil sahaja.

“Boleh Siti Hajar, buka pintu bilik ni besar sikit ya? Doktor Amal Afif nak masuk,” kata Doktor Afif, atau gelaran terbarunya adalah suamiku.

“Tak boleh! No way! No entry!” tegasku. Huh! Kalau aku bagi dia masuk, memang aku tengah sakit masa tu. Aku lihat riak wajahnya bertukar bengis. Isk! Macamlah aku tak tahu yang bengisnya itu dibuat-buat.

Belum sempat aku berbicara, aku nampak sepasang mata milik Kak Hanisah menjelingku tajam. Bagaikan mengerti yang dia bakal mengamuk, cepat-cepat aku menarik tangan suamiku untuk masuk ke dalam bilik. Tubuhnya aku tolak ke belakang. Pintu bilik itu aku tutup rapat. Huh! Lega! Kak Hanisah itu bukannya boleh diramal. Garangnya tidak bertempat. Maklumlah dia merupakan seorang guru dan ibu beranak dua. Tidak lama lagi, aku akan mendapat seorang anak saudara lagi daripada Kak Hanisah memandangkan dia sedang hamil enam bulan pada ketika ini.

Aku bersandar pada pintu bilik itu. Aku lihat, Afif sudah memandangku tanpa berkelip. Huh! Apa kena pula ni? Aku menundukkan pandanganku memandang lantai tempat aku berpijak. Terbuntang mataku saat terpandangkan tuala yang tadinya menutupi kepalaku sudah terbentang dengan cantiknya di atas lantai. Kureng punya tuala! Aku suruh kau tutup kepala aku, bukannya lantai tu. Tengok, apa dah jadi sekarang ni?

“Apa pandang-pandang? Awak tak pernah tengok manusia ke?” soalku tegas. Walhal, aku sudah tidak tentu arah. Dengan selambanya, aku membongkok dan mengambil tuala tadi lantas menutup kembali kepalaku.

“Siti, baik jujur dengan abang. Siti warna rambut ke?” soal Afif. Terkejut aku bukan kepalang. Apa tidaknya, tiba-tiba sahaja suaranya kedengaran begitu hampir dengan telingaku saat aku sudah berdiri tegak. Pantas aku menggeleng. Tuala yang menutupi kepalaku aku kemaskan dengan lebih erat. Inilah sebabnya aku tidak mahu dia melihat rambutku. Aku yakin yang dia akan bertanyakan soal warna rambutku yang bukan hitam sepenuhnya dan terdapat sebahagian yang berwarna coklat. Sebenarnya, warna rambutku ini adalah disebabkan genetik. Bukannya apa-apa pun. Kata mak, aku mewarisi warna rambutnya dan datukku.

Afif sudah memegang tanganku yang menggenggam erat tuala itu. Tangannya menarik tanganku supaya aku melepaskan tuala tersebut. Beria-ia aku menggeleng. Aduh, hendak menangis sahaja rasanya!

“Lepas,” arahnya. Aku akur. Aku leraikan juga peganganku pada tuala itu. Afif mengalihkan tuala itu daripada kepalaku lantas tangannya menggenggam sedikit rambutku yang panjang dan dibawa ke hadapan supaya dia dapat melihat dengan jelas warna rambutku. Aku menanti reaksi suamiku itu. Afif memandangku bagaikan meminta penjelasan.

“Haaa... jangan buat tuduhan! Saya tak warnakan langsung rambut saya! Langsung tak!” jujur aku berkata-kata sambil tanganku menarik kembali rambutku yang dipegang oleh Afif tadi.

“Habis tu?” soal Afif.

“Habis two, three, four, dan seterusnya,” kataku lantas menutup lampu bilikku. Dengan pantas aku merebahkan tubuhku di atas katil. Kalau diikutkan hati, ingin saja aku kuasai katil ini seorang diri.

"Siti!” Tegas kedengaran nada suara Afif.

“Hajarlah,” kataku seraya menarik selimut sehingga ke paras dada. Aku mengiring membelakangi tempat yang akan menjadi tempat tidur Afif.

“Selamat malam, Doktor Amal Afif! Sweet dream dan assalamualaikum,” ucapku lantas memejamkan mataku. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya kerana aku sedar bahawa keceriaanku hanyalah lakonan semata-mata.



Aku menangis lagi tetapi tangisku pada kali ini bukanlah kerana kekerasan ayah. Aku menangis kerana gembira. Andai inilah hikmahnya, berjuta-juta kali aku dihina oleh ayah pun aku sanggup. Ayah, ternyata kasihmu buatku setulus hati. Mak, ternyata kasihmu buatku tidak ternilai. Ayah sengaja bersikap dingin denganku supaya dia dapat menguji, betapa tulusnya aku untuk kembali kepada keluargaku. Ternyata, kesabaranku selama ini tidak sia-sia. Kesabaran yang aku curahkan membuahkan hasil yang sangat indah.

“Jaga Hajar elok-elok. Ayah dengan mak sayangkan dia,” pesan ayah. Aku masih setia mengesat tangisku. Aku menerpa ke arah ayah lantas memeluknya.

“Terima kasih ayah. Hajar juga sayangkan ayah, mak dan keluarga kita. Kasih semua orang buat Hajar adalah tidak ternilai. Tidak dapat Hajar balas. Kasih kalian buat Hajar, akan Hajar semadikan di dalam hati ini, buat selamanya. Doakanlah yang terbaik buat Hajar. Moga Hajar tidak tersilap langkah lagi ayah, mak,” ucapku penuh sayu. Sebak yang aku rasakan, tidak mampu untuk diusir.

“Ayah dan mak sentiasa mendoakan yang terbaik buat Hajar. Oleh kerana itu, kami menyatukan Hajar dengan Afif. Ayah yakin, Afif adalah yang terbaik buat Hajar. Afif mampu melindungi Hajar. Afif mampu membimbing Hajar,” kata ayah. Aku memandang Afif yang sedang berbual-bual dengan Kak Hanisah. Senyuman yang sentiasa terukir pada wajahnya, menyerlahkan ketampanannya. Senyuman itu memang manis. Aku pernah jatuh hati akan senyuman itu. Tetapi apabila aku tahu yang dia anti kepada perempuan, perasaan itu aku buang jauh. Apa tidaknya, satu sekolah menganggap dirinya gay kerana dia tidak suka bergaul dengan perempuan.

Setelah bersalam-salaman, aku dan suamiku meminta diri. Tak lepas mataku daripada memandangnya yang sedang memandu di sisiku. Cepat sahaja aku mengalihkan pandanganku tatkala mata kami saling bertemu. Maluku bukan kepalang. Sempat juga aku melihat senyuman menggodanya itu. Terima kasih ayah kerana menyatukan Hajar dengan Afif. Terima kasih ya Allah, atas kurniaanMu ini. Sesungguhnya aturanMu ialah aturan yang terindah. Aku berjanji dengan diriku untuk menghargai keluargaku serta Afif dengan sebaiknya. Menghargai keluargaku yang telah banyak berjasa kepadaku. Serta menghargai Afif yang sudah menjadi suamiku kini. Kasihku, setiaku, sayangku, dan cintaku akan aku serahkan kepada dirinya. Namun, cintaku kepadanya tidak pernah melebihi cintaku kepada Allah dan Rasul. Terima kasih, ya Allah. Alhamdulillah.

Saturday 20 April 2013

Cerpen- Dendam Hadani

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1065&idc=5369#.UXx1hMonw-U

WARDAH tersenyum hambar. Apa yang ada pada fikiran Yazid agaknya? Menyambungkan ikatan yang Yazid sendiri putuskan? Wajarkah dia menemui Yazid? Walhal, dia sudah tidak ada hati pada lelaki itu. Dia sudah menemui seseorang yang lebih baik. Perbualan dia dan Yazid iaitu bekas tunangnya tadi berlayar-layar dalam fikirannya.

“Assalamualaikum, Wardah,” sapa Yazid.

“Waalaikumussalam. Hah? Ada apa?” soal Wardah, dingin. Yazid tersenyum.

“Yazid nak ambil masa Wardah sikit. Kita perlu berbincang tentang pertunangan kita,” ujar Yazid. Wardah mengangkat pandangannya. Mencerlung matanya memandang Yazid.

“Apa? Apa lagi yang kau nak bincangkan?! Kau sendiri yang putuskan ikatan pertunangan ni kan?! Apa lagi yang kau nak? Aku tak ada masa lah nak layan lakonan kau ni!” Lantang Wardah berkata-kata pada ketika itu. Yazid bungkam.

“War, Zid nak ambil sikit saja masa War. Zid nak tebus balik kesalahan Zid. Zid nak ikatan kita terjalin semula. Zid masih sayangkan War,” kata Yazid bersungguh- sungguh. Wardah menjeling sinis.

“Aku tak ada masa untuk kau. Sudahlah, lebih baik kau pergi. Banyak lagi kerja yang harus aku selesaikan. Kau datang pada waktu yang salah,” tegas Wardah.

“Baik, kalau War masih sayangkan Zid. War datang ke sini, malam ni. Di situ telah tertera segala- galanya. Zid tunggu War,” kata Yazid lantas meletakkan sekeping memo di atas meja kerja Wardah. Wardah buat tidak endah.

“Zid harap sangat supaya War dapat luangkan sedikit daripada masa War untuk Zid, malam ni. Assalamualaikum, War. Kirim salam Zid kepada keluarga War,” ucap Yazid seraya mengorak langkahnya meninggalkan Wardah. Wardah menghantar langkah lelaki itu dengan pandangan yang sinis.

“Waalaikumussalam,” jawab Wardah perlahan. Apa yang ada pada fikiran Yazid agaknya? Wardah sudah tidak punya ahli keluarga yang lain. Wardah tinggal sebatang kara. Mungkin, Yazid terlepas bicara. Memo yang berada di atas mejanya diambil lantas dimasukkan ke dalam beg tangannya. Dia mengemaskan meja kerjanya dan mengorak langkah keluar daripada pejabat.


“Restoran Harapan, sembilan malam...” Wardah mengeluh kecil.

"Jumpa, tak, jumpa, tak...” Wardah berkira- kira untuk menemui Yazid ataupun tidak. Telefon bimbitnya yang berdering mematikan monolognya. Pantas tangan Wardah mencapai telefon itu. Terukir senyuman di bibirnya tatkala melihat sebaris nama yang tertera pada skrin telefon itu. Dia menjawab panggilan itu.

“Assalamualaikum. Nafi, kebetulan Nafi telefon War. War nak beritahu yang Zid nak jumpa War malam ni. Nafi rasa, War patut tak jumpa Zid?” soal Wardah kepada Hanafi.

“Waalaikumussalam, War. Amboi, tak menyempat ya? Pergi ajelah War. War kena jelaskan juga apa yang War rasakan terhadap dia sekarang,” jawab Hanafi. Wardah tersenyum.

“Okey, Nafi. Nafi tak kerja ke?” soal Wardah.

"Kerjalah, kerja luar. Hari ini dengan esok, Nafi bertugas dekat luar,” terang Hanafi.

“Kerja elok-elok Nafi,” pesan Wardah.

“Baiklah bos!” sahut Hanafi. Wardah ketawa kecil.

“Nafi minta diri dulu ya? Kena tahan budak tak berlesen ni. Assalamualaikum,” ujar Hanafi meminta diri.

“Okey, Nafi. Waalaikumussalam,” jawab Wardah lantas Hanafi mematikan talian.

“Aku akan jumpa kau Zid tapi, bukan untuk memulihkan hubungan ini. Aku akan berjumpa dengan kau, untuk menyatakan perasaan aku terhadap kau,” kata Wardah, sendiri. Dia bangun daripada pembaringannya lantas bergerak pantas menukar pakaiannya.

Wardah mengemaskan lipatan tudungnya. Dia menoleh seketika memandang tingkap biliknya lantas memandang cermin meja solek itu semula. Otak Wardah ligat memikirkan sesuatu. Kalau tidak silap matanya, dia terpandangkan bayang seseorang pada tingkap biliknya tadi.

Wardah mengorak langkah merapati tingkap bilik itu. Langsir tingkap itu diselak dengan luas. Bagaikan hendak pecah jantung Wardah tatkala matanya terpandangkan wajah seorang lelaki yang dilumuri dengan darah melekap rapat pada tingkap biliknya. Mata dan kepalanya bagaikan hendak terpisah daripada jasad. Wardah menekup mulutnya. Dia menggigil ketakutan. Setitis demi setitis air matanya jatuh berjuraian.

Siapa lelaki itu? Wardah tertanya-tanya. Langsir tingkap itu ditutup perlahan. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil. Tatkala matanya terpandangkan telefon bimbitnya, pantas tangannya mencapai telefon itu. Lincah jarinya menaip nombor telefon Hanafi.

Sudah beberapa kali mencuba, namun Hanafi tidak dapat dihubungi. Wardah penasaran. Apa yang patut dilakukannya sekarang? Kak Aslinda tidak akan pulang pada hari ini memandangkan dia perlu pulang ke kampungnya. Wardah mencapai beg tangannya lantas mengorak langkah keluar daripada rumahnya. Tanpa sempat Wardah mengunci pintu utama rumahnya, kepalanya dihentak kuat dengan sesuatu. Wardah rebah.


Perlahan-lahan Wardah membuka matanya. Cahaya daripada sebuah lampu kalimantang menyilaukan pandangannya. Matanya dipejam celikkan buat beberapa kali. Terasa berat sekali kepalanya pada ketika ini. Wardah tertanya- tanya. Di manakah perginya tudung yang tersarung elok pada kepalanya sebentar tadi?

Pergelangan tangan dan kakinya terasa perit. Dia memandang keadaan di sekelilingnya. Wardah langsung tidak tahu di mana dia berada pada ketika ini. Keadaan di sekelilingnya sunyi dan sepi. Hanya bunyi cengkerik dan unggas yang menemani dirinya. Keadaan ruang itu suram sahaja. Wardah memandang lantai bilik yang berdebu itu. Fikirannya ligat mencari cara agar dia dapat bangun.

“Hai, dah bangun?” Kedengaran satu suara menyapa dirinya. Wardah mencari pemilik suara itu. Dia tidak mengenali suara itu, tetapi dia yakin yang dia mengenali wajah pemilik suara itu.

“Ingat aku lagi?” soal lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu sudah duduk berlutut di hadapannya. Rambut Wardah dielus- elus perlahan.

"Siapa kau?!” Lantang Wardah menyoal. Kepalanya sibuk digerakkan bagi menghindari sentuhan lelaki itu. Kedengaran lelaki itu ketawa kecil.

“Kau tak ingat siapa aku? Aku yakin, kau pasti masih ingat siapa itu Dafi kan?” soal lelaki itu. Wardah terpempan. Dafi? Ya, dia masih ingat lagi akan lelaki itu. Lelaki yang sangat setia sifatnya. Wardahlah yang menghampakan kesetiaan Dafi lantas tiada lagi khabar yang dia dengari tentang lelaki itu.

“Kau Dafi?” soal Wardah. Lelaki itu tersenyum sinis. Tangannya masih setia mengelus wajah Wardah.

“Kenapa kau nak tahu?” soal lelaki itu.

“Aku dah lama tak dengar khabar mengenai dia. Aku tidak tahu di mana dia berada, kini,” kata Wardah. Lelaki itu ketawa kuat.

“Kau dah bunuh dia Wardah... Kau bunuh Dafi... Kau tak ingat ke yang kau ni pembunuh? Kau tak sedar ke Wardah?!” Jerkah lelaki itu. Wajahnya dirapatkan dengan wajah Wardah. Matanya turut ditentangkan dengan mata Wardah. Wardah tersentak. Mata ini! Dia kenal mata ini.

“Dani? Kau Dani kan? Hadani?” soal Wardah. Lelaki itu tersenyum mengejek.

“Ya, aku Dani. Budak hingusan yang selalu menyibuk bila kau keluar dengan abang aku, Dafi,” kata Hadani.

“Apa yang kau nak dengan aku Dani? Lepaskan akulah bodoh!” teriak Wardah.

“Bodoh? Kau kata aku bodoh? Kau!” Hadani menghadiahkan sebuah penampar pada wajah Wardah. Tubuh Wardah ditarik dan disandarkan pada dinding.

“Lai, bawa masuk lelaki tu!” arah Hadani. Seorang lelaki berwajah Cina melangkah masuk bersama dengan seorang lelaki muda yang dimaksudkan oleh Hadani. Terlopong mulut Wardah pada ketika itu.

“Yazid!” laung Wardah. Lelaki Cina itu sudah mengorak langkah meninggalkan ruang itu.

"Kenapa dengan kau ni? Kau sayangkan dia lagi kan? Jadi, aku kena bunuh dia!” kata Hadani lantas melepaskan berdas-das tembakan pada dada Yazid. Yazid rebah.

"Woi, bangang! Apa yang kau buat ni setan?!” jerkah Wardah. Air matanya mengalir lesu. Kedengaran gelak tawa Hadani bergema pada setiap pelusuk ruang itu.

“Kau tanya aku buat apa? Aku balas dendamlah bodoh! Kau sedar tak engkau tu adalah setan yang sebenar- benarnya. Kau bunuh abang aku... kau bunuh mama aku... kau bunuh papa aku! Kau gila! Pembunuh!” Lantang Hadani berteriak.

"Apa yang kau cakap ni? Aku tak pernah bunuh orang. Kau jangan nak buat lawak bodoh boleh tak?” soal Wardah menyinis.

“Kau bunuh orang! Kau kecewakan Abang Dafi... dia... dia... dia bunuh diri sebab kau! Tahu tak?!” jerkah Hadani. Air matanya mengalir keluar.

“Siapa suruh dia bunuh diri? Aku tak suruh pun,” tegas Wardah.

“Shhh, kau diam!” kata Hadani. Dia mengorak langkahnya mendekati mayat Yazid. Sebilah pisau yang terdapat di atas lantai dicapai lantas dia membelah perut Yazid.

“Woi, gila ke?!” Kata Wardah nyaring.

"Aku tak gila. Tapi, inilah cara aku membalas dendam,” kata Hadani. Isi perut Yazid dikeluarkannya satu persatu. Wardah yang melihatnya terasa bagai hendak termuntah.

“Disebabkan mama dan papa terburu- buru memandu ke hospital, mereka mengalami kemalangan bersama Abang Dafi. Kau yang bunuh mereka... kau yang bunuh!” teriak Hadani kuat.

“Aku tak bunuh mereka! Inilah apa yang dinamakan takdir. Kau tak ingat Allah ke? Ini ketentuan Allah, qada’ dan qadar Allah. Kita, tak boleh nak halang. Dah sampai masanya mereka pergi!” tegas Wardah. Matanya terpaku pada tangan Hadani yang lincah menikam dada Yazid.

“Aku tak percaya dengan semua tu! Aku takkan bersendirian sekarang ni kalau kau tak wujud. Ya! Aku takkan bersendirian kalau kau tak wujud!” Lantang Hadani bersuara. Dia melemparkan pisau yang penuh dengan darah dan mengambil pistolnya kembali. Dia menghampiri Wardah lantas muncung pistol itu dihalakan hampir dengan kepala Wardah. Wardah menggigil ketakutan.

“Ingat Allah! Istighfar! Ingat Allah, Dani! Astaghfirullahalazim!” tegas Wardah.

“Buang masa! Kau, akan aku tamatkan. Kalau kau tak wujud, aku takkan keseorangan,” kata Hadani diikuti dengan gelak tawanya.

“Selamat tinggal, sayang...” Meleret Hadani berkata- kata. Wardah memejamkan matanya. Jantungnya berdetak laju. Kedengaran bunyi tembakan bertalu- talu. Wardah membuka matanya dek rasa terkejut. Dia tidak merasa sakit di mana- mana. Bukan dia yang ditembak tetapi, Hadani.

“Hanafi!” teriak Wardah. Tiba- tiba terasa perit bahunya. Hadani berjaya menembaknya, tepat pada bahunya. Wardah memandang darah yang membuak- buak keluar daripada tubuh Hadani lantas matanya dialihkan pada tubuh Yazid yang sudah kelihatan sangat teruk. Terasa berpinar- pinar matanya.

“Wardah.” Hanya itu yang Wardah dapat dengari sebelum dia rebah tidak menyedarkan diri.


“Syukur, alhamdulillah awak dah sedar War. Nafi risau sangat War,” ucap Hanafi. Bibir Wardah yang pucat mengukir senyum.

“Alhamdulillah. Nafi risau dekat War?” soal Wardah. Hanafi tersenyum.

"Nafi sayangkan War bukan sahaja sebagai seorang sahabat tetapi, Nafi sayangkan War lebih daripada itu. Izinkan Nafi memiliki hati War?” kata Hanafi. Wardah sedikit terpinga-pinga. Masakan tidak? Dia turut menyimpan rasa yang sama terhadap Hanafi yang selalu mengambil berat tentang dirinya.

"InsyaAllah Nafi, kalau kita ada jodoh yang diaturkan oleh Allah,” balas Wardah. Hanafi tersenyum senang.

“Nafi, macam mana awak boleh tahu yang saya ada dekat situ?” soal Wardah. Hanafi tetap tersenyum.

“Missed call daripada awak membuatkan saya datang ke rumah awak,” ujar Hanafi.

“Awak nampak mayat tu? Awak kenal tak mayat siapa tu awak? Awak... beritahu saya,” pinta Wardah. Hanafi tersenyum.

“Identitinya sudah dapat dikenal pasti. Apa- apa yang pasti, dia adalah mangsa Hadani. Pada mayat tu, ada tertera alamat rumah banglo lama tu. Jadi, saya dengan anggota yang lain mengambil keputusan untuk ke sana. Lagipun, awak meninggalkan rumah dalam keadaan yang membuatkan orang was-was,” terang Hanafi. Wardah tersenyum.

"Saya kena hentak, sedar-sedar aje dah sampai dekat tempat asing macam tu... ya Allah kesiannya dekat arwah Yazid. Tak fasal-fasal dia yang menjadi mangsa,” ujar Wardah.

“Sabarlah War. Nafi percaya, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Mereka berdua sudah selamat dikebumikan petang semalam, waktu War masih belum sedar,” kata Hanafi.

“Saya tetap mendoakan yang terbaik untuk mereka,” ucap Wardah dengan nada yang sayu. Dia tersenyum hambar. Hadani yang dia kenal dahulu bukanlah seperti Hadani yang sekarang. Hadani yang dahulu sangat ceria, sangat kuat pegangan agamanya. Oleh kerana dia kehilangan kesemua ahli keluarganya, dia hilang pertimbangan. Islam seolah- olah bukan lagi agamanya, Allah bukan lagi tuhannya, Rasulullah bukan lagi ikutannya, al-quran dan hadis bukan lagi pegangannya. Ya Allah, rapuhnya iman Hadani sehinggakan syaitan begitu mudah menghasutnya ke arah kegelapan. Itulah, lumrah dunia. Tatkala manusia menyimpan rasa dendam, rasa dendam itulah yang memudahkan syaitan untuk merosakkan anak-anak Adam. Bisikan- bisikan syaitan diterima dengan sepenuhnya. Hati yang sepatutnya bersih, menjadi kotor. Hari yang sepatutnya terang dan indah menjadi gelap dan suram. Semuanya kerana dendam!

Kini, harapannya agar tiada lagi peristiwa sebegini yang akan terjadi. Biarpun dia hanya sebatang kara dan hanya mempunyai Kak Aslinda sekeluarga, biarlah dia mencipta bahagia dengan orang-orang yang menyayanginya seperti Hanafi. Biarlah tiada dendam lagi yang bersisa dan biarlah bahagia yang mengambil tempat.

Cerpen!

Assalamualaikum readers!

Saya rasa, malam ni saya nak up-kan sebuah cerpen! Ada sesiapa yang berminat tak? Winkwink ^^. Haha! Rasa macam tak akan terjawab aje soalan tu. BTW, korang abaikan ajelah cerpen yang akan saya up-kan ni kalau korang rasa mengarut gila jalan cerita cerpen ni. Hehe, sorry kasar sangat! But, meskipun korang nak abaikan, dengan rasa rendah dirinya saya minta, tolonglah tinggalkan komen. Komen ni, merupakan ejen utama seseorang penulis itu untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu daripada segala aspek. Korang cakaplah apa-apa pun yang korang nak dan saya akan cuba untuk reply dan jadikan sebagai panduan untuk saya berkarya dengan lebih baik. Harap readers semua faham perasaan saya. Huhu, :') Maklumlah, saya masih mentah dalam bidang penulisan. GTG! Nantikan cerpen saya malam ni ya? Mungkin dalam pukul 10 ke atas sebab saya tengah struggling nak siapkan cerpen ni. Sikit aje lagi! Haha! Tunggu jangan tak tunggu!

Salam sayang,
Nasha Hadzir Othman  

Saturday 13 April 2013

Aurat Wanita

Assalamualaikum!

Ehem, okey, over sikit hari ni. Tadi, entry pasal novel. Sekarang, saya buat entry tentang agama. Tentulah agama Islam ya, sahabatku semua! Tajuk ni, saya suka sangat-sangat. Tak tahulah kenapa, tapi saya suka. Hehe, :) Aurat wanita ni bukan sahaja kaum Hawa yang perlu take note. Kaum Adam pun kena ya?

Kaum Adam ni besar tanggungjawabnya. Kaum Adam harus melindungi kaum Hawa dan menegur jika ada kesalahan. Ya tak? Kaum Adam kena jaga mak dia, isteri dia, anak-anak perempuan dia, dan saudara perempuan dia. Fuh! Susahnya... kan? Tapi, itulah hakikatnya. Kaum Hawa, memang mudah nak masuk syurga. Kalau mudah nak masuk syurga, maknanya mudah jugalah nak masuk neraka kan? Eh? Hehe, betullah! Bukannya main-main. Take it serious dear Adam and Hawa!

Okey, okey. Balik semula kepada topik kita, tentang aurat. Jadi, aurat wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya dan wanita bukan Islam adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Nampak tak tu? SELURUH ANGGOTA BADAN kecuali MUKA DAN TAPAK TANGAN. So, kenapa perlu didedahkan anggota yang sepatutnya tertutup itu? Aurat wanita Islam dengan wanita Islam dan lelaki yang merupakan mahramnya adalah antara pusat hingga lutut. Tapi, fikirlah logik sikit, tak perlulah nak pakai baju yang tak beretika. Hehe, ^_^. Sedikit penambahan, aurat lelaki dengan sesiapa pun sama aje iaitu dari pusat sehingga lutut.

Okey, apa-apa yang penting dalam menutup aurat ini, pakaiannya tidak boleh ketat dan jarang. Jadi, kalau agak-agak kain pasang yang dibeli tu jarang, pilihlah kain yang lebih tebal. Kalau pakai inner pun, tetap nampak bentuk tubuh kan? Inner tu bukankah ketat? Legging dan inner merupakan pakaian yang ketat ya kawan-kawan. Jadi, ianya tidak sesuai dipakai begitu sahaja. Adalah sangat baik jika ia menjadi pakaian yang dipakai pada sebelah dalam sahaja. Maksud saya, janganlah mempertontonkan dirimu dengan berpakaian sedemikian.

Ehem, hand sock korang tahu? Alah sarung lengan tu. Okey, jadi apa yang saya nak perincikan, hand sock juga tidak boleh dipakai begitu sahaja*macam ayat iklan roti*. Misal kata, lengan baju korang pendek, lepas tu korang pakai hand sock supaya tak nampak lengan korang tu. Jangan lupa ya, tak nampak lengan tapi bentuknya tetap nampak kan? Jadi kawan-kawan, hand sock pun hanya untuk pemakaian dalaman SAHAJA tahu?

Okey, tentang tudung pula. Pada era globalisasi kini*ayat karangan*, tudung dah macam-macam fesyen dah. Aduhai, naik pening kepala saya melihatnya! Ada sesetengah orang yang suka dan ada yang tidak. Almaklumlah, setiap manusia ada cita rasa mereka yang tersendiri. Jadi daripada pemerhatian saya, tudung-tudung zaman sekarang ni, ada yang dah nak serupa dengan rambut. Yalah, tak boleh cara tu, syaitan hasut buat cara ni kan? Korang, apa-apa yang nak dekat sama dengan rambut tu, kiranya macam rambutlah juga. Ada faham? Hehe, :)

Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian,
Pabila bertudung itu, biarlah menepati syariat. Bertudung biarlah labuh melepasi dada. Bertudung biarlah yang tidak jarang. Bertudung biarlah yang tidak berlebih-lebihan. Kita memang tidak dapat dipaksa untuk terus memakai tudung labuh. Pabila kita sudah ada tekad seperti, 'Satu hari nanti, aku akan pakai tudung labuh, InsyaAllah' itu sudah cukup baik.

Melalui pemerhatian saya lagi, ada sesetengah pihak yang suka menyingsing lengan bajunya yang sudah panjang dan tindakan ini sekaligus menampakkan auratnya. Awak, awak, awak, aurat kita yang terdedah itulah yang akan disantap oleh api neraka terlebih dahulu. Sebenarnya, apa motif kita nak singsing lengan baju sampai macam tu? Panaskah? Tidak kan korang? Kerana satu hal yang perlu sentiasa diingati, di neraka itu, panasnya berlipat kali ganda, sahabat! Berlipat kali ganda. Jadi korang, tak payahlah singsing lengan baju tu. Kalau singsing pun, lengan tu bukannya bertambah putih ya tak?

Tentang pemakaian stokin atau sarung kaki. Kaki juga merupakan aurat wanita. Korang ingat kan? SELURUH ANGGOTA BADAN kecuali MUKA DAN TAPAK TANGAN. Jadi, pembaca-pembaca sekalian, kaki seorang wanita itu pun adalah aurat. Pakailah sarung kaki ataupun stokin. Tak semestinya kita kena pakai stokin yang berwarna coklat ataupun hitam itu. Sebagai seorang remaja, saya yakin bahawa ramai remaja yang suka bergaya. Jadi, bolehlah kalau korang nak pakai stokin warna-warni macam pelangi ke apa ke... Apa-apa yang penting, sahabat, coraknya janganlah berlebihan sampai boleh menarik perhatian kaum Adam. Stokin juga tak boleh jarang tahu? Panas ke pakai stoking ni? Eh? Tidak pun kan? Masa sekolah tu boleh aje pakai? Haaa... apa lagi ya alasannya, sayangku? Kalau nak kata korang pakai sliper, boleh juga kan pakai stoking? Saya pernah buat macam tu. Bukannya pelik sangat pun. Biasa aje. Tapi, kalau dah rasa macam orang pandang kita semacam je, pakailah sandal. Pakailah stokin, tak susah untuk mengikuti peraturan yang telah Allah tetapkan. Hasutan syaitan yang menjadikannya susah. Jadi, jangan dok dengar sangat bisikan-bisikan itu.

Mulai saat ini, kita pasang tekad dalam diri kita untuk menjadi seorang Muslim mahupun Muslimah yang lebih baik. Setiap hari, kita mesti menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. Sebagai seorang Muslim juga Muslimah, kita mestilah mendalami ilmu agama Islam. Siapa lagi yang akan mendalami ilmu agama Islam ini jika bukan diri kita sendiri?

"Barangsiapa yang hari ini, dia LEBIH BAIK dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yang BERUNTUNG. Barangsiapa yang hari ini, dia SAMA seperti semalam, maka dia dari kalangan yang RUGI. Barangsiapa yang hari ini, dia lebih TERUK dari semalam, maka dia dari kalangan orang yang CELAKA." Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Kita ubah diri kita menjadi lebih baik daripada hari ke hari. InsyaAllah, dengan azam serta usaha dan doa yang bersungguh-sungguh, kita mampu untuk menjadi lebih baik ya sahabat? Berubahlah kerana Allah, bukan kerana manusia. Berubah kerana Allah itu lebih banyak berkatnya. Sama-samalah kita memperingati diri kita sendiri serta orang yang berada di sekeliling kita, Ingat, Amar Makruf, Nahi Mungkar adalah tanggungjawab setiap umat Islam yang wajib dilaksanakan! Mengajak kepada perkara kebaikan dan mencegah perkara kemungkaran! Sekian, jazakumullahuhairan! Assalamualaikum!

Salam Sayang,
Nasha Hadzir Othman