Total Pageviews

FIRST BABY

Saturday 2 March 2019

Cerpen- My dear, Wahyu! (Part 4)


DENGAN kaki yang terseliuh, terhincut-hincut aku menapak ke masjid. Aku dah boleh agak dah, kaki yang terseliuh ni mesti sebab aku keluar dari rumah tak minta izin suami. Selesai menunaikan solat Isyak pada pukul 4 pagi, aku kemas beg pakaian aku dan keluar dari rumah melalui tingkap di bilik. 

Melompat dari tingkap bilik yang kedudukannya jauh dari tanah, tidak mustahillah kaki aku akan terseliuh.

Jam baru menunjukkan pukul 5 pagi. Tok siak pun tak sampai ke masjid lagi. Aku melabuhkan duduk di wakaf berdekatan dengan kawasan solat wanita. Pintu masjid berkunci. Memanglah pintu masjid sepatutnya selalu terbuka. Tapi kalau dah selalu sangat tabung masjid kena kopak, aku pun tak sedap hati nak tinggalkan masjid tidak berkunci.

Sementara menunggu azan subuh, aku keluarkan iPad aku. Apps al-Quran aku buka lalu aku mula mengaji. Hati tetap rasa gelisah sebenarnya walaupun aku sedang mengaji. Mungkin kerana aku berada di sini tanpa redha suami.

Apabila aku nampak tok siak sudah tiba dan membuka pintu masjid, aku terus berpindah dan duduk di dalam masjid.

Selesai menunaikan solat subuh, aku keluar dari masjid. Masa-masa itu jugalah aku nampak Zarif berjalan bersama-sama dengan Faris dan Jartis.

Pantas aku menyorok di sebalik tiang. Tak cukup dengan mereka bertiga, aku nampak pula Karim dan Azril. Sejak bilalah budak bujang berdua tu rajin bangun untuk ke masjid pada waktu subuh begini?

Apabila mata tak nampak kelibat Wahyu, mulalah kepala aku terpusing-pusing. Takut lelaki itu tiba-tiba buang tebiat nak melawat kawasan masjid. Tak fasal-fasal rancangan aku untuk melarikan diri gagal pula nanti.

"Hanum."

Terjongket bahu aku dek terlalu terkejut. Aku berpusing ke belakang, "Dinda?"

Dinda tersengih lebar, "Kau tak bagitahu aku pun yang kau ada balik kampung?"

"Kau pun tak bagitahu aku juga!" Aku menepuk bahunya.

"Sampai Ahad ke kau dekat sini?"

Aku menggeleng, "Ni nak balik dah."

Dinda memerhatikan beg yang aku galas di bahu, "Naik apa? Seorang?"

"Naik bas. Aku plan nak ambil Grab ke stesen bas."

"Isy. Tak payahlah susah-susah. Kau naik dengan aku aje. Kebetulan aku dengan adik aku pun nak balik ke KL semula hari ni. Ni nak gerak dah."

Agaknya Dinda pun boleh nampak betapa bersinar-sinarnya mata aku setelah menerima ajakannya, "Betul ni?"

Dinda mengangguk, "Jom."


AKU masih belum boleh lupa betapa kuatnya debaran yang aku rasa apabila aku nampak Wahyu sedang berjalan beriringan dengan ayah keluar dari kawasan masjid. Mujurlah tingkap kereta milik Dinda ni tinted. Kalau tidak, puas aku nak menyorok.

Mujur juga masa tu Dinda dan Irman sedang sibuk berbual-bual. Jadi tak adalah mereka menyedari kewujudan Wahyu dan ayah aku.

Aku berkawan dengan Dinda sejak tingkatan empat lagi. Tapi baru hari ini aku tahu yang Irman tu merupakan adik Dinda. Yalah, macam manalah aku boleh nak agak yang Irman tu adik Dinda. Dulu, masa aku ke rumah Dinda, Irman masih berhingus lagi. Kami berada di tingkatan empat, dia pula masih lagi sembilan tahun.

Setelah menghantar Irman pulang ke rumah sewanya, Dinda memandang aku melalui cermin pandang belakang.

"Kau gaduh dengan Wahyu?" tanya Dinda, terus kepada persoalan utama.

"Taklah," jawab aku lalu berjeda sejenak sebelum menyambung, "Kenapa semua orang ingat aku bergaduh ni? Tu, dengan Wahyu tu? Kuasa sangatalah dia nak bergaduh dengan aku."

"Dah tu fon kau tu sejak ada bateri sampai bateri dah habis asyik vibrate aje. Kau biarkan macam tak ada apa-apa. Aku pula yang rasa terganggu duk pikir gempa bumi dekat Makassar dulu." Dinda melakukan cubaan untuk berseloroh namun aku tidak terkesan walau sedikit pun.

"Tak gaduhlah."

"Ni, kau ada tempat tinggal tak?" tanya Dinda.

"Aku tak gaduh." Sekali lagi aku cuba untuk meyakinkan Dinda.

"Allahuakbar! Ya, ya kau tak gaduh. Ha, nak menang sangat. Aku nak offer rumah aku ni. Kau tak nak ke?"

"Ha! Baru aku teringat. Zahraa mana?"

"Amboi, dalam tempoh enam jam perjalanan tadi, baru ni kau nak bertanya?"

"Aku baru perasan."

"Dia duduk rumah pengasuh. Aku balik nak uruskan ladang sawit arwah abah. Nanti tak ada siapa-siapa pula yang nak mengasuh Zahraa. Sebab itulah juga aku balik awal semacam. Tak kuasa nak tinggal anak lama-lama."

"Rumah kau kosong ke?"

Dinda mengangguk, "Macam itulah. Aku berdua aje dengan Zahraa."

"Tak payah hantar aku balik rumah, Dinda. Aku nak duduk rumah kau."

Dinda mencebik, "Lagi tak nak mengaku yang dia bergaduh."

"Tak gaduh," tegasku.

"Maknanya bolehlah aku bagitahu Wahyu yang kau ada dekat rumah aku?" Dinda tersengih nakal.

"Tak payahlah, Dinda!"

Terkekek-kekek Dinda ketawa melihat wajahku. Sukalah tu mengenakan aku!

"Kau tahu, Hanum. Kalaulah aku boleh pilih untuk hilang anak atau suami, aku pilih untuk hilang anak." Dinda tiba-tiba berbicara dengan nada serius.

Terkesima aku mendengar bicara Dinda.

"Tapi itulah, aku bukannya boleh memilih pun. Sedar-sedar aje suami dah tak ada. Sampai dah bersalin pun aku masih tak tentu arah lagi. Mujur Irman ada, tolong aku serba-serbi. Masa tu baru aku sedar, kalau Allah tak bagi aku anak pun tak apa. Cukuplah seorang suami yang baik buat peneman sampai akhir usia."

Kata-kata Dinda membuatkan aku bisu.

Tapi dalam kes aku, rumah yang aku kongai bersama-sama dengan Wahyu terasa terlalu sunyi untuk aku. Bukankah dengan adanya anak, aku akan jadi lebih bahagia?


TAKDIR bagaikan menyebelahi aku walaupun aku keluar rumah tanpa redha suami. Dah seminggu aku tak nampak batang hidung Wahyu. Kak Zarida pun tak ada untuk bagi laporan kepda Wahyu tentang aku. Mereka bersama-sama dengan Firash, Redha dan Quzandria berada di Bandung selama seminggu.

Telefon aku sampai semalam masih lagi tidak sepi daripada mesej dan panggilan daripada Wahyu. Sekarang ini nisbah mesej yang dia hantar berbanding mesej yang aku hantar ialah 300:0.

Masuk ke pejabat semula pada hari Isnin ini, aku terus menapak ke bilik Wahyu. Surat perletakan jawatan aku letak di atas mejanya.

Aku tersentuh tetikus yang berada di atas meja. Skrin PC tiba-tiba sahaja menyala. Eh? Wahyu ada di pejabat ke semalam?

Mata melekat pada skrin PC berkenaan. Sejak bila lelaki dingin tu jadi sentimental begini? Wallpaper desktop yang dulunya sekadar menggunakan gambar-gambar yang tersedia di dalam komputer, kini sudah berganti dengan gambar kami.

Gambar dia yang sedang melukis yang aku ambil senyap-senyap ketika kami berbulan madu dahulu. Dan di sebelah gambar itu ialah gambar aku yang sedang berbual-bual dengan kanak-kanak di Istanbul. Kanak-kanak yang sedang tertawa dengan jenakaku dan aku yang sedang tersenyum memerhatikan mereka. Bila masa Wahyu ambil gambar ini?

Perhatianku terganggu apabila aku terdengar bunyi pintu bilik ditutup dan dikunci. Aku mengangkat kepala memandang Wahyu. Baru aku perasan, bukan setakat pintu yang bertutup, dinding pun sudah berubah menjadi legap.

"Wahyu nak apa?"

Wahyu diam sahaja tetapi matanya sempat menjeling aku. Gaya macam marah aje. Yalah, aku mana pernah tinggalkan dia lama begini. Kalau kami berpisah pun, dia yang tinggalkan aku.

Wahyu duduk di atas sofa. Lama matanya memandang aku yang sedang berdiri di sisi meja kerjanya. Tanpa berkata apa-apa, Wahyu merebahkan tubuhnya di atas sofa lalu memejamkan matanya.

"Wahyu stay dekat office sepanjang malam? Semalam weekend."

Mata Wahyu terbuka. Tajam renungannya jatuh pada wajah aku. Dia mencapai bantal kecil yang terletak di sofa tunggal lalu bantal itu dibawa menutupi telinganya. Matanya dipejamkan semula.

Entah mengapa, aku terasa seperti hendak ketawa melihat dia yang kegeraman begitu. Ini rupanya perangai Wahyu apabila dia merajuk.

"Hanum letak resignation letter atas meja Wahyu. 24 hours notice."

Sekelip mata sahaja, tubuh Wahyu kembali menegak lantas dia bangkit daripada duduknya. Laju dia menapak mendekati meja kerjanya dan mencapai sampul surat yang aku letak di atas meja. Tanpa melihat isi kandungannya, Wahyu mengoyakkan sampul surat berkenaan. Siap masukkan dalam shredder lagi.

"Awak tahu tak yang saya takkan ceraikan awak!" Wahyu marah. Sangat marah. Dia tak pernah bawa urusan peribadi ke pejabat. Tapi kali ini, dia melanggar prinsip dia sendiri.

Aku pandang Wahyu dengan pandangan yang kosong, "Tahu."

"Habis tu awak nak pergi mana ni?"

"Hanum bagi resignation letter aje. Bukannya Hanum bagi surat yang bagitahu Hanum nak ke mana."

"Exactly!" Wahyu pandang aku dengan muka bengang, "Awak berhenti kerja then saya langsung tak tahu awak dekat mana. Tu yang awak nak buat sebenarnya kan?"

"Tak baik tuduh Hanum macam tu."

"Oh, saya menuduhlah sekarang ni? Yang awak lari dari rumah ibu ayah senyap-senyap, saya call tak jawab, mesej tak reply, Whatsapp tak baca, last seen saya tak boleh tahu, tu semua awak tak buatlah?" Suara Wahyu meninggi.

Tak pernah aku tengok Wahyu marah begini. Di pejabat pun dia tidak pernah marah begini. Agaknya kalau staf di luar terdengar suara dia, mereka pun terkejut kut.

"Dahlah, Hanum bosan bercakap dengan Wahyu. Kalau Hanum bercakap panjang lebar pun nanti, Wahyu bukannya respons apa-apa pun."

Berkerut-kerut kening Wahyu memandang aku. Aku tahu dia tidak faham situasi kami pada ketika ini. Tapi dia seharusnya sedar kenapa aku jadi begini. Dah dua kali aku ulang benda yang sama kepada dia. Dia langsung tak ada usaha nak meyakinkan aku yang dia betul-betul memerlukan aku.

"Wahyu demam kan?"

Air muka Wahyu berubah seratus-peratus. Terkejut agaknya sebab aku boleh tahu yang dia sedang demam. Enam tahun hidup sebumbung dengan Wahyu, aku dah boleh baca apa maknanya bibir dia yang pucat itu.

Aku menarik lengan Wahyu lalu menapak ke arah sofa. Tubuh lelaki itu aku dudukkan di atas sofa.

"Kalau tak nak pergi klinik, tak nak balik rumah, rehat dekat sini." Sambil membebel, tangan bergerak meletakkan bantal di hujung sofa.

"Baring." Tegas aku memberi arahan.

Wahyu mengikut tanpa banyak bicara. Matanya melekat pada wajah aku.

"Wahyu kalau balik dari Indonesia selalu sangat macam ni. Hanum dah kata kan jangan makan makanan restoran biasa. Wahyu bukannya tahan pun." Dah jadi habit untuk aku membebel apabila Wahyu buat perkara yang memudaratkan kesihatan diri sendiri.

"Hanum tak ada dekat rumah tu nak jaga Wahyu. Tapi Hanum tahu yang Wahyu boleh jaga diri sendiri, kan?"

Wahyu menggeleng dan mencapai tangan aku. Dia menarik tubuh aku supaya aku duduk di atas karpet, berhadapan dengan dia. Sejuk sungguh tangan Wahyu.

Wahyu memang jarang-jarang sakit. Tetapi sekali dia jatuh sakit, memang teruk. Sampaikan nak bangun dari katil pun susah. Sebab itulah, Wahyu menggeleng. Aku yang selalu jaga dia apabila dia sakit.

"Rehatlah. Hanum masuk kerja macam biasa sampai Wahyu sihat semula." Baik sangat ke aku ni? Senang betul cair apabila tatap mata kuyu milik Wahyu.

Mata Wahyu bergenang. Mula-mula aku ingatkan aku tersalah pandang. Rupa-rupanya memang mata dia sedang bergenang.

"Wahyu rindu Hanum." Wahyu pejamkan matanya, air matanya mengalir ke pelipis.

"Wahyu sayang Hanum?" soalku. Tangan sebelah kanan yang bebas mulalah mengada-ngada bergerak mengesat air mata pada wajah Wahyu.

Wahyu mengangguk, "Sayang."

Air matanya mengalir lagi, "Banyak sangat."

Haish. Hati aku ni mulalah rasa serba salah apabila dah dengar pengakuan suami sendiri. Bukan setakat sayang, banyak sangat pula tu. Tapi aku rasa dia tak ingat pun apa yang dia cakap ni. Aku bertanya semasa dia tengah tak sihat, tengah mamai. Agaknya dia jawab pun guna minda separa sedar. Memanglah aku tahu bahawa jawapan daripada minda separa sedar adalah jawapan yang tulus. Tapi aku nak dengar jawapan daripada mulut Wahyu dalam keadaan dia sepenuhnya sedar!


DAH tiga bulan berlalu sejak aku berhenti bekerja sebumbung dengan Wahyu. Wahyu tak terima pun surat perletakan jawatan aku. Dia beri aku bercuti tanpa gaji dengan syarat aku membalas Whatsapp dia. Kata Wahyu, walaupun dia tidak boleh tahu di mana aku berada, sekurang-kurangnya dia mahu tahu yang aku masih hidup.

Aku pun tak buat perangai. Kalau Wahyu tanya aku sihat ke tak, aku jawablah. Cuma kadangkala aku pelik juga apabila aku dapat mesej panjang lebar daripada Wahyu, bercerita tentang apa-apa perkara menarik yang berlaku dalam hidupnya. Kalau Wahyu hantar Whatsapp begitu, aku bagi blue tick saja dekat dia. Biar dia rasa macam mana sakitnya bercerita panjang lebar tetapi akhirnya 'dipalau'.

Aku pandang Zahraa yang sedang sibuk menyanyi lagu ABC sambil mewarna. Disebabkan aku tak bekerja, Dinda pun jarang-jarang menghantar Zahraa ke rumah pengasuhnya. Aku tidak keberatan untuk menjaga Zahraa kerana kanak-kanak berusia 5 tahun itu tak susah untuk diurus. Lagipun bukannya 24 jam aku kena jaga dia. Pagi-pagi dia ke tadika. Bila dah tengahari barulah bermula rutin aku melayan kerenah dia.

Walaupun dah masuk 5 tahun, Zahraa masih suka melayan rancangan Didi and Friends di TV. Aku yang dah dua bulan duduk di rumah ini pun dah boleh hafal lagu tu.

Terperasankan lagu kegemaran Zahraa yang muncul di kaca TV, serta merta aku menggamit perhatiannya, "Ara, Ara! Tu lagu semut berkawad."

Zahraa bangkit daripada duduknya. Dia tersenyum lebar lalu ikut menyanyi dan menari seperti Didi dan kawan-kawannya di televisyen.

"Bum, bum, bum, bum, bum, bum, bum, bum, bum!" Lagu tersebut habis dan Zahraa menepuk tangannya. Bukan setakat Zahraa, aku pun menyanyi sama bila dah sampai hujung lagu tu.

"Aunty, Ara laparlah."

"Aik? Bukan tadi baru makan?" soalku.

Zahraa tersengih, "Nak snack, aunty, please?"

Aku tersenyum, "Apple boleh?"

Laju Zahra mengangguk.

"Kejap, aunty potongkan." Aku bangkit daripada dudukku.

Baru sahaja setapak melangkah, aku dapat rasakan perutku memulas. Nak kata lapar, baru aje makan tengahari sejam yang lepas. Nak kata sakit perut, tak pula aku rasa nak buang air besar.

Aku tunduk merenung perut sendiri. Setiap kali aku rasa begini, puas aku kena perah otak nak fikir apa sebabnya perut aku memulas. Kadang-kadang tu aku terfikir yang mungkin aku alah dengan lagu Didi and Friends. Setiap kali dengar saja suara Didi, perut aku mulalah buat hal.

Tapi itulah, setiap kali aku dengar lagu Didi, aku dah selesai makan tengahari. Nak salahkan Didi? Salahkan makanan yang aku makan masa makan tengahari tadi dulu!

Tengahari tadi semangkuk kubis aku habiskan! Mananya perut tak memulas?


NAMPAK Wahyu tengah online, laju aku menaip mesej di ruang Whatsapp.

+Wahyu...

Hantar.

Tak sampai sesaat, tanda tick berubah biru.

-Ya. Kenapa? Hanum okey tak?

Banyak betul soalannya.

+Hanum okey cuma Hanum nak bagitahu ni,

Aku tekan butang hantar.

-Bagitahu apa?

+Esok Hanum ada appointment dekat Glenangles. Pukul 10 pagi.

-Hanum sakit ke?

Aku menggigit bibir. Aduhai, susahnya soalan Wahyu!

+Tak. Not that I know of.

-Kenapa nak ke hospital? Mesti ada something happen sampaikan awak buat appoinment.

Tak sempat aku nak menaip jawapan aku, nada dering telefon berbunyi. Panggilan daripada Wahyu yang masuk. Tidak menunggu lama, aku menjawab panggilannya.

"Betul ni tak sakit?" Tanpa mukadimah, Wahyu terus bertanya.

"Setahu Hanum, Hanum memang tak sakit. Tapi Hanum risau kalau Hanum ada penyakit yang Hanum tak tahu."

"Ada apa-apa simptom ke?"

"Hanum sebenarnya buat appoinment dengan OB/GYN. Dah empat kali berturut-turut Hanum tak period. Tu yang Hanum risau. Manalah tahu Hanum ada apa-apa penyakit berbahaya ke. Kut-kut jadi macam ibu dulu ada ketumbuhan kat rahim."

"Nauzubillahiminzaalik. Jangan cakap macam tu. Tak elok overthinking. Bukannya kita dapat apa-apa pun. Buat susah hati aje," Wahyu berjeda seketika, "Esok saya ikut eh jumpa doktor?"

Tersengih-sengih aku mendengar ayat terakhir Wahyu itu. Aku bukannya sengaja bagitahu dia yang aku ada temu janji dengan doktor. Aku bagitahu dengan niat supaya dia menemani aku. Nampaknya Wahyu memang betul-betul dah berubah apabila dia sendiri yang menawarkan dirinya terlebih dahulu untuk menemani aku. Tak perlu aku susah-susah merayu.

"Okey. Hanum tunggu dekat hospital."

"Wahyu tengah buat apa tu?" Sebelum mematikan talian, sempat lagi aku mengambil tahu perihal Wahyu. Tiga bulan aku tinggalkan Wahyu, gila tak rindu? Masa sebulan yang pertama pun aku asyik terperap sahaja di dalam bilik, ambil masa untuk biasakan diri hidup berjauhan dengan Wahyu.

"Baru lepas swimming."

"Malam-malam ni berenang?"

"Duduk dalam rumah rasa sunyi. Tu yang duduk luar tu. Ada juga kucing jadi peneman."

"Kucing? Kucing siapa?" Aku tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut apabila mendengar kata-kata Wahyu.

"Saya ambil dari rumah de. Ada dua ekor ni. Awak kan suka kucing."

Makin lebar senyuman pada bibirku, "Ya ke ada kucing? Kan dulu awak tak bagi saya bela?"

"Betullah. Takkan saya nak tipu pulak. Dengar ni eh."

Sayup-sayup aku mendengar suara Wahyu memanggil kucing, "Meow, kitty-kitty, sini dekat papa. Mama nak dengar suara korang."

Tawa aku meletus mendengar cara Wahyu memanggil kucing, "Wahyu panggil kucing ke manusia tu?"

"Saya tak bagi nama lagi. Saya tunggu awak balik nak bagi nama dekat diaorang. Selagi awak tak balik, selagi itulah saya tak tahu nak panggil diaorang apa." Bicara Wahyu disulami dengan ngiauan anak-anak kucing.

"Hanum rindu jugak rumah tu."

"Wahyu Hanum tak rindu?" Eh, suami aku ni. Sejak bila pandai mengusik?

"Eee. Penatlah rindu Wahyu. Bukannya dapat apa-apa pun."

"Tapi saya rindu isteri saya."

Auch! Cair rasanya hati mendengar suara lembut suami sendiri.

Ada juga yang tak lena tidur malam ni.

6 comments:

  1. my dear wahyu....please...sikit lg nak cair dah hati hanum tue...

    ReplyDelete
  2. Usaha lebih sikit Wahyu....

    ReplyDelete
  3. Bila nk update cerita wahyu nie,,dh lma awk tak smbung..mohon habiskan dlm blog ya...

    ReplyDelete
  4. Hai writer... Dah 2020.... Saya masih setia menanti sambungan cerita ni.... Harap writer dalam keadaan baik dan diberi ilham untuk sambung cerita ni... Amin...

    ReplyDelete
  5. Dear writer,semoga boleh sambung cerita ni sampai habis. Thanks ;)

    ReplyDelete