Total Pageviews

FIRST BABY

Saturday 16 February 2019

Cerpen- My dear, Wahyu! (Part 3)


TURUN sahaja dari bas, namaku diseru dengan agak kuat. 

"Cik Syazana!"

Terkesima aku memandang wajah yang cukup aku kenal itu.

"Irman!" Aku tersenyum lebar melihat dia yang sedang menapak menghampiriku.

"Cik buat apa dekat sini?" tanya Irman.

"Kampung saya dekat sini."

"Laaa, ya ke? Kat mana tu?"

"Kampung Raja."

"Jiran sekampung ke kita ni?"

"Awak pun dari kampung yang sama?"

Irman tersenyum dan mengangguk, "Jomlah, saya hantar ke sana. Alang-alang saya nak balik ni."

"Awak ke sini naik apa?"

"Tu." Irman mengunjuk ke arah sebuah Toyota Hilux berwarna putih yang terparkir di hadapan stesen bas.

"Ah, tu pun kalau Cik Syazana tak kisahlah nak naik Hilux tu," ujar Irman dengan sengihan.

Aku tertawa, "Saya bukannya anak raja sampai tak boleh naik Hilux."

"Jom," ajak Irman.

"Kita singgah Giant dulu boleh tak? Saya nak beli barang sikit."

"Tak ada masalah. Boleh aje."
 

"CIK Syazana dah kahwin?" Soalan Irman membuatkan aku tersentak. Aku menoleh memandang dia yang sedang khusyuk memandu.

"Kenapa awak tanya?"

Irman mengerling wajahku lalu tersenyum, "Sajalah saya nak tahu. Kalau dah kahwin, tak bolehlah saya nak berkawan dengan Cik Syazana."

Aku merenung wajah Irman untuk membaca air muka lelaki itu, "Dah."

Ada senyuman kecil yang terbit pada bibir Irman, "Dengan Encik Wahyu?"

"Ya. Dah enam tahun pun." Aku tunduk merenung jari-jemari yang kosong. Cincin itu ada, tetapi disebabkan aku tidak mempunyai rasa bangga menjadi isteri Wahyu, cincin itu aku sorokkan di sebalik tudung. Cincin itu aku jadikan sebagai loket untuk rantai leher aku.

"Patutlah."

"Hmmm?" Aku binging memikirkan perkataan yang keluar dari mulut Irman itu.

"Tak ada apa-apalah."

Ruang perbualan antara kami kembali senyap.

"Tak salah pun nak berkawan dengan saya. Tak ada pula saya baca kalau dah jadi isteri, tak boleh nak berkawan dengan orang lain." Aku cuba menghapuskan kejanggalan yang tiba-tiba sahaja muncul.

"Kalau berkawan dalam konteks biasa tu memang boleh. Tapi berkawan yang saya maksudkan ni lain, Cik Syazana."

"Oh," aku menunduk merenung tangan di atas riba, "Maaf. Rasanya awak salah faham sebab semua orang panggil saya cik di pejabat tu."

"It's okay."

Entah mengapa semakin menebal perasaan janggal dalam hati ini setelah aku mendapat tahu tentang keinginan Irman untuk 'berkawan' dengan aku.

"Sekurang-kurangnya saya boleh rasa lega." Irman bersuara secara tiba-tiba.

"Kenapa?"

"Cik Syazana berada dalam jagaan lelaki baik macam Encik Wahyu. Masa di wad tempoh hari, saya boleh nampak betapa sayangnya dia pada cik."

Terkejut aku mendengar kenyataan Irman. Setahu aku hanya Firash, Redza, Kak Zarida dan Quzandria sahaja yang menghantar aku ke hospital dua hari yang lepas.

"Awak ada ke masa tu?" soalku.

Irman mengangguk.

Aku jadi tertanya-tanya, jika Irman ada, kenapa dia tidak berada bersama-sama dengan orang lain di dalam wad? Ke mana dia pergi?

"Saya rasa tak ada keperluan untuk saya masuk ke dalam wad. Ada keluarga Cik Syazana yang lebih layak berada dalam wad tu." Tanpa perlu aku bertanya, Irman menjawab soalan aku.

"Sebelum awak tanya saya status perkahwinan saya, awak sebenarnya dah tahu yang saya dah kahwin?"

"Ya."

"Macam mana awak tahu?"

"Dari Encik Wahyu. Masa saya nak daftar wad untuk Cik Syazana, dia insist untuk buat. Dia kata Cik Syazana keluarga dia. Mula-mula saya tak peduli pun bila dia kata macam tu, saya gesa jururawat untuk proceed pendaftaran. Tapi tiba-tiba, dia kata Cik Syazana isteri dia. Siap keluarkan kad nikah untuk tunjuk dekat saya. At that moment, bukan setakat saya, jururawat pun kena dengar cakap dia."

Cerita Irman membuatkan aku terdiam. Patutlah... Patutlah lain benar sikap Wahyu di dalam wad hari tu. Wahyu memang gagal dalam bab menunjukkan perasannya. Tetapi ada satu perkara yang Wahyu gagal untuk sembunyikan. Cemburu. Wahyu memang tidak pernah berselindung jika dia cemburu.

"Maaf kalau apa yang Wahyu buat haritu buatkan awak rasa janggal."

Irman menggeleng, "Kalau saya jadi suami, saya pun tak suka kalau ada lelaki lain yang sibuk perihal kebajikan isteri saya. Saya faham situasi Encik Wahyu. Sebagai suami, memang sepatutnya dia melindungi isteri dia. Baik ketika isteri dia ada berdekatan dengan dia atau tidak."

Melindungi isterinya baik ketika isterinya ada berdekatan atau tidak.

Ya, Wahyu memang suami yang baik.


Saya nak datang, boleh?

AKU perhati ruang Whatsapp yang sejak dulu hanya diisi oleh mesej daripada aku. Dia? Hanya tahu seen sahaja. Balasnya tidak. Kadangkala aku minta dia beli barang, dia tak balas pun mesej aku. Tahu-tahu sahaja barang dah sampai di rumah.

Nisbah mesej daripada dia dengan mesej daripada aku ialah 1:100.

Hari ini, aku nak letak diri aku di tempat Wahyu. Sekali-sekala apa salahnya aku bagi dia blue tick. Biar dia rasa apa yang aku rasa selama ni.

Telefon aku sumbat semula ke dalam poket seluar lalu aku duduk mencangkung dan menyambung semula kerja yang tergendala. Sejak Azril, adik bongsu aku sambung belajar, dah tak ada sesiapa nak buat kerja mencabut rumput begini. Ibu dengan ayah bukannya larat untuk buat kerja yang memerlukan mereka menggunakan lutut.

"Kak long."

Aku menoleh apabila terdengar suara ibu memanggil namaku. Ibu sudah duduk di atas pangkin dengan dulang yang menampung sebuah jag berisi air teh O panas dan tiga buah cawan.

"Sini, duduk dekat ibu."

"Tak siap lagi ni, ibu."

"Tinggallah. Ibu tak sempat lagi nak borak dengan anak ibu ni. Sampai-sampai tadi kak long terus masuk bilik. Lepas tu bila dah keluar, sibuk pula dengan pokok-pokok dekat belakang tu."

Aku bangkit. Rasa serba salah juga sebab aku masih belum berborak panjang dengan ibu dan ayah sejak aku sampai tengah hari tadi.

Elok sahaja aku melabuh duduk berhadapan dengan ibu, ibu menghulurkan sebuah cawan berisi teh O kepadaku. Aku menyambut huluran itu tanpa banyak bunyi. Teh O panas kuhirup perlahan-lahan.

"Makanlah. Ibu beli ni khas untuk kamu tau? Malam semalam Wahyu bagitahu ibu yang kamu nak balik, pagi ni ibu terus pergi ke pasar."

Aku mencebik, "Patutlah ibu ayah macam tak terkejut tengok Hanum sampai tengah hari tadi. Dah ada orang yang lapor."

"Kak long bergaduh apa dengan menantu kesayangan ibu tu?"

Mata aku jatuh pada wajah ibu, "Mana ada gaduh."

"Yalah tu. Semalam bukan main bersungguh lagi Wahyu minta maaf dekat ayah kamu. Katanya dia buat kamu marah sampaikan kamu nak balik ke rumah ibu ayah."

"Hanum balik sekejap aje pun. Gaya dia cakap tu macam nak pulangkan Hanum dekat ibu ayah semula aje." Hati rasa terbakar tiba-tiba apabila wajah Wahyu muncul dalam kotak fikiran.

"Hish, tak adanya. Dia tu..."

"Ha, eloklah kalau dia nak pulangkan Hanum dekat ibu ayah semula. Dia bukannya sayang Hanum pun. Hanum ada ke tak ada ke dalam hidup dia, dia boleh aje hidup macam orang normal." Ibu tidak sempat menamatkan bebelannya apabila aku memotong bicara ibu. Geram sangat rasanya apabila mengenangkan suami aku tu!

"Apa benda salahnya Wahyu tu yang kamu marah sangat ni?"

"Kalau ikutkan hati ni ibu, Hanum nak pergi jauh dari sini, tak nak bagitahu dia. Tapi itulah, Hanum ni baik sangat. Nak pergi pun Hanum bagitahu dia dulu. Tu yang asyik kena niaya aje."

"Cuba bagitahu ibu, apa salah dia? Mana tahu ibu boleh tolong."

Aku capai keropok lekor di dalam pinggan. Dari kepingan pertama sampailah kepingan ke sepuluh, ibu sekadar diam memerhati aku makan.

Apabila aku capai kepingan yang kesebelas, ibu membuka mulut, "Kamu mengandung ke?"

Melingas mata aku mencari wajah ibu. Tercalar teruk rasanya hati ini mendengar soalan sebegitu daripada ibu sendiri. Masa tiga tahun pertama aku berkahwin dengan Wahyu, memanglah ibu selalu bertanya sama ada aku sudah hamil atau belum. Tetapi setelah kejadian aku merajuk dengan soalan ibu pada tahun keempat perkahwinan aku, ibu terus tak tanya dah tentang kehamilan. Adalah lima bulan aku tak balik ke rumah ibu masa aku merajuk tu.

"Ibu ni!" Aku terus bangkit daripada dudukku. Walaupun terasa hati, aku tetap capai dua keping lagi keropok lekor di atas pinggan lalu menonong aku menapak mendekati rumah.

"Aisy, ibu tanya aje!" Dapat aku dengar suara ibu melaung.

Sewaktu hendak masuk ke dalam rumah, aku terserempak dengan ayah yang baru sahaja keluar.

"Nak ke mana tu?" tanya ayah.

Aku mencebik, "Hanum merajuk dengan ibu."

"Ibu buat apa?"

Aku menggeleng lalu terus sahaja aku masuk ke dalam rumah. Kalau dijawab soalan ayah tadi, pastilah aku yang terluka sendiri. Tak fasal-fasal air mata aku meleleh di hadapan pintu nanti.


TAK ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba sahaja adik-adik aku yang lagi lima orang tu muncul. Azril yang sedang berada di universiti pun boleh pulang. Kebetulan dia sedang bercuti pertengahan semester.

Riuh rumah ibu ayah dengan suara anak-anak saudara aku. Nasuha, adik perempuan di bawah aku yang berumur 29 tahun tu dah ada 3 orang anak. Zarif, adik lelaki aku di bawah Nasuha yang sekarang ini berumur 27 tahun dah ada seorang anak. Hadia, pada umur 26 tahun, dia dah ada 2 orang anak. Sekali bersalin keluar sepasang. Rezeki Hadia dapat anak kembar. Karim dan Azril masih bujang. Karim baru sahaja mula bekerja. Calonnya sudah ada. Aku berani jamin yang Karim boleh dapat anak lagi cepat berbanding aku.

"Abang long mana?" Karim menyoal sebaik sahaja aku keluar dari bilik. Memang aku masih belum keluar dari bilik sejak petang tadi. Merajuk dengan ibu punya pasal, aku terperap di dalam bilik. Nak menolong di dapur pun tak guna sebab 2 orang adik perempuan aku dan adik ipar aku yang seorang itu sudah pastilah dah memenuhkan dapur.

"Amboi, nampak muka kak long, kau cari abang long kau dulu eh? Aku ni, kau salam pun tak lagi."

"Orang salam masa baru sampai tadi. Ni dah lepas maghrib pun, nak salam apanya? Kak long pun satu. Semua orang solat berjemaah, kak long buat apa dalam bilik tu? Hibernasi? Macamlah rumah ni rumah batu sampaikan tak boleh dengar apa yang orang lain tengah buat." Panjang lebar Karim membebel.

Aku menapak untuk menyertai golongan lelaki yang berkumpul di ruang tamu. Sibuk menjaga anak masing-masing. Yang si bujang dua orang tu, sibuk juga tolong menjaga anak saudara mereka.

"Mak long!" Aku pandang Dylan, anak saudara aku yang umurnya sudah 7 tahun. Nasuha memang kahwin awal. Apa tidaknya, bercinta sejak zaman sekolah lagi. Manalah ayah aku boleh sabar. Dikahwinkan Nasuha pada usia 21 tahun. Tengah belajar lagi masa tu.

Dylan menghampiri aku dan bersalaman dengan aku. Usai, dia duduk di atas ribaanku. Dylan juga yang paling manja dengan aku. Sebab semasa dia lahir, aku masih tak ada perasaan iri hati melihat adik-adik aku dah ada anak masing-masing.

"Eee. Dah besar dah anak saudara mak long ni. Masih lagi nak sotek dengan mak long." Aku mencium pipinya bertalu-talu, geram. Terkekek-kekek Dylan ketawa menahan geli.

"Pak long tak balik kampung ke?" tanya Dylan.

"Dylan sayang mak long ke pak long ni?" Sebal pula rasanya apabila ramai yang mencari Wahyu. Agaknya kalau Wahyu pulang ke kampung tanpa aku, mereka takkan tercari-cari aku sampai macam ni kut.

"Dylan sayang dua-dua. Tapi kan Dylan sayang pak long banyak sikit."

"Abang long selalu datang rumah. Tu yang dia cari tu." Adik iparku menyampuk.

"Eh, abang long selalu datang rumah abang ngah ke?" Zarif menjongket kening, terkejut barangkali. Aku pun terkejut juga mendengar kenyataan Faris itu. Tak tahu pula aku yang Wahyu selalu ke rumah mereka.

Faris mengangguk, "Dua bulan sekali. Kadang-kadang tu bawa budak-budak ni keluar."

"Rumah de pun abang long selalu datang. Selalu bawa Rayqal keluar."

"Rumah saya pun abang long datang jugak. Dah macam-macam barang dah ada kat rumah tu yang pak long diaorang bawa untuk si kembar ni." Jaris membuka mulutnya.

Fuh, aku rasa macam kena tampar saja setelah mendengar kenyataan mereka. Aku tahulah kami tinggal di negeri yang sama. Tapi aku ni tidaklah rajin mana nak menziarahi adik-adik aku.

"Sejak bila Wahyu buat macam ni?" soalku.

"Sejak bila apanya, kak long? Sejak dia kahwin dengan kak long la. Kak long tak tahu ke abang long tu belanja top up Azril RM10 sebulan?" Azril tiba-tiba menyampuk.

"Karim pun. Sampai Karim habis belajar abang long bagi top up RM10 tiap-tiap bulan. Tu yang Karim tak pernah minta dari kak long tu."

Fuh! Boleh mental rasanya mendengar cerita mereka.

"Assalamualaikum!"

Zap! Darah terasa naik sampai ke kepala.

Aku menoleh ke arah pintu rumah. Nampak Wahyu yang sedang berdiri di muka pintu.

"Pak long!" Cepat sahaja Dylan bangkit dari ribaanku dan menapak laju mendapatkan bapa saudaranya.

Bukan setakat Dylan, aku pun bangkit secepat yang mungkin. Segera aku berlari ke bilik aku, masuk dan kunci pintu dari dalam. Fuh! Selamat!

Sepuluh minit berlalu, tak ada pula aku dengar apa-apa cubaan untuk masuk ke dalam bilik atau memujuk aku keluar. Ruang tamu pula sudah sunyi sepi. Barangkali semua orang sedang makan malam.

Tak ajak aku.

Dah jumpa Wahyu, memanglah semua orang lupakan aku. Agaknya Wahyu kut anak kandung dalam keluarga ini. Bukannya aku.

Aku merebahkan tubuh di atas katil lalu mata aku pejamkan. Air mata ni mulalah mengada-ngada turun ke pelipis.

Walaupun aku tak balas mesej yang Wahyu hantar di Whatsapp, Wahyu tetap juga pulang ke sini. Aku bagi ke tak bagi ke, dia tetap juga akan sampai di sini.

"Kak long, abang long tidur dengan kitaorang malam ni." Dalam mamai aku, aku dapat mendengar sayup-sayup suara Azril berkata begitu.


PUKUL 4 pagi, aku terjaga dari lena. Entah bila aku terlelap, aku tidak pasti. Tersedar yang aku masih belum menunaikan solat isyak, perlahan-lahan aku bergerak membuka pintu bilik. Mujurlah pintu bilik aku tidak berbunyi.

Aku perhati ruang tamu yang penuh dengan manusia-manusia yang sedang tidur. Keluarga Nasuha, keluarga Zarif dan keluarga Hadia sedang tidur secara berjemaah. Kaum ibu tidur di suatu kawasan bersama-sama anak-anak mereka manakala kaum ayah tidur di suatu kawasan yang lain.

Hanya aku dan adik-adik bujang aku saja yang ada bilik.

Segera aku bergerak ke tandas untuk mengambil wuduk.

Keluar sahaja dari tandas, aku terserempak dengan Wahyu. Ah, aku terlupa. Masa-masa begini kan dia akan bangun untuk solat tahajud.

Aku berjalan melintasi Wahyu tanpa sebarang niat hendak menegur. Dari ekor mata, aku nampak tangan Wahyu bergerak hendak mencapai lenganku lalu laju sahaja aku melarikan tanganku dan mulutku menggumam dengan tegas, "Jangan sentuh saya."

Terhenti terus pergerakan tangan Wahyu. Wajahnya cukup ketat. Dia merenung mata aku dengan pandangan yang kosong namun jelas dia sedang tertanya-tanya. 

"Saya ada wuduk."

Lega. Itu yang dapat aku baca pada air muka Wahyu apabila aku memberitahu dia bahawa aku sedang berada dalam keadaan berwuduk.

Aku menapak laju menuju ke bilik. Sekali lagi, bilik itu aku kunci. Aku masih belum bersedia untuk menerima kehadiran Wahyu.