Total Pageviews

FIRST BABY

Sunday 19 June 2016

Cerpen- AIDID (Part 4) -FINALE-

Assalamualaikum semua, :). Okey, rasanya tak elok buat orang tunggu lama2 untuk satu cerpen saja kan? So I decided to post this today. Part 4, FINALE. Terima kasih untuk korang yang gigih baca dari Part 1 sampai Part 3, :). Bila saya check balik, saya tulis cerita ni pada 31 Disember 2013, >_<. Dah lama kan? Heee, :). Apa2 pun, selamat membaca. Terima kasih, :).




            “APA yang kau nak?” soalku sebaik sahaja bersua muka dengan Cempaka. Gadis itu berpaling memandangku. Dia tersenyum.

            “Hei, Aidilla. Tadi aku tak sempat nak tanya khabar kau. Kau sihat? Kau datang sorang aje, kan?” ujarnya.

            “Kau nak apa?” Soalan tadi kuulang semula lantas aku melangkah ke dalam sungai. Soalannya sepi tanpa sebarang jawapan daripadaku. Aku tidak tahu apa keinginan Cempaka untuk bersua denganku. Aku tidak tahu juga bagaimana dia boleh tahu lokasi sungai ini. Sungai yang menjadi tempat lepak aku dan kawan-kawanku dahulu.

            “Kau tanya aku apa yang aku nak?” soal Cempaka. Kedengaran sarkastik pada pendengaranku. Aku mengangguk lalu melabuhkan duduk di atas salah satu batu besar yang terdapat di dalam sungai itu. Pakaian yang sudah basah hingga ke paras pinggang tidak aku hiraukan. Sesekali aku memerhatikan kedalaman air sungai di belakangku.

            “Aku nak Mujaddid! Aku nak dia bertanggungjawab atas anak ni,” tempelak Cempaka. Aku memandangnya sebelum mengukir senyum sinis.

            “Kenapa minta dekat aku? Kau pergilah masuk meminang dia. Aku bukannya mak dia pun, nak halang dia kahwin,” balasku.

            “Oh, ya! Aku lupa... Kalau kau nak masuk meminang dia pun, sebelum kau sampai rumah dia lagi dia dah suruh kau jangan datang. Yalah, mana ada orang yang senang-senang nak jadi kambing hitam. Kau suruh ajelah James tu bertanggungjawab. Anak dia jugak, kan?” tokokku lagi. Terasa sia-sia pula usahaku menyelinap keluar dari rumah tanpa disedari Mujaddid.

            “Hoi! Kau jangan nak menghina aku pula! Kau tu menumpang aje dekat kampung ni. Tak sedar diri!” herdik Cempaka. Dia mula melangkah ke dalam sungai. Dapat aku lihat kakinya sudah ditenggelami air sehingga ke paras lutut.

            “Cempaka, sekarang ni siapa yang tak sedar diri? Cuba kau semak balik. Kau yang mengandung anak James dan minta Mujaddid bertanggungjawab atau aku yang menyuruh kau minta James, orang yang tepat bertanggungjawab?” soalku. Tanpa kusangka, Cempaka meluru pantas ke arahku lantas menolak tubuhku jatuh ke belakang. Aku cuba untuk memijak lantai sungai itu namun usahaku tidak tercapai dek kedalaman sungai itu. Dayaku tidak terlawan dek arus sungai itu. Sempat kutangkap gelak tawa Cempaka ketika aku mencuri nafas.

            “Aku kena musnahkan kau untuk Mujaddid, Aidilla,” katanya. Dapat kurasakan tolakan pada kepalaku yang menyebabkan aku tidak mampu mencuri nafas lagi. Dan gemersik arus sungai yang menderu laju hilang daripada pendengaranku. Pandanganku gelap tanpa sebarang cahaya lagi.


            AKU memuntahkan semua air yang aku kira menyekat pernafasanku. Pandanganku masih berbalam-balam. Kemudian kupejamkan kembali mataku yang terbuka seketika tadi. Tubuhku yang dingin terasa hangat dalam satu pelukan yang sangat erat. Pelukan yang menyalurkan kekuatan untuk aku terus hidup. Buat kedua kali, pandanganku gelap kembali.


            AIR hangat yang membasahi wajahku menyebabkan aku tersedar. Pandanganku masih kabur, masih berbalam-balam. Wajah pertama yang menyapa pandangan kaburku, ialah wajah Mujaddid. Aku yakin itu Mujaddid. Sekali lagi, tubuhku ditarik ke dalam pelukan yang kejap. Pelukan yang sama seperti tadi.

            “Adid...” Suara pak ngah menyapa gegendang telingaku. Serentak dengan itu, tubuhku terlerai daripada pelukan tadi.

            “Ila...” Suara mak ngah pula yang menyapa pendengaranku. Terasa jari-jemari hangatnya menyentuh kulit wajahku yang dingin. Pandanganku perlahan-lahan berubah jelas.

            “Umi...” Hanya nama itu yang aku ingin seru pada ketika ini. Berharap umi akan ada di sisiku seperti selalu. Ketika aku tidak berdaya untuk bangun lagi.

            “Umi...” Sekali lagi, nama itu kuseru.

            “Umi tahu, sayang. Nanti dia sampai.” Mak ngah cuba menenangkan aku. Terasa rambutku diusapnya.

            “Adid, bawa dia ke katil.” Pak ngah memberi arahan. Terasa tubuhku dicempung dan dibaringkan di atas tilam.

            Aidilla! Why are you so stupid?! You know what? You could drive me into crazy!” Kali ini suara Mujaddid pula menyapa pendengaranku.

            “Awak suka buat kerja gila! Awak suka menyusahkan saya! Awak suka seksa saya! Awak tahu tak, Aidilla... Nyawa saya akan putus kalau awak tiada. Awak tahu tak?! Awak faham tak apa yang saya rasa, Aidilla? Awak faham tak macam mana rasanya kalau kita nampak orang yang kita sayang hampir kehilangan nyawanya? Awak faham tak saya sayang awak? Awak faham tak, awaklah orang yang saya sayang?” Kemudian, soalan-soalan itu bertubi-tubi singgah pada pendengaranku. Kali ini, aku tidak mahu percaya bahawa kata-katanya ialah suatu jenaka. Kesungguhan dalam matanya, ketulusan dalam bicaranya... Ya, aku nampak.

            “Adid, bagi Ila berehat,” tegur pak ngah.

            “Ayah ngah, ayah ngah faham tak apa yang Adid rasa sekarang? Ayah ngah faham tak? Adid tak boleh. Adid tak boleh...” Dia bersandar pada birai katil itu. Lantas dapat kulihat butir-butir mutiara yang gugur daripada tubir matanya. Sekilas pandangannya menyapa pandanganku kemudian dia tertunduk.

            “Adid tak mampu hidup tanpa dia...” Perlahan saja suara itu sampai ke gegendang telingaku. Lantas dia mengangkat pandangannya. Wajahnya diraup bagi menghapuskan air mata yang membasahi pipinya.

            “Assalamualaikum.” Ucapan salam itu membawa pak ngah keluar dari bilikku. Sejurus itu, dia kembali bersama-sama ahli keluargaku. Ingin sahaja aku mengangkat tubuhku dan mendapatkan umi yang sedang berhenti di muka pintu.

            “Cepat Ainun sampai?” soal mak ngah. Umi tersenyum tawar.

            “Kebetulan ada kenduri dekat-dekat sini. Memang tadi dah bercadang lepas habis kenduri tu nak singgah sini. Tak sangka pula Aid boleh jadi macam ni,” jelas umi. Dapat kulihat air matanya mengalir.

            “Umi...” Namanya kuseru lagi. Umi mula menghampiriku. Ingin sekali kucapai tangannya yang menyentuh wajahku. Namun entah kenapa, aku tidak mampu mengangkat tanganku walau sedikit pun.

            “Macam mana boleh jadi macam ni, Adid? Kau tak jaga dia?” soal abang. Papa turut menala pandangannya ke arah Mujaddid.

            “Apa yang aku boleh buat kalau dia keluar senyap-senyap? Dia pergi tempat yang aku sendiri tak tahu nak cari dekat mana. Nasib dia baik sebab ada yang nampak dia. Dia dah jauh masa tu. Aku hampir hilang dia. Kita hampir hilang dia,” jelas Mujaddid.

            “Aid minta maaf. Aid memang tak bagitahu Mujaddid. Aid keluar sendiri. Aid tak tahu pun benda ni nak jadi. Aid tak sangka Cempaka sanggup buat cubaan untuk bunuh Aid,” tuturku. Umi masih mengusap-usap kepalaku.

            Uncle, Rul, saya ada satu permintaan.” Suara Mujaddid memecahkan sepi yang mengisi ruang kamar itu tadi.

            “Apa, Adid?” soal papa. Mataku turut terarah kepada Mujaddid yang kini sudah berdiri berhadapan dengan abang dan papa.

            “Saya nak jaga Aidilla...” tuturnya.

            “Selama-lamanya,” sambungnya lagi. Pada waktu itu, dapat kukesan perubahan riak pada wajah papa dan abang. Pak ngah, mak ngah, dan umi turut menala pandang ke arah Mujaddid. Begitu juga aku.

            “Maksud kau?” soal abang. Keningnya terangkat sedikit. Mujaddid kemudian mengangguk-angguk.

            “Saya nak bertanggungjawab atas dirinya. Saya nak ambil alih tanggungjawab uncle. Saya nak jaga dia, lindungi dia, dan sayangi dia dalam perhubungan yang halal. Bukan dengan cara begini. Saya nak memperisterikan dia dan saya ingin menjadi suaminya,” tutur Mujaddid. Buat seketika, aku terkedu. Fikiranku bagaikan tidak mampu mencerna kata-katanya. Aku yakin bahawa Mujaddid tidak bergurau kali ini. Dia tidak pernah bergurau lagi sejak aku sedar tadi. Senyumnya juga tidak pernah singgah pada pandanganku sejak aku sedar tadi.

            “Kamu yakin, Mujaddid?” soal papa. Matanya menikam mata Mujaddid.

            “Saya yakin, uncle. Ini istikharah saya. Dia Aidilla saya, dan saya Mujaddidnya. Dia perlukan saya dan saya perlukan dia untuk melengkapkan Aidid,” jawab Mujaddid lagi. Aidid? Dia tahukah? Sungguhkah dia tahu?

            Bro, istikharah? Since when?” soal abang, tiba-tiba. Senyum tawar terbit pada dua ulas bibir Mujaddid sebelum mengangguk.

            Three weeks ago. Each night,” jawab Mujaddid. Abang menepuk-nepuk bahu Mujaddid. Pandangannya lurus tertala pada wajahku. Senyumnya terbit pada bibir.

            “Sukalah, kan?” Soalan abang menyentakkan aku. Bulat mataku memandangnya. Entah dari mana datangnya kekuatan untuk aku bangun daripada pembaringanku. Patung beruang di sisi kucapai sebelum kubaling mengenai abang. Dia ketawa. Sungguh aku rindu akan tawa itu. Sejurus itu, tubuhku tersandar pada kepala katil. Selimut yang masih berlipat di sisi katil turut kucapai lalu kututup kepalaku yang terdedah. Entah ke mana hilangnya tudungku. Dibawa arus sungai barangkali.

            Uncle setuju. Jadi bila nak masuk meminang? Tahun depan bolehlah nikah.” Kata-kata papa menyentakkan aku sekali lagi.

            “Tak boleh!” Pantas aku memotong. Semua mata terhala ke arahku.

            “Apa yang tak boleh?” soal papa.

            “Tak bolehlah! Aid tak kata pun Aid nak Mujaddid jadi suami Aid,” bantahku.

            “Papa kan ayah Aid, kalau Aid tak setuju pun papa boleh nikahkan Aid dengan Adid,” kata papa.

            “Tak boleh! Ni negara bebas. Mana boleh paksa!” bantahku lagi.

            “Aidilla, betul awak tak nak?” soal Mujaddid. Aku memandangnya.

            “Bila pulak saya kata tak nak?” soalku semula. Jelas kerutan pada dahinya.

            “Habis tu Aid nak?” soal abang pula.

            “Bila pulak Aid kata Aid nak?” soalku semula.

            “Aidilla! Serius!” Abang mula merenung mataku.

            Yes, bang! I’m serious. Aid tak kata Aid nak, dan Aid tak kata Aid tak nak. Kalau papa nak paksa Aid kahwin dengan Mujaddid, Aid pun nak paksa papa juga untuk terima satu syarat,” tuturku.

            “Syarat apa?” soal papa.

            “Nikah tu jangan buat tahun depan,” jawabku.

            “Kenapa? Eloklah tahun depan tu,” kata umi. Pantas aku menggeleng.

            “Tak naklah, umi...” balasku.

            “Kenapa?” soal papa pula. Serius riaknya memandangku. Wajahku mula bertukar riak. Hendak ketawa pun ada melihat reaksi setiap yang ada dalam kamar ini.

            “Lambat sangatlah tu, pa...” Abang mula memainkan peranannya tanpa dipinta. Jelingannya singgah pada wajahku dengan senyum senget pada bibirnya.

            “Aid kata, kalau majlis tahun depan atau dua tahun lagi dia tak kisah. Tapi nikah dia nak esok,” kata abang lagi disambut gelak tawa daripada papa dan pak ngah. Bulat mataku memandang abang. Semangatku mula berkobar-kobar untuk berperang dengan abang. Aku mengangkat tubuh dari tilam.

            “Aidilla, jangan bangun lagi.” Mujaddid memberi amaran. Namun semangatku mengatasi amarannya. Sebaik sahaja aku memijak lantai, aku terduduk semula ke atas katil. Umi memegang bahuku. Aku tertunduk, menahan pening kepala yang bertandang.

            See, saya dah cakap tadi. Degil.” Mujaddid sudah memainkan peranannya. Aku tersengih sahaja. Umi membantuku untuk bersandar semula pada kepala katil. Tubuhku masih tersarung dengan pakaian yang basah. Namun tiada kedinginan yang terasa kerana dikelilingi orang-orang yang disayangi.  

            “Abang... Aid sihat nanti, siaplah! Aid tak kata macam tu pun, kan?” ujarku sebaik sahaja aku bersandar semula pada kepala katil.

            “Habis tu, macam mana? Nak nikah sekarang?” soal abang.

            “Mana boleh macam tu. Pa, umi... Tengok abang tu,” rengekku seperti anak kecil. Aku memaut lengan umi.

            “Habis tu, Aid nak macam mana? Apa syarat tadi?” soal umi, lembut. Aku tersengih.

            “Nikah tahun depan tu lambat sangatlah, umi. Kalau majlis tahun depan Aid tak kisah,” bisikku pada telinga umi di sebalik tudungnya. Bulat mata umi memandangku.

            “Habis tu bila?” soalnya. Aku tahu, semua mata sedang memerhatikan kami.

            “Sijil kursus perkahwinan dah ada. Aid rasa, bila dah dapat kelulusan untuk menjalankan pernikahan dan bila dah selesai buat ujian kesihatan, bolehlah. Okey?” bisikku lagi. Sekali lagi umi membulatkan matanya. Lenganku dicubit.

            “Habis tu masa bila nak bertunang?” soal umi. Aku menggelengkan kepala dengan cebikan pada bibir. Sejurus itu umi ketawa besar. Barulah aku tahu daripada mana datangnya tawa yang aku miliki sekarang.

            “Bang, tengoklah anak abang ni. Dah besar dah,” kata umi. Papa masih dengan riak terpinga-pinganya.

            “Betul tak Hairul kata yang Aid minta nikah cepat sikit?” soal abang. Umi mengangguk-angguk menyebabkan aku tertunduk. Sempat kutangkap ketawa abang dan papa.

            Gotcha! Gatal!” sambung abang lagi dengan sisa tawanya.

            “Pa... Hairul setuju dengan permintaan Aid tu. Bila dah buat ujian kesihatan dan dah dapat kelulusan langsungkan perkahwinan, papa nikahkan aje Aid ni. Aid dengan Adid ni dahlah duduk satu rumah,” kata abang setelah tawanya reda.

            “Okey, insyaAllah. Kita uruskan elok-elok hal ni,” kata papa. Pak ngah tersenyum senang.

            “Sekejap...” Aku mula bersuara. Semua mata memandang ke arahku.

            “Cempaka dekat mana?” soalku. Mujaddid mengangkat keningnya.

            “Kenapa tanya?” soal Mujaddid kembali. Aku membalas pandangannya dengan pandangan kosong sebelum mengangkat bahu.

            She tries to kill me to get you. She’s willing to do anything for you,” tuturku.

            “Tapi dia tak boleh lawan takdir Allah. She’s gone by the flow,” kata Mujaddid. Bulat mataku memandangnya. Mujaddid mengangguk.

            “Awak tak tolong dia?” soalku, mungkin kedengaran seperti aku seorang yang naif. Mujaddid menghembus nafas perlahan.

            “Aidilla, separuh nyawa saya ada pada awak. Kalau awak pergi, separuh nyawa saya turut pergi. Cempaka tu perosak. Antara nyawa dengan perosak, saya pilih nyawa. Saya selamatkan awak dulu, sebelum dia jatuh. Saya bantu pernafasan awak dulu, dan biarkan dia hanyut. Saya pastikan awak bernafas dahulu, dan biarkan dia terus menjauh. Saya tak ada pilihan, saya perlukan awak, tidak dia. Rahman yang tarik Cempaka ke tebing. Tapi Cempaka tak mampu diselamatkan. Rahman tak berjaya bantu pernafasan dia,” jelas Mujaddid. Allah, betapa bersyukurnya aku kerana masih diberi peluang untuk terus bernafas di atas muka bumiMu.


            AIDID. Nama yang suatu ketika dahulu sekadar terlakar di atas kertas, tanpa ada kepastian ke mana hala tujunya. Alhamdulillah, puji-pujian itu aku panjatkan ke hadrat Ilahi yang telah mengurniakan nyawa dan keimanan untuk terus berbuat kebaikan. Puji-pujian itu aku panjatkan ke hadrat Ilahi yang telah mengurniakan kenikmatan yang kuperoleh kini.

            Aidid. Kini nama itu terlakar indah dalam hati aku dan dia. Nama itu tercetak kemas di dalam setiap album yang terhasil. Harapan yang aku dan dia simpan adalah sama, semoga nama Aidid itu terus memberikan kegembiraan dan kebaikan kepada setiap pemilik album. Seperti mana aku menggembirakan dia, dan dia terus mengajar aku ke arah kebaikan. Selagi mana, Allah mengizinkan segala perkara itu terjadi.

            Alhamdulillah, Allah menarikku kepadaNya melalui dia. Ya, Marhaban Mujaddid. Ada sesuatu padanya yang membuatkan aku patuh akan kata-katanya yang mengajar aku berbuat kebaikan. Ada sesuatu padanya yang membuatkan aku senang bersama-samanya.

            Sudah hampir dua tahun usia perkahwinan kami. Semakin lama aku hidup dengannya, semakin aku tahu siapa dirinya. Mungkin bagi Cempaka, kekayaan Mujaddid terletak pada beratus-ratus ekar ladang dan bengkel kenderaan yang dimilikinya. Namun bagiku, kekayaan Mujaddid terletak kepada kemampuannya. Kemampuannya meletakkan martabat wanita di tempat yang tinggi. Kemampuannya mengawal dirinya. Kemampuannya memberi pembaharuan kepadaku, juga kepada orang-orang di sekelilingnya.

            If Allah wills it. Ya, jika diizinkanNya, aku akan menimang cahaya mataku sendiri dalam tempoh sebulan lagi. Cahaya mata aku dan suamiku, Marhaban Mujaddid.

            Sayang! Where’s your tudung?” soalannya menyebabkan aku berpatah balik ke dalam rumah. Pantas kucapai tudung yang tersangkut pada kerusi dan melangkah keluar ke pekarangan rumah. Mujaddid yang sedang mencuci kereta kudekati dengan senyuman. Dia membalas senyumanku.

            “Abang... Comel tak couple ni?” soalku sebaik sahaja aku berdiri di sebelahnya. Album yang kupegang sedari tadi kutunjukkan kepadanya. Sebaik sahaja dia melihat sekilas, dia membulatkan matanya memandangku.

            Sayang! Promise me, this will be the last time?” tuturnya lalu matanya merenung mataku. Aku tersengih-sengih memandangnya. Tanpa kusangka, dia menarik hidungku.

            “Abang! Basah hidung Aid, tau?” tuturku lalu kugosok hidungku dengan hujung tudung.

            “Siapa suruh nakal dengan abang?” soalnya kembali. Aku mencebik.

            Okay, I promise you, abang. This will be the last time. Lepas ni Aid suruh Izzan dengan Inayah aje buat kerja. Aid akan duduk dekat rumah macam permaisuri sampailah anak kita keluar. InsyaAllah. Lepas habis pantang, Aid sambung kerja balik,” tuturku dengan senyuman pada bibir.

            Nope! Abang tak setuju. Sayang hanya boleh mula kerja selepas empat bulan sayang lahirkan anak kita,” kata Mujaddid. Bulat mataku merenungnya.

            “Laaa... Lamanya, abang!” tukasku.

            No, sayang. Tugas isteri apa?” soalnya lantas mengangkat kening.

            “Baiklah, tuanku. Menjunjung perintah, tuanku,” balasku sambil menundukkan kepala buat seketika. Kedengaran dia melepaskan tawanya. Aku turut tersenyum mendengar tawanya.

            Love you, abang,” ucapku sebelum bibirku mendarat pada pipinya.

            Thanks, dear. I love you most, sayang,” ucapnya kembali lantas dahiku dikucupnya. Alhamdulillah. Benar, aku perlukan dia, dan dia perlukan aku untuk melengkapkan Aidid. Aku Aid untuknya dan dia Adid untukku. Segala puji bagi Allah. Alhamdulillah.

Saturday 18 June 2016

Cerpen- AIDID (Part 3)

Pesan cik penulis: Seperti yang telah saya janji, lepas balik terawih, saya bagi part 3. Tapi part 3 bukan part finale. Part 4 ialah part finale. Nanti bila2 saya update. Tengoklah, kalau hati rasa baik. Mungkin esok ke? Heee, :). Terima kasih daun keladi, :). Selamat bersahur dan selamat berpuasa esok.



            AKU memandang wajah Mujaddid. Dia mengangkat kening dan aku mengangkat bahu. Masing-masing sepi tanpa bicara. Aku mengetap bibir. Sesekali aku menggosok lenganku. Mujaddid menanggalkan jaketnya dan dibalutkan ke tubuhku. Aku sekadar tersenyum tanda terima kasih.

            “Betul ke nak terus tunggu di sini? Nak tunggu sampai hujan ni berhenti?” soalnya. Matanya memerhatikan langit yang gelap. Hujan masih turun dengan menggila. Angin kencang turut terasa melanggar tubuhku. Aku memandangnya.

            “Kalau tak tunggu, takkan nak redah? Sakit, tau?” balasku. Mujaddid memandangku menyebabkan aku berkalih pandang ke arah lain.

            “Kita stay dekat rumah mak dengan ayah saya, nak? Rumah mereka dah dekat,” ujar Mujaddid.

            “Tetap kena redah hujan jugak, kan?” soalku. Mujaddid mengangguk.

            “Tapi sekejap aje. Kalau nak redah hujan ke rumah ayah ngah, memang lamalah. Hujan ni pun, gaya macam lambat lagi nak reda. Awak nak tak?” soalnya lagi. Aku memandangnya. Entah mengapa aku terasa selamat pula kali ini tatkala menatap sepasang matanya. Menyedari keterlanjuranku, pantas aku berkalih pandang.  

            “Lagipun, kalau ikut jadual, hari ni family gathering. Bolehlah awak jumpa semua ahli keluarga saya,” katanya. Aku berkira-kira ingin menerima pelawaannya. Hujan yang masih tidak lelah membasahi bumi kupandang. Ya, aku akui bahawa hujan ini tidak akan reda dalam masa yang sekejap.

            “Okey.” Jawapanku menerbitkan segaris senyuman pada bibir Mujaddid. Masing-masing sudah mengangkat punggung.

            “Awak pakailah jaket ni, takkan nak pakai baju tu aje?” kataku. Mataku terarah pada baju t putih yang tersarung pada tubuhnya. Aku kira, itu memang warna kegemarannya. Jarang-jarang aku melihat dia memakai baju selain daripada warna putih. Jaket kulitnya kuhulurkan kepadanya. Mujaddid menggeleng.

            “Tak apa, saya tahu awak sejuk. Awak pakai. Pakai elok-elok,” tuturnya. Aku terkedu. Keprihatinannya menyapa hatiku. Sapaan yang melekat kuat di hatiku. Jaket kulitnya kusarungkan ke tubuh. Aku memboncengnya dengan keadaan hati yang tidak keruan.


            AKU kira kedatangan Mujaddid disambut dengan ceria. Aku sekadar tertunduk dan terdiam saat Mujaddid sedang menyapa kedua-dua orang tuanya. Dia mencuit lenganku yang berlapik dengan bajuku yang berlengan panjang. Aku mendongak memandangnya.

            “Jomlah,” ajaknya. Aku mengangguk dan menurut langkah kakinya. Aku sapa kedua-dua ibu bapanya dengan ucapan salam dan segaris senyuman pada bibir. Tangan emaknya kucapai lalu kucium penuh hormat. Kepala kutundukkan sedikit sebagai tanda hormat kepada ayahnya.

            “Ni gadis yang Adid kena jaga tu, ya?” soal emaknya. Wajahku ditatap sepasang mata birunya. Aku sekadar mendengar bicaranya yang fasih berbahasa Melayu.

            “Ya, mak... Aidilla namanya,” kata Mujaddid.

            “Marilah, masuk. Yang lain ada di dalam,” kata ayah Mujaddid yang seingat aku namanya sama dengan pak ngah.

            “Awak, saya seganlah,” tuturku setelah emak dan ayah Mujaddid masuk ke dalam rumah mereka.

            “Nak segan apa? Rumah saya, rumah awak jugak,” bicaranya. Aku menjeling tajam wajahnya. Tawanya meletus seperti sangkaanku.

            “Awak jangan nak main-main, ya? Saya segan betul-betul ni,” kataku.

            “Aidilla, betul... Rumah saya, rumah awak jugak. Baik awak masuk sekarang. Dah nak maghrib ni. Tak takut duduk luar seorang diri?” katanya. Aku menggeleng.

            “Nak takut apa? Allah kan ada. Mana boleh takut kepada perkara lain selain daripada Allah. Lagipun, kasihanlah dekat pak ngah dan mak ngah,” tuturku. Mujaddid mengetap bibirnya dan membesarkan matanya.

            “Awak ni... Tadi dah kata, okey... Sekarang segan pulak,” katanya lalu dia mencapai lenganku dan menarikku masuk ke dalam rumahnya. Kelam-kabut aku menanggalkan sandal dek tarikannya.

            “Nanti kita telefon pak ngah, kata yang kita menginap dekat sini. Esok pagi kita balik, ya sayang,” ujarnya. Aku mencebik. Sayanglah sangat.

            “Awak nak tahu satu perkara tak?” soalku. Mujaddid memandangku dengan kening yang terjungkit.

            “Apa?” soalnya.

            “Saya benci awak,” ujarku lantas aku tolak tubuhnya sekuat hatiku. Mujaddid menghamburkan tawanya.

            “Saya dah lama dah tahu. Sejak dari pertama kali kita jumpa, benci awak tu tak habis-habis lagi,” kata Mujaddid. Aku mencebik.

            “Macam couple pun ada juga, abang ni.” Suara itu menyebabkan aku berpaling ke kananku. Seorang wanita yang kelihatan sarat berbadan dua sedang menghampiriku. Dia mencapai tangan Mujaddid dan menyalaminya.

            “Apa couple pulak? Sweet couple baru betul,” kata Mujaddid. Aku menggelengkan kepala. Ada sahaja bahannya untuk mengusikku.

            “Aidilla, ni adik saya, Nadhirah. Awak lagi muda daripada dia,” jelasnya. Aku menyalami tangan wanita yang murah dengan senyuman itu. Raut wajahnya tampak cantik. Warna matanya seperti Mujaddid juga. Namun kukira, mata Mujaddid lebih indah untuk ditatap.

            “Adik awak dah kahwin dulu daripada awak?” soalku lalu ketawa.

            “Ya, dialah satu-satunya yang belum kahwin lagi. Anak mak!” kata Nadhirah. Mujaddid menarik pipi adiknya itu menyebabkan Nadhirah mencebik.

            “Dia yang gatal nak kahwin, kata orang anak mak pulak,” bidas Mujaddid. Aku sekadar tersenyum memerhatikan gelagat mereka.

            “Sakitlah, abang! Pipi ni mahal, tau?” kata Nadhirah lalu menggosok-gosok pipinya.

            “Dahlah. Jom, masuk dalam. Ira, baju-baju Ira dulu ada lagi, kan?” soal Mujaddid. Nadhirah mengangguk.

            “Tolong bawa Aidilla dan suruh dia mandi. Ira bagi baju Ira, ya? Nanti abang ganti yang baru,” kata Mujaddid. Aku memandangnya. Aduh! Menyusahkan saja!

            “Tak payah ganti. Ingat Ira ni kedekut macam abang ke?” ujar Nadhirah. Mujaddid mengangkat-angkat keningnya. Nadhirah mencapai lenganku.

            “Jom, naik atas,” ajaknya. Aku sekadar menurut langkahnya. Tiada bantahan dan tiada paksaan yang meluncur keluar daripada bibirku.


            BERADA di rumah ini walau untuk seketika, cukup untuk membuatkan mukaku terasa hangat yang entah bila akan terhapus. Mentang-mentang Mujaddid masih lagi solo, aku pula yang dikenenkan dengannya. Hendak membangkang, segan pula. Maklumlah, aku hanya tetamu yang datang secara mengejut. Alamatnya, aku hanya diam dan tertunduk sahaja.

            “Kamu kerja apa dekat sini?” Soalan Encik Karim membuatkan keningku terangkat. Bibir kuketap. Puan Suhaila juga seakan-akan sedang menanti bicaraku. Aku tertunduk seketika.

            “Jurugambar,” jawabku antara dengar dengan tidak.

            “Dengan ijazah perakaunan,” sambung Mujaddid menyebabkan aku memejamkan mataku seketika. Entah reaksi apa yang bakal aku terima.

            “Aid kerja sebagai photographer since dekat KL lagi. Ijazah tu pun, papa yang paksa ambil. Aid tak minat akaun, tapi papa yang paksa. Sekarang, bila soal kerja, papa nak tetapkan juga. Papa bagi pilihan, sama ada Aid kerja dengan papa atau papa akan hantar Aid ke sini. Aid memilih untuk ke sini, sebab Aid tak nak hidup dengan apa-apa yang papa tentukan. Lagipun, bukannya papa yang akan hadapi masa depan Aid. Aid yang akan hadapi, jadi Aid yang patut membuat pilihan,” jelasku. Lancar sahaja aku menceritakan perihal aku kepada keluarga Mujaddid.

            You have made a right decision. Besides, your future is yours. Aid berhak untuk tentukan masa depan yang bagaimana yang Aid mahu. Tapi uncle nak ingatkan, walaupun papa Aid suka tentukan apa yang Aid perlu buat, bukan bermakna Aid perlu bencikan dia atau sisihkan dia. He’s still your father no matter what,” kata Encik Karim. Aku tertunduk, akur dengan kata-katanya.

            Maybe he thinks that his decision is the best for you. Besides, you’re the only daughter in your family. Aunty rasa, dia hanya inginkan yang terbaik untuk Aid. Dia hanya ingin melindungi Aid,” ujar Puan Suhaila. Aku tertunduk. Benar juga kata Puan Suhaila. Mungkin papa terlalu melindungi. Mungkin papa mengikut segala kehendak abang kerana abang lelaki. Kehendak aku disekat hampir kesemuanya kerana aku perempuan.

            “Adid, ladang dekat sana macam mana?” soal Encik Karim kepada Mujaddid. Mujaddid tersenyum.

            “Okey aje, macam biasa. Kenapa?” soal Mujaddid kembali. Encik Karim berdehem beberapa kali. Deringan telefon bimbitku membuatkan semua mata beralih kepadaku. Segera tanganku mengeluarkan telefon dari dalam poket seluar lalu mataku menatap sekilas nama pemanggil. Aku mengangkat pandangan dan melemparkan senyuman kepada mereka yang memandang.

            “Saya kena jawab,” ujarku. Setelah menerima anggukan mereka, aku mula bangun dan meninggalkan ruang tamu itu. Langkah kuatur menuju ke dapur.

            “Assalamualaikum,” ucapku setelah menerima panggilan itu. Aku dapat menangkap desah nafas abang yang kedengaran berbeza daripada biasa.

            “Waalaikumussalam, Aid,” balas abang.

            “Hmmm... Kenapa, bang?” soalku. Kedengaran abang mengeluh kecil.

            “Kalau abang cakap, Aid jangan botakkan rambut abang. Abang betul-betul dah jaga umi, tau?” kata abang. Hatiku menjadi cemas tiba-tiba.

            “Abang! Kenapa dengan umi?” soalku pantas.

            “Umi kena tahan dekat hospital. Dia jatuh dalam bilik air tadi. Suhu badan dia tinggi, kaki dia terseliuh,” kata abang. Walang hatiku mendengar kata-kata abang. Aku berdiam diri. Aku kira, hujan masih menggila, tetapi tidak selebat tadi. Jam yang tergantung pada dinding kupandang. Ternyata masa menunjukkan pukul sepuluh setengah malam. Aku mengeluh kecil.

            “Abang jaga umi. Kalau tak ada apa-apa aral, insyaAllah, Aid balik esok. Umi dekat hospital biasa ke?” soalku. Hospital biasa merujuk kepada hospital yang selalu menjadi tempat rujukan ahli keluargaku andai ada yang jatuh sakit.

            “Memang abang yang akan jaga umi. Papa baru aje balik rumah, abang minta dia rehat. Umi dekat hospital biasa. Aid dekat rumah pak ngah ke ni?” soal abang.

            “Tak, Aid dekat rumah Mujaddid,” jawabku.

            “Hah?! Rumah Mujaddid?!” Laju sahaja suara abang menampar gegendang telingaku. Berkerut dahiku mendengarnya.

            “Yalah. Kenapa?” soalku.

            “Aid? Aid dekat rumah dia? Biar betul? Sejak bila Mujaddid tu ada rumah?” soal abang.

            “Eh, salah. Bukan rumah dia. Rumah family dia. Kami pergi jalan-jalan dekat bandar tadi, lepas tu Aid cari barang sikit. Tapi waktu nak balik hujan lebat, sebab tu tinggal sini dulu,” jelasku.

            “Hmmm, lega abang dengar. Aid jaga diri elok-elok. Kirim salam dekat Mujaddid dengan keluarga dia,” pesan abang. Aku mengangguk lemah.

            “Abang pun jaga diri jugak. Jaga umi baik-baik. Cium dahi umi untuk Aid. InsyaAllah, esok Aid datang. Kalau ikutkan, malam ni jugak Aid nak terbang jumpa umi. Tapi tak boleh. Abang jaga umi, tau? Assalamualaikum, abang,” ucapku. Setelah menerima jawapan abang, aku mematikan talian. Aku menekur lantai. Tubir mataku mula bergenang. Perlahan-lahan tubuhku melorot jatuh. Aku bersandar pada kabinet dapur itu. Kaki kurapatkan ke dada lantas kupeluk. Aku menyembamkan wajahku di situ. Entah mengapa, perasaan bimbang tidak dapat berbicara dengan umi lagi mengasak hatiku. Air mataku mengalir semakin laju kerana hal itu. Bimbang tidak dapat meraih kemaafan daripada umi.

            “Aidilla.” Suara Mujaddid menyebabkan aku berpaling. Segera kukesat pipi yang basah. Namun air mata masih tidak segan menitis.

            “Kenapa ni?” soal Mujaddid. Nada suaranya kedengaran prihatin.

            “Abang kirim salam dekat awak dan keluarga awak,” ujarku tersangkut-sangkut dek sedu-sedan yang singgah.

            “Kenapa awak menangis? Apa dah jadi di sana?” soalnya. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Tidak mahu menyusahkan Mujaddid lagi.

            “Aidilla!” Dia menerpa ke arahku lantas bertinggung di hadapanku. Aku mengesat lagi pipiku yang basah.

            “Tak ada apa-apa, awak tak perlu tahu,” kataku. Kerutan pada keningnya cukup untuk membuatkan aku tahu bahawa dia tidak suka mendengar apa yang baru aku katakan.

            “Hei, awak sedang menangis dan saya kena tahu apa sebabnya. Cakaplah, Aidilla!” kata Mujaddid. Dia memaut bahuku dan tubuhku digoncang. Aku masih menggeleng.

            “Saya tak nak susahkan awak,” ujarku. Mujaddid menggeleng.

            “Dengan awak, tak ada apa-apa yang menyusahkan,” kata Mujaddid. Aku memejamkan mataku seketika. Cukuplah! Janganlah bermain-main dengan perasaan.

            “Kalau saya kata saya mahu ke Kuala Lumpur malam ni, bukankah itu akan menyusahkan awak?” ujarku. Bulat mata Mujaddid memandangku.

            “Hei, kenapa ni? Kalau awak nak ke sana, saya boleh bawakan walaupun awak minta untuk ke sana pada malam ni. Tapi saya kena tahu, kenapa awak nak ke sana,” kata Mujaddid. Aku menggeleng.

            “Tak apalah. Lagipun dah lewat, awak patut berehat,” tuturku. Aku mengelap lagi pipiku yang basah.

            “Awak fikir boleh ke saya nak berehat dengan keadaan awak yang begini? Masalah awak, masalah saya jugak. Apa-apa yang terjadi kepada awak, terjadi kepada saya jugak. Kalau awak sedih sekarang, saya pun sedih jugak!” Suara Mujaddid tiba-tiba meninggi membuatkan aku tersentak. Aku memandangnya dengan mata yang bergenang.

            Aidilla Azza. Tell me, why?” Suaranya kembali lembut. Matanya mula melatari wajahku membuatkan aku tertunduk.

            “Please, tell me, sayang. Tell me, why?” ujarnya separuh merayu. Sudah aku kata, dia memang suka bermain perasaan dan sememangnya sukar untuk aku menerima kata-katanya sebagai suatu gurauan.

            “Umi...” desisku perlahan.

            What’s wrong with umi?” soalnya pantas. Matanya bergerak mencari mataku. Aku tidak melarikan pandanganku yang dikaburi air mata.

            “Umi dekat hospital. Dia jatuh dalam bilik air. Suhu badan dia tinggi. Kaki dia terseliuh. Saya takut... Saya takut tak dapat cakap dengan dia lagi. Saya takut saya tak sempat minta maaf dengan dia. Saya takut...” tuturku hampir senafas. Air mata semakin deras mengalir.

            “Syyy! Stop it! Jangan fikir bukan-bukan, boleh? She’ll be fine. Don’t worry, sayang. Doakan dia, kita balik KL malam ni,” kata Mujaddid. Aku menggelengkan kepala.

            “Tak nak! Susahkan awak. Saya tak suka susahkan awak,” bantahku. Mujaddid menggelengkan kepalanya.

            I insist! Kita naik kereta saya. Kita balik KL malam ni. Kita jumpa umi kita,” ujar Mujaddid. Ah! Mengapa suka benar dia memainkan perasaanku?

            Mujaddid sudah berdiri. Melihat aku yang masih diam dengan mata yang masih setia pada lantai, dia mencapai lenganku. Aku tersentak. Pantas aku memandangnya. Dia menarikku untuk bangun. Aku terpaksa menurut. Sejurus itu, dia melepaskan kembali tanganku.

            “Kita balik, Aidilla. Kita balik,” ujar Mujaddid. Aku diam sahaja dengan kepala yang masih menunduk.

            “Saya pack barang-barang saya sekejap. Awak tunggu di ruang tamu,” pesan Mujaddid sebelum mengatur langkahnya meninggalkan ruang dapur itu. Aku bergerak ke ruang tamu, seperti arahannya. Sebaik sahaja aku mengangkat muka, aku terpandangkan seraut wajah yang belum pernah kulihat sebelum ini. Wajahnya beraut Kaukasia dan tiada raut Cina. Remaja itu tersenyum ke arahku. Aku membalas dengan senyuman hambar.

            “Aid, ni Izzan, anak saudara aunty. Dia ada di atas sejak tadi. Dia tak turun makan malam bersama-sama kita,” jelas Puan Suhaila. Aku mengangguk terhadap remaja itu sebagai salam perkenalan.

            “Nama akak Aidilla Azza, boleh panggil Kak Aid saja. Kamu?” soalku cuba beramah-mesra.

            “Muhammad Izzan, panggil Izzan,” balas Izzan. Memang jelas riak wajahnya yang malu-malu.

            “Izzan ni memang pemalu banyak. Sebab itulah asyik terperap saja. Kembar dia pun ada tadi. Pergi ke tandas rasanya. Kembar dia perempuan, Inayah. Waktu kita makan tadi, dia makan di dapur saja. Mungkin Aid tak persan kot?” ujar Nadhirah pula.

            “Mak, Izzan mana?” Suara Mujaddid menyebabkan aku berpaling.

            “Hmmm, Izzan, kat sini kau rupanya. Abang nak ajak kau dengan Inayah ke KL, nak ikut?” soal Mujaddid. Bersinar-sinar mata Izzan memandang Mujaddid.

            “Bila, bang?” soal Izzan.

            “Sekarang. Pack baju kau untuk dua hari. Umi Kak Aidilla sakit,” kata Mujaddid. Pantas Izzan bangun daripada duduknya dan mengikut langkah Mujaddid ke tingkat atas.

            “Umi Aid sakit?” soal Puan Suhaila. Aku mengangguk sahaja.

            “Dia jatuh dalam bilik air tadi. Suhu badan dia tinggi. Kaki dia terseliuh. Sekarang dia kena tahan dekat wad,” jelasku.

            “Nak ke sana malam ni juga?” soal Puan Suhaila. Aku tertunduk seketika.

            “Kalau ikutkan, memang Aid nak balik malam ni tapi bila Aid fikir balik, Aid tak nak susahkan Adid. Tapi tadi Adid yang kata, dia nak ke sana malam ni juga. Aid ikut saja. Aid risaukan umi,” jelasku. Puan Suhaila mengangguk.

            “Baguslah. Aunty minta maaf, ya? Rasanya aunty tak boleh ke sana. Sampaikan salam aunty sekeluarga untuk keluarga Aid, ya?” kata Puan Suhaila.

            “InsyaAllah. Tadi abang Aid kirim salam dekat semua,” ujarku.

            “Oh, Hairul, ya?” kata Puan Suhaila. Aku sekadar mengangguk. Tidak mahu bertanya, bagaimana dia boleh mengenali abang. Aku kira, sudah pastilah emak Mujaddid mengenali abang kerana abang dan Mujaddid berkawan. Usai Mujaddid, Izzan dan Inayah mengemas barang-barang keperluan mereka, terus sahaja kami bertolak ke Kuala Lumpur. Tinggi harapanku agar umi tidak apa-apa.


            “AWAK baliklah ke rumah keluarga saya. Bawa Izzan dan Inayah sekali. Mereka tentu penat. Awak semua patut berehat,” ujarku. Wajah umi yang sedang lena kupandang sayang.

            “Lepas saya hantar mereka, saya ke sini semula.” Kata-kata Mujaddid membuatkan pandanganku beralih arah ke wajahnya.

            “Tak perlu. Awak rehatlah. Saya nak jaga umi,” balasku.

            “Siapa nak jaga awak?” soalnya. Aku mengetap bibir. Mataku yang sememangnya sembab kubesarkan memandangnya.

            “Ni hospital. Mana nak cari orang jahat? Saya okeylah. Abang saya ada tu,” balasku lalu kujuihkan bibir ke arah abang yang sedang lena di sofa.

            “Bang, betul cakap Kak Aid tu. Dekat hospital ni mana ada orang jahat. Kita balik sajalah ke rumah Kak Aid,” ujar Inayah. Izzan mengangguk-angguk tanda setuju.

            “Abang, kalau dah sayang sangat dekat Kak Aid tu, sampai tak nak tinggal dia seorang diri, kahwin sajalah. Senang sikit nak jaga, nak peluk ketat-ketat pun boleh,” kata Inayah lagi. Kali ini, Izzan terkekek-kekek ketawa. Aku tertunduk. Kepala kugelengkan beberapa kali dengan senyum kecil pada bibir.

            “Ni terlebih mengantuk ke apa ni? Kalau abang sayang Kak Aidilla pun, hal abanglah. Kalau abang nak kahwin dengan dia pun, hal abang jugak. Sibuk aje,” gerutu Mujaddid.

            “Dahlah, awak balik aje dan rehat. Saya dah beritahu papa tadi, yang awak akan ke rumah. Dia kata okey. Jadi sekarang, awak balik,” kataku. Mujaddid memandangku. Jelas bahawa dia geram mendengar kata-kataku.

            “Okey, saya balik. Lepas subuh esok saya datang balik,” balasnya. Aku mengecilkan mata memandangnya.

            “Dah sayang sangat tu, kahwin ajelah,” ujar Inayah sekali lagi. Mujaddid menayangkan penumbuknya di hadapan wajah Inayah. Tersengih-sengih gadis itu memandangnya.

            “Mujaddid, awak balik, rehat. Saya tak kisahlah awak nak datang balik ke apa ke, tapi awak hanya boleh jejak kaki di bangunan ni selepas subuh esok. Faham?” tuturku, tegas. Mujaddid merapatkan kedua-dua belah tangannya lantas dibawa ke dahi.

            “Menjunjung perintah, tuanku,” ucapnya lantas tangannya dijatuhkan. Wajahku dipandang dengan senyuman pada bibirnya.

            “Hmmm, dahlah tu, bang. Taulah abang tak mengantuk pandang muka kakak tu, tapi ingat sikit kami ni. Mana tak mengantuk pandang muka abang yang macam dah angau dua puluh empat jam tu?” kata Inayah. Aku tertawa perlahan. Aku kira, Inayah memang banyak berbicara memandangkan pasangan kembarnya lebih suka berdiam diri. Kepala gadis itu disekeh oleh Mujaddid. Inayah menggosok-gosok kepalanya.

            “Aidilla, kami gerak dulu. Awak jaga diri. Apa-apa call saya,” pesan Mujaddid. Aku mengangguk.

            Take care, dear. Assalamualaikum,” ucapnya dengan senyuman pada bibirnya sebelum beredar meninggalkan bilik yang menempatkan umi. Sungguh aku tidak faham dengan lelaki ini. Suka benar mengacau-bilaukan hatiku.


            AKU memerhatikan foto-foto yang tersusun di atas meja. Sejurus itu, tanganku bergerak memasukkan foto-foto itu ke dalam sebuah album. Bibirku mengukir senyum dalam sedar. Entah berapa banyak aku sudah berhutang dengan Mujaddid. Dia memang banyak membantuku.

            Masih segar dalam ingatanku, akan ucapan papa pada pagi itu. Pertama kali bersua muka dengan papa selepas menetap dengan pak ngah di sini, papa meluahkan kata-kata yang cukup menggembirakan hatiku. Gembira yang masih terasa hingga ke hari ini, walau sudah hampir tiga minggu berlalu.

            “Papa sokong cita-cita Aid. Aid boleh jadi photographer kalau itu yang Aid suka. Papa takkan halang lagi.” Itulah kata-kata papa yang membuatkan aku tidak segan untuk memeluk papa pada ketika itu. Air mataku tumpah kerana kata-kata itu. Sempat aku menangkap mata Mujaddid yang sedang merenung ke arah aku dan papa. Dia tersenyum. Aku yakin, memang dia yang telah mengubah hati papa.

            Mulai hari itu, aku tidak lagi membandingkan apa-apa yang abang dapat dengan apa-apa yang aku dapat. Aku kira, papa sudah yakin bahawa kerjaku sekarang mampu memberi aku makan. Tetapi untuk kembali menetap dengan papa, umi, dan abang di Kuala Lumpur, aku tidak mahu. Aku lebih selesa di sini, dengan suasana ini.

            “Karim! Karim! Ros! Ros!” Suara itu menyebabkan senyuman pada bibirku mati. Pantas aku menyarung tudung dan melangkah keluar daripada bilikku.

            “Assalamualaikum, mak cik. Mak ngah dengan pak ngah tak ada, mereka ke bandar. Kenapa kecoh-kecoh ni? Jemputlah naik dulu,” ujarku sebaik sahaja aku memijak anak tangga rumah itu. Kedua-dua tampang di hadapanku kupandang bergilir-gilir. Satu tampang dengan riak resah, dan satu lagi tampang dengan riak marah.

            “Tak ada masa aku nak jejak rumah ni. Budak Mujaddid tu mana? Mana budak tu?” soal Mak Cik Melati, ibu kepada Cempaka.

            “Kenapa mak cik cari dia?” soalku.

            “Kau tanya aku balik kenapa? Budak tu mana? Entah-entah dia ada dekat dalam dengan kau, kan? Yalah, Karim dengan Ros tak ada, bolehlah kau orang berdua bersenang-lenang, kan? Hei... Kau ni memang tak gunalah! Sama macam budak Mujaddid tu!” tuduh Mak Cik Melati. Bulat mataku memandangnya.

            “Astaghfirullahalazim, mak cik! Mak cik jangan nak fitnah yang bukan-bukan! Yang mak cik nak buruk-burukkan Mujaddid dengan saya ni kenapa? Mak cik tak ada kerja lain dah?” soalku. Entah ke mana hilangnya rasa hormatku terhadap orang yang lebih tua.

            “Budak tu mesti ada dekat dalam! Aku tahu dia ada dekat dalam. Kau dengan dia mesti buat benda-benda tak senonoh bila Karim dengan Ros tak ada. Budak tu pun bukannya baik sangat!” kata Mak Cik Melati lagi. Aku menggeleng-gelengkan kepala.

            “Mak cik ni kenapa? Mak cik tahu, sekarang pukul berapa? Sekarang pukul sepuluh pagi, dia pergi kerjalah! Mak cik ingat dia tak ada kerja ke macam anak mak cik tu?” ujarku. Cempaka memandangku dengan jelingan tajam.

            “Kau jangan nak buruk-burukkan anak aku pulak! Budak tu dah buntingkan anak aku, tahu?” Kata-kata Mak Cik Melati membuatkan aku tersentak. Aku memandang Cempaka. Jelas senyuman sinis terpamer pada wajahnya. Tatkala matanya bertembung dengan mataku, terus sahaja wajahnya bertukar resah.

            “Entah-entah, kau pun dah dibuntingkannya,” sambung Mak Cik Melati lagi. Ya Allah! Rasa macam nak koyakkan saja mulut dia!

            “Astaghfirullahalazim, mak cik!” Sedikit terjerit suaraku pada kali ini. Mujurlah rumah pak ngah terletak agak jauh daripada rumah jiran-jiran yang lain.

            “Apa?! Kalau duduk rumah lain-lain, pun boleh jadi. Inikan pulak satu rumah!” tempelak Mak Cik Melati. Aku memejamkan mataku seketika. Mengumpul semangat yang entah bila gugur sedikit demi sedikit.

            “Kandungan awak tu berapa bulan, Cempaka?” soalku lantas aku melepaskan nafas perlahan.

            “Tiga minggu,” jawab Cempaka perlahan sambil tertunduk.

            “Ada laporan doktor? Nak tengok?” soalku. Cempaka mengeluarkan sesuatu daripada poket baju kurung yang dipakainya lantas dihulurkan kepadaku. Aku membuka lipatan surat itu dan membaca dengan penuh teliti.

            “Bila awak buat benda tak senonoh dengan bapa budak ni?” soalku lagi.

            “Tiga minggu lepaslah,” jawabnya. Aku menyembunyikan senyum sinis.

            “Awak memang rela dia buat begitu kepada awak?” soalku. Cempaka memandangku sebelum menundukkan kepalanya.

            “Malam tu, mak saya tak ada di rumah, dia datang ke rumah dan dia yang mulakan,” jelas Cempaka.

            “Awak pun ikut aje? Tak halang? Tak melawan? Kalau betul awak memang nak jaga maruah awak, awak boleh lawanlah!” bentakku, kasar.

            “Saya perempuan! Dia lelaki! Tenaga dia lebih banyak daripada saya. Setakat manalah saya boleh melawan?” balasnya.

            “Ingat tak hari yang awak datang rumah saya masa saya dengan Mujaddid tengah ambil rambutan?” soalku. Cempaka mengangguk.

            “Malam tu dia lambat balik ke rumah,” ujarku.

            “Malam tu juga dia ke rumah saya,” sambung Cempaka pantas. Aku tersenyum sinis.

            “Betul ke hari Khamis malam Jumaat tu mak cik tak ada di rumah?” soalku kepada Mak Cik Melati.

            “Memang aku tak ada dekat rumah masa tu. Kau banyak sangat tanya ni kenapa?” balas Mak Cik Melati.

            “Macam mana mak cik boleh tahu bahawa Mujaddid yang buat semua tu?” soalku. Mak Cik Melati kelihatan serba salah. Dia memandang anaknya.

            “Cempaka yang beritahu aku,” jawabnya. Aku ketawa sinis.

            “Mak cik percaya cakap anak mak cik ni?” soalku. Aku sedar mata Cempaka tajam menikam wajahku.

            “Mak cik tahu tak dia dah tipu mak cik bulat-bulat? Anak mak cik ni yang gatal! Dah tak ada kerja, setiap hari ke rumah orang, menggatal dengan anak teruna orang. Tergedik sana-sini. Apa yang saya boleh buat kalau lelaki-lelaki kampung ni tergoda dengan kegedikan dia tu? Dia sendiri yang cari penyakit. Mak cik, cuba mak cik tanya balik dekat Cempaka, siapa bapak budak tu yang sebenarnya. Sebab, hari Khamis malam Jumaat sampailah hari Isnin malam Selasa, saya dengan Mujaddid tak ada dekat kampung ni. Kami ke Kuala Lumpur, umi saya sakit. Saya ada lebih daripada dua orang saksi kalau mak cik tak percaya kata-kata saya. Kalau nak sepuluh orang saksi pun, saya boleh bagi dekat mak cik. Kalau mak cik nak surat doktor pun saya boleh bagi. Biar mak cik tengok tarikh umi saya masuk hospital,” ujarku. Bulat mata Mak Cik Melati memandang Cempaka.

            “Cempaka! Kau bagitahu mak, budak dalam perut kau ni anak siapa?!” Tinggi suara Mak Cik Melati menampar gegendang telingaku.

            “Mak! Sumpah mak! Ni anak Mujaddid! Perempuan tu yang tipu mak!” kata Cempaka. Jelas ketakutan dalam matanya

            “Kalau mak suruh kau junjung Quran dan bersumpah yang anak tu memang anak Mujaddid, kau sanggup?!” soal Mak Cik Melati. Aku tersentak, Cempaka juga kelihatan begitu. Dia terdiam.

            “Cempaka! Kau tahu tak, fitnah berzina tu fitnah yang berat?! Lagi-lagi fitnah itu datang daripada mulut seorang wanita!” ujarku. Cempaka memandangku tajam.

            “Kau diamlah!” bentak Cempaka.

            “Siapa bapak budak tu?” soalku. Cempaka diam sahaja.

            “Oh! Aku tahu! James, kan? Atau apa kau panggil dia? Honey? How sweet! Berapa lama dah kau orang buat kerja ni? Dah terlekat, tuduh orang lain pulak!” bidasku. Aku memang sudah lama memerhatikan gerak-geri Cempaka yang tidak pernah lekat di rumah. Bukan aku mahu menjaga tepi kain orang, tetapi apabila setiap kali aku mahu ke ladang getah pak ngah, aku akan ternampak mereka bermesra di tempat yang aku kira, memang tersorok daripada orang ramai. Entahlah, rezeki aku untuk melihat dan membongkar rahsia mereka barangkali.

            “Aku tahu jugak, kenapa kau suka datang rumah ni. Sampai tiga kali sehari, tujuh hari seminggu. Sebab kau nak buat Mujaddid tangkap leleh dengan kau, kan? Kau nak kaut harta dia, ya?” bidasku lagi. Bulat mata Cempaka memandangku. Mulutnya juga sedikit terlopong.

            “Aku tak tahulah harta apa yang kau nampak pada dia. Apa yang aku tahu, Mujaddid kaya dengan ilmu dan adab. Dia pandai menghormati dan menghargai wanita. Dia pandai menjaga wanita. Dia bukan perosak wanita, bukan seperti James kau tu. Apa yang aku paling suka nak cakap, selama ni kau buang masa aje tergedik-gedik depan rumah pak ngah aku ni. Sebab apa? Sebab Mujaddid tak terleleh walau setitik pun bila pandang kau. Lagi dia rasa loya, adalah,” kataku.

            “Oh, ya! Kalau perangai Mujaddid tu memang buruk sungguh, awal-awal saya duduk sini lagi dia dah buat perkara tak elok dekat saya. Macam mak cik kata tadi, duduk serumah, kan? Kalau betul perangai Mujaddid tu buruk, kenapa selama dua tahun dia tinggal di sini, orang ramai makin sukakan dia? Hanya orang yang busuk hati macam kau aje Cempaka, yang nampak orang baik sebagai orang yang buruk. Lain kali, janganlah gajah di seberang laut aje kau nampak, lalat di depat mata pun kau tak nampak,” tuturku.

            “Kalau tak ada apa-apa lagi, saya masuk dulu, mak cik, Cempaka. Saya ada kerja nak buat. Tak naklah menghabiskan beras pak ngah saya aje,” ujarku.

            “Kau ni, Cempaka! Dasar anak tak mengenang budi! Rugi duit aku aje besarkan kau. Kalau tak disebabkan Ila tu, aku takkan tahu yang kau ada buat perkara tak senonoh dengan Si James tu. Geli aku nak besarkan kau nilah! Hish! Dah, balik rumah sekarang! Buat malu aku aje kau ni!” tempelak Mak Cik Melati. Dia menunjal-nunjal kepala Cempaka sebelum menolak tubuh gadis itu supaya bergerak mendahuluinya. Mulutnya bergerak seiring dengan langkah kakinya.

            Aku tersenyum senang. Tidak sangka yang aku tidak perlu menghubungi walau seorang pun saksi untuk meyakinkan Mak Cik Melati tentang ketidakberadaan aku dan Mujaddid di kampung ini pada hari kononnya kejadian yang menimpa Cempaka itu berlaku.

            “Assalamualaikum, Aidilla!” Panggilan itu mematikan niatku untuk berpaling.

            “Waalaikumussalam. Awal balik?” balasku. Botol air yang dibawanya bertukar tangan.

            “Saya dengar, Cempaka datang ke sini dengan mak dia?” kata Mujaddid sambil melabuhkan duduk di anak tangga.

            “Macam mana awak tahu?” soalku kembali.

            “Ada orang yang beritahu. Betullah mereka datang ke sini? Apa yang mereka nak?” soal Mujaddid lagi.

            “Tak ada apa-apalah. Awak jangan risau. Saya dah menang,” balasku.

            “Awak percaya kata-kata mereka?” soal Mujaddid. Matanya menikam mataku. Jelas dia amat menantikan jawapanku. Aku menggelengkan kepala.

            “Gila nak percaya dengan Cempaka tu? Gedik pun plastik! Kata-kata dia lagilah plastik! Lagipun, siapa nak percaya kalau waktu hari kejadian yang dia kata tu pun, awak dengan saya ke KL. Saya yakin tu anak James,” balasku.

            “Awak percaya saya, kan?” soalnya lagi. Berkerut keningku memandangnya.

            “Kenapa ni? Lain macamlah awak ni,” tuturku.

            “Aidilla Azza, awak percayakan saya, kan? Awak percaya yang tu semua fitnah, kan?” soalnya. Aku memerhatikan riak wajahnya yang benar-benar sedang mengharapkan kepercayaanku. Perlahan-lahan aku mengangguk.

            “Ya, Marhaban Mujaddid. Saya percaya awak tak buat semua tu,” balasku. Mujaddid tersenyum tawar. Masih ada resah dalam pandangannya yang dihantar ke pekarangan rumah pak ngah. Aku tidak tahu apa yang bermain dalam fikirannya.

            “Saya masuk dulu. Kalau nak suruh saya ambil apa-apa, panggil aje. Pak ngah dengan mak ngah tak ada di rumah, jadi jangan masuk. Duduk di bawah aje,” tuturku. Setelah menerima anggukannya, aku melangkah masuk ke dalam rumah, meninggalkannya yang sedang melempar pandangannya yang kosong ke pekarangan rumah pak ngah.