TINGKAHNYA
yang bermain di
ruang mata memaksa bibir mengukir senyum rela. Dia menggamitku agar
mendekatinya serta ahli keluarganya. Aku sekadar menggelengkan kepala, tanda
mahu memberi privasi kepadanya. Fikiran mula berlari mengingati kenangan lebih kurang
tujuh tahun lalu yang mana telah menemukan aku dan dia. Kenangan yang telah
banyak mengajar aku untuk menjadi aku.
“Tahniah,
Aufa.” Ucapan itu tidak sedikit pun menggembirakan aku. Tidak segaris senyum
pun terbit pada bibirku. Aku menelan liur pahit melihat slip keputusan
peperiksaan percubaan penggal pertama.
“Tahniah,
Fa...”
“Congrats,
Aufa!”
Air
mukaku masih beku. Sebeku-bekunya. Tidak berkocak walau sedikit pun. Aku tahu,
tiada satu apa pun yang perlu dibanggakan dengan keputusan itu. Tertulis di
situ bahawa keputusan untuk kesemua sembilan mata pelajaran yang aku ambil
ialah 6A+ dan 3A.
Ramai
yang bergembira, tetapi aku pasti, bukan mereka. Bukan ibu bapaku.
RUANG
kosong yang tersedia pada slip keputusan peperiksaan itu masih kosong tidak
berisi. Masih menanti orang yang sepatutnya untuk ditandatangani.
Slip
keputusan yang terdampar sepi di atas meja belajar kucapai sebelum aku berlari
turun ke tingkat bawah. Aku sedikit mengah dek kepenatan. Ya, rumah aku cukup besar
untuk menghabiskan masa selama lebih kurang dua puluh minit bagi menjelajahi seluruh
rumah itu.
“Mak
Mah!” Itu panggilan aku buat ibuku. Atau lebih tepat, ibu angkatku, Fatimah.
Nama yang cukup baik. Cukup manis.
“Oh
anak bertuah, kau ni dah kenapa? Eh, dah kenapa? Haaa, apa?” Latah Mak Mah
menyebabkan aku tertawa. Senak perutku menahan sakit akibat ketawa yang keras.
“Ni...
Aufa nak minta tandatangan Mak Mah. Ustazah suruh hantar esok. Dah tiga hari
dah ni, Aufa tak jumpa papa dengan mama pun,” ujarku, menyampaikan suara hati
yang asyik berdendang sejak tadi. Mataku masih khusyuk memerhati Mak Mah yang
sedang menyiram pokok-pokok bunga di luar rumah.
“Lah,
Mak Mah lagi? Papa dengan mama balik, Aufa. Tapi kamu dah tidur,” balas Mak
Mah. Jujur, inilah pertama kali, sejak aku kecil, aku terasa jemu mendengar
kata-kata itu. Aku terasa seperti tidak mahu mengambil kisah lagi tentang
aktiviti mereka.
Cukuplah.
Aku sudah lelah. Penat. Tidak terdaya lagi untuk terus menagih perhatian yang
tidak kunjung tiba. Kejayaanku dalam pertandingan syarahan pada peringkat
negeri yang telah kuraih pada tahun lepas, entah mereka tahu atau tidak.
Keputusanku yang cemerlang dalam pelajaran pun entah mereka tahu atau tidak.
Jemputan untuk menghadiri hari anugerah kecemerlangan di sekolah selalu
dipandang sepi. Alasan yang sama, yang membuatkan aku jemu, yang membuatkan aku
faham tanpa perlu bertanya... Mereka sibuk.
“Mereka
sibuk, Mak Mah. Kalau Aufa letak slip ni atas meja kerja papa pun, entah-entah
papa tak perasan. Aufa juga yang kena cari balik selepas dua hari. Tertimbun di
bawah kertas-kertas kerja papa. Hasilnya, kosong. Sepi. Seperti tidak pernah
diusik oleh jari papa,” tuturku. Perit di hati hanya aku dan Allah sahaja yang
tahu. Terasa seperti tidak perlu lagi aku belajar bersungguh-sungguh. Terasa
seperti tidak perlu lagi aku berusaha untuk mendapatkan kejayaan yang cemerlang
kerana hasilnya nanti, papa dan mama tetap seperti selalu.
“Yalah,
yalah. Letaklah atas kaunter kat dapur tu. Nanti Mak Mah sign,” kata Mak
Mah, seakan-akan mengerti gelojak hatiku.
“Sign
apa tu, Mak Mah?” Teguran itu menyentakkan aku. Suara itu sangat dekat di sisi
telinga. Sangat asing! Sepantas kilat aku berpusing dan menapak beberapa
langkah ke belakang.
Mata
masih pegun memerhati lelaki yang tersenyum selamba di hadapanku. Senyum leretnya itu masih kukenal. Sudah lebih kurang tujuh tahun tidak kulihat senyum itu.
Riak wajahku yang kelam tadi sudah bertukar ceria. Laju sahaja langkah kubuka dan
tubuh itu kupeluk erat.
Ada
ketawa terlepas daripada bibirnya membuatkan aku turut ketawa riang. Dia turut
membalas pelukanku.
“Kenit!
Abang rindu gila dengan Han!” ujar satu-satunya abang kandungku, Hadif Afsar.
Pelukan sudah kami leraikan.
“Han
pun rindu jugak. Apasal tak bagitau nak balik?” balasku.
“Tak
suprise la kalau abang bagitau. Meh sini tengok.” Hadif sudah
merampas slip keputusan di tanganku. Aku sekadar membiarkan. Ingin juga aku
menanti reaksinya.
“Pergh!
Kenit abang dapat straight A’s! Bagus, bagus. Han, Han patut usaha lebih
lagi. Kasi ada plus belakang semua tu,” ujar Hadif. Aku tersenyum
gembira juga syukur. Akhirnya!
“Slip
ni nanti bagi abang sign lah. Nak juga abang mencemar duli sebagai
penjaga.” Kata-kata Hadif meredakan gelora di dalam dada. Hati yang sempit,
yang lelah dahulu, kini terasa lega.
“Itulah
tu, terperap dalam bilik... Abang dia dah dua jam balik pun tak sedar apa-apa,”
sampuk Mak Mah tiba-tiba. Aku terkejut. Dua jam? Sudah lama rupa-rupanya Hadif
tiba di rumah kami.
“Papa
dengan mama tak tahu ke abang balik?” soalku. Hadif menayang sengih meleret.
“Tahu.
Seminggu lepas dah abang bagitau. Papa kata okey. Mama kata okey, kita jumpa
nanti. Nanti tu pun... Tak tahu lagi bila, Han. Tapi tak apa. Kita rai bertiga
ajelah, untuk ijazah kelas pertama abang...” tutur Hadif.
“Sekali
dengan Han punya result.” Bicara Hadif menyenangkan hatiku. Aku
mengalihkan pandangan ke arah Mak Mah. Senyum manis aku lemparkan berserta
sebutir air mata jatuh di hujung mata kanan. Mak Mah sekadar tersenyum dan
mengangguk faham.
WAJAH
pelajar baharu yang mula menempa nama di sekolahku itu menggamit
perhatianku. Keputusan peperiksaan pertengahan tahun yang baru diterima tadi terasa
menambahkan lagi gunung bebanan yang dipikul pada bahuku.
Mataku
terasa pijar dek kekurangan tidur sejak belakangan ini. Kejadian sebulan yang
lalu seakan-akan meragut pergi sebahagian semangatku. Semangat yang sudah
melayang entah ke mana.
Mungkin,
benar kata Hadif, mencintai manusia yang tidak sepatutnya masih bukan hak aku.
Masih belum layak buat aku. Aku masih muda, masih terlalu banyak perkara yang
harus diperjuangkan untuk masa hadapan yang cerah. Bukan cinta semata. Cinta
yang tidak tentu yang entah-entah tidak boleh dipertahankan pun pabila tiba
masa yang sesuai nanti.
Clash.
Itu bahasa remaja kini. Atau lebih tepat, putus cinta. Memalukan? Sungguh,
memalukan. Apatah lagi apabila aku dan dialah yang dikatakan pasangan merpati
sejoli. Yang kononnya manis bersama-sama, yang kononnya padan bersama-sama,
yang kononnya dibanggakan kerana hubungan cinta olok-olok itu bertahan selama
lebih empat tahun.
Kini,
yang kecewa, siapa? Yang sakit, siapa? Yang jatuh, siapa? Akulah orangnya.
Orang yang mencintai manusia tatkala cinta pada manusia itu pada hakikatnya
masih belum layak untuk menjadi hak aku. Masih belum kenal sebenarnya hakikat
erti cinta yang sebenar-benarnya.
Slip
yang terkulai layu di atas meja kupandang sepi. Jatuh. Sungguh, jatuh! 3B+,
2B-, 2C dan 2D. Sementara mereka yang lain menunjukkan peningkatan yang ketara,
aku boleh jatuh, sejatuh-jatuhnya. Semasa memeriksa semula kertas soalan, aku
tersedar sesuatu. Aku tidak pernah ingat walau satu pun soalan yang telah
kujawab. Aku tidak menjawab dengan teliti. Aku menjawab sambil lewa.
Bukan
beban cinta olok-olok sahaja yang kutanggung pada ketika itu. Beban keluarga
yang semakin meresahkan jiwa tatkala telinga pernah mendengar suara papa dan
mama meninggi pada malam-malam tertentu. Ingin sahaja kupekakkan telinga pada
ketika itu kerana tidak mahu mendengar mengenai perbalahan mereka. Apa-apa yang
dibalahkan mereka hanyalah mengenai wang semata. Bagaimana pula dengan masa
untuk Pencipta? Masa untuk amanah Pencipta? Perit untuk menerima hakikat bahawa
aku memiliki ibu bapa yang sebegitu.
Aashiq
Kaisan. Nama itu terpapar di bahagian atas sekali. Selang tujuh belas baris
nama di atasku, dengan keputusan yang cukup cemerlang yang tidak boleh
disangkal lagi bahawa dia memang layak untuk berada di situ. Nama yang berada
di tempat kedua pun masih takkan mampu menandinginya dengan keputusan 8A+ dan
1A. Dahulu, akulah yang di situ. Kini, akulah yang di sini. Di tangga
kesembilan belas ini.
Pandangan
dan kata-kata sinis daripada rakan-rakan sekelas masih belum mampu kubuang dari
ingatan. Satu-satunya hakikat yang tak mampu aku halang. Manusia akan selalu
menilai tanpa mengkaji hakikat kebenaran sesuatu perkara itu.
Aku
terpaksa menelan pahit bak hempedu hasil daripada tindakan aku sendiri.
“Hannani.”
Aku
memandang Hanani, pelajar tingkatan tiga yang duduk jauh di hujung bangku
sebelah sana. Hanani sudah mengalihkan pandangannya ke arah suara yang menegur.
Hanya tinggal kami berdua sahaja di perhentian bas ini, seusai para pelajar
tingkatan tiga dan tingkatan lima menghadiri kelas tambahan tadi.
Jadual
kelas tambahan terancang bagi kelasku menunjukkan subjek Fizik untuk hari ini. Terasa
juga sebenarnya. Cikgu Hamra seakan-akan tidak mahu memandang aku lama-lama
setiap kali sepasang matanya berpapasan dengan mataku.
“No,
I’m sorry, my mistake. It’s not you. I mean, Hannani Aufa.” Kata-kata itu
menyebabkan aku mengangkat pandanganku. Siapa entah yang mengajar manusia ini
memanggilku dengan nama hadapanku?
Oh...
Patutlah... Pelajar baharu itu. Sejak bila dia mahu bercakap? Bukankah dia
terkenal dengan sikap kerek dan sombong yang menyebabkan dia menjadi lone
ranger dan hanya Fayyadh, pelajar skema yang juga tidak kurang bijak itu
sahaja yang berani berkawan dengan pelajar baharu itu?
“Saya?
Nak apa?” soalku. Sombong. Angkuh. Berlagak. Aku dapat kesan ketiga-tiga nada
itu dalam percakapanku. Hanani sudah bangkit daripada duduknya apabila sebuah
kereta Suzuki Swift berwarna merah berhenti di hadapan perhentian bas ini.
Aashiq
Kaisan sudah melabuhkan duduknya di sisiku dan beg sandangnya diletakkan
sebagai pemisah di antara kami.
“Angkuh,
sombong, berlagak, macam diri dah hebat sangat. Rendahkan ego,” tutur lelaki
itu. Bara api di dalam hati terasa semakin memanas. Aku tak kenal dia, dia tak
kenal aku, ada hati nak cari fasal?
“Kaisan,
awak jangan nak...”
“Aashiq,
it’s Aashiq.” Aku tersenyap seketika. Bukankah dia meminta dirinya
dipanggil dengan nama Kaisan tatkala dia memperkenalkan diri tempoh hari?
“I
don’t care whatever your name is. Apa-apa yang saya tahu, awak tak perlu
nak masuk campur dalam masalah saya. Biarlah saya sombong atau angkuh atau
berlagak kerana awak dua kali lima malah sangat, sangat, sangat kerek kalau
nak dibandingkan dengan saya!” tukasku.
“Auch!
Deep! You know what? Awak memberatkan diri awak dengan masalah yang tak
penting. Awak memberatkan diri awak dan awak mengorbankan masa depan awak hanya
kerana awak kecewa dengan cinta monyet tu dan awak rasa ibu bapa awak tiada
untuk awak. Kalau nak rasa cinta tu, sepatutnya kembali kepada Pemilik cinta.
Kalau nak rasa kasih sayang tu, awak kena kembali kepada Pemilik kasih sayang
itu. Dia akan pinjamkan, dengan pelbagai cara. Bukan awak seorang sahaja yang
ada ibu bapa seperti tidak ada. Masalah itu permainan hidup. Nak menang dalam
permainan itu, memang bukan mudah. Ada kalanya tersungkur. Sebab itu penting,
dalam usaha nak menang dalam permainan itu, selalulah kembali kepada Pencipta
permainan itu. Pencipta masalah itu. Bersyukur itu nikmat. Bersabar itu indah.
Dua asas penting dalam menghadapi masalah. Ada ke tak ada ke, bersyukur dan
bersabar. Takkan itu pun orang lain nak kena ajar?”
Pappp!
Seakan-akan satu tamparan hebat yang singgah pada pipiku. Malu! Hadif selalu
berbicara mengenai perkara yang sama. Tetapi aku seringkali lupa. Kini, Aashiq,
seseorang yang sangat asing dalam hidup aku, berbicara mengenai perkara yang
sama. Ya, aku sangat malu.
Tetapi...
Bagaimana dia boleh tahu semua itu?
“Macam
mana...”
Ya
Allah! Yalah, Fayyadh si skema itu bukan siapa-siapa yang tidak aku kenal.
Sepupu aku juga. Fayyadh! Siaplah!
“Fayyadh
bercerita, bukan dengan niat memburuk-burukkan, tetapi dia memberitahu hakikat
kebenaran di sebalik kejatuhan awak yang dibisikkan semua orang. Saya baharu,
saya tak tahu. Untuk mengelakkan saya tenggelam dalam tidak tahu itu, dia
memberitahu saya untuk tahu. Ingat saya suka nak jaga tepi kain orang yang
egonya setinggi langit? Yang angkuhnya tak kenal orang? Yang dah merasa jatuh,
tetapi masih belum sedar untuk bangun? Ingat senang untuk saya, seorang yang
tak suka bercakap, nak bercakap dengan perempuan seperti awak, Hannani Aufa?”
Aku
membisu seketika.
“Kalau
dah susah sangat, lain kali tak payah buat. Kalau tak ikhlas, apa-apa pun tak
jadi!” bidasku sambil memandangnya yang sedari tadi tidak berkalih pandangannya
dari jalan tar yang terbentang di hadapan kami.
“Tengok
tu, masih dengan angkuh, ego, sombong dan berlagak awak. Kalau sedar diri,
sepatutnya awak meminta maaf dan berterima kasih walau saya tak berharap untuk
terima kedua-dua itu daripada awak sebab saya tahu awak tu sangat keras macam
besi.”
“Tapi
kalau kena suhunya, lebur juga. Kalau kena caranya, cair juga ego awak tu.”
“Jangan
lupa pesan saya tadi. Kembali, Hannani. Assalamualaikum,” tuturnya lagi sebelum
bangkit apabila sebuah kereta Toyota Camry berwarna hitam berhenti di hadapan
kami. Wajah wanita separuh umur itu tampak ceria menantinya di dalam kereta. Dia
sempat tersenyum kepadaku. Aku membalas seadanya.
Wajah
Aashiq yang tadinya serius tanpa segaris senyuman sudah berubah. Bibirnya
mengukir senyum ikhlas. Ikhlas yang menzahirkan ketampanannya. Pintu kereta
dibuka dan salam diberi sebelum dia melangkah masuk dan melabuhkan duduknya di
kerusi penumpang, bersebelahan dengan kerusi pemandu. Tangan wanita itu dicapai
dan dicium. Kedua-dua belah pipi wanita itu turut dikucup. Usai, wanita itu
mengucup ubun-ubunnya. Kemudian kereta itu meluncur pergi meninggalkan aku
sendirian. Perut sudah bergelora. Gemuruh. Resah. Bahagianya menjadi dia.
“KENIT!!!
Straight plus, plus?” Kata-kata Hadif sudah memaksa aku menghambur
gelak tidak berbayar.
“Straight
no belok-belok. Plus, plus all. Single gone, minus gone,” balasku selamba.
Hanya kami berdua sahaja yang faham segala apa yang sedang dimengarutkan. Hadif
sudah menekan perutnya, menahan senak akibat ketawa barangkali.
“Abang,
mu nangis eh?” soalku. Hadif mengangkat wajahnya.
“Amende
Han mengarut ni?” balas Hadif. Perlahan-lahan aku menarik sengih. Semakin lama,
semakin lebar. Sengih menguji. Bukannya aku tidak nampak air matanya berjuraian
jatuh sehinggakan pipinya basah. Nak menipu aku dengan mengatakan itu air mata
gelak, lebih baik jangan.
“Okey,
memang abang kenit ni menangis. I’m proud of you, Hannani Aufa. Masa mid
year exam, Han jatuh, Han hidup macam tak jejak tanah. Tapi abang pelik,
Han balik bawa result yang jujur abang cakap, kalau abang di tempat Han,
abang akan balik sambil menangis sebab sebelum ni abang dah dapat straight.
Tapi hari tu, Han masuk kereta, tak pernah-pernah Han buat, Han bagi salam, Han
cium tangan abang, Han cakap terima kasih sebab abang sayang Han lepas tu
dengan tenang Han bagitau yang result Han jatuh mendadak. Lepas tu Han
senyum, Han cakap, Han nak usaha lebih. Han nak lupakan cinta monyet Han yang
mengarut tu. Han nak cuba pulihkan balik hubungan Han dengan mama dan papa.
Abang rasa, Han buang tabiat masa tu. Seram sejuk aje sepanjang abang drive
Han balik rumah. Bila trial, walaupun Han bawa balik result 4A+,
3A dan 2A-, yang tak sehebat result Han masa peperiksaan penggal pertama
dulu, Han masih senyum dan Han kata Han nak buang single dan minus untuk
SPM,” tutur Hadif. Aku sekadar tersenyum kecil.
“Abang
tak pernah malu nak mengaku bahawa abanglah abang kandung kenit, a.k.a, Hannani
Aufa, dulu, sekarang, dan insyaAllah, sampai bila-bila,” kata Hadif. Aku
menarik sengih. Suka betul Hadif memanggilku dengan panggilan kenit. Ketika
kecil, Hadif sangat sukar untuk menuturkan namaku. Baik Han sahaja atau Aufa.
Jadi, dia memanggilku dengan panggilan kenit kerana aku masih bayi dan
kelihatan kecil padanya yang sudah berusia sembilan tahun pada ketika itu.
“Han,
Hadif...” Lembut suara itu menyapa tangkai hatiku. Wanita bertudung yang duduk
di atas kerusi roda itu kupandang. Wajah Mak Mah yang menolak kerusi roda turut
mencuri ruang di mataku.
“Ma...”
balasku. Aku berlutut di hadapannya, tangannya kucapai, kusalam dan kucium
sebelum kedua-dua belah pipinya turut kukucup. Kucupan kasih sayangnya yang aku
masih setia nantikan masih tidak kunjung tiba. Tidak mengapa. Sabar. Biarlah
aku yang memulakan dahulu.
Slip
keputusan di tangan aku letakkan di atas ribanya. Mata tuanya memerhatikan slip
itu dengan senyuman yang semakin mekar pada
bibirnya.
“Congratulations,
you’re such a brilliant daughter,” ucapnya. Allahurabbi... Ucapan itulah
yang telah aku nantikan selama ini. Ucapan yang menunjukkan dia sedar dengan
pencapaianku. Ucapan yang menunjukkan dia tahu, bahawa akulah anaknya. Anaknya
yang begitu gigih berusaha untuk mencari perhatiannya.
“Thank
you, mama. I love you. Han bersyukur, Han tak hilang mama, Han tak hilang
papa dalam kemalangan itu,” tuturku dengan tangan yang menggenggam erat
tangannya. Papa yang sedari tadi berbual-bual dengan Encik Daud, pengetua
sekolahku sudah melangkah ke arah kami.
Mata
mama sudah bergenang. Sebutir mutiara jernih jatuh menimpa tanganku menyebabkan
aku turut merasa sayu di situ. Tangannya mula bergerak mengusap-usap pipiku.
Betapa saat itu aku sangat menikmati sentuhan kasih sayangnya. Berharap itu
bukanlah yang pertama dan yang terakhir. Saat bibirnya menyentuh ubun-ubunku
yang berlapik dengan tudung, air mataku mula menitis. Allahurabbi... Setelah
bertahun-tahun, Kau menarik kasih sayang ini daripadaku, hari ini, Kau
pinjamkannya kembali kepadaku. Syukur. Syukur yang tidak mampu aku gambarkan
dengan kata-kata.
“Mama
sayangkan Han lebih lagi. Mama yang lahirkan Han, walaupun mama akui Han banyak
membesar dengan Mak Mah, walaupun mama tak ada masa dengan Han, mama sayangkan
Han. Cuma mama terleka dengan urusan dunia sampai mama lupa, hakikat sebenar
tujuan manusia hidup di atas muka bumi ini. Sampai mama lupa, anak itu amanah
Allah. Bila Allah datangkan musibah ini, ujian ini, baru mama sedar. Baru papa
sedar. Baru kami rasa, betapa bersyukurnya kami sebab Allah tak tarik nyawa
kami dalam kemalangan itu. Masih ada peluang untuk kami bertaubat dan sampaikan
kasih sayang kami kepada anak-anak kami, walaupun mama dah tak boleh berjalan
lagi,” tutur mama. Aku sekadar diam membisu dengan kepala yang sudah kulabuhkan
di atas ribaan mama. Tangannya kuletakkan di bawah pipiku. Merasai betapa
hangatnya telapak tangan yang sudah lama tidak menyapa kulitku.
“Hannani...
saya kacau ke?” Hanya dengan panggilan itu, sudah cukup untuk aku tahu siapa
orangnya yang menegurku. Aku mengangkat pandangan dan memandang wajahnya yang
sedang tersenyum. Aku membalas senyumannya. Air mata kusapu bersih lantas aku
berdiri.
“Papa,
mama, Mak Mah, abang, ni Aashiq... Kawan perang Han,” ujarku memperkenalkan
Aashiq. Aashiq tersengih. Masing-masing faham erti kawan perang itu. Kawan
perang, sebab sama-sama ambil SPM, walaupun pada hakikatnya aku lebih muda
setahun daripada dia. Dia lahir pada pertengahan bulan satu dan aku lahir pada
awal bulan satu, hampir setahun selepas dia lahir. Keadaan ini memaksa aku
untuk bersekolah lebih awal. Kawan perang, sebab dia memang sangat suka berlawan
bicara dengan aku. Hanya dengan aku. Fayyadh? Dia selalu berpaling tadah.
Kadang-kadang dia sokong aku, kadang-kadang dia sokong Aashiq. Aashiq, kalau di
hadapan orang lain, senyaplah dia. Sepi. Macam tak kenal. Tetapi sekarang, di
hadapan keluargaku, dia kelihatan sangat ramah. Ringan sahaja mulut bertanya
dan menjawab. Ajaib!
“MENUNG!”
Sergahan itu mengejutkan aku dan mengambalikan aku ke alam realiti. Aku
berpaling ke sisi bagi memandang wajahnya. Kemudian aku mencebik tidak berpuas
hati. Entah bila dia sudah tiba di sisiku.
“Orang
panggil tadi bukan nak datang,” katanya.
“Malas.
Orang tu ada keluarga dia datang, untung. Orang ni, keluarga dia tak
datang-datang sebab abang orang ni sibuk dengan anak baru dia. Mama dengan papa
orang ni pun dah teruja nak dapat cucu baru, maka orang ni redha aje lah.
Ditinggalkan sendiri di tanah Aberdeen dalam suasana sejuk sampai orang ni beku
sorang-sorang,” tuturku panjang lebar. Aashiq sudah menghamburkan tawanya.
“Kesian...
Yalah, siapalah lagi yang nak kawan dengan orang yang ego meninggi tu, kan?
Hanya orang ni aje yang sanggup,” kata Aashiq. Aku menjegilkan mataku, tanda
peringatan... Benda lama jangan nak ungkit!
“Yalah,
tak ungkit... Nak mengusik awak pun payah!” ujar Aashiq. Aku menjeling tajam.
“Mana
boleh awak usik saya, haram! Tak belajar ke?” bidasku, sengaja memulakan
perang.
“Belajar,
apa pulak tak belajar... Dah, dah, jom, ikut saya. Kurang-kurang tak ada gambar
konvo dengan family sendiri, dengan family saya pun jadilah,”
tutur Aashiq. Aku sudah terkekeh-kekeh ketawa.
“Mengelat!
Kalah lah tu,” serangku. Aashiq membuang pandang ke tempat lain, seolah-olah
tidak mendengar buah bicaraku. Aku ketawa lagi.
“Okey,
saya ikut. Tapi sebelum tu, saya nak tanya satu soalan. Kenapa awak suruh saya
panggil awak Aashiq dan kenapa awak keras kepala yang amat, degil, tetap nak
panggil saya Hannani?” soalku. Sungguh, soalan itu sudah lama telah kusematkan
di dalam hati untuk ditanya. Aashiq yang sedari tadi ceria dengan senyumannya
sudah berubah air mukanya. Hilang senyuman pada wajahnya. Dia menundukkan
wajahnya dan memandang telapak tangannya. Kemudian, pandangannya ditala ke
arahku.
“Sebab...”
tuturnya. Kemudian dia mendiamkan dirinya. Menekur kembali telapak tangannya
sebelum pandangannya ditala ke arahku sekali lagi.
“Sebab...”
tuturnya sekali lagi. Dia seakan-akan masih mahu bermain-main dengan aku.
“Sebab
apa?!” sergahku.
“Sabarlah...
tengah fikir jawapan ni,” jawab Aashiq.
“Okey...”
Aashiq
sudah memalingkan wajahnya ke hadapan dan dia bangun daripada duduknya dengan
wajah yang cukup serius.
“Sebab
Aashiq bermaksud kekasih dan Hannani bermaksud kesayanganku. Nama itu suatu
doa. Aashiq, nama yang digunakan keluarga saya dengan harapan saya akan selalu
menjadi kekasih di dalam keluarga kami. Hannani, nama yang digunakan keluarga
awak dengan harapan awak akan selalu menjadi kesayangan di dalam keluarga awak.”
Aashiq
terus berlalu pergi dari sisiku dan mendapatkan keluarganya. Wajahnya bertukar
ceria kembali. Aku masih kelam. Fikiran masih ligat mencerna kata-kata Aashiq
tadi.
Perlahan-lahan,
wajahku terasa panas. Perut mula bergelora. Gemuruh.
“Aashiq!!!”
Jeritan itu hanya terzahir perlahan di hujung mulut.
Pandangan
kami berpapasan. Dia mengenyitkan mata kanannya. Aku menayangkan penumbuk
kananku sebagai refleks spontan. Dia ketawa. Akhirnya, aku akur. Aku turut
ketawa lantas aku bangkit dan bergerak mendekati keluarganya memandangkan
ibunya sudah kelihatan menggamit aku.
“Ini
baru masa yang sesuai, Hannani.” Entah bila dan bagaimana, suara itu boleh
berbisik tepat di telingaku. Aku terus mengangkat pandangan dan memandang ke
sisi kanan. Dia berdiri tegak dengan air muka yang tenang tidak berkocak,
berlagak seolah-olah dia tidak membisikkan apa-apa terhadapku tadi.
“Tanya
incik papa dengan incik Hadif dulu. Kalau lulus baru saya bagi
jawapan,” tuturku.
“Masalahnya,
Cik Hannani, incik papa, puan mama, Mak Mah, incik Hadif bagi green
light suruh saya tanya awak sendiri. Kalau awak nak, saya masuk. Kalau awak
tak nak pun, saya masuk jugak,” kata Aashiq. Aku tersenyap. Kagum. Terasa
rendah diri sebenarnya. Dia tidak sekali-kali membelakangkan mama dan Mak Mah
dalam urusan ini. Sedangkan aku? Aku kira, hanya papa dan abang sahaja yang
wajib ditanya. Aku lupa, mamalah yang melahirkan. Mak Mahlah yang membesarkan
dan mendidik. Jika tidak, Aashiq takkan jumpa aku yang ini.
“Awak
memang suka menghabiskan masa dengan orang ego macam saya, kan? So, itu
satu bonus untuk awak. Masuk aje lah... Kalau saya nak ke tak nak ke, tetap
awak masuk jugak, kan?” tuturku. Dia sudah menghamburkan tawanya.
“Abi!
It’s a yes for R and P,” kata Aashiq. Suaranya yang lantang memaksa keluarga
besarnya memberi perhatian.
“Alhamdulillah...”
Lafaz itu meniti di setiap bibir satu persatu. Aku tercengang, tidak mengerti
isyarat rahsia itu.
“Buat
istikharah dulu. Jangan bagi jawapan terburu-buru. Saya nak cari redha Allah,
bukan redha manusia.” Kata-kata itu membuatkan aku tersenyum sepanjang hari.
Sungguh, tak sekeping pun gambar konvokesyen aku kurang seri.
Alhamdulillah,
segala jerih perih dahulu dapat kuharungi walau payah, walau tersungkur, walau
rebah berkali-kali. Ijazah pergigian kini sudah berjaya kugenggam. Aashiq juga
begitu, dengan ijazah kejuruteraan sivil dan pembangunannya. Pengalaman banyak
mengajar aku erti hidup. Banyak mengajar aku untuk menjadi aku. Sungguh, jika
dulu aku menganggap betapa bahagianya menjadi Aashiq, kini aku merasakan betapa
bahagianya menjadi aku. Seorang Hannani Aufa. Seorang hamba Allah. Seorang
hamba Allah yang tahu apa itu bersyukur dalam setiap kesenangan dan kepayahan. Alhamdulillah.
Semoga ujian yang mendatang dapat terus aku hadapi dengan baik dalam redhaNya.
“Apakah
manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: “Kami
beriman,” sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan
sesungguhnya, Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka Allah pasti
mengetahui orang yang benar dan pasti mengetahui tentang orang yang berdusta.”
[Surah al-Ankabut, 29:2-3]
No comments:
Post a Comment