AKU
memandang wajah Mujaddid. Dia mengangkat kening dan aku mengangkat bahu.
Masing-masing sepi tanpa bicara. Aku mengetap bibir. Sesekali aku menggosok
lenganku. Mujaddid menanggalkan jaketnya dan dibalutkan ke tubuhku. Aku sekadar
tersenyum tanda terima kasih.
“Betul
ke nak terus tunggu di sini? Nak tunggu sampai hujan ni berhenti?” soalnya.
Matanya memerhatikan langit yang gelap. Hujan masih turun dengan menggila.
Angin kencang turut terasa melanggar tubuhku. Aku memandangnya.
“Kalau
tak tunggu, takkan nak redah? Sakit, tau?” balasku. Mujaddid memandangku
menyebabkan aku berkalih pandang ke arah lain.
“Kita
stay dekat rumah mak dengan ayah saya, nak? Rumah mereka dah dekat,”
ujar Mujaddid.
“Tetap
kena redah hujan jugak, kan?” soalku. Mujaddid mengangguk.
“Tapi
sekejap aje. Kalau nak redah hujan ke rumah ayah ngah, memang lamalah. Hujan ni
pun, gaya macam lambat lagi nak reda. Awak nak tak?” soalnya lagi. Aku
memandangnya. Entah mengapa aku terasa selamat pula kali ini tatkala menatap
sepasang matanya. Menyedari keterlanjuranku, pantas aku berkalih pandang.
“Lagipun,
kalau ikut jadual, hari ni family gathering. Bolehlah awak jumpa semua
ahli keluarga saya,” katanya. Aku berkira-kira ingin menerima pelawaannya.
Hujan yang masih tidak lelah membasahi bumi kupandang. Ya, aku akui bahawa
hujan ini tidak akan reda dalam masa yang sekejap.
“Okey.”
Jawapanku menerbitkan segaris senyuman pada bibir Mujaddid. Masing-masing sudah
mengangkat punggung.
“Awak
pakailah jaket ni, takkan nak pakai baju tu aje?” kataku. Mataku terarah pada
baju t putih yang tersarung pada tubuhnya. Aku kira, itu memang warna
kegemarannya. Jarang-jarang aku melihat dia memakai baju selain daripada warna
putih. Jaket kulitnya kuhulurkan kepadanya. Mujaddid menggeleng.
“Tak
apa, saya tahu awak sejuk. Awak pakai. Pakai elok-elok,” tuturnya. Aku terkedu.
Keprihatinannya menyapa hatiku. Sapaan yang melekat kuat di hatiku. Jaket
kulitnya kusarungkan ke tubuh. Aku memboncengnya dengan keadaan hati yang tidak
keruan.
AKU
kira kedatangan Mujaddid disambut dengan ceria. Aku sekadar tertunduk dan
terdiam saat Mujaddid sedang menyapa kedua-dua orang tuanya. Dia mencuit
lenganku yang berlapik dengan bajuku yang berlengan panjang. Aku mendongak
memandangnya.
“Jomlah,”
ajaknya. Aku mengangguk dan menurut langkah kakinya. Aku sapa kedua-dua ibu
bapanya dengan ucapan salam dan segaris senyuman pada bibir. Tangan emaknya
kucapai lalu kucium penuh hormat. Kepala kutundukkan sedikit sebagai tanda hormat
kepada ayahnya.
“Ni
gadis yang Adid kena jaga tu, ya?” soal emaknya. Wajahku ditatap sepasang mata
birunya. Aku sekadar mendengar bicaranya yang fasih berbahasa Melayu.
“Ya,
mak... Aidilla namanya,” kata Mujaddid.
“Marilah,
masuk. Yang lain ada di dalam,” kata ayah Mujaddid yang seingat aku namanya
sama dengan pak ngah.
“Awak,
saya seganlah,” tuturku setelah emak dan ayah Mujaddid masuk ke dalam rumah
mereka.
“Nak
segan apa? Rumah saya, rumah awak jugak,” bicaranya. Aku menjeling tajam wajahnya.
Tawanya meletus seperti sangkaanku.
“Awak
jangan nak main-main, ya? Saya segan betul-betul ni,” kataku.
“Aidilla,
betul... Rumah saya, rumah awak jugak. Baik awak masuk sekarang. Dah nak
maghrib ni. Tak takut duduk luar seorang diri?” katanya. Aku menggeleng.
“Nak
takut apa? Allah kan ada. Mana boleh takut kepada perkara lain selain daripada
Allah. Lagipun, kasihanlah dekat pak ngah dan mak ngah,” tuturku. Mujaddid
mengetap bibirnya dan membesarkan matanya.
“Awak
ni... Tadi dah kata, okey... Sekarang segan pulak,” katanya lalu dia mencapai
lenganku dan menarikku masuk ke dalam rumahnya. Kelam-kabut aku menanggalkan
sandal dek tarikannya.
“Nanti
kita telefon pak ngah, kata yang kita menginap dekat sini. Esok pagi kita
balik, ya sayang,” ujarnya. Aku mencebik. Sayanglah sangat.
“Awak
nak tahu satu perkara tak?” soalku. Mujaddid memandangku dengan kening yang
terjungkit.
“Apa?”
soalnya.
“Saya
benci awak,” ujarku lantas aku tolak tubuhnya sekuat hatiku. Mujaddid
menghamburkan tawanya.
“Saya
dah lama dah tahu. Sejak dari pertama kali kita jumpa, benci awak tu tak
habis-habis lagi,” kata Mujaddid. Aku mencebik.
“Macam
couple pun ada juga, abang ni.” Suara itu menyebabkan aku berpaling ke
kananku. Seorang wanita yang kelihatan sarat berbadan dua sedang menghampiriku.
Dia mencapai tangan Mujaddid dan menyalaminya.
“Apa
couple pulak? Sweet couple baru betul,” kata Mujaddid. Aku
menggelengkan kepala. Ada sahaja bahannya untuk mengusikku.
“Aidilla,
ni adik saya, Nadhirah. Awak lagi muda daripada dia,” jelasnya. Aku menyalami
tangan wanita yang murah dengan senyuman itu. Raut wajahnya tampak cantik.
Warna matanya seperti Mujaddid juga. Namun kukira, mata Mujaddid lebih indah
untuk ditatap.
“Adik
awak dah kahwin dulu daripada awak?” soalku lalu ketawa.
“Ya,
dialah satu-satunya yang belum kahwin lagi. Anak mak!” kata Nadhirah. Mujaddid
menarik pipi adiknya itu menyebabkan Nadhirah mencebik.
“Dia
yang gatal nak kahwin, kata orang anak mak pulak,” bidas Mujaddid. Aku sekadar
tersenyum memerhatikan gelagat mereka.
“Sakitlah,
abang! Pipi ni mahal, tau?” kata Nadhirah lalu menggosok-gosok pipinya.
“Dahlah.
Jom, masuk dalam. Ira, baju-baju Ira dulu ada lagi, kan?” soal Mujaddid.
Nadhirah mengangguk.
“Tolong
bawa Aidilla dan suruh dia mandi. Ira bagi baju Ira, ya? Nanti abang ganti yang baru,” kata Mujaddid. Aku memandangnya. Aduh! Menyusahkan saja!
“Tak
payah ganti. Ingat Ira ni kedekut macam abang ke?” ujar Nadhirah. Mujaddid
mengangkat-angkat keningnya. Nadhirah mencapai lenganku.
“Jom,
naik atas,” ajaknya. Aku sekadar menurut langkahnya. Tiada bantahan dan tiada
paksaan yang meluncur keluar daripada bibirku.
BERADA
di rumah ini walau untuk seketika, cukup untuk membuatkan mukaku terasa
hangat yang entah bila akan terhapus. Mentang-mentang Mujaddid masih lagi solo,
aku pula yang dikenenkan dengannya. Hendak membangkang, segan pula. Maklumlah,
aku hanya tetamu yang datang secara mengejut. Alamatnya, aku hanya diam dan
tertunduk sahaja.
“Kamu
kerja apa dekat sini?” Soalan Encik Karim membuatkan keningku terangkat. Bibir
kuketap. Puan Suhaila juga seakan-akan sedang menanti bicaraku. Aku tertunduk
seketika.
“Jurugambar,”
jawabku antara dengar dengan tidak.
“Dengan
ijazah perakaunan,” sambung Mujaddid menyebabkan aku memejamkan mataku
seketika. Entah reaksi apa yang bakal aku terima.
“Aid
kerja sebagai photographer since dekat KL lagi. Ijazah tu pun, papa yang
paksa ambil. Aid tak minat akaun, tapi papa yang paksa. Sekarang, bila soal
kerja, papa nak tetapkan juga. Papa bagi pilihan, sama ada Aid kerja dengan
papa atau papa akan hantar Aid ke sini. Aid memilih untuk ke sini, sebab Aid
tak nak hidup dengan apa-apa yang papa tentukan. Lagipun, bukannya papa yang
akan hadapi masa depan Aid. Aid yang akan hadapi, jadi Aid yang patut membuat
pilihan,” jelasku. Lancar sahaja aku menceritakan perihal aku kepada keluarga
Mujaddid.
“You
have made a right decision. Besides, your future is yours. Aid berhak untuk
tentukan masa depan yang bagaimana yang Aid mahu. Tapi uncle nak
ingatkan, walaupun papa Aid suka tentukan apa yang Aid perlu buat, bukan
bermakna Aid perlu bencikan dia atau sisihkan dia. He’s still your father no
matter what,” kata Encik Karim. Aku tertunduk, akur dengan kata-katanya.
“Maybe
he thinks that his decision is the best for you. Besides, you’re the only
daughter in your family. Aunty rasa, dia hanya inginkan yang terbaik
untuk Aid. Dia hanya ingin melindungi Aid,” ujar Puan Suhaila. Aku tertunduk.
Benar juga kata Puan Suhaila. Mungkin papa terlalu melindungi. Mungkin papa
mengikut segala kehendak abang kerana abang lelaki. Kehendak aku disekat hampir
kesemuanya kerana aku perempuan.
“Adid,
ladang dekat sana macam mana?” soal Encik Karim kepada Mujaddid. Mujaddid
tersenyum.
“Okey
aje, macam biasa. Kenapa?” soal Mujaddid kembali. Encik Karim berdehem beberapa
kali. Deringan telefon bimbitku membuatkan semua mata beralih kepadaku. Segera
tanganku mengeluarkan telefon dari dalam poket seluar lalu mataku menatap
sekilas nama pemanggil. Aku mengangkat pandangan dan melemparkan senyuman
kepada mereka yang memandang.
“Saya
kena jawab,” ujarku. Setelah menerima anggukan mereka, aku mula bangun dan
meninggalkan ruang tamu itu. Langkah kuatur menuju ke dapur.
“Assalamualaikum,”
ucapku setelah menerima panggilan itu. Aku dapat menangkap desah nafas abang
yang kedengaran berbeza daripada biasa.
“Waalaikumussalam,
Aid,” balas abang.
“Hmmm...
Kenapa, bang?” soalku. Kedengaran abang mengeluh kecil.
“Kalau
abang cakap, Aid jangan botakkan rambut abang. Abang betul-betul dah jaga umi,
tau?” kata abang. Hatiku menjadi cemas tiba-tiba.
“Abang!
Kenapa dengan umi?” soalku pantas.
“Umi
kena tahan dekat hospital. Dia jatuh dalam bilik air tadi. Suhu badan dia
tinggi, kaki dia terseliuh,” kata abang. Walang hatiku mendengar kata-kata
abang. Aku berdiam diri. Aku kira, hujan masih menggila, tetapi tidak selebat
tadi. Jam yang tergantung pada dinding kupandang. Ternyata masa menunjukkan
pukul sepuluh setengah malam. Aku mengeluh kecil.
“Abang
jaga umi. Kalau tak ada apa-apa aral, insyaAllah, Aid balik esok. Umi dekat
hospital biasa ke?” soalku. Hospital biasa merujuk kepada hospital yang selalu
menjadi tempat rujukan ahli keluargaku andai ada yang jatuh sakit.
“Memang
abang yang akan jaga umi. Papa baru aje balik rumah, abang minta dia rehat. Umi
dekat hospital biasa. Aid dekat rumah pak ngah ke ni?” soal abang.
“Tak,
Aid dekat rumah Mujaddid,” jawabku.
“Hah?!
Rumah Mujaddid?!” Laju sahaja suara abang menampar gegendang telingaku.
Berkerut dahiku mendengarnya.
“Yalah.
Kenapa?” soalku.
“Aid?
Aid dekat rumah dia? Biar betul? Sejak bila Mujaddid tu ada rumah?” soal abang.
“Eh,
salah. Bukan rumah dia. Rumah family dia. Kami pergi jalan-jalan dekat
bandar tadi, lepas tu Aid cari barang sikit. Tapi waktu nak balik hujan lebat,
sebab tu tinggal sini dulu,” jelasku.
“Hmmm,
lega abang dengar. Aid jaga diri elok-elok. Kirim salam dekat Mujaddid dengan
keluarga dia,” pesan abang. Aku mengangguk lemah.
“Abang
pun jaga diri jugak. Jaga umi baik-baik. Cium dahi umi untuk Aid. InsyaAllah,
esok Aid datang. Kalau ikutkan, malam ni jugak Aid nak terbang jumpa umi. Tapi
tak boleh. Abang jaga umi, tau? Assalamualaikum, abang,” ucapku. Setelah
menerima jawapan abang, aku mematikan talian. Aku menekur lantai. Tubir mataku
mula bergenang. Perlahan-lahan tubuhku melorot jatuh. Aku bersandar pada
kabinet dapur itu. Kaki kurapatkan ke dada lantas kupeluk. Aku menyembamkan
wajahku di situ. Entah mengapa, perasaan bimbang tidak dapat berbicara dengan
umi lagi mengasak hatiku. Air mataku mengalir semakin laju kerana hal itu.
Bimbang tidak dapat meraih kemaafan daripada umi.
“Aidilla.”
Suara Mujaddid menyebabkan aku berpaling. Segera kukesat pipi yang basah. Namun
air mata masih tidak segan menitis.
“Kenapa
ni?” soal Mujaddid. Nada suaranya kedengaran prihatin.
“Abang
kirim salam dekat awak dan keluarga awak,” ujarku tersangkut-sangkut dek
sedu-sedan yang singgah.
“Kenapa
awak menangis? Apa dah jadi di sana?” soalnya. Aku menggeleng-gelengkan kepala.
Tidak mahu menyusahkan Mujaddid lagi.
“Aidilla!”
Dia menerpa ke arahku lantas bertinggung di hadapanku. Aku mengesat lagi pipiku
yang basah.
“Tak
ada apa-apa, awak tak perlu tahu,” kataku. Kerutan pada keningnya cukup untuk
membuatkan aku tahu bahawa dia tidak suka mendengar apa yang baru aku katakan.
“Hei,
awak sedang menangis dan saya kena tahu apa sebabnya. Cakaplah, Aidilla!” kata
Mujaddid. Dia memaut bahuku dan tubuhku digoncang. Aku masih menggeleng.
“Saya
tak nak susahkan awak,” ujarku. Mujaddid menggeleng.
“Dengan
awak, tak ada apa-apa yang menyusahkan,” kata Mujaddid. Aku memejamkan mataku
seketika. Cukuplah! Janganlah bermain-main dengan perasaan.
“Kalau
saya kata saya mahu ke Kuala Lumpur malam ni, bukankah itu akan menyusahkan
awak?” ujarku. Bulat mata Mujaddid memandangku.
“Hei,
kenapa ni? Kalau awak nak ke sana, saya boleh bawakan walaupun awak minta untuk
ke sana pada malam ni. Tapi saya kena tahu, kenapa awak nak ke sana,” kata
Mujaddid. Aku menggeleng.
“Tak
apalah. Lagipun dah lewat, awak patut berehat,” tuturku. Aku mengelap lagi
pipiku yang basah.
“Awak
fikir boleh ke saya nak berehat dengan keadaan awak yang begini? Masalah awak,
masalah saya jugak. Apa-apa yang terjadi kepada awak, terjadi kepada saya
jugak. Kalau awak sedih sekarang, saya pun sedih jugak!” Suara Mujaddid
tiba-tiba meninggi membuatkan aku tersentak. Aku memandangnya dengan mata yang
bergenang.
“Aidilla
Azza. Tell me, why?” Suaranya kembali lembut. Matanya mula melatari wajahku
membuatkan aku tertunduk.
“Please,
tell me, sayang. Tell me, why?” ujarnya separuh merayu. Sudah aku
kata, dia memang suka bermain perasaan dan sememangnya sukar untuk aku menerima
kata-katanya sebagai suatu gurauan.
“Umi...”
desisku perlahan.
“What’s
wrong with umi?” soalnya pantas. Matanya bergerak mencari mataku. Aku tidak
melarikan pandanganku yang dikaburi air mata.
“Umi
dekat hospital. Dia jatuh dalam bilik air. Suhu badan dia tinggi. Kaki dia
terseliuh. Saya takut... Saya takut tak dapat cakap dengan dia lagi. Saya takut
saya tak sempat minta maaf dengan dia. Saya takut...” tuturku hampir senafas.
Air mata semakin deras mengalir.
“Syyy!
Stop it! Jangan fikir bukan-bukan, boleh? She’ll be fine. Don’t
worry, sayang. Doakan dia, kita balik KL malam ni,” kata Mujaddid. Aku
menggelengkan kepala.
“Tak
nak! Susahkan awak. Saya tak suka susahkan awak,” bantahku. Mujaddid
menggelengkan kepalanya.
“I
insist! Kita naik kereta saya. Kita balik KL malam ni. Kita jumpa umi
kita,” ujar Mujaddid. Ah! Mengapa suka benar dia memainkan perasaanku?
Mujaddid
sudah berdiri. Melihat aku yang masih diam dengan mata yang masih setia pada
lantai, dia mencapai lenganku. Aku tersentak. Pantas aku memandangnya. Dia
menarikku untuk bangun. Aku terpaksa menurut. Sejurus itu, dia melepaskan
kembali tanganku.
“Kita
balik, Aidilla. Kita balik,” ujar Mujaddid. Aku diam sahaja dengan kepala yang
masih menunduk.
“Saya
pack barang-barang saya sekejap. Awak tunggu di ruang tamu,” pesan
Mujaddid sebelum mengatur langkahnya meninggalkan ruang dapur itu. Aku bergerak
ke ruang tamu, seperti arahannya. Sebaik sahaja aku mengangkat muka, aku
terpandangkan seraut wajah yang belum pernah kulihat sebelum ini. Wajahnya
beraut Kaukasia dan tiada raut Cina. Remaja itu tersenyum ke arahku. Aku
membalas dengan senyuman hambar.
“Aid,
ni Izzan, anak saudara aunty. Dia ada di atas sejak tadi. Dia tak turun
makan malam bersama-sama kita,” jelas Puan Suhaila. Aku mengangguk terhadap
remaja itu sebagai salam perkenalan.
“Nama
akak Aidilla Azza, boleh panggil Kak Aid saja. Kamu?” soalku cuba
beramah-mesra.
“Muhammad
Izzan, panggil Izzan,” balas Izzan. Memang jelas riak wajahnya yang malu-malu.
“Izzan
ni memang pemalu banyak. Sebab itulah asyik terperap saja. Kembar dia pun ada tadi.
Pergi ke tandas rasanya. Kembar dia perempuan, Inayah. Waktu kita makan tadi,
dia makan di dapur saja. Mungkin Aid tak persan kot?” ujar Nadhirah pula.
“Mak,
Izzan mana?” Suara Mujaddid menyebabkan aku berpaling.
“Hmmm,
Izzan, kat sini kau rupanya. Abang nak ajak kau dengan Inayah ke KL, nak ikut?”
soal Mujaddid. Bersinar-sinar mata Izzan memandang Mujaddid.
“Bila,
bang?” soal Izzan.
“Sekarang.
Pack baju kau untuk dua hari. Umi Kak Aidilla sakit,” kata Mujaddid.
Pantas Izzan bangun daripada duduknya dan mengikut langkah Mujaddid ke tingkat
atas.
“Umi
Aid sakit?” soal Puan Suhaila. Aku mengangguk sahaja.
“Dia
jatuh dalam bilik air tadi. Suhu badan dia tinggi. Kaki dia terseliuh. Sekarang
dia kena tahan dekat wad,” jelasku.
“Nak
ke sana malam ni juga?” soal Puan Suhaila. Aku tertunduk seketika.
“Kalau
ikutkan, memang Aid nak balik malam ni tapi bila Aid fikir balik, Aid tak nak
susahkan Adid. Tapi tadi Adid yang kata, dia nak ke sana malam ni juga. Aid
ikut saja. Aid risaukan umi,” jelasku. Puan Suhaila mengangguk.
“Baguslah.
Aunty minta maaf, ya? Rasanya aunty tak boleh ke sana. Sampaikan
salam aunty sekeluarga untuk keluarga Aid, ya?” kata Puan Suhaila.
“InsyaAllah.
Tadi abang Aid kirim salam dekat semua,” ujarku.
“Oh,
Hairul, ya?” kata Puan Suhaila. Aku sekadar mengangguk. Tidak mahu bertanya,
bagaimana dia boleh mengenali abang. Aku kira, sudah pastilah emak Mujaddid
mengenali abang kerana abang dan Mujaddid berkawan. Usai Mujaddid, Izzan dan
Inayah mengemas barang-barang keperluan mereka, terus sahaja kami bertolak ke
Kuala Lumpur. Tinggi harapanku agar umi tidak apa-apa.
“AWAK
baliklah ke rumah keluarga saya. Bawa Izzan dan Inayah sekali. Mereka tentu
penat. Awak semua patut berehat,” ujarku. Wajah umi yang sedang lena kupandang
sayang.
“Lepas
saya hantar mereka, saya ke sini semula.” Kata-kata Mujaddid membuatkan
pandanganku beralih arah ke wajahnya.
“Tak
perlu. Awak rehatlah. Saya nak jaga umi,” balasku.
“Siapa
nak jaga awak?” soalnya. Aku mengetap bibir. Mataku yang sememangnya sembab
kubesarkan memandangnya.
“Ni
hospital. Mana nak cari orang jahat? Saya okeylah. Abang saya ada tu,” balasku
lalu kujuihkan bibir ke arah abang yang sedang lena di sofa.
“Bang,
betul cakap Kak Aid tu. Dekat hospital ni mana ada orang jahat. Kita balik
sajalah ke rumah Kak Aid,” ujar Inayah. Izzan mengangguk-angguk tanda setuju.
“Abang,
kalau dah sayang sangat dekat Kak Aid tu, sampai tak nak tinggal dia seorang
diri, kahwin sajalah. Senang sikit nak jaga, nak peluk ketat-ketat pun boleh,”
kata Inayah lagi. Kali ini, Izzan terkekek-kekek ketawa. Aku tertunduk. Kepala
kugelengkan beberapa kali dengan senyum kecil pada bibir.
“Ni
terlebih mengantuk ke apa ni? Kalau abang sayang Kak Aidilla pun, hal abanglah.
Kalau abang nak kahwin dengan dia pun, hal abang jugak. Sibuk aje,” gerutu
Mujaddid.
“Dahlah,
awak balik aje dan rehat. Saya dah beritahu papa tadi, yang awak akan ke rumah.
Dia kata okey. Jadi sekarang, awak balik,” kataku. Mujaddid memandangku. Jelas
bahawa dia geram mendengar kata-kataku.
“Okey,
saya balik. Lepas subuh esok saya datang balik,” balasnya. Aku mengecilkan mata
memandangnya.
“Dah
sayang sangat tu, kahwin ajelah,” ujar Inayah sekali lagi. Mujaddid menayangkan
penumbuknya di hadapan wajah Inayah. Tersengih-sengih gadis itu memandangnya.
“Mujaddid,
awak balik, rehat. Saya tak kisahlah awak nak datang balik ke apa ke, tapi awak
hanya boleh jejak kaki di bangunan ni selepas subuh esok. Faham?” tuturku,
tegas. Mujaddid merapatkan kedua-dua belah tangannya lantas dibawa ke dahi.
“Menjunjung
perintah, tuanku,” ucapnya lantas tangannya dijatuhkan. Wajahku dipandang
dengan senyuman pada bibirnya.
“Hmmm,
dahlah tu, bang. Taulah abang tak mengantuk pandang muka kakak tu, tapi ingat
sikit kami ni. Mana tak mengantuk pandang muka abang yang macam dah angau dua
puluh empat jam tu?” kata Inayah. Aku tertawa perlahan. Aku kira, Inayah memang
banyak berbicara memandangkan pasangan kembarnya lebih suka berdiam diri.
Kepala gadis itu disekeh oleh Mujaddid. Inayah menggosok-gosok kepalanya.
“Aidilla,
kami gerak dulu. Awak jaga diri. Apa-apa call saya,” pesan Mujaddid. Aku
mengangguk.
“Take
care, dear. Assalamualaikum,” ucapnya dengan senyuman pada bibirnya sebelum
beredar meninggalkan bilik yang menempatkan umi. Sungguh aku tidak faham dengan
lelaki ini. Suka benar mengacau-bilaukan hatiku.
AKU memerhatikan foto-foto
yang tersusun di atas meja. Sejurus itu, tanganku bergerak memasukkan foto-foto
itu ke dalam sebuah album. Bibirku mengukir senyum dalam sedar. Entah berapa
banyak aku sudah berhutang dengan Mujaddid. Dia memang banyak membantuku.
Masih
segar dalam ingatanku, akan ucapan papa pada pagi itu. Pertama kali bersua muka
dengan papa selepas menetap dengan pak ngah di sini, papa meluahkan kata-kata
yang cukup menggembirakan hatiku. Gembira yang masih terasa hingga ke hari ini,
walau sudah hampir tiga minggu berlalu.
“Papa
sokong cita-cita Aid. Aid boleh jadi photographer kalau itu yang Aid
suka. Papa takkan halang lagi.” Itulah kata-kata papa yang membuatkan aku tidak
segan untuk memeluk papa pada ketika itu. Air mataku tumpah kerana kata-kata
itu. Sempat aku menangkap mata Mujaddid yang sedang merenung ke arah aku dan
papa. Dia tersenyum. Aku yakin, memang dia yang telah mengubah hati papa.
Mulai
hari itu, aku tidak lagi membandingkan apa-apa yang abang dapat dengan apa-apa
yang aku dapat. Aku kira, papa sudah yakin bahawa kerjaku sekarang mampu
memberi aku makan. Tetapi untuk kembali menetap dengan papa, umi, dan abang di
Kuala Lumpur, aku tidak mahu. Aku lebih selesa di sini, dengan suasana ini.
“Karim!
Karim! Ros! Ros!” Suara itu menyebabkan senyuman pada bibirku mati. Pantas aku
menyarung tudung dan melangkah keluar daripada bilikku.
“Assalamualaikum,
mak cik. Mak ngah dengan pak ngah tak ada, mereka ke bandar. Kenapa kecoh-kecoh
ni? Jemputlah naik dulu,” ujarku sebaik sahaja aku memijak anak tangga rumah
itu. Kedua-dua tampang di hadapanku kupandang bergilir-gilir. Satu tampang
dengan riak resah, dan satu lagi tampang dengan riak marah.
“Tak
ada masa aku nak jejak rumah ni. Budak Mujaddid tu mana? Mana budak tu?” soal
Mak Cik Melati, ibu kepada Cempaka.
“Kenapa
mak cik cari dia?” soalku.
“Kau
tanya aku balik kenapa? Budak tu mana? Entah-entah dia ada dekat dalam dengan
kau, kan? Yalah, Karim dengan Ros tak ada, bolehlah kau orang berdua
bersenang-lenang, kan? Hei... Kau ni memang tak gunalah! Sama macam budak
Mujaddid tu!” tuduh Mak Cik Melati. Bulat mataku memandangnya.
“Astaghfirullahalazim,
mak cik! Mak cik jangan nak fitnah yang bukan-bukan! Yang mak cik nak buruk-burukkan
Mujaddid dengan saya ni kenapa? Mak cik tak ada kerja lain dah?” soalku. Entah
ke mana hilangnya rasa hormatku terhadap orang yang lebih tua.
“Budak
tu mesti ada dekat dalam! Aku tahu dia ada dekat dalam. Kau dengan dia mesti
buat benda-benda tak senonoh bila Karim dengan Ros tak ada. Budak tu pun
bukannya baik sangat!” kata Mak Cik Melati lagi. Aku menggeleng-gelengkan
kepala.
“Mak
cik ni kenapa? Mak cik tahu, sekarang pukul berapa? Sekarang pukul sepuluh
pagi, dia pergi kerjalah! Mak cik ingat dia tak ada kerja ke macam anak mak cik
tu?” ujarku. Cempaka memandangku dengan jelingan tajam.
“Kau
jangan nak buruk-burukkan anak aku pulak! Budak tu dah buntingkan anak aku,
tahu?” Kata-kata Mak Cik Melati membuatkan aku tersentak. Aku memandang Cempaka.
Jelas senyuman sinis terpamer pada wajahnya. Tatkala matanya bertembung dengan
mataku, terus sahaja wajahnya bertukar resah.
“Entah-entah,
kau pun dah dibuntingkannya,” sambung Mak Cik Melati lagi. Ya Allah! Rasa macam
nak koyakkan saja mulut dia!
“Astaghfirullahalazim,
mak cik!” Sedikit terjerit suaraku pada kali ini. Mujurlah rumah pak ngah terletak
agak jauh daripada rumah jiran-jiran yang lain.
“Apa?!
Kalau duduk rumah lain-lain, pun boleh jadi. Inikan pulak satu rumah!” tempelak
Mak Cik Melati. Aku memejamkan mataku seketika. Mengumpul semangat yang entah
bila gugur sedikit demi sedikit.
“Kandungan
awak tu berapa bulan, Cempaka?” soalku lantas aku melepaskan nafas perlahan.
“Tiga
minggu,” jawab Cempaka perlahan sambil tertunduk.
“Ada
laporan doktor? Nak tengok?” soalku. Cempaka mengeluarkan sesuatu daripada
poket baju kurung yang dipakainya lantas dihulurkan kepadaku. Aku membuka
lipatan surat itu dan membaca dengan penuh teliti.
“Bila
awak buat benda tak senonoh dengan bapa budak ni?” soalku lagi.
“Tiga
minggu lepaslah,” jawabnya. Aku menyembunyikan senyum sinis.
“Awak
memang rela dia buat begitu kepada awak?” soalku. Cempaka memandangku sebelum
menundukkan kepalanya.
“Malam
tu, mak saya tak ada di rumah, dia datang ke rumah dan dia yang mulakan,” jelas
Cempaka.
“Awak
pun ikut aje? Tak halang? Tak melawan? Kalau betul awak memang nak jaga maruah
awak, awak boleh lawanlah!” bentakku, kasar.
“Saya
perempuan! Dia lelaki! Tenaga dia lebih banyak daripada saya. Setakat manalah
saya boleh melawan?” balasnya.
“Ingat
tak hari yang awak datang rumah saya masa saya dengan Mujaddid tengah ambil
rambutan?” soalku. Cempaka mengangguk.
“Malam
tu dia lambat balik ke rumah,” ujarku.
“Malam
tu juga dia ke rumah saya,” sambung Cempaka pantas. Aku tersenyum sinis.
“Betul
ke hari Khamis malam Jumaat tu mak cik tak ada di rumah?” soalku kepada Mak Cik
Melati.
“Memang
aku tak ada dekat rumah masa tu. Kau banyak sangat tanya ni kenapa?” balas Mak
Cik Melati.
“Macam
mana mak cik boleh tahu bahawa Mujaddid yang buat semua tu?” soalku. Mak Cik
Melati kelihatan serba salah. Dia memandang anaknya.
“Cempaka
yang beritahu aku,” jawabnya. Aku ketawa sinis.
“Mak
cik percaya cakap anak mak cik ni?” soalku. Aku sedar mata Cempaka tajam
menikam wajahku.
“Mak
cik tahu tak dia dah tipu mak cik bulat-bulat? Anak mak cik ni yang gatal! Dah
tak ada kerja, setiap hari ke rumah orang, menggatal dengan anak teruna orang.
Tergedik sana-sini. Apa yang saya boleh buat kalau lelaki-lelaki kampung ni
tergoda dengan kegedikan dia tu? Dia sendiri yang cari penyakit. Mak cik, cuba
mak cik tanya balik dekat Cempaka, siapa bapak budak tu yang sebenarnya. Sebab,
hari Khamis malam Jumaat sampailah hari Isnin malam Selasa, saya dengan
Mujaddid tak ada dekat kampung ni. Kami ke Kuala Lumpur, umi saya sakit. Saya
ada lebih daripada dua orang saksi kalau mak cik tak percaya kata-kata saya.
Kalau nak sepuluh orang saksi pun, saya boleh bagi dekat mak cik. Kalau mak cik
nak surat doktor pun saya boleh bagi. Biar mak cik tengok tarikh umi saya masuk
hospital,” ujarku. Bulat mata Mak Cik Melati memandang Cempaka.
“Cempaka!
Kau bagitahu mak, budak dalam perut kau ni anak siapa?!” Tinggi suara Mak Cik
Melati menampar gegendang telingaku.
“Mak!
Sumpah mak! Ni anak Mujaddid! Perempuan tu yang tipu mak!” kata Cempaka. Jelas
ketakutan dalam matanya
“Kalau
mak suruh kau junjung Quran dan bersumpah yang anak tu memang anak Mujaddid,
kau sanggup?!” soal Mak Cik Melati. Aku tersentak, Cempaka juga kelihatan
begitu. Dia terdiam.
“Cempaka!
Kau tahu tak, fitnah berzina tu fitnah yang berat?! Lagi-lagi fitnah itu datang
daripada mulut seorang wanita!” ujarku. Cempaka memandangku tajam.
“Kau
diamlah!” bentak Cempaka.
“Siapa
bapak budak tu?” soalku. Cempaka diam sahaja.
“Oh!
Aku tahu! James, kan? Atau apa kau panggil dia? Honey? How sweet!
Berapa lama dah kau orang buat kerja ni? Dah terlekat, tuduh orang lain pulak!”
bidasku. Aku memang sudah lama memerhatikan gerak-geri Cempaka yang tidak
pernah lekat di rumah. Bukan aku mahu menjaga tepi kain orang, tetapi apabila
setiap kali aku mahu ke ladang getah pak ngah, aku akan ternampak mereka
bermesra di tempat yang aku kira, memang tersorok daripada orang ramai.
Entahlah, rezeki aku untuk melihat dan membongkar rahsia mereka barangkali.
“Aku
tahu jugak, kenapa kau suka datang rumah ni. Sampai tiga kali sehari, tujuh
hari seminggu. Sebab kau nak buat Mujaddid tangkap leleh dengan kau, kan? Kau
nak kaut harta dia, ya?” bidasku lagi. Bulat mata Cempaka memandangku. Mulutnya
juga sedikit terlopong.
“Aku
tak tahulah harta apa yang kau nampak pada dia. Apa yang aku tahu, Mujaddid
kaya dengan ilmu dan adab. Dia pandai menghormati dan menghargai wanita. Dia
pandai menjaga wanita. Dia bukan perosak wanita, bukan seperti James kau tu.
Apa yang aku paling suka nak cakap, selama ni kau buang masa aje tergedik-gedik
depan rumah pak ngah aku ni. Sebab apa? Sebab Mujaddid tak terleleh walau
setitik pun bila pandang kau. Lagi dia rasa loya, adalah,” kataku.
“Oh,
ya! Kalau perangai Mujaddid tu memang buruk sungguh, awal-awal saya duduk sini
lagi dia dah buat perkara tak elok dekat saya. Macam mak cik kata tadi, duduk
serumah, kan? Kalau betul perangai Mujaddid tu buruk, kenapa selama dua tahun
dia tinggal di sini, orang ramai makin sukakan dia? Hanya orang yang busuk hati
macam kau aje Cempaka, yang nampak orang baik sebagai orang yang buruk. Lain
kali, janganlah gajah di seberang laut aje kau nampak, lalat di depat mata pun
kau tak nampak,” tuturku.
“Kalau
tak ada apa-apa lagi, saya masuk dulu, mak cik, Cempaka. Saya ada kerja nak
buat. Tak naklah menghabiskan beras pak ngah saya aje,” ujarku.
“Kau
ni, Cempaka! Dasar anak tak mengenang budi! Rugi duit aku aje besarkan kau.
Kalau tak disebabkan Ila tu, aku takkan tahu yang kau ada buat perkara tak
senonoh dengan Si James tu. Geli aku nak besarkan kau nilah! Hish! Dah, balik
rumah sekarang! Buat malu aku aje kau ni!” tempelak Mak Cik Melati. Dia
menunjal-nunjal kepala Cempaka sebelum menolak tubuh gadis itu supaya bergerak
mendahuluinya. Mulutnya bergerak seiring dengan langkah kakinya.
Aku
tersenyum senang. Tidak sangka yang aku tidak perlu menghubungi walau seorang
pun saksi untuk meyakinkan Mak Cik Melati tentang ketidakberadaan aku dan
Mujaddid di kampung ini pada hari kononnya kejadian yang menimpa Cempaka itu
berlaku.
“Assalamualaikum,
Aidilla!” Panggilan itu mematikan niatku untuk berpaling.
“Waalaikumussalam.
Awal balik?” balasku. Botol air yang dibawanya bertukar tangan.
“Saya
dengar, Cempaka datang ke sini dengan mak dia?” kata Mujaddid sambil melabuhkan
duduk di anak tangga.
“Macam
mana awak tahu?” soalku kembali.
“Ada
orang yang beritahu. Betullah mereka datang ke sini? Apa yang mereka nak?” soal
Mujaddid lagi.
“Tak
ada apa-apalah. Awak jangan risau. Saya dah menang,” balasku.
“Awak
percaya kata-kata mereka?” soal Mujaddid. Matanya menikam mataku. Jelas dia
amat menantikan jawapanku. Aku menggelengkan kepala.
“Gila
nak percaya dengan Cempaka tu? Gedik pun plastik! Kata-kata dia lagilah
plastik! Lagipun, siapa nak percaya kalau waktu hari kejadian yang dia kata tu
pun, awak dengan saya ke KL. Saya yakin tu anak James,” balasku.
“Awak
percaya saya, kan?” soalnya lagi. Berkerut keningku memandangnya.
“Kenapa
ni? Lain macamlah awak ni,” tuturku.
“Aidilla
Azza, awak percayakan saya, kan? Awak percaya yang tu semua fitnah, kan?”
soalnya. Aku memerhatikan riak wajahnya yang benar-benar sedang mengharapkan
kepercayaanku. Perlahan-lahan aku mengangguk.
“Ya,
Marhaban Mujaddid. Saya percaya awak tak buat semua tu,” balasku. Mujaddid
tersenyum tawar. Masih ada resah dalam pandangannya yang dihantar ke pekarangan
rumah pak ngah. Aku tidak tahu apa yang bermain dalam fikirannya.
“Saya
masuk dulu. Kalau nak suruh saya ambil apa-apa, panggil aje. Pak ngah dengan
mak ngah tak ada di rumah, jadi jangan masuk. Duduk di bawah aje,” tuturku.
Setelah menerima anggukannya, aku melangkah masuk ke dalam rumah, meninggalkannya
yang sedang melempar pandangannya yang kosong ke pekarangan rumah pak ngah.
No comments:
Post a Comment