AKU
tiba di rumah pak ngah tepat jam enam setengah petang. Mujaddid yang berada
di bawah rumah memandangku dengan pandangan yang tajam. Sempat aku membesarkan
mataku ke arahnya, menandakan bahawa aku betul-betul geram dengannya.
“Assalamualaikum!”
Ucapan salam aku hulurkan.
“Waalaikumussalam.”
Jawapan salam daripada Mujaddid sama kuat dengan salam yang kuhulur. Aku
menjelingnya. Kasut yang tersarung pada kaki kutanggalkan. Usai membasuh kaki,
aku mendaki anak tangga dan masuk ke dalam rumah.
“Anak
dara tak elok balik senja-senja,” kata mak ngah dari arah dapur. Aku tersengih.
“Ila
pergi jalan-jalan dekat kampung ni aje, mak ngah,” jawabku lantas melangkah
masuk ke dalam bilik yang disediakan untukku. Suis kipas dan lampu dipetik.
Selendang yang terlilit di kepala kutanggalkan. Tuala kucapai dan langkah kuatur
ke ruang tamu.
“Marhaban
Mujaddid! Jangan masuk ke dalam rumah sebelum saya bagi arahan awak boleh
masuk.” Sempat aku berpesan kepada Mujaddid melalui tingkap di ruang tamu
sebelum tingkap itu kututup.
“Apa-apa
ajela, Cik Aidilla...” Jawapan Mujaddid sempat singgah pada pendengaranku sebelum
aku mengatur langkah ke bilik air.
TELINGAKU
menangkap suara pak ngah dan Mujaddid yang sedang rancak berbual-bual.
Andai tidak silap pendengaranku, suara mereka datang dari ruang makan yang
letaknya berhampiran dengan bilik air ini. Aku mengetap bibir. Sah! Dia memang
gila!
“Hish!
Aku pesan bukan nak dengar. Sekarang siapa yang susah? Kau dengan aku jugak,
kan?” bebelku sendirian sambil tangan mengemaskan kain batik basahan pada
tubuh. Tuala yang kubawa bersama-sama aku gunakan untuk menutup bahagian kepala
hingga ke lenganku.
“Pak
ngah, Aid keluar nanti pak ngah tekup muka anak kesayangan pak ngah tu, ya?”
jeritku dari dalam tandas. Entah pak ngah dengar atau tidak. Perbualan tadi
masih belum mati.
Dengan
lafaz basmallah dalam hati, aku membuka selak pada pintu tandas dan melangkah
keluar. Laju sahaja langkah yang kuatur. Entah mengapa, keadaan yang tadinya
rancak dengan perbualan menjadi sepi begitu sahaja.
Sampai
sahaja di bilikku, aku menghempas pintu bilik. Hembusan nafas lega kulepaskan.
Kehadiran Mujaddid benar-benar menyusahkan!
“AIDILLA,
tak nak ikut kami ke masjid?” soal Mujaddid. Aku masih beku di kerusi rotan
yang teratur letaknya di ruang tamu.
“Pergi
sajalah, saya jaga rumah. Lagipun perempuan kan elok solat di rumah saja,”
balasku. Sempat kutatap wajah mak ngah sekilas, memohon pengertian mak ngah.
“Tapi
kalau di rumah awak tinggal seorang sajalah. Rugi tak kutip pahala berjemaah,”
kata Mujaddid. Hish! Banyak cakap betul dia ni.
“Kalau
awak nak sangat saya dapat pahala berjemaah, marilah awak tinggal di rumah
dengan saya, awak imamkan solat saya. Nak sangat, kan?” ujarku penuh beremosi.
Wajahnya kujeling entah untuk ke berapa kali pada hari ini.
“Mana
boleh tinggal berdua saja, tak baik,” balas Mujaddid.
“Haaa,
tau pun, kan? Dah tu? Awak pergi sajalah dengan mak ngah dan pak ngah. Tinggal
saya di sini sorang-sorang. Biar saya jaga rumah. Awak tak perlulah nak jaga
saya sangat, saya pandai jaga diri,” tempelakku. Dia ni tak faham bahasa ke
apa? Kalau aku cakap dengan kucing pun, kucing tu faham yang aku tak nak ikut
ke masjid.
“Awak
jangan lari macam petang tadi. Nanti apa saya nak jawab dengan Hairul,” pesan
Mujaddid.
“Apa
awak ingat saya ni kanak-kanak riang yang tak pandai berfikir? Kalau saya lari
pun saya nak ke mana? Luas manalah sangat kampung ni. Tup-tup nanti awak jumpa
juga,” ujarku. Mujaddid terdiam seketika.
“Dahlah,
awak pergilah masjid. Nanti lambat pula sampai,” tuturku lantas langkah kuatur
ke muka pintu. Pak ngah, mak ngah, dan Mujaddid sudah menyarung pengalas kaki
masing-masing.
“Selak
pintu tu,” pesan Mujaddid. Aku membesarkan mataku memandangnya.
“Ya,
Marhaban Mujaddid!” balasku. Setelah kelibat mereka hilang dari pekarangan
rumah mak ngah, aku menutup pintu dan memasang selak pada pintu seperti pesan
Mujaddid tadi.
“PAK
NGAH, kenapa pak ngah tak pernah beritahu yang ada orang duduk dekat rumah
pak ngah?” soalku ketika sedang menjamah makan malam. Sempat kukerling wajah
Mujaddid yang duduk berhadapan denganku.
“Laaa,
buat apa nak bagitahu? Aidilla tak tanya pun,” kata pak ngah. Haih! Loyar buruk
pula pak ngah ni!
“Takkan
nak kena tunggu Ila tanya? Setiap hujung minggu Ila telefon pak ngah takkan pak
ngah tak teringat nak cerita?” soalku. Mujaddid memandangku.
“Awak
ke yang selalu kecohkan rumah tiap-tiap hujung minggu?” Mak ngah dan pak ngah
ketawa mendengar kata-kata Mujaddid. Aku mengetap gigi. Mata kubesarkan
memandangnya.
“Pak
ngah, anak angkat pak ngah ni asal mana?” soalku.
“Tu,
tanya tuan badan tu sendiri. Depan mata tak nak tanya,” kata pak ngah sambil
menjuihkan bibir ke arah Mujaddid. Aku mencebik.
“Tak
naklah. Nanti entah apa-apa yang dia jawab. Dia ni kan tak sihat sikit.”
Selamba aku melemparkan kutukan kepada Mujaddid.
“Dia
yang tak waras, ada hati nak kata orang. Tak konsisten!” bebel Mujaddid.
“Apa
maksud awak ni?” soalku.
“Tu,
siang tadi ada. Sekarang hilang?” ujarnya merujuk kepada tudungku.
“Masalahnya,
saya ada satu aje. Awak jangan banyak cakap, boleh? Sibuklah awak ni,” bidasku.
“Kenapa
tak pinjam dengan ibu ngah?” Soalannya sepi tanpa sebarang jawapan.
“Kalau
awak dah tak suka sangat saya tak pakai tudung, awak keluarlah dari sini. Tidur
dekat bawah rumah tu. Tak adalah saya menambahkan dosa awak, kan? Awak pun tak
tambahkan dosa saya,” ujarku setelah lama aku mendiamkan diri. Pantas kubangun
dan mengangkat pinggan bersama-sama ke singki dapur. Usai mencuci pinggan, aku
mengorak langkah ke bilikku. Masih terasa geram akan Mujaddid.
KEDATANGAN
Umar dan Ashilah pada petang itu benar-benar membawa tuah buatku. Selain
membawa air batu campur, Umar juga menawarkan aku untuk menjadi jurugambar
semasa hari pernikahannya nanti. Sungguh aku tidak menyangka bahawa Umar akan
memberikan aku tawaran itu. Tawaran itu aku terima dengan hati yang terbuka.
Sebaik
sahaja Umar dan Ashilah pulang, aku menghabiskan masa di atas pangkin yang
dibina di bawah rumah pak ngah. Mujaddid yang sedang membaca di sisiku tidak
kuhiraukan.
“Aidilla,
awak memang suka jadi jurugambar?” soal Mujaddid tiba-tiba. Buku yang menjadi
tatapan matanya sedari tadi diletakkan di atas pangkin. Aku memandang
tampangnya buat seketika sebelum mengangguk.
“Ya,
tapi papa saya tak suka. Dia lebih suka saya jadi akauntan,” jelasku. Mujaddid
mengangkat keningnya dan mengangguk.
“Kenapa
tak ikut cakap papa awak?” soalnya. Aku melepaskan keluhan kecil.
“Sampai
bila saya perlu hidup dengan telunjuknya? Dia tunjuk situ, saya ke situ, dia
tunjuk sini, saya ke sini. Bahkan, kelulusan yang saya ada dalam bidang perakaunan,
adalah atas kehendak dia. Ini cita-cita saya, masa depan saya, jadi saya yang
perlu tentukan. Lagipun, bukannya papa yang akan hadapi semuanya,” tuturku. Entah
mengapa aku perlu berkongsi ceritaku dengan Mujaddid.
“Tapi
awak sedar tak, tugas dan tanggungjawab seorang jurugambar bukan hanya
mengambil gambar, sahaja?” soalnya. Aku memandangnya.
“Maksud
awak?” soalku.
“Maksud
saya, tanggungjawab awak sebagai seorang jurugambar Islam,” katanya. Aku
mengangguk, faham.
“Ya,
saya tahu. Saya sedar, setiap apa yang seseorang itu lakukan, datang dengan
tanggungjawab. Saya tahu apa yang saya buat. Saya tahu gambar apa yang boleh
saya bidik, dan tidak. Saya tak terima tawaran menjadi jurugambar pra
perkahwinan. Yalah, ada sesetengah pasangan tidak terfikir mengenai hukum bersentuhan
antara bukan mahram. Sedangkan mereka tidak punya ikatan yang menghalalkan
sentuhan antara mereka. Saya tak nak terlibat sama lantas mendapat saham
percuma,” ujarku.
“Baguslah
kalau awak sedar,” kata Mujaddid. Aku sekadar tersenyum.
“Awak
dari mana?” soalku. Entah angin apa yang singgah pada tubuhku sehinggakan aku
ingin tahu mengenai dirinya.
“Kampung
sebelah,” jawab Mujaddid. Aku memandangnya dengan mata yang dikecilkan, tidak
percaya dengan kata-katanya. Ketawa kecil terlepas daripada bibirnya.
“Betul,
saya dari kampung sebelah.” Bersungguh-sungguh Mujaddid meyakinkan aku.
“Awak
memang Islam, ke? Awak convert?” soalku.
“Awak
meragui agama saya?” soalnya kembali. Aku terkedu.
“Tak,
bukan macam tu... Cuma...” Aku teragak-agak ingin menyambung bicara. Bimbang
mengguris hatinya.
“Kenapa
awak harus meragui agama saya? Kerana wajah saya?” soalnya. Aku terdiam.
“Memanglah
saya tak ada raut Melayu langsung, tapi salahkah saya beragama Islam?” soalnya.
Tersentak aku mendengarnya. Aduhai, janganlah tersalah tafsir! Jangan buat usul
melulu!
“Bukan
macam tu! Ya Allah... Awak ni, janganlah cakap ikut sedap mulut awak aje,”
ujarku. Mujaddid melepaskan keluhan kecil. Bibirnya bergerak-gerak seolah-olah
ingin menyatakan sesuatu.
“Awak
nak cakap sesuatu ke?” soalku.
“Kalau
saya cerita fasal saya, awak akan dengar ke?” soal Mujaddid. Matanya merenung
ke dalam mataku menyebabkan aku kalut seketika. Pantas kualihkan pandanganku
daripada terus menatap matanya. Entah mengapa rasa aneh itu terbit setiap kali
sepasang mata itu kutatap.
“Bergantunglah...
Awak cerita ajelah,” ujarku dalam nada gugup yang cuba kusembunyikan.
“Macam
mana nak cerita, ya? Susah sikitlah,” kata Mujaddid lalu dia menggaru dahinya.
“Laaa,
awak cerita sajalah. Tadi awak yang beria-ia nak cerita, kan? Bila saya nak
dengar ni, awak tak tahu pula macam mana nak cerita,” bicaraku sedikit geram
dengan Mujaddid. Mujaddid ketawa.
“Okey,
okey. Asalnya, saya memang bukan Islam. Maksud, saya... Saya tak lahir sebagai
seorang Islam. Mak saya Caucasian dan ayah saya Chinese. Tapi
hidup saya sebagai bukan Islam tak lama. Ayah ambil keputusan untuk convert dan
alhamdulillah, ibu turut convert. Secara automatik, saya dengan adik
beradik saya pun convert sekali. Kalau tak silap saya, umur saya masa tu
satu tahun. Abang sulung saya lima tahun, kakak saya tiga tahun dan adik saya
yang paling beruntung, kerana dia lahir dalam Islam,” terang Mujaddid. Aku
mengangguk-angguk.
“Jadi,
apa yang membawa awak ke sini?” soalku, ingin tahu.
“Entah.
Tapi saya dah lama dah kenal dengan ayah ngah, sejak kecil lagi. Ayah saya
banyak belajar tentang Islam dengan ayah ngah dan imam masjid kampung ni.
Kadang-kadang saya akan ikut ayah ke sini,” jelas Mujaddid. Aku ketawa. Mungkin
kedengaran sarkastik pada pendengaran Mujaddid.
“Awak
tak tahu apa tujuan awak ke sini? Tak mungkin. Mujaddid yang saya kenal selama
dua hari ni, orangnya berkeyakinan. Apa awak dah jadi ni?” ujarku. Mujaddid
meraup rambut perang kehitamannya ke belakang. Sengihan di bibirnya membuahkan
tanda tanya dalam hatiku.
“Saya
tahu, cuma saya tak pasti...” kata Mujaddid. Aku ketawa lagi.
“Apa
awak ni? Tahu tapi tak pasti. Sama ajelah macam awak tak tahu. Awak jangan buat
lawak, boleh tak? Lagipun dah dua tahun awak menetap di sini,” tuturku.
“Okey,
apa-apa yang saya tahu, saya ke sini untuk tinggal dengan ayah ngah dan ibu
ngah. Mereka kan tak ada anak, jadi saya nak mengisi kekosongan hidup mereka.
Selain tu, saya tolong pak ngah apa-apa yang patut. Pokok getah dia, saya
torehkan. Lepas tu, saya ingat nak dapatkan pengalaman duduk dalam keluarga
Melayu Islam.” Penjelasan Mujaddid membuatkan aku terangguk-angguk.
“Umur
awak berapa?” soalku lagi. Mata Mujaddid menikam mataku membuatkan mataku
bergerak pantas mengalihkan arah pandanganku. Aku menggigit bibir, cuba
menghalau resah yang hadir.
“Dua
puluh sembilan,” jawabnya. Oh, tua lima tahun daripadaku.
“Kalau
saya tanya, awak jawab tak?” soal Mujaddid tiba-tiba setelah masing-masing sepi
tanpa suara.
“Bergantung,
kalau saya boleh jawab, saya jawab. Kalau tak, sepi ajelah,” balasku.
“Apa
yang membuatkan perempuan macam awak rela hati untuk duduk di sini?” soalnya.
Bibirku mengukir senyum tanpa dipinta.
“Perempuan
yang macam mana tu? Perempuan bandar?” ujarku. Mujaddid ketawa dan menggeleng
perlahan.
“Perempuan
bandar tu umum sangat. Maksud saya, yalah... Perempuan yang beberapa peratus
hidup dengan gaya kebaratan,” katanya. Aku mencebik. Sudahlah, nak perli akulah
tu.
“Saya
tak hidup dengan cara barat, okey? Saya masih makan dengan tangan, mandi dengan
tangan sendiri, bukan dengan tab mandi. Saya masih tahu pakai baju kurung dan
kain batik. Suka hati saja awak buat usul sendiri, ya?” bidasku. Mujaddid
tersenyum.
“Tapi...
Kenapa awak tak bertudung semalam? Kenapa tak tutup aurat awak?” soalnya. Tak
sudah-sudah membangkitkan soal aurat. Aku melepaskan keluhan kecil. Bahu
kujungkit tanda tidak tahu.
“Saya
rasa saya tak akan bebas dengan bertudung. Maksud saya, aktiviti saya terhad.
Lagipun, awak lelaki kedua yang mengingatkan saya tentang tudung dan menutup
aurat selepas pak ngah. Papa dan abang, tidak pernah menegur. Kata papa,
cukuplah saya sudah berpakaian sopan,” jelasku. Mujaddid menggeleng.
“Bertudung
dan menutup aurat tidak akan membuatkan aktiviti awak terhad, Aidilla. Awak masih boleh bermain sukan lasak, awak masih boleh bergambar dengan gaya
gila-gila awak tu...” Kata-kata Mujaddid membuatkan aku terbatuk-batuk kecil.
Jelaslah bahawa dia sudah melihat segala-galanya.
“Lagipun,
awak hanya perlukan tudung yang cukup labuh untuk melengkapkan tuntutan menutup
aurat. Pakaian awak sudah cukup bagus sekarang ni. Aidilla, perlukah awak
menunggu mereka menegur sedangkan dalam al-quran sudah jelas diberitahu akan
perintah ini? Andai awak pelihara aurat awak, secara automatik, maruah dan
kesucian awak akan terpelihara, insyaAllah. Awak tak perlukan pengawal, untuk
mengawal awak dua puluh empat jam. Aurat yang awak tutup mampu memelihara diri
awak,” bicara Mujaddid. Aku tertunduk mendengar kata-katanya.
“Awak
tak tahu bahaya di luar sana. Nafsu seorang lelaki dan seorang wanita, tak
sama. Nafsu wanita yang banyak, cenderung ke pelbagai arah yang berlainan.
Nafsu lelaki yang satu, cenderung ke satu arah. Awak tak tahu, fikiran mereka
boleh pergi jauh walaupun sedikit yang terdedah.” Aku suka mendengar
penjelasannya. Aku dapat tangkap isinya walaupun dia menyampaikan isi itu
dengan berlapik.
“Pernah
awak terfikirkan dosa?” soalnya. Aku masih menunduk dan mengangguk.
“Sebelum
saya melakukan sesuatu yang salah, saya selalu berfikir, banyak sangatkah
pahala yang ada pada saya sehinggakan saya suka mengutip dosa? Walaupun
sedikit, andai dikumpul, berlonggok jua. Seringkali saya berfikir, betapa sesal
itu takkan mengubah apa-apa andai sedetik lagi nyawa saya ditarik dan dosa saya
lebih banyak daripada pahala.” Kata-kata Mujaddid meresap jauh ke dalam hatiku.
Aku beristighfar. Sungguh aku tidak mungkin mampu untuk menyanggah
kata-katanya.
“Hidup
ini medan untuk kita berjuang mengumpul sebanyak pahala yang kita mampu dan
menjauhkan diri daripada melakukan dosa. Kita hanyalah manusia yang begitu
kerdil. Dalam sedar atau tidak, pasti ada dosa yang kita kutip. Dalam mahu atau
enggan, pasti ada dosa yang kita raih. Sedarkah kita bahawa pahala itu begitu
mudah untuk diraih? Dalam sedar atau tidak, dalam mahu atau enggan, pasti ada
pahala yang dapat kita kutip. Bergantung, di mana tahap keimanan kita,” tutur
Mujaddid. Entah mengapa, semua kata-katanya ingin kuterima. Semua kata-katanya
kuserap masuk ke dalam hatiku.
“Mungkin
ramai yang akan berfikir mengenai pahala dan dosa andai pahala dan dosa itu
ditampilkan dalam bentuk material. Pahala dijelmakan sebagai wang, dan dosa
dijelmakan sebagai jarum. Manusia akan berlumba-lumba mengejar wang itu dan
tangkas melarikan diri daripada ditusuk jarum yang tajam,” kataku, tiba-tiba.
Mujaddid memandangku dengan senyuman pada bibirnya yang tampak berbeza
berbanding selalu. Sedikit sebanyak, senyuman itu bisa menggetarkan naluri
wanitaku.
“Ibaratkan
sekeping not seratus ringgit untuk satu pahala dan satu jarum yang tajam untuk
satu dosa. Pastilah manusia akan berkejar-kejaran mendapatkan pahala itu dan
berlari-lari menjauhi jarum itu,” sambung Mujaddid.
“Tu
ustazah saya yang cakap, masa saya tingkatan lima dulu,” kataku dengan senyuman
kecil pada bibir.
“Patutlah...”
ujarnya perlahan. Aku mengambil buku yang berada di atas pangkin lalu memukul
lengannya. Mujaddid ketawa sambil mengelakkan tubuhnya daripada terkena
pukulanku.
“Perli
saya, ya? Sekurang-kurangnya, saya ambil perhatian atas apa yang dia beritahu,
tau? Walaupun dah tujuh tahun, saya masih ingat lagi,” tuturku lantas aku
menghentikan pergerakan tanganku. Mujaddid masih dengan sisa tawanya.
“Yalah,
ingatan awak bagus sangat. Alhamdulillah,” katanya usai tawanya reda.
SEMINGGU
berlalu setelah majlis pernikahan Umar dan Ashilah berlangsung. Foto-foto
mereka sudah tersusun rapi di dalam album pernikahan mereka yang bersalut kain
baldu berwarna hitam. Halaman pertama album itu jelas terpapar namaku pada
sudut bawah sebelah kanan. Kusentuh perlahan tulisan ‘Aidid’s Photography’
yang tercetak.
Album
itu kututup kembali lantas sulaman yang berwarna keemasan pada muka belakang
kulit album itu menjadi sapaan mataku. Sungguh aku berpuas hati. Terdapat
sulaman kecil namaku pada sudut bawah sebelah kanan muka belakang album
itu.
Aidid.
Aku tersenyum sendiri. Entah mengapa perlu aku ubah nama itu. Asalnya, hanya
nama Aid yang terpapar. Kalaulah dia tahu, malu yang bertandang takkan mungkin
pulang. Masakan tidak? Aku mencuri namanya untuk dicantumkan dengan namaku!
Fikiranku
menerewang pada majlis pernikahan Umar dan Ashilah minggu lalu. Kata-kata
Mujaddid bagaikan terngiang-ngiang menyapa telingaku. Aku tersenyum kecil. Aku
tahu dia sekadar bergurau dan entah mengapa aku mahu mengambil serius.
“Aidilla,
bila pulak awak nak duduk dekat atas sana?” soalnya, tiba-tiba. Aku yang sedang
menatap hasil bidikanku pada kamera agak terkejut dengan sapaannya. Wajah
kuangkat lalu tanpa sengaja pandangan mata kami bertembung. Pantas kualih,
lantas kuusir resah yang mengetuk pintu hatiku.
“Tengoklah
kalau ada jodoh. Kalau tak, tak merasalah saya nak naik pelamin,” balasku.
Mujurlah suasana yang hingar-bingar mampu menyembunyikan nada gugup pada
suaraku.
“Takkan
awak masih sepi?” soalnya. Aku sedar, Mujaddid suka berlapik-lapik apabila
berbicara.
“Ya,
saya masih sepi. Tak ada kumbang yang sudi buat bising dekat bunga macam saya
ni. Dahlah ganas, kerja pula jurugambar aje, mana ada orang akan jatuh hati,”
tuturku. Mujaddid menghamburkan tawanya.
“Kalau
macam tu, biar saya ajelah yang jadi kumbang tu. Untung-untung saya selalu buat
bising dekat awak,” bicara Mujaddid. Aku memandang wajahnya sekilas. Jelas
sekali dia tidak berniat seperti bicaranya. Sekadar usikan yang menjadi halwa
telingaku hampir setiap hari.
“Janganlah
main-main,” ujarku. Mujaddid mengalih pandang ke arahku. Pantas kualihkan
pandangan daripada menatap tampangnya.
“Betullah,
kalau awak sepi... Biar saya jadi suami awak, ya?” katanya. Aku menjeling
wajahnya menyebabkan tawanya terlepas daripada bibirnya. Aku mencebik. Suka
benar mempermainkan aku.
Kepala
kugelengkan dek teringatkan situasi itu. Sungguh dia memang suka mengganggu
keharmonian hatiku.
“Aidilla!”
Laungan Mujaddid singgah ke pendengaranku. Pantas kusarungkan tudung pada
kepala sebelum menjenguk melalui jendela. Bola mataku melilau mencari batang
tubuhnya.
“Sini!”
Laungnya lagi. Aku mencari-cari arah laungan itu. Lantas mataku tertancap pada
dirinya yang sedang duduk di atas dahan pokok rambutan. Aku tersengih
memandangnya.
“Awak
buat apa atas pokok tu? Jatuh nanti, saya tak nak tolong, ya?” laungku.
Mujaddid ketawa.
“Saya
naik atas ni sebab awak jugak. Semalam awak yang merayu-rayu dengan saya nak
makan buah rambutan, kan? Mengalahkan orang mengidam. Ni saya naiklah, nak bagi
awak makan,” jawabnya. Aku menggelengkan kepala. Entah mengapa hatiku perlu
terusik akan kesungguhannya itu.
“Hati-hati.
Nanti saya sampai,” ujarku lantas aku membuka langkah menuju ke luar rumah. Aku
melabuhkan duduk di atas pangkin yang dibina di bawah pokok rambutan itu.
“Hai,
ingat saya ni kuli ke? Tolonglah kutip buah rambutan yang jatuh tu...” kata
Mujaddid. Aku tersengih sebelum bergerak untuk membantunya.
“Dahlah,
awak turunlah. Dah banyak dah ni...” ujarku setelah habis mengutip kesemua buah
rambutan yang berselerakan di atas tanah. Penuh satu besen terisi dengan
buah-buah rambutan yang tampak masak ranum.
“Assalamualaikum.”
Ucapan salam itu mematikan senyuman pada bibirku. Manja suaranya sudah lali
pada pendengaranku. Pantas kupandang pemilik suara itu. Ketara senyuman yang
kukira mengada-ada pada bibirnya. Aku memandang Mujaddid, ternyata Mujaddid
turut memandangku. Dia mengangkat kening lantas aku menjungkit bahu.
“Waalaikumussalam,”
jawab Mujaddid. Perlahan saja nada suaranya. Entahlah, aku tidak mengerti apa
yang ada dalam benaknya.
“Tengah
petik buah rambutan ke?” soal gadis itu.
“Taklah,
tengah tanam pokok. Tak nampak?” ujarku. Entah mengapa, aku tidak pernah
menyenangi gadis ini dari saat pertama kali aku bersua muka dengannya di majlis
pernikahan Umar. Sudahlah suka meliuk-lentok seakan-akan tidak bertulang!
“A’ah,
kami tengah tanam pokok ni. Awak buat apa ke sini?” soal Mujaddid. Aku
tersenyum kecil memandangnya. Tidak sangka bahawa dia serentak dan seirama
denganku.
“Sengaja
menjenguk. Sejak dah ada Ila, awak dah tak layan saya, kan Adid?” kata gadis
itu. Aku memalingkan wajah lantas melepaskan batuk-batuk kecil buatan.
“Dah
dia lagi suka layan saya daripada layan awak,” ujarku perlahan. Tidak
semena-mena kepalaku terkena balingan Mujaddid. Kulit rambutan yang mengenai
kepalaku jatuh ke atas tanah. Aku memandang Mujaddid. Dia sedang ketawa tanpa
suara. Aku sekadar menayang sengih.
“Sebelum
Aidilla ada pun, pernah ke saya layan awak?” kata Mujaddid. Aku menyembunyikan
senyum yang menghiasi dua ulas bibirku.
“Awak
ni! Sengaja nak sakitkan hati saya, kan?” ujar gadis itu, kedengaran manja. Ya
Allah! Menyampahnya aku! Gedik!
“Awak
nak rambutan, tak? Nah, ambillah... Bawa balik rumah, lepas tu jangan datang
lagi, ya?” kataku. Bukannya aku tidak menghormati tetamu, atau menghalau.
Tetapi kalau sudah hampir tiga kali dalam sehari dia datang ke sini, siapa yang
tidak sebal? Sudahlah datang kerana ingin menggatal! Kalau ingin menziarahi pak
ngah atau mak ngah, tidak mengapalah juga!
“Eh,
tak apalah! Susah-susah aje,” kata gadis itu. Andai tidak silapku, rumahnya
terletak jauh dari rumah pak ngah. Rumahnya di blok B manakala rumah pak ngah
terletak di blok Q. Sanggup dia datang jauh-jauh untuk menggatal? Entah spesies
apalah gadis ini.
“Awak
tak kerja, ke?” soalku, ingin tahu.
“Kenapa
awak tanya?” soalnya kembali.
“Sebab
setiap hari awak datang ke rumah kami. Pulak tu, dalam sehari, tiga kali awak
datang. Nampak sangatlah yang awak tak bekerja, kan?” soalku. Gadis itu terdiam
dan tertunduk. Dia tersipu-sipu, menahan malu barangkali.
“Awak
pun apa kurangnya, dua puluh empat jam melekat dengan Adid,” katanya. Tidak
fasal-fasal pula dia ingin menarik aku sama.
“Apa
pulak dua puluh empat jam? Waktu pagi Mujaddid pergi kerja. Petang aje saya
dengan dia. Lagipun, serapat-rapat, semelekat-melekat saya dengan Mujaddid
pun... Saya masih tahu cari duit saya sendiri. Tak adalah kerja saya
menghabiskan beras pak ngah saya aje,” bidasku berbaur perlian. Gadis itu
tertunduk lagi, menahan malu barangkali. Mujaddid membaling kulit rambutan
mengenai kepalaku. Aku memandangnya. Dia menaikkan ibu jarinya dengan sengihan
pada bibir.
“Tak
apalah! Saya balik dulu, assalamualaikum!” ucap gadis itu. Lantas laju sahaja
langkah kakinya diatur keluar dari pekarangan rumah pak ngah. Aku dan Mujaddid
saling berpandangan sebelum ketawa yang ditahan sedari tadi terlepas keluar
daripada bibir masing-masing.
“Aidilla,
saya pun tak tahu apa masalah Si Cempaka tu. Dulu pun dia selalu ke sini.
Memang sah tak ada kerja,” kata Mujaddid sambil kaki dan tangannya ligat
bergerak untuk turun daripada pokok rambutan itu.
“Ya
ke? Dia minat dekat awak, kot?” ujarku. Aku melabuhkan punggung di atas
pangkin. Mujaddid turut melakukan perkara yang sama. Sebiji rambutan kucapai
lalu kukupas dan aku makan isi rambutan itu. Biji dan kulit rambutan itu
kucampakkan ke atas tanah.
“Minat?
Minatlah walau seribu kali minat pun, saya tak pernah ada hati kat dia. Apa dia
ingat orang suka sangat ke tengok dia tergedik sana, tergedik sini. Meluat,
tau?” tutur Mujaddid. Aku tergelak.
“Tak
baik cakap macam tu,” balasku. Mujaddid memandangku.
“Awak
ingat saya tak tahu ke, Aidilla?” soalnya. Aku mengangkat kening memandangnya
sekilas.
“Tahu
apa?” soalku kembali. Senyuman pada bibir Mujaddid melahirkan tanda tanya dalam
benakku.
“Kalau
saya meluat dengan dia, awak sepuluh kali lebih meluat, kan?” ujarnya. Aku
ketawa sambil terangguk-angguk.
“Ya,
memang tepat! Tak dapat dinafikan! Ya Allah! Siapa tak menyampah kalau dalam
sehari tiga kali dia datang sini. Gila betul! Memang sah dia tergila-gilakan
awak,” kataku. Sakit jua hatiku saat menuturkan ayat terakhir itu. Sebahagian
besar hatiku tidak merelakan ayat itu meluncur keluar tetapi sebahagian kecil
memaksa.
“Biarlah
dia seorang jadi gila. Saya tak nak jadi gila sama,” ujar Mujaddid. Aku
menyembunyikan senyum kecil yang bertandang.
“Awak,
lepas asar nanti saya nak ke bandar,” ujarku. Mujaddid memandangku.
“Buat
apa? Saya temankan, ya?” soalnya.
“Beli
baranglah. Tak apa, saya boleh pergi sendiri. Naik teksi aje,” balasku.
“Tak
boleh, saya tak nak makan gaji buta, tau? Abang awak suruh saya jaga awak. Saya
pergi dengan awak,” katanya.
“Naik
apa? Awak bukannya ada kereta pun. Takkan saya nak naik motor awak kot... Gila
ke apa?” ujarku. Mujaddid tersengih.
“Apa
salahnya? Dah tu, takkan nak jalan kaki pergi bandar?” balasnya. Aku mencebik.
“Jalan
kaki lagi afdal tau?” kataku.
“Kalau
awak rela, awak jalan kaki. Saya ikut dengan motor saya, ya?” balasnya lalu
ketawa kuat. Aku menjeling wajahnya.
“Sempat
kenakan saya, kan?” tuturku, geram. Aku melemparkan kulit rambutan yang
terdapat dalam genggamanku, tepat mengenai lengannya. Tawanya semakin kuat.
Entah mengapa, aku suka mendengar tawanya. Tawa yang semakin sebati dalam
hatiku.
No comments:
Post a Comment