“NUR
AIDILLA AZZA!” Papa betul-betul marahkan aku. Aku memandang wajah umi bagi meminta
pertolongan. Umi menjongketkan bahu tanda tiada apa-apa yang dia boleh bantu.
Aku memejamkan mataku seketika. Pelbagai alasan sedang aku reka di dalam kotak fikiranku.
“Again?”
Soalan papa itu sepi tanpa sahutan.
“Apa
kamu nak jadi ni? Kamu tu perempuan! Setiap hari kamu balik lambat,” kata papa.
Umi merapati papa. Mengurut lembut dada papa dan meminta papa duduk. Papa
menurut.
“Papa,
Aid kerjalah. Aid bukannya berfoya-foya tak tentu hala,” kataku.
“Kerja
apa? Kamu bagitahu papa, kamu bekerja dekat syarikat mana? Kamu kerja sebagai
apa?” Bertalu-talu soalan papa hinggap pada pendengaranku. Aku mengurut dadaku.
“Aid...
Aid tangkap gambarlah. Aid kerja sendiri saja,” jelasku. Sungguh papa tak akan
pernah faham dengan minatku yang satu ini.
“No,
papa tak nak Aid jadi jurugambar. Aid ada kelulusan dalam akaun... Kenapa tak
jadi akauntan saja?” kata papa.
“Ya,
memang Aid ada kelulusan dalam perakaunan. Tapi itu semua atas kehendak papa.
Bukan Aid yang nak. My passion is in photography,” ujarku. Sejak aku
kecil hingga sekarang, lapan puluh peratus hidup aku ditentukan atas kemahuan
papa dan bukan atas kemahuan aku.
“Papa
tak suka Aid jadi jurugambar. Kerja tu tak mendatangkan faedah. Papa tetap nak
Aid jadi akauntan!” Tegas papa bersuara. Aku bangun daripada dudukku.
“No!
Stop it! Cukuplah papa menentukan hidup Aid selama ni. I’m not gonna
live in your way anymore. That’s it!” kataku. Papa kelihatan berang.
“Aid!
Siapa yang ajar Aid tinggikan suara dekat papa?” Umi mula bersuara.
“Umi,
Aid dah tak tahan, tau? Aid nak jadi jurugambar, bukan akauntan. Bahkan Aid dah
dapat pendapatan melalui photography sekarang ni,” jelasku. Mengapa papa
tidak pernah faham tentang keinginanku? Keinginan abang, semua dieyakan.
Keinginan aku, ada yang dieyakan dan ada yang ditidakkan. Sungguh tidak adil.
“I
don’t care, Aidilla Azza! Either you are going to work as an accountant in my company,
or you will be sent to pak ngah’s house.” Mencerlung mata papa memandangku.
Aku melemparkan senyum sinis.
“I
would rather choose to stay with pak ngah than working as an accountant.
Aid lebih rela duduk dekat kampung tu, untuk teruskan minat Aid,” bicaraku
lantas langkah kaki kuatur ke tingkat atas.
“Aid!”
Panggilan papa aku tidak endahkan. Sungguh aku benci akan sikap papa yang suka
melebihkan abang dalam segala hal. Keinginan abang pasti akan dipenuhi. Tetapi
keinginan aku langsung tidak dipertimbangkan. Keluhan kecil aku lepaskan apabila
tubuhku selamat mendarat di atas tilam yang empuk. Mungkin ini adalah terakhir
kali aku dapat merehatkan tubuhku di atas tilam ini. Aku tidak akan merungut,
kerana inilah keputusan aku.
AKU
kira, marah papa tidak pernah surut. Hanya umi yang masih mahu menemaniku
ke rumah pak ngah. Abang benar-benar berbeza. Dia menjadi sukarelawan untuk
menghantar aku ke rumah pak ngah. Riak wajahnya tidak seceria selalu dan tidak
pula aku dibuli pada hari ini. Jika tidak, paling kurang pun, setiap hari dia akan
menggosok kepalaku sehingga rambutku menjadi kusut masai.
“Aid,
dekat rumah mak ngah nanti, kamu jagalah diri kamu, ya? Jangan buat perkara tak
senonoh pula,” nasihat umi. Aku menerima nasihat itu tanpa sebarang bicara.
“Aid
tak tahu bila Aid akan balik semula ke rumah umi dengan papa. Aid mungkin akan
tinggal dengan mak ngah terus. Lagipun, mak ngah tak ada anak. Bolehlah Aid
teman mak ngah,” kataku. Umi memandang wajahku melalui cermin pandang belakang.
Aku membalas pandangannya seketika sebelum aku melemparkan pandanganku ke luar
tingkap.
“Umi
jangan kisah sangat. Papa dengan umi masih ada abang. Papa dengan umi tak akan
kesunyian sebab kehilangan seorang anak macam Aid ni. Lagipun, Aid akan
menyusahkan papa saja kalau Aid terus tinggal dengan papa dan umi,” bicaraku.
“Apa
Aid ni? Kenapa kena beza-bezakan antara kita? Kita ni adik-beradik, tau?
Sedarah, seibu dan sebapa,” kata abang. Aku mengangkat kening.
“Bukan
Aid yang membezakan kita, tapi papa. Kasih sayangnya tidak dibahagi dengan
sekata,” bisikku perlahan. Tidak perlulah abang dan umi mendengar bicaraku itu.
Aku malas ingin memanjangkan lagi acara perdebatan.
Lima
minit kemudian, kereta yang dipandu abang terhenti di pekarangan rumah mak
ngah. Cepat-cepat aku memboloskan diri daripada perut keretanya. Aku
menghulurkan salam sebagai ucapan. Tubuh mak ngah yang sedang setia menantiku
menjadi mangsa dakapanku. Kedua-dua belah pipi dan dahiku diciumnya. Setelah
itu, aku menyalami tangannya.
“Pak
ngah mana, mak ngah?” soalku. Tampang mak ngah yang tersenyum ceria itu
kupandang senang.
“Dia
di ladanglah, masih bekerja lagi,” kata mak ngah. Aku menganggukkan kepala
tanda mengerti.
“Dah
tua-tua pun masih bekerja lagi. Suruhlah dia berehat.” Umi mula bersuara
setelah dia bersalaman dengan mak ngah tadi.
“Hai,
kalau dia berehat, siapa yang nak usahakan kebun getah tu? Masa tua-tua nilah
kena banyak bekerja, barulah kesihatan dapat dikekalkan,” kata mak ngah yang
sememangnya sangat menitik beratkan hal yang melibatkan kesihatan. Lihat
sajalah pada wajahnya, jika dikatakan bahawa umurnya sudah mencecah enam puluh
lima tahun, pasti ada yang menggeleng tidak percaya.
“Upahlah
orang, mak ngah,” ujar abang. Hai, abang... Apa abang ingat masih ada lagi ke
anak-anak muda kita yang ingin melakukan pekerjaan itu? Hampir semuanya sudah
berpusu-pusu ke bandar mencari peluang pekerjaan yang lebih baik. Pekerjaan yang
lebih selesa, dan pekerjaan yang lebih memendekkan jangka hayat hidup mereka.
“Upah
apanya, Hairul? Belia-belia kita yang tinggal dekat kampung ni kebanyakannya
yang hampas saja. Lagipun, budak-budak kita zaman sekarang ni, bukan boleh
percaya sangat. Lebih kurang sajalah dengan budak-budak kita zaman dulu. Kalau
dah terdesak tu, macam-macam yang boleh jadi. Alah, pak ngah kamu tu bukannya
lama sangat berada di ladang. Sekejap lagi baliklah dia. Petang nanti, dia ke
sangkar pula,” jelas mak ngah. Aku menyokong penuh kata-kata mak ngah.
“Haaa,
marilah masuk. Tak elok berpanas lama-lama dekat luar ni.” Mak ngah mula
menarik tanganku untuk masuk ke dalam rumah. Abang pula mengeluarkan dua buah
beg pakaianku lalu dibawanya bersama-sama ke dalam rumah mak ngah. Aku akui,
abang berkelakuan murni pada hari ini.
“Terima
kasih, bang,” ucapku. Abang tidak bereaksi. Senyum pun tidak, angguk pun tidak,
membuka mulut jauh sekali. Aku tidak pasti apa yang mengganggu fikiran abang,
tetapi aku dapat rasakan bahawa abang betul-betul sedang menghadapi masalah.
“Ni,
jemputlah minum. Makanlah apa yang ada ni...” kata mak ngah. Aku memandang
makanan dan minuman yang terhidang. Terlangsai hutang rinduku terhadap air
tangan mak ngah apabila menjamah kuih karipap yang sudah kupasti karipap itu
buatan mak ngah. Cukup sekadar aku rasa keenakan inti karipap itu, aku tahu
karipap itu merupakan hasil air tangan mak ngah.
“Sedapnya,
mak ngah! Dah lama tak makan masakan mak ngah,” ucapku tulus. Abang turut
mengangguk mempersetujui kata-kataku.
“Alhamdulillah.
Kalau sedap, makanlah. Dekat dapur tu ada lagi. Eh, kak ngah lupa nak tanya Ainun,
Khalid mana? Tak ikut sekali?” soal mak ngah.
“Dia
dah tak sayang dekat Aidilla, mak ngah. Sebab tu dia tak ikut sekali,” ujarku
lantas aku melentokkan kepalaku di atas bahu mak ngah. Lengannya kupaut mesra.
“Hish!
Takkanlah sampai macam tu sekali. Kamu ni, Ila...” kata mak ngah yang lebih
senang memanggilku dengan panggilan Ila. Kata mak ngah, namaku menyukarkan dia
untuk memanggilku. Hmmm, aku tak boleh nak kata apa-apa. Bukannya aku yang beri
nama kepada diriku.
“Yalah,
mak ngah... Dia tak sayang Ila lagi. Kalau papa sayang Aidilla, papa akan
sokong cita-cita Ila. Dia tak akan kata yang kerja jurugambar ni, kerja kampung
dan tak ada kelas,” luahku. Umi memandangku sayu. Aku tahu umi sudah lama cuba
meyakinkan papa untuk menyokong kerjayaku, namun tidak berjaya. Papa sungguh
keras!
“Tak
adalah, kak ngah. Abang Khalid tu tak berapa nak sihat. Dari semalam lagi dia
mengadu sakit kepala,” kata umi. Abang iyakan saja kata-kata umi. Nampak benar
umi menipu untuk menjaga nama baik papa sebagai seorang ayah. Elok sahaja papa
berleter pada pagi tadi. Sakit kepala dari celah mana pula?
“Sakit
kepala sebab Ila tu, mak ngah...” bisikku perlahan.
“Apa
Ila kata?” soal mak ngah. Pantas aku menegakkan kepalaku. Dapat kulihat dengan
jelas tautan kening mak ngah.
“Eh,
tak ada apa-apa, mak ngah! Ila berangan saja tadi,” ujarku.
“Kak
ngah, kami harap Aidilla tak akan susahkan kak ngah sepanjang keberadaannya di
sini,” tutur umi.
“Tak
ada yang susahnya, Ainun. Ila ni dah macam anak kami sendiri dah,” kata mak
ngah. Sememangnya aku dan keluarga mak ngah sangat rapat. Setiap hujung minggu,
pasti aku akan mendengar suara mak ngah dan pak ngah melalui corong telefon.
Jika ada kisah yang menarik, akan aku kongsikan bersama-sama mak ngah atau pak
ngah. Namun jika tidak, aku hanya bertanya khabar dan meleraikan tali rindu
yang tersimpul.
“Abang
Khalid yang beria-ia mahukan Aidilla tinggal di sini. Ainun kalau boleh tak
mahu berpisah dengan Aidilla. Dia satu-satunya puteri kami,” kata umi. Suaranya
bertukar sebak pada hujung bicaranya. Umi tertunduk. Hatiku tersentuh
mendengarnya. Pantas aku bangun mendapatkan umi dan melutut di sisinya.
Belakang badannya kulurut lembut.
“Umi,
Aid masih lagi your beautiful and cute princess. Don’t worry, okay?
Aid akan jaga diri Aid macam Aid jaga umi. Umi tak perlu sedih, abang kan ada.
Bang, jaga umi elok-elok. Kalau Aid tahu umi sakit ke apa ke, Aid lesing kepala
abang. Tak pun, Aid botakkan rambut abang.” Laju sahaja tangan abang
mempertahankan rambutnya. Aku tergelak melihatnya. Itulah satu-satunya harta
yang haram disentuh oleh orang lain kecuali umi. Aku cuit sedikit pun dia akan
mengamuk sampai berselerak bilik aku dikerjakannya.
“Sayang
sangat rambut kepop dia tu.” Kata-kata mak ngah meletuskan tawa besar daripada
aku dan abang. Umi turut ketawa kecil. Tampang mak ngah kehairanan melihat
respons daripada kami.
“Bukan
kepop lah, mak ngah! K-pop!” kataku. Berair mataku dek ketawa besar itu.
“Hish!
Lantaklah kepop ke k-pop ke kepoh ke... Tak boleh mak ngah nak
mengingatnya,” kata mak ngah. Aku mengesat pipiku yang basah dek air mata yang
keluar ketika ketawa. Tawa tadi masih bersisa lagi di bibirku.
“Haaa,
Aid... Kamu tolonglah mak ngah kamu di sini, ya? Jangan duduk-duduk saja,”
pesan umi.
“Ya,
umi... Aid bukannya pemalas pun. Dekat rumah tu lainlah. Dah papa upah pembantu
rumah, takkan nak disia-siakan?” kataku. Umi mencubit lenganku. Terpejam-pejam
mataku menahan bisanya.
“Aduh,
umi... Aid cakap betul ni, umi,” bicaraku. Bekas cubitan umi kuusap. Masih
terasa peritnya.
“Betul
ni? Tolong mak ngah apa-apa yang patut, basuh bilik air ke, masak ke, basuh
baju ke, sidai baju ke,” pesan umi. Aku mengangguk.
“Ya,
umi... Aid rajinlah,” ujarku meyakinkan umi. Senyuman kepuasan umi melegakan
aku. Akhirnya umi telah menyerahkan kepercayaannya kepadaku. Rambutku
diusapnya.
“Kak
ngah, Ainun dah nak kena balik ni. Kasihan pula Abang Khalid sakit di rumah,”
kata umi lantas dia bangun daripada duduknya. Aku ikut bangun bersama-sama abang
dan mak ngah. Betul ke papa sakit?
“Yalah,
elok juga tu. Sekejap, ya? Kak ngah bekalkan karipap di dapur tu. Banyak lagi,
takut tak terhabis. Nanti membazir pula,” bicara mak ngah seiring dengan
langkahnya menuju ke dapur. Aku yakin mak ngah sudah masak dengan sikap umi.
Jika dia menuju ke dapur selesai bicaranya, pasti umi akan menghalang niat mak
ngah kerana risau akan menyusahkan mak ngah nanti. Aku menemani abang dan umi
ke luar rumah.
Tidak
beberapa lama kemudian, mak ngah kembali bersama-sama beg plastik yang berisi
bungkusan karipap yang belum digoreng di dalamnya. Beg plastik itu diserahkan
kepada umi. Umi tersenyum sambil menyambut pemberian itu.
“Buat
susah-susah aje, kak ngah. Segan pula saya,” kata umi.
“Tak
ada menyusahkan pun. Bawalah balik, boleh makan anak-beranak,” bidas mak ngah.
Itulah umi, tuan punya badan sudah kata tidak menyusahkan, pandai-pandai umi
membuat spekulasi bahawa perkara itu menyusahkan.
“Kami
jalan dulu, mak ngah,” kata abang. Dia bersalaman dengan mak ngah. Seterusnya
giliran umi pula. Aku menyalami tangan abang. Setelah itu, dia menggosok kasar
kepalaku membuatkan rambutku menjadi kusut masai. Kemarahan yang baru mendidih
kembali beku apabila aku menerima ciuman kasih sayang daripada abangku. Elok
sahaja dia mencium kepalaku. Tersengih lebar aku memandangnya.
“Sayang
jugak dekat mangsa buli dia, ya?” kataku lalu mengangkat-angkat keningku. Abang
mencebik. Kalahlah tu. Yalah, dia terpaksa merendahkan egonya semata-mata
kerana perpisahan ini. Syukurlah abang masih pedulikan aku sebagai satu-satunya
adiknya.
“Umi,
jaga diri elok-elok, ya?” ucapku semasa bersalaman dengan umi. Lama bibirnya
hinggap pada dahiku.
“Aid
pun sama, elok-elok di tempat orang,” pesan umi lagi semasa tubuhku berada di
dalam pelukan kasih sayangnya. Aku mengangguk. Pipi umi yang basah dengan air
matanya kulap seterusnya kedua-dua belah pipi itu kukucup sayang.
“Kirim
salam dekat pak ngah ya, mak ngah,” kata abang. Mak ngah mengangguk.
“InsyaAllah,”
ujar mak ngah. Setelah itu, abang dan umi memboloskan diri mereka ke dalam
perut kereta milik abang. Setelah membalas lambaian umi, aku dan mak ngah
melangkah masuk ke dalam rumah kayu yang masih tersergam indah.
AKU
mengorak langkah keluar dari rumah mak ngah. Kamera di tangan kupandang
sebentar sebelum kakiku mula membuka langkah. Namun, niatku mati di tengah
jalan apabila mataku terpandangkan sebuah motosikal berkuasa tinggi memasuki
pekarangan rumah mak ngah. Terkejip-kejip mataku memandang pemilik motosikal
itu. Lama aku menanti dia membuka topi keledarnya yang menghalang aku untuk
melihat wajahnya.
Enjin
motosikalnya sudah dimatikan tetapi dia langsung tidak turun daripada
tunggangannya itu. Bahagian hadapan helmet itu terhala ke arahku tetapi aku
tidak pasti ke arah mana pandangannya jatuh. Aku memberanikan diri menghampiri
manusia itu.
“Salam
sejahtera, sedara. Sedara ni manusia ke bukan?” soalku. Helmetnya kuketuk
sesuka hatiku. Aku tidak menerima sebarang balasan daripadanya. Aku dapat
melihat bayang wajahnya namun aku tidak pasti ke arah mana matanya terhala.
“Maaf,
ya? Sedara sesat, ya? Nak saya tolong tunjukkan jalan ke?” soalku lagi.
“Saya
tak rasa saya yang sesat. Apa yang awak buat dekat sini?” soalnya. Hai, aku
tanya dia, dia tanya aku balik? Ini tidak adil!
“Suka
hati sayalah nak buat apa dekat sini. Sedara datang kemudian daripada saya, ada
hati nak tahu apa yang saya buat di sini?” bidasku. Geram juga dengan manusia
di hadapanku ini. Daripada suara garaunya, aku pasti bahawa manusia ini ialah
seorang lelaki.
“Sedari,
elok sikit cakap. Saya datang sini dulu. Dah dua tahun saya tinggal di sini,
tiba-tiba sedari terpacak dekat sini, kenapa?” soalnya. Dia dah tinggal di sini
selama dua tahun? Biar betul? Siapa dia ni? Kalau nak kata sepupu-sepapat aku,
mustahil! Takkanlah mereka tak kenal aku.
“Hei!
Sedara yang menyibuk dekat sini. Entah dari mana asal-usulnya, tiba-tiba
mengaku jadi penghuni rumah ni. Entah-entah sedara sengaja nak mencipta
sandiwara sebab nak mencuri, kan? Yalah, manusia bila dah terdesak,” balasku.
“Amboi,
sedari... Cakap main lepas saja. Saya bukan bodoh sampai tak tahu hukum syarak.
Lainlah macam sedari ni, hukum syarak pun tak tahu,” kata lelaki itu. Cis!
Masih sempat menghina aku.
“Eh?
Tak adil untuk awak kata yang saya berpengetahuan cetek tentang agama saya
sendiri. Sudahlah asal-usul pun tidak diketahui, masih tidak malu untuk
merendahkan orang lain?” balasku. Ketawa sinis dapat kudengari.
“Sedari,
hukum syarak mana yang kata haram tu boleh dibuat? Ha? Cuba sedari cerita dekat
saya, haram ni macam mana konsepnya?” soal jejaka itu. Aku rasa tercabar.
“Haram,
kalau buat dapat dosa,” jawabku.
“Jadi,
kalau saham dosa pengakhiran dekat mana?” soalnya. Aku memandangnya tajam
sebelum memberikan jawapan.
“Nerakalah,”
jawabku.
“Sejak
bila membuka aurat menjadi sesuatu yang halal? Hukum mana sedari belajar ni?
Cuba cerita dengan saya,” bidas lelaki itu. Aku tertunduk seketika.
“Sedara
jangan nak mengajar saya pula. Sudahlah makhluk asing sesat! Entah dari planet
mana entah sedara datang,” balasku.
“Sedari
tak faham lagi ke hint saya? Sedari tak sedar lagi ke yang sedari sedang
melabur saham untuk ke neraka? Kasihan ayah sedari dan kasihan juga saudara
lelaki sedari. Lebih kasihan, suami sedari. Sedari yang labur saham, mereka pun
kena tarik sama.” Kata-kata lelaki itu menyentakkan tangkai hatiku. Tajam
mataku memandangnya. Lelaki itu mengambil sesuatu dari dalam jaketnya. Laju
sahaja tangannya yang bersarung tangan kulit singgah di kepalaku bersama-sama sehelai
kain. Tindakannya yang pantas menyebabkan aku tidak sempat bersuara.
“Sedara!
Apa yang sedara cuba buat ni? Sudahlah sesat! Sesuka hati saja mengajar saya.
Lagi satu, saya tak ada suami!” Aku meleraikan ikatan di bawah daguku. Kain itu
aku campak ke tanah.
“Sedari,
saya hanya ingin menyelamatkan sedari. Sedari kata nak masuk syurga, tapi
kenapa buat begini?” soalnya. Aku tersentak buat kedua kalinya.
“Macam
mana sedara tahu saya nak masuk syurga?” soalku, gugup tiba-tiba.
“Soalan
ni, budak tadika pun pandai jawab. Kalau tanya orang kafir, orang kafir pun
tahu jawab heaven. Inikan pula kita yang Islam ni, pastilah syurga yang
kita dambakan. Mana ada orang yang nak masuk neraka. Sudah tahu seksanya
bagaimana, takkanlah sengaja mahu menyeksa diri? Kita ni, bibir saja kata nak
masuk syurga, tapi buatnya macam nak sungguh-sungguh ke neraka,” bicara lelaki
itu tersangkut pada tangkai hatiku, tepat mengenai batang hidungku.
“Sedari
insaflah, ya? Kalau nak masuk syurga, buatlah cara nak masuk syurga,” kata
lelaki itu. Dia menanggalkan topi keledarnya. Ternyata pandangannya lurus
terhala ke arah rumpun pokok buluh di belakangku.
“Sedara
tak perlulah nak mengajar saya. Saya tahu apa yang saya buat,” ujarku. Belum
pernah aku menerima teguran seperti ini. Papa dan abang tidak pernah menegur
aku yang tidak bertudung. Kata papa, aku berpakaian sopan pun sudah cukup baik.
Hanya umi yang selalu menegur aku yang tidak bertudung.
“Sedari
ni betul-betul sesat ke?” soalnya. Pantas aku menggeleng. Dia memandang wajahku
membuatkan aku terkesima buat seketika. Terusik hatiku tanpa kupinta. Baru aku
perasan, lelaki ini tidak berwajah Melayu langsung tetapi fasih berbicara
dengan menggunakan bahasa Melayu. Wajahnya mempunyai raut Cina dan... Kaukasia.
Ya! Beraut wajah Cina dan Kaukasia. Yang pasti, bukan Melayu. Dan... Lelaki
ini... Islam? Aku terkesima sekali lagi.
“Sedara
yang sesat, kata saya pula,” bidasku setelah mengembalikan diri ke dunia
realiti.
“Sedari,
saya betul-betul tinggal di sini. Takkan saya nak tipu pula?” ujar lelaki itu.
“Nama
ayah sedara apa?” soalku.
“Apa
pasal nama ayah saya pulak? Tak ada kena mengena dengan situasi sekarang,”
katanya.
“Dah,
sedara mengaku tinggal di sini, sebab itulah saya bertanya,” kataku.
“Karim,”
jawab lelaki itu selamba. Ternganga seketika mulutku.
“Takkan
anak pak ngah kot? Tak mungkin, tak mungkin...” desisku perlahan.
“Sedari
ni datang dari mana? Nak apa ke sini?” soalnya.
“Sedara,
ini rumah saya. Kenapa sedara kata sedara tinggal di sini? Saya tak pernah
tengok sedara di sini,” balasku. Membulat mata lelaki itu memandangku. Sekali
lagi, aku terkesima. Jelas aku lihat warna matanya yang menggetarkan hatiku.
Aku menjadi tidak keruan. Pandangannya dihantar ke rumah mak ngah sebelum
kembali memandangku.
“Sedari,
saya memang tinggal di sini. Apa yang sedari merepek ni? Saya yang tak pernah
nampak batang hidung apatah lagi batang tubuh sedari dekat sini,” kata lelaki
itu yang belum kuketahui namanya.
“Mak
ngah! Ada orang gila mengaku tinggal dengan mak ngah! Ke sini cepat mak ngah!
Ila takut!” Jeritku. Pantas lelaki itu menarik kepalaku ke dadanya dan menekup
mulutku dengan tangannya yang masih bersarung tangan.
“Sedari!
Sedari yang gila ke saya yang gila? Kenapa sedari menjerit-jerit ni?” soalnya.
Aku benar-benar runsing dengan situasi kini. Siapa yang penceroboh dan benar
juga kata lelaki itu, siapa yang gila? Aku cuba melarikan tangannya daripada
mulutku. Kepalaku juga aku tolak kuat ke dadanya. Apabila sesekali tangannya
lari daripada mulutku, aku menjerit memanggil nama mak ngah. Aku masih
menjerit-jerit walaupun mulutku ditekup lelaki asing itu. Puas sudah dia
mengisyaratkan aku agar diam, tetapi aku masih berdegil.
“Ya
Allah! Ila! Adid! Kenapa kau orang berdua ni?” Soalan pak ngah yang menyapa
gegendang telingaku menyebabkan aku terlepas daripada lelaki itu. Lelaki itu
sudah turun daripada motosikalnya.
“Pak
ngah kenal lelaki gila ni?!”
“Ayah
ngah kenal perempuan tak waras ni?!”
Soalan
yang meluncur keluar serentak daripada bibir aku dan lelaki itu menyebabkan
pandangan kami bertemu. Rambutku yang sudah menjadi kusut tidak aku hiraukan.
Geram sungguh dengan lelaki di hadapanku ini.
“Ya
Allah, budak berdua ni! Apa yang dah jadi, bang?” soal mak ngah yang
terkocoh-kocoh turun daripada tangga dengan telekung yang masih melekat pada
tubuh. Barangkali jeritan aku sudah mengganggu solatnya.
“Lelaki
gila ni, mak ngah!”
“Perempuan
tak waras ni, ibu ngah!”
Sekali
lagi, pandangan kami bertemu kerana berkata-kata dengan serentak. Aku
memalingkan wajah dengan dengusan kasar.
“Entahlah,
Ros. Abang sampai-sampai saja, nampak Adid dengan Ila macam tengah berpeluk.”
Kata-kata pak ngah menjadikan mataku bulat secara tiba-tiba.
“Pak
ngah!”
“Ayah
ngah!”
Sekali
lagi kami bersuara serentak. Aku memandangnya tajam.
“Sedara,
baik sedara terangkan situasi sebenar. Pak ngah, tak adanya Ila nak buat benda
tak senonoh dekat sini. Ila ada maruah lagi. Ni, lelaki gila ni yang tarik Ila.”
Lurus jari telunjukku menghala ke arah lelaki itu.
“Aidilla
Azza! Tak baik panggil orang begitu,” tegur pak ngah. Aku menjeling lelaki di
sebelahku dengan tajam. Riak wajahnya tampak berbeza berbanding tadi.
“Apa?
Ayah ngah, nama perempuan tak waras ni siapa?” soal lelaki itu.
“Kenapa
sedara perlu sibuk dengan nama saya? Saya sendiri pun tak tahu nama sedara!
Hish! Dahlah gila!” bidasku. Lelaki itu mengecilkan matanya memandangku.
“Nama
saya Marhaban Mujaddid. Puas hati?” katanya. Aku mencebik. Ada aku kisah?
“Pak
ngah, jangan bagitahu nama Ila. Entah apa lagi yang dia nak buat,” ujarku.
Manalah tahu dia ingin mengenakan aku.
“Hish!
Budak berdua ni... Pertama kali jumpa dah bertekak sampai nak roboh rumah!
Macam mana nak duduk satu rumah macam ni?” ujar pak ngah. Aku membulatkan
mataku.
“Apa?
Satu rumah?!” Kesekian kalinya suara aku dan Mujaddid bersatu. Aku menjelingnya
tajam.
“Ya,
satu rumah. Adid tinggal di sini sejak dua tahun lalu. Dia baru pulang daripada
percutiannya di Pulau Pinang,” jelas mak ngah.
“Hish!
Awak ni kan... Menyibuk!” tuturku lalu aku memandangnya sekilas.
“Eh,
awak yang menyibuk. Saya tinggal di sini dah dua tahun. Awak yang datang
kemudian,” katanya.
“Tapi
saya anak saudara pak ngah. Tak ada istilah saya datang kemudian, okey?!”
ujarku.
“Aidilla
Azza...” Suaranya yang mengalunkan namaku membuatkan aku berpaling. Aku
memandangnya tajam.
“Macam
mana awak tahu nama saya?” soalku.
“Dengar
sekali saja dah dapat tangkap. Sengaja minta ayah ngah ulang untuk kepastian.
Menyesal saya terima kerja saya,” katanya.
“Kisah
ke saya dengan kerja awak? Bukannya ada kaitan dengan saya pun,” balasku.
Mujaddid tersenyum sinis.
“Menyesal
saya kena jaga gadis tak waras macam awak ni. Hai, Encik Hairul... kau sengaja
seksa aku,” katanya.
“Hairul?!
Maksud awak?” soalku. Dia mengangkat keningnya.
“Ya,
abang awak yang upah saya jadi bodyguard awak sepanjang masa awak berada
di sini,” kata Mujaddid. Terbit senyuman di bibirku buat seketika. Sayang juga
abang pada aku.
“Oh,
ya? Padan muka!” kataku sebelum langkah kuatur untuk masuk ke dalam rumah.
Sempat kuhadiahkan jelingan maut buatnya. Aku menyanggulkan rambutku dan
melilitkan sehelai selendang pashmina pada kepalaku dengan kemas. Setelah aku
pastikan bahawa pemakaian selendang aku betul-betul kemas, aku melangkah ke
luar rumah semula. Aku akur jua dengan kata-kata Mujaddid. Abang betul-betul
ingin menjaga aku, maka aku harus berusaha untuk menjaga abang. Bukannya aku tidak
pernah bertudung sebelum ini.
“Marhaban
Mujaddid!” panggilku. Dia yang sedang berbual-bual dengan pak ngah di sisi
motosikalnya memandang ke arahku. Senyuman di bibirnya yang pada mulanya
kelihatan hendak mati kembali hidup. Aku menjeling tajam.
“Puas
hati?” soalku sambil jari telunjuk kananku ditunjal-tunjal ke kepalaku. Biar
dia betul-betul sedar. Setelah itu, aku menyarungkan kasutku dan mendapatkan
pak ngah.
“Huih,
cunnya Ila pakai tudung! Nak pergi mana ni?” Usikan pak ngah mengundang ketawa
besar di bibirku. Aku tidak mempedulikan Mujaddid di sisi pak ngah. Aku tidak
pernah kisah dengan lelaki yang sedikit sebanyak menjejaskan keharmonian hati
aku.
“Ila
nak pergi main sorok-sorok dalam ladang getah pak ngah, lepas tu nak terjun
dalam sangkar ikan pak ngah,” ujarku. Pak ngah tersengih.
“Amboi,
cakap sajalah terus-terus, tak payah konar-konar. Hah, pergilah...
Jangan balik lewat sangat. Bahaya berjalan sorang-sorang di sini,” pesan pak
ngah.
“Yes,
boss!” jawabku bersama-sama tabik pada dahiku. Setelah itu, aku menyalami
tangan pak ngah dan mula membuka langkah.
Aku
membelek-belek kamera di tangan seiring dengan langkah kakiku. Sesekali aku
memandang keadaan sekeliling kampung itu. Jika ada pemandangan yang menarik
perhatianku, aku akan membidik pemandangan itu. Tidak ramai kanak-kanak yang
keluar bermain pada waktu begini. Jika ada pun, hanya kanak-kanak daripada
latar belakang keluarga yang agak susah. Pada zaman aku kecil-kecil dahulu, kanak-kanaklah
yang memeriahkan kampung ini dari pagi sampai petang. Pasti ada sahaja yang
keluar untuk menceriakan suasana kampung ini. Tidak kisahlah daripada kaum
keluarga yang kaya mahupun miskin, semuanya bermain tanpa sebarang jurang yang
sengaja dicipta.
Barangkali,
kanak-kanak sekarang lebih terikat dengan gajet moden yang sedikit sebanyak
membantutkan tumbesaran mereka. Kanak-kanak seharusnya membesar dengan
pengalaman. Apabila mereka berlari dan terjatuh, mereka mula belajar. Apabila
mereka memegang pokok yang berduri dan tertusuk duri pokok itu, mereka mula
belajar. Apabila mereka menggunakan ciptaan Allah untuk bermain, mereka belajar
untuk bersyukur.
Bagiku,
ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka
membesar dengan wajar. Kanak-kanak tidak seharusnya didedahkan dengan
gajet-gajet moden sedari kecil. Mereka haruslah dibawa keluar untuk bermain
agar mereka dapat meraih pengalaman sendiri. Lagipun, pengalaman benar-benar
memberi pengajaran yang baik.
Batang
tubuhku ditelan oleh pokok-pokok getah milik pak ngah. Ladang getah milik pak
ngah ini sememangnya kemas tanpa sebarang semak samun. Pak ngah lebih suka
mengikut cara bekerja rakyat Jepun dalam segala hal. Aku mempersetujui
kata-kata pak ngah yang menyatakan bahawa sesuatu bangsa itu akan semakin
mundur kerana sikap malas dan manja.
Dari
ladang getah yang diselia dengan baik oleh pak ngah ini, aku dapat perhatikan
suasana kampung itu. Lagipun, ladang getah pak ngah terletak di kawasan yang
agak berbukit. Mataku meliar memerhatikan sekumpulan remaja lelaki yang sedang
melepak di perhentian bas sambil melepaskan ketawa yang jelek pada
pendengaranku. Tidak kurang juga ada yang menghisap rokok. Aku menggeleng
sendiri. Bila agaknya kemajuan dapat dicapai sekiranya ada belia-belia kini
yang sudah semakin mundur? Aku benar-benar ingin memberi tabik terhadap pak
ngah kerana kata-katanya sangat benar mengenai sikap malas yang akan
membantutkan kemajuan yang ingin dicapai.
Aku
melarikan pandanganku memandang kawasan pergunungan yang terletak agak jauh
dari kampung itu. Kabus-kabus yang masih melitupi bahagian puncak pergunungan
itu membuatkan aku tertarik untuk membidik pemandangan yang indah itu. Jika di
rumah papa dan umi, mustahil untuk aku melihat pemandangan sebegini.
Pembangunan yang pesat menyebabkan pemandangan-pemandangan seperti ini terhapus.
Barangkali
generasi akan datang sudah tidak mengenali apa itu pergunungan jika pembangunan
terus berjalan tanpa dikawal. Aku dapat merasakan terik cahaya matahari yang
terpanah pada kulit wajahku. Jika dahulu, teriknya tidak seperti kini yang
terasa agak perit. Masih ada damai pada teriknya. Aku mengeluh kecil. Mengapa
manusia semakin suka menghancurkan diri mereka?
Langkah
kaki kuatur ke dalam ladang pak ngah. Hasil torehan pak ngah pada pokok
getahnya menjadi mangsa bidikanku. Getahnya meluncur turun dengan teratur. Susu
getah itu seakan-akan tahu untuk beratur. Setitik demi setitik susu getah itu
menitis melalui sudu getah dan bersatu dengan susu getah yang berada di dalam
mangkuk pokok getah itu. Kata pak ngah, susu getah akan menjadi beku dengan lebih
cepat apabila cuka diletakkan ke dalamnya.
Aku
memasukkan jariku ke dalam mangkuk itu dan menarik kulit pokok getah yang
bersimpul-simpul di dalam mangkuk itu. Kulit itu aku nampakkan seperti
tertimbul pada permukaan susu getah itu. Lalu situasi itu turut menjadi mangsa
bidikanku. Aku menghidu jari tanganku. Masih segar bau getahnya. Aku sudah
terbiasa dengan bau ini.
Sengihan
di bibir muncul apabila teringat kenangan sewaktu aku baru berusia sepuluh
tahun. Pak ngah beria-ia mengajakku ke ladang getahnya untuk membantunya
mengutip getah. Aku menurut kerana pak ngah menjanjikan aku upah yang lumayan.
Dia menjanjikan aku upah air batu campur yang terkenal di kampung itu.
Aku
masih lagi tidak senang dengan bau getah pada ketika itu. Getah beku yang
berada di dalam mangkuk getah aku kutip dengan hujung jari sahaja. Gelilah
kononnya. Usai mengutip dan berehat di pondok pak ngah sementara menunggu
peraih getah-getah beku pak ngah tiba, pak ngah mengambil sebuku getah dan
ditekapkan pada pipiku. Jeritan aku menyebabkan burung-burung yang hinggap pada
dahan pokok-pokok getah pak ngah berterbangan. Sakan pak ngah mentertawakan aku
pada hari itu. Abang yang turut ikut serta bersama-sama aku dan pak ngah turut menghamburkan
tawanya. Dia turut berbuat perkara yang sama pada pipiku yang masih belum
tercemar.
Disebabkan
hal itu, aku tidak keluar dari bilik selama satu hari. Puas juga pak ngah
memujukku. Namun disebabkan hal itu juga, aku sudah serasi dengan bau getah.
Sewaktu membantu pak ngah mengutip getah pula, aku tidak lagi mengutip getah
dengan hujung jari. Selamba sahaja aku mengutip getah beku itu dengan
menggunakan kesemua permukaan pada tanganku. Walaupun kata orang baunya kurang
menyenangkan, namun inilah salah satu punca pendapatan pak ngah yang memberi
aku makan air batu campur. Aku mentarbiahkan diri aku agar tidak perlu geli
dengan punca pendapatan yang memberi aku makan.
Setelah
puas bertemu janji dengan ladang getah pak ngah, aku mengatur langkah ke
sangkar ikan pak ngah pula. Lokasi sangkar ikan yang agak jauh dari ladang
getah pak ngah tidak membantutkan niatku untuk sampai ke sana. Aku mengambil
jalan yang terbuka untuk mengelakkan terjadinya perkara-perkara yang buruk.
Sesekali
aku menegur mak cik-mak cik yang sedang menyiram pokok-pokok bunga di halaman
rumah mereka. Ada juga dalam kalangan mereka yang masih mengingati diriku. Namun
aku keliru juga dengan riak wajah mereka. Walaupun sedang berbicara denganku,
mereka pasti akan menjenguk ke belakangku. Bagai ada yang tidak kena sahaja.
Namun tidak pula aku terasa untuk menoleh ke belakang.
Langkah
kaki terus kuatur menuju ke sangkar ikan pak ngah sambil pandanganku tertumpu
pada kameraku yang talinya tergantung pada leherku. Telingaku menangkap bunyi
hon kereta sebelum tubuhku ditarik ke tepi jalan. Atau lebih tepat, ditarik ke
dalam pelukan seseorang. Pantas aku mengangkat pandanganku. Tanganku bertindak
menyiku perut si pelaku lalu pelukannya pada tubuhku terlerai. Pemandu kereta tadi sudah memberhentikan
kenderaannya di bahu jalan. Tingkap keretanya diturunkan.
“Ila!”
Panggilnya. Aku mengangkat kening. Siapa pula yang memanggilku? Terbantut
niatku untuk memandang si pelaku.
“Kau
nak mati ke?” soalnya. Aku tersengih. Tampang lelaki itu kupandang lama.
Seketika kemudian muncul senyuman di bibirku.
“Umar!”
jeritku. Terus sahaja aku merapati keretanya. Dia tersengih memandangku.
“Bila
kau datang sini?” soal Umar.
“Seminggu
dah. Kau bukan nak menjenguk pak ngah aku dekat rumah tu,” bidasku. Umar
tersengih lagi.
“Aku
sibuk sikitlah. Hujung minggu depan aku dah nak kahwin dah.” Kata-kata Umar
menyebabkan senyuman pada bibirku semakin melebar.
“Amboi!
Tak ajak aku pun. Tak apa... Aku merajuk seminggu dengan kau,” kataku.
“Wei,
kau ni. Merajuk pulak. Shila kata dia akan ajak kau. Sebab tu aku tak ajak,”
ujarnya. Membulat mataku mendengarnya.
“Kau
dengan Shila?! Biar betul?!” Aku menginginkan pengesahannya. Apa tidaknya,
semasa kami masih kecil, Umar dan Shila tidak pernah sekufu. Ada sahaja yang
akan dibalahkan. Kadang-kadang Umar mengalah, ada ketikanya Ashilah mengalah
dengan muncung sedepa pada bibirnya. Paling kerap sekali, kedua-duanya keras
kepala dan hati untuk mengalah. Keesokannya, timbul pula topik baru untuk
dibalahkan. Senang sahaja perbalahan semalam terhapus tanpa diungkit-ungkit
lagi.
“Nampaknya
macam tulah,” kata Umar. Aku ketawa besar. Berair mataku dek ketawa itu.
“Inilah
namanya benci jadi sayang, ya?” ujarku setelah tawaku reda. Umar tersengih.
“Kau
ni pulak bila? Tu siapa tu? Bukan main lagi dia peluk kau tadi?” kata Umar lalu
bibirnya dijuihkan ke belakangku. Setahu aku, aku bersendirian sedari tadi.
Hanya selepas aku mendengar bunyi hon kereta tadi aku diselamatkan seseorang.
“Kau
ni Umar... Aku ada maruah lagi tau? Tak ada maknanya aku nak berpeluk dengan
orang tengah-tengah jalan ni. Kau yang nak langgar aku tadi. Tak rasa bersalah
langsung! Nanti belanja aku air batu campur, ya?” kataku. Umar mengangkat
kening.
“Tak
ada masalah. Petang esok aku datang rumah pak ngah kau dengan air batu campur
kau sekali,” tutur Umar. Aku tersenyum senang.
“Bawak
Shila sekali. Dah lama tak jumpa dia,” ujarku. Umar mengangguk.
“InsyaAllah.
Tapi kau tak cakap lagi siapa lelaki tu.” Umar menjuihkan bibirnya ke
belakangku. Pantas aku berpaling. Membulat mataku memandang Mujaddid. Serius
sahaja wajah lelaki itu.
“Ni?
Entah, lelaki gila mana entah yang abang aku hantar,” ujarku seiring dengan
pandanganku yang beralih kepada Umar kembali. Umar tersengih.
“Kau
jangan benci sangat. Nanti jadi macam aku dengan Shila baru kau tahu,” kata
Umar. Aku mencebik.
“Dengan
lelaki gila ni? Tak ada maknanya,” balasku.
“Eleh,
yalah tu. Ila, aku nak ke kedai sekejap. Aku blah dululah.
Assalamualaikum,” kata Umar. Aku mengangguk dan membalas ucapan salamnya.
Setelah keretanya berlalu, aku berpaling menghadap Mujaddid.
“Hei,
Marhaban Mujaddid! Kenapa awak ada dekat sini, hah?!” sergahku. Mujaddid
mengangkat keningnya.
“Suka
hati sayalah nak berada dekat mana pun. Kampung ni awak punya ke?” ujar
Mujaddid. Aku mengetap bibir. Langkah kuatur menuju ke sangkar ikan pak ngah.
“Awak
tak boleh ke kalau tak ikut saya?” hamburku sebaik sahaja tiba di sangkar ikan
pak ngah. Mujaddid mendekatkan wajahnya dengan wajahku dengan mata yang
dibesarkannya sehingga aku terpaksa berganjak ke belakang. Risau juga memandang
matanya lama-lama. Hatiku akan dipagut resah tanpa dipinta.
“Cik
Aidilla, ada saya ikut awak? Jangan perasan, boleh? Saya cuma berjalan.
Kebetulan tujuan kita sama,” kata Mujaddid. Aku mendengus kasar dan menghentak
kakiku. Laju sahaja aku berpaling.
“Dasar
gila!” getusku. Terhambur tawa daripada bibir Mujaddid. Aku menjelingnya tajam
sebaik sahaja tawanya mati.
“Gila!”
Aku menjegilkan mataku memandangnya. Langkah kaki terus kuatur ke sangkar ikan
pak ngah.
“Assalamualaikum,
Pak Yaakob!” Rajin mulutku menyapa pekerja merangkap kawan pak ngah. Pak Yaakob
yang sedang memindahkan sebahagian palet makanan ikan dari dalam guni ke dalam
sebuah bekas, berpaling. Terus sahaja dia tersenyum.
“Sihat,
Pak Yaakob?” soalku. Pak Yaakob mengangguk.
“Alhamdulillah.
Bila kamu balik ke sini Azza?” soal Pak Yaakob.
“Dah
seminggu dah. Azza duduk sini lama kot. Tak nak balik KL dah,” kataku. Pak
Yaakob masih murah dengan senyumannya membuatkan aku senang untuk berbual-bual
dengan Pak Yaakob.
“Kenapa
sampai macam tu sekali?” soal Pak Yaakob. Aku mencebik.
“Papa
tak sayang Azza dah...” tuturku dengan mimik muka yang dibuat-buat sedih.
“Mana
ada ayah yang tak sayang anak...” Jelas kata-kata Mujaddid hinggap pada
pendengaranku.
“Papa
saya lain tau? Awak tak tahu,” bidasku lalu pincing mataku memandangnya.
“Hish!
Takkanlah papa Azza sanggup buat begitu,” kata Pak Yaakob. Pak Yaakob cukup
mengenali papa dan pak ngah kerana mereka berkawan sedari remaja lagi.
“Entahlah...
Tapi Azza rasa yang Azza dah tak nak balik ke sana lagi. Duduk di sini lagi
seronok. Sekurang-kurangnya, Azza masih boleh meneruskan cita-cita Azza,”
jelasku lalu kubidik wajah Pak Yaakob. Dapat juga figuranya yang sedang
tersenyum. Pak Yaakob sungguh liat untuk menjadi mangsa bidikanku.
“Budak
ni... Suka sangat curi-curi ambil gambar Pak Yaakob,” ujar Pak Yaakob. Aku
tersengih. Aku memandang bekas yang berisi makanan ikan dalam pegangan Pak
Yaakob.
“Pak
Yaakob nak bagi ikan makan ke?” soalku. Pak Yaakob mengangguk. Aku mencapai
bekas itu.
“Biar
Azza bagilah. Dah lama ikan-ikan tu tak rasa kasih sayang Azza,” kataku. Baru
sahaja kaki ingin melangkah, terasa tali kameraku ditarik seseorang dari
belakang. Mujurlah aku menghentikan langkahku. Jika tidak, leherku pasti akan
terjerut.
“Letak
dulu kamera tu. Jatuh dalam sangkar tu sia-sia aje,” ujar Mujaddid seiring
dengan pergerakannya ke hadapanku. Tali kameraku yang tergantung pada leherku
dipisahkannya. Aku tidak berani memandang wajahnya. Pandanganku hanya terarah
ke kawasan sungai di belakang Mujaddid. Usai memisahkan tali kamera tadi
daripada leherku, kameraku dibawa bersama-samanya menuju ke arah Pak Yaakob
yang sedang berehat di atas bangku.
“Jangan
tengok apa-apa pun gambar dalam tu. Haram disentuh! Jaga elok-elok,” pesanku
sebelum aku meniti tong-tong yang terapung di sungai itu. Tong-tong plastik itu
dibina sebagai laluan.
“Ikan,
mesti kau orang rindukan aku, kan?” ujarku lalu aku taburkan makanan untuk
disantap oleh ikan-ikan itu. Pak ngah pernah memberitahu kepadaku supaya
memberi lima mangkuk kecil makanan kepada ikan-ikan itu. Aku tidak pernah tahu
berapa banyak bilangan ikan di dalam sangkar-sangkar ini.
“Bertuah
badan kau orang. Makan pun bersuap. Nanti aku makan kau pulak ya? Tengoklah
siapa yang bertuah,” kataku dengan sengihan pada bibir. Ikan-ikan yang muncul
di permukaan air menarik minatku. Setelah selesai menaburkan makanan, aku
mendapatkan semula kameraku yang masih selamat dalam pegangan Mujaddid. Entah
apa entah yang dilihatnya pada kameraku itu.
“Awak
tengok apa?” tegurku. Mujaddid mengangkat pandangannya. Aku mengambil kameraku
daripadanya.
“Marhaban
Mujaddid! Kan saya dah kata, haram!” kataku setelah mendapati bahawa dia
menyelongkar memori kamera itu. Aduhai, janganlah dia tengok gambar gila-gila
aku di taman tempoh hari.
“Lucu
juga awak ni, ya? Haram awak tak boleh pakai. Lagipun Encik Hairul suruh saya
perhatikan, gambar-gambar yang awak tangkap. Dia bimbang awak mengambil gambar
yang bukan-bukan,” kata Mujaddid lalu ketawa. Aku mengecilkan mataku.
“Gila!”
Kata-kataku membuatkan tawanya semakin galak. Aku mengatur langkah ke tempat
berteduh ikan-ikan sangkar itu. Lalu aku membidik apa-apa situasi yang menarik
perhatianku.
“Awak
nak ke mana pula ni? Awak kata dengan ayah ngah nak ke ladang dan sangkar
saja,” tegur Mujaddid apabila aku melangkah ke arah yang bertentangan dengan
jalan ke rumah pak ngah. Tampang Mujaddid kujeling sekilas.
“Sibuk!
Pergilah balik. Suka hati sayalah nak ke mana pun, kaki saya. Awak jangan nak
mengikut pula.” Sempat aku memberi amaran kepadanya.
“Suka
hati sayalah nak mengikut awak, kaki saya.” Mujaddid seakan-akan mengajuk
cakapku. Aku memandangnya tajam.
“Hish!
Awak ni gila, tau? Abang tak suruh pun awak jaga saya macam ni sekali. Dia
suruh tengok-tengokkan saja, kan?” ujarku tidak berpuas hati dengan tingkah
Mujaddid.
“Abang
awak suruh saya perhatikan setiap gerak-geri awak. Setiap,” kata Mujaddid.
Perkataan setiap itu ditekannya.
“Ya
Allah! Bencinya aku!” Aku menghentakkan kakiku buat beberapa kali. Haluan sudah
bertukar. Tidak jadi aku melangkah ke tempat rahsiaku.
“Awak
boleh tak jalan jauh ke belakang? Sepuluh meter jauh!” tegasku. Mujaddid
menggeleng.
“Saya
tak nak awak lari,” kata Mujaddid. Kata-katanya mendatangkan ilham gila dalam
fikiranku. Aku akan gunakan kelebihan berlari pecut yang aku miliki.
“Awak
tahu tak yang awak gila? Saya tak suka lelaki macam awak jalan dekat-dekat
dengan saya. Orang kampung nampak, tahu? Apa yang akan mereka fikir nanti?
Gilalah awak ni!” balasku geram. Lantas haluanku bertukar semula menuju ke
tempat rahsiaku. Aku berpaling dan memandangnya.
“Mujaddid,
kereta!” kataku sambil lurus telunjukku menghala ke arah belakangnya. Apabila
dia berpaling ke belakang, pantas aku membuka langkah seribu. Aku berlari
pecut. Biar dia rasa! Seluar trek dan kasut yang tersarung memudahkan
langkahku.
“Cik
Aidilla!” Jeritannya kuat kedengaran. Sungguh aku berharap dia tidak mengejar
langkahku. Sebaik sahaja tempat yang dituju sudah berdekatan, aku memboloskan
diri ke dalam kawasan yang agak berhutan. Bukannya aku tidak tahu selok-belok kawasan
ini. Inilah jalan untuk menuju ke tempat rahsiaku. Laju kakiku melangkah,
bimbang dikesan oleh Mujaddid. Mujurlah laluan di dalam ini diterangkan. Hanya
di luar sahaja dibiarkan kelihatan bersemak.
Aku
melepaskan nafas lega sebaik sahaja tiba. Air jernih yang mengalir membuatkan
bibirku tersenyum. Ternyata Umar dan Rahman masih menjaga kebersihan kawasan
sungai ini. Laju sahaja aku melangkah masuk ke dalam sungai itu dan melabuhkan
dudukku di atas sebuah batu. Aku yakin tidak ramai yang mengetahui kewujudan
sungai ini. Hanya rakan-rakanku di kampung ini yang mengetahui akan kewujudan
sungai ini.
Menurut
Umar, ladang ini mempunyai tuan, namun tidak diusahakan. Oleh kerana itu,
ladang ini ditumbuhi semak-samun dan tampak seperti hutan tebal pada luarannya.
Tidak ramai yang berani melangkah masuk ke dalam ladang ini. Maka mereka tidak
tahu akan kewujudan sungai yang agak besar dan dalam pada sesetengah bahagian
sungai itu. Sungai ini pun kami temui atas usaha Umar dan Rahman. Sejak sungai
ini ditemukan oleh mereka, sungai ini menjadi tempat lepak kami bersama-sama
Ashilah, Najihah, dan Farhana.
“Abang...”
desisku perlahan. Tidak semena-mena wajahnya singgah pada mindaku. Serta merta
aku mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Nombor telefon
pejabatnya kudail. Tidak lama aku menunggu, panggilan berjawab.
“Hello?
Hairul here,” ajunya. Aku senyap.
“Hello?
Who’s there? May I help you?” soal abang. Aku tersengih.
“Eh,
jangan main-main. Siapa ni?” soal abang lagi setelah dia tidak menerima
sebarang balasan daripadaku.
“Saya
letak nanti,” kata abang berbaur ugutan.
“Eh,
nanti-nanti!” Laju aku menghalang niatnya. Terdengar ketawa abang meresap masuk
ke dalam hatiku. Sudah lama tidak kudengar tawanya yang sering kali terhambur
ketika dia membuliku.
“Aid?”
ujar abang. Aku mengangguk seakan-akan abang boleh melihat anggukanku.
“Yalah,
siapa lagi yang telefon dari perantauan ni? Abang dengan umi sihat?” soalku.
Abang ketawa lagi.
“Perantauanlah
sangat. Alhamdulillah, sihat. Abang tak nak Aid botakkan rambut abang. Khabar papa
tak nak tanya ke?” Soalan abang itu mematahkan sebahagian keceriaan aku. Mati
sengihan yang terukir pada bibirku tadi.
“Hmmm,
papa sihat?” soalku kerana tidak mahu abang mengesyaki apa-apa. Sungguh abang
tidak pernah tahu bahawa aku berjauh hati dengan sikap papa yang
membeza-bezakan keinginan aku dengan abang.
“Alhamdulillah,
sehari lepas hantar Aid papa dah sihat,” jelas abang. Aku mencebik. Berjauh
hati seketika. Sihat sebab aku tak ada lah tu.
“Mujaddid
macam mana? Okey?” soal abang. Mati mood aku untuk berbual-bual dengan
abang. Aku mendengus kasar.
“Abang...
Abang pesan dekat dia suruh perhatikan setiap gerak-geri Aid atau
tengok-tengokkan Aid saja?” soalku. Aku ketawa. Entah mengapa terasa sakit
hatiku mendengar tawanya kini yang kedengaran jahat pada pendengaran.
“Abang
suruh dia buli Aid. Wakillah sebab abang pun rindu nak buli Aid,” kata abang. Aku mencebik.
“Abang!
Seriuslah... Dia tu gilalah, bang!” kataku tidak berpuas hati dengan jawapan
abang yang kedengaran seperti ingin mempermain-mainkan aku.
“Ya,
abang suruh dia jaga Aid, perhatikan setiap gerak-geri Aid,” jelas abang. Aku
mengeluh seketika.
“Abang...
Aid bukan anak kecil lagi. Aid tahulah menjaga diri. Lagipun, Aid tahu selok
belok kampung ni. Bukannya Aid tak pernah membesar di sini. Kan sejak dari
darjah satu sampai habis tingkatan empat, bila cuti hujung tahun saja, Aid akan
duduk di rumah mak ngah,” ujarku. Sungguh aku kurang senang dengan kehadiran
lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Marhaban Mujaddid itu.
“Abang
tak kisah Aid nak kata apa-apa pun. Abang tetap nak Adid jaga Aid. Adid tu
baiklah, Aid,” tutur abang.
“Abang...
Aid tak suka dia. Semak tau tak? Aid nak pergi mana-mana pun, semua dia nak
ikut. Nanti kalau satu hari Aid bunuh dia abang jangan tanya kenapa,” ujarku.
Abang ketawa, bagai memahami bahawa apa yang aku perkatakan hanyalah sekadar
gurauan.
“Hish!
Abang, Aid serius ni. Aid rasa macam nak pijak-pijak aje dia tu. Sakit hati
betul dengan perangai dia yang suka ikut Aid tu,” jelasku. Abang masih ketawa.
“Aid!
Dia baiklah,” kata abang lagi. Tak habis-habis cakap dia baik. Kenapa aku tak
rasa yang dia ni baik?
“Masalahnya
nanti Aid duduk satu rumah dengan dia. Abang tahu tak, baik-baik orang pun ada
jugak syaitan, nafsu. Satu lagi, dia tu betul ke Islam?” soalku. Entah mengapa
aku perlu ragu-ragu dengannya walaupun nasihatnya tadi telah mengusik tangkai
hatiku.
“Hish!
Aid ni... Jangan fikir bukan-bukan, boleh? Kalau Aid ada, tak adalah dia duduk
dalam rumah tu juga. Kalau dia berani nak kena pelangkung dengan pak ngah, dia
buatlah. Adid tu memang Islam, walaupun muka dia tak ada muka Melayu langsung.
Aid jangan tuduh dia bukan-bukan pulak.” Abang memberi peringatan. Aku
melepaskan keluhan kecil.
“Mana
abang kenal dia?” soalku.
“Dia
kawan abang,” jawab abang. Aku mencebik. Aku tahulah dia kawan abang. Aku tanya
mana abang kenal dia. Abang ni... Lain yang ditanya, lain juga yang dijawab.
“Sekarang
Aid dekat mana?” soal abang.
“Rahsialah.
Dia tak ada dengan Aid. Aid lari daripada dia,” ujarku. Dengusan abang singgah
pada pendengaranku.
“Aid!
Abang bayar dia untuk jaga Aid, tau? Aid pergi lari tu buat apa? Nanti kalau
apa-apa terjadi dekat Aid macam mana? Abang akan suruh Adid bertanggungjawab,
tau?” Abang mula membebel.
“Hish!
Aid tak suruh pun abang upah orang jaga Aid, kan? Lagipun, ada Aid kisah kalau
duit abang habis? Abang yang beria nak dia jaga Aid. Bang, Aid bukan budak
kecil lagi, tau? Aid tahulah jaga diri,” ujarku sedikit geram dengan sikap
abang yang tiba-tiba prihatin ini. Kedengaran abang melepaskan keluhannya.
“Abang...
Abang tahu tak yang dia tu dah dua tahun duduk dengan pak ngah?” soalku.
“Tahu.”
Jawapan abang menyemarakkan kemarahan dalam hatiku.
“Kenapa
tak ada sesiapa pernah bagitahu Aid? Kalau Aid tahu macam ni, baik Aid duduk
rumah pak long dekat Sabah tu,” tempelakku. Wajahku bertukar keruh. Abang
melepaskan tawanya. Tawa yang semakin menyakitkan hatiku.
“Sebab
tu tak ada sesiapa beritahu Aid. Kami tak mahu Aid pergi jauh daripada kami.”
Huh! Yalah tu! Kalau umi yang bercakap, aku percaya. Tetapi apabila ayat itu
keluar daripada mulut abang atau papa, bukan mudah untuk aku percaya
bulat-bulat. Aku perlukan saintis yang pakar untuk mengkaji kesahihan kata-kata
itu terlebih dahulu.
“Hmmm...
Dahlah, Aid nak letak ni. Aid rajin nanti Aid telefon lagi. Nanti abang kirim
salam pada umi. Peluk cium umi untuk Aid. Lepas tu, abang kirim salam dekat
papa juga. Tanya dia rindu Aid tak?” ujarku.
“Banyaknya
pesan dia. Haaa, okey. InsyaAllah, nanti abang sampaikan. Aid jaga diri, tau?”
pesan abang.
“Hmmm...
Assalamualaikum,” ucapku. Setelah abang menjawab salamku, aku mematikan talian.
Telefon aku masukkan kembali ke dalam saku seluarku. Imej di kamera kutatap
kembali. Memerhatikan semula hasil bidikanku. Memikirkan bahawa gambar-gambarku
dengan aksi yang gila-gila telah dicemari oleh penglihatan Mujaddid, aku jadi
geram sendiri. Dapat aku rasakan hari-hari yang mendatang, tidak akan aman lagi
dengan adanya lelaki itu.
No comments:
Post a Comment