Total Pageviews

FIRST BABY

Saturday 26 January 2019

Cerpen- My dear, Wahyu! (Part 2)



AKU dapat rasakan pijar pada bahagian anak rambut. Rasa sakit yang menggigit itu menganggu lenaku. Laju tanganku bergerak untuk menolak benda yang menyebabkan aku sakit. 

Tak cukup dengan sebelah tangan, sebelah lagi turut aku guna untuk menghapus gangguan yang menyakiti aku. Namun semakin aku menolak, semakin sakit pula yang aku rasakan.

Dan akhirnya, kedua-dua belah tanganku terasa seperti diikat. Mata automatik terbuka dek dada yang dipukul oleh debaran yang menggila. Segera aku ingin bangkit namun, "Aduh!"

Kepala aku terhempas semula ke atas bantal.

"Ahhh." Aku mengerang dengan mata yang terpejam. Berdengung rasanya telinga aku selepas terhantuk tadi. Kepala Wahyu memang keras begini!

"Sakit ke?"

Aku membuka mata yang terpejam, "Wahyu buat apa?"

Wahyu tidak menjawab soalan aku. Kedua-dua belah tangan aku yang dicengkam olehnya sebentar tadi sudah dilepaskan. Wajahnya bergerak merapati wajahku. Matanya melekat pada dahiku.

"Wahyu tengok apa?" Masih juga aku bertanya walaupun aku tahu apa yang sedang dilihat oleh Wahyu.

Sekali lagi aku dapat rasakan pijar pada bahagian anak rambutku.

"Ahhh." Terpacul juga bunyi yang membuktikan bahawa aku sedang berasa sakit. Sakit apabila lukaku bersentuh dengan ubat yang disapu oleh Wahyu.

Wahyu pandang mata aku sekilas kemudian matanya singgah pula pada bahu kiriku. Tangannya bergerak membuka dua butang bahagian atas baju kemeja yang sedang aku pakai. Kolar kemeja aku ditarik sehingga mendedahkan bahu aku.

Wahyu mengambil sesuatu dari meja lampu tidur. Bungkusan ais. Bungkusan itu kemudiannya diletakkan di atas bahu aku. Ditekap lama dengan tangannya.  

Entah atas alasan apa, sepasang mataku bergenang tatkala merenung wajah Wahyu. Syahdu sungguh aku rasa pada saat ini.

"Wahyu." Perlahan aku menutur namanya. Air mata sudah mengalir ke pelipis.

Tangan Wahyu yang sedang menekap bungkusan ais aku capai. Setiap lekuk urat pada tangan itu yang mengisi ruang mataku buat aku semakin sedih sahaja. Pemilik tangan ini sebenarnya tidak pernah gagal sebagai seorang suami. Makan pakai aku semua dia jaga dengan baik. Cuma dalam hal hati dan perasaan, barangkali hanya aku yang masih gagal menjadi isteri yang baik untuk faham dia.

"Kalau saya mati dalam kemalangan itu, awak akan sedih tak?" Aku pandang Wahyu dengan mata yang bergenang. Pastilah Wahyu sudah tahu tentang kemalangan aku dan Ernie. Aku yakin dia sudah perasan luka pada bahagian anak rambut aku dan lebam pada bahu aku sejak malam semalam lagi.

Kak Zarida pun ada beritahu aku bahawa Wahyu meminta penjelasan tentang ketidakhadiran aku ke pejabat dua hari lepas. Wahyu tanya, aku sakit apa sampaikan aku dapat MC.

Wahyu merebahkan tubuhnya di sebelah kananku. Dahiku dikucup olehnya sebelum dia memeluk tubuhku dan mendaratkan kepalanya pada bahuku.

"Wahyu tak sayang Hanum ke?"

Wahyu tidak menjawab. Hanya pelukannya pada tubuh aku yang dapat aku rasakan semakin erat.

"Hanum tak boleh baca fikiran Wahyu, tak boleh dengar suara hati Wahyu. Yang Hanum fikir sekarang ni, Wahyu tak perlukan Hanum dalam hidup Wahyu. Mungkin Wahyu boleh cuba buat Hanum ubah fikiran supaya Hanum tak terus fikir benda yang sama."

Tangan kanan Wahyu bergerak mencapai tangan kiriku lalu dia menyelati ruang kosong antara jari-jemariku dengan jari-jemari miliknya.

"Jangan pergi, Hanum Syazana," bisik Wahyu, "Awak keluarga saya."

Wahyu ada firasat begitukah? Firasat yang mengatakan bahawa aku akan meninggalkan dia?


"IRMAN!"

Aku rasa satu pejabat boleh dengar aku menyeru nama Irman dengan nada manja. Buktinya, semua orang tengah pandang aku.

"Ya, Cik Syazana!" Dan kerusi Irman seperti biasa, berlaga dengan dinding bilik Wahyu. Hanya dengan sekilas pandang, aku nampak Wahyu sedang memerhati belakang tubuh Irman dari dalam biliknya yang berdinding lutsinar.

"Awak beli ke ni?" Aku menunjukkan macaroon berwarna-warni yang berada di atas meja.

"Ya, cik."

"Awhhh, macam mana awak tahu saya teringin nak makan macaroon? Ni yang saya makin sayang kat awak ni. Terima kasih, tau?"

Lebar sengihan pada bibir Irman, "My pleasure."

Aku terus melabuhkan duduk dan membuka bungkusan macaroon. Sebiji macaroon berwarna ungu aku keluarkan lantas dengan bacaan basmallah, aku menyuap macaroon berkenaan ke dalam mulutku.

"Hmmm. Sedapnya, ya Allah." Bukan setakat mulut, mata aku pun tidak semena-mena bergenang dek kepuasan yang dicapai.

"Mengalahkan orang mengidam aje!"

Ulasan Kak Zarida itu membuatkan aku tersedak. Aku pandang Kak Zarida yang sedang berlenggang menuju ke mejanya. Tangan laju bergerak mencapai botol air di atas meja lalu air masak kuteguk dengan cermat.

Fikiran aktif memproses kata-kata Kak Zarida. Sejak malam semalam lagi aku pusing memikirkan haid aku yang sudah lewat tiga minggu. Dan pagi ini, kata-kata Kak Zarida bagai memberi hidayah buat aku.

Aku tak pernah terfikir yang haid aku akan lewat disebabkan aku mengandung. Tak, aku dah buang tanggapan tu sejak aku berputus asa dengan keputusan negatif yang muncul setiap kali aku menggunakan alat penguji kehamilan. Sejak dah berputus asa, setiap kali haid aku lewat, aku tak pernah menganggap kehamilan sebagai puncanya. Aku sudah serik untuk berharap pada yang tidak pasti.

Mata bergerak turun memandang perut sendiri. Takkanlah...


DISEBABKAN aku asyik teringat-ingat kata-kata Kak Zarida sepanjang perjalanan pulang ke rumah, aku sanggup buat kerja gila. Dah tiga tahun berlalu sejak aku berhenti pergi ke farmasi untuk membeli alat penguji kehamilan, dan hari ini, Mr Wong pun boleh terkejut tengok barang yang aku beli.

Aku perhati skrin alat penguji kehamilan dengan penuh debaran. Dah sepuluh minit aku menunggu, tak ada perubahan pada skrin alat penguji kehamilan berkenaan. Negatif.

Aku menghela nafas. Alat penguji kehamilan yang ketiga itu aku buang ke dalam tong sampah. Tiga kali aku uji, ketiga-tiganya menunjukkan keputusan yang negatif. Aku tak tahu sama ada aku patut lega atau sedih.

Lega kerana tak ada penghalang untuk Wahyu menceraikan aku atau sedih kerana aku masih tidak ada peluang untuk menjadi seorang ibu.


"ADA benda yang tak kena ke?"

Benar, aku tak sangka bahawa aku akan mendengar soalan itu daripada Wahyu. Pertama kali seumur hidup, dia yang bertanya dulu. Selalunya, aku yang kena cerita.

Aku melihat wajah Wahyu sekilas lantas perlahan-lahan aku menggeleng, "Tak ada apa-apa."

Suapan terakhir aku sudahkan lantas aku bangkit daripada dudukku. Baru sahaja hendak mencapai pinggan, Wahyu bersuara, "Tinggal aje. Saya basuh."

"Hmmm." Aku memang boleh percayakan Wahyu untuk mengurus dapur. Dia tak pernah gagal dalam bab membuat kerja rumah.

Setelah membasuh tangan, aku meminta diri, "Hanum naik dulu, Wahyu."

Tanpa menanti persetujuan daripadanya, aku terus menapak ke bilik di tingkat atas.

Usai membersihkan diri dan solat, aku terus merebahkan tubuh di atas katil dan menutup seluruh tubuhku dengan selimut.

Lama aku memerhati corak-corak pada selimut berkenaan. Tanpa sedar, air mata perlahan-lahan menitis. Sedikit pada awalnya namun banyak pada akhirnya, sehinggakan aku tersedu-sedan dan kepalaku terasa sakit. Ya, aku bukannya lega. Aku sedih.

"Hanum."

Dapat aku rasakan Wahyu menyentuh rambutku. Ibu jarinya bergerak mengusap-usap ubun-ubunku.

Aku menarik selimut untuk melihat wajah Wahyu.

"Hanum okey?" tanya Wahyu.

Satu lagi soalan yang pertama kali aku dengar daripada Wahyu. Ya, sebelum ini dia tidak pernah tanya sama ada aku okey atau tidak.

Aku menggeleng.

"Nak menangis lagi?" tanya Wahyu.

Aku mengangguk.

Wahyu tersenyum pudar memandang aku kemudian tangannya bergerak menarik semula selimut untuk menutup wajahku, "Menangislah. Saya tunggu."

Aku mengeluarkan tangan kanan dari dalam selimut. Bagai memahami, Wahyu menyerahkan tangannya kepadaku lalu aku tarik tangan itu ke bawah selimut dan aku letakkan tangannya di bawah pipi aku.

Entah berapa lama aku menangis, yang pasti, aku membiarkan Wahyu menunggu aku sehingga Subuh. Aku terjaga keesokan harinya dengan tangan Wahyu yang masih setia di bawah pipi aku dan dia yang setia duduk bersandar di sebelah aku. Dia tertidur dalam keadaan itu.


KATA Kak Zarida, satu pejabat kecoh apabila aku pitam di pejabat. Wahyu yang sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang pun boleh berpatah balik apabila menerima berita bahawa aku dikejarkan ke hospital.

"Perlahan-lahan minum tu, tersedak nanti." Terkebil-kebil aku renung wajah Wahyu. Hai, bukan main banyak lagi patah perkataan dia keluar? Aku rasa selain lafaz akad nikah, ini ayat paling panjang yang pernah keluar dari mulut Wahyu di luar masa pejabat.

"Wah, tak tahu pula saya Encik Wahyu dengan Cik Hanum ni suami isteri." Firash bersuara memecahkan suasana.

"Puan Hanum Syazana." Wahyu membetulkan sambil merenung wajah aku.

Aik? Berapa lama dah agaknya Wahyu simpan dendam sebab semua orang panggil aku cik?

"Ah, yalah. Puan Hanum. Dah biasa lidah ni panggil cik. Saya mati-mati ingatkan Puan Hanum tak kahwin lagi," ujar Firash.

"Dah, sekarang semua orang dah tahu kan Encik Wahyu kita ni tak available. Dah ada permaisuri dalam hati dia." Kak Zarida bersuara dengan mata yang sibuk menjeling wajah Quzandria.

Quzandria pula tidak habis-habis menjeling wajah aku sejak tadi. Geram agaknya mengetahui yang Encik Wahyu idamannya sudah beristeri. Tambahan pula, isterinya itu aku!

"Alaaa, Kak Zarida ni. Encik Wahyu ada kuota tiga orang lagi. Apa nak risau?" Redza yang sedari tadi mendiamkan diri akhirnya bersuara.

"Saya tak perlukan kuota untuk merasa cukup. Hanum seorang dah cukup mengacau hati saya, merisaukan saya dan menggembirakan saya. Yang sempurna tidak semestinya mencukupkan. Yang mencukupkan, semestinya yang sempurna."

Sumpah! Sumpah aku rasa kagum dengan Wahyu pada hari ini. Petah sungguh dia bercakap. 

"Sorry, Encik Wahyu." Redza menggosok-gosok belakang kepalanya.

"Terima kasih sebab bawa isteri saya ke hospital. Awak semua boleh balik awal hari ni. Pastikan esok semua orang dah bersedia untuk projek festival sukan tu," ujar Wahyu.

Setelah meminta diri, semua orang bergerak meninggalkan wad.

"Tak sarapan pagi tadi?" tanya Wahyu.

Aku menggeleng, "Bangun pagi tadi rasa loya. Tu yang tak makan apa-apa. Takut termuntah masa tengah drive."

"Awak menangis banyak sangat semalam, Hanum. Pagi pula tak sarapan. Tu yang sampai pitam tu."

Aku tersenyum pudar.

"Awak kecewa?"

"Huh?"

"Saya nampak dalam bakul sampah."

Aku mengeluh, "Enam tahun, Wahyu."

"Saya tak perlukan awak untuk mengandungkan anak kita supaya kita boleh bahagia. Saya hanya perlukan awak yang macam dulu. Saya rindukan awak yang dulu."

Aku yang dulu? Yang ceria sepanjang masa. Yang rasa sayangnya buat Wahyu terpancar pada matanya. Yang suka bercerita kepada Wahyu walaupun Wahyu tak layan. Ya, itulah aku yang dulu.

"Wahyu sayangkan Hanum?" soalku.

Wahyu mencapai tangan kananku, kedua-dua belah tangannya menutupi tanganku, "Saya anak yatim piatu. Saya tak ada keluarga dan tak ada harta pun untuk tawarkan kepada awak. Kalau bukan sebab saya yakin yang saya boleh bahagiakan awak dengan kasih sayang, saya takkan sambut tangan ayah awak untuk menikahi awak, Hanum."

"Hanum ragu sebenarnya. Meskipun ditunjuk dalam perbuatan, tapi kata-kata lebih mudah sampai ke dalam hati. Sebab itu pepatah Arab kata, lidah itu lebih tajam dari mata pedang, sebab kata-kata lebih cepat menikam berbanding perbuatan. Wahyu tak pernah beritahu Hanum yang Wahyu sayang. Wahyu tak pernah beritahu Hanum yang Wahyu rindu. Wahyu selalu buat semuanya sendiri seolah-olah Wahyu langsung tak perlukan Hanum. Wahyu tak pernah beri peluang untuk Hanum kenal hati Wahyu. Sampailah usia perkahwinan kita cecah lima tahun, Hanum mula penat. Hanum dah tak larat untuk figure out hati Wahyu. Hanum dah tak larat sebab Hanum rasa macam Hanum saja yang terkejar-kejarkan Wahyu. Dua bulan lepas, masa Wahyu balik dari Venice. Hanum tak betul-betul bermaksud pun supaya Wahyu ceraikan Hanum. Masa tu mungkin Hanum dah capai limit Hanum. Hanum marah sangat sebab Wahyu tak bagitahu Hanum ke mana Wahyu pergi. Seminggu Hanum pendam sebab Hanum fikir, satu-satunya keluarga yang Wahyu ada ni, tak berguna pun. Dia tak tahu pun ke mana Wahyu pergi. Dia tak tahu pun berapa lama Wahyu pergi. Dia tak tahu pun kalau apa-apa jadi pada Wahyu. Hanum marah sangat masa tu dan sampai sekarang Hanum masih menyesal dengan apa yang Hanum cakap haritu."

"Saya bagitahu sebenarnya, ke mana saya pergi."

"Hmmm?"

"Dalam planner awak."

"Planner?" Aku pandang beg tangan yang terletak di meja kecil di sebelah katil. Beg itu kucapai lantas aku keluarkan planner yang tersimpan di dalam beg itu.

Planner tersebut aku selak pada bahagian tarikh.

Dari bulan Januari, sampai Disember, kalau Wahyu perlu bekerja di luar negeri atau negara, semuanya direkod di situ.

"Wahyu."

"Ya?"

"Hanum tak pernah guna planner company ni."

"Oh." Wahyu menunduk.

"Oh?" Aku rasa menyampah sangat melihat reaksi Wahyu. Hanya itu sahaja reaksi yang dia boleh beri?

"Kenapa ada dalam beg?" tanya Wahyu.

"Sebab cover dia cantik, sayang nak buang. Takut tertukar dengan planner Wahyu dekat rumah, Hanum letak dalam beg. Lagipun kalau Hanum perlukan kertas urgent  tiba-tiba, Hanum akan koyakkan kertas dari bahagian notes dekat belakang."

"Habis tu selama lima tahun ni memang tak pernah perasan?"

Aku menggeleng, "Tak pernah buka bahagian depan pun. Dah habis tahun, Hanum simpan planner ni dalam storage box Hanum kat bilik kerja tu."

"Allahuakbar!" Wahyu meraup wajahnya, "Apa yang saya buat ni, Hanum?"

Aku menjongket bahu, "Buat Hanum semakin menjauh agaknya? Kenapa Wahyu tak bagitahu aje dengan mulut? Sepanjang enam tahun kita kahwin, Hanum boleh kira dengan jari berapa banyak kali Wahyu bagitahu Hanum yang Wahyu perlu bekerja di luar negara. Selebihnya, kalau bukan sebab Kak Zarida, Hanum rasa Hanum-lah isteri yang paling tak berguna dalam dunia ni."

"Jangan cakap macam tu. Awak isteri yang paling sempurna untuk saya. Awak tak ada silap apa-apa pun. If there's anything wrong, it's from me."

"Hanum nak rehat, Wahyu." Aku mengembalikan planner ke tempat asalnya lalu tubuh aku rebahkan ke atas katil.

Wahyu menarik selimut dan mengemaskannya menutupi tubuhku.

Mata aku pejamkan. Entah mengapa, aku tak ada rasa apa-apa saat mendengar Wahyu mengakui silapnya. Aku masih lagi mahu berjauh hati dengan dia. Aku masih lagi mahu dingin dengan dia. Buat masa ini, aku tak mampu untuk jadi Hanum yang dahulu sepertimana yang Wahyu inginkan.


"WAHYU, Hanum nak balik kampung." Tiba hari mendaftar keluar dari hospital, itu yang aku minta daripada Wahyu.

Tangan Wahyu yang baru sahaja hendak mencapai pintu gelangsar terhenti pergerakannya. Wahyu berpaling menghadap aku, "Kita balik esok."

"Hanum nak balik hari ni. Sorang. Naik bas."

"Tapi..."

"Jangan sampai Hanum perlu pergi tanpa bagitahu Wahyu dulu ke mana Hanum nak pergi."

Wahyu terdiam sejenak.

"Saya hantar," ujar Wahyu.

"Ke TBS saja." Aku terus menolak pintu gelangsar dan berjalan keluar dari wad. Sikit pun aku tak pandang wajah Wahyu selepas itu. Baik di dalam kereta, mahupun di dalam bas sewaktu bas hendak bergerak, sikit pun aku tak pandang wajah Wahyu.

Aku tak mahu jika aku memandang wajah Wahyu, aku akan berubah hati. 



Nota penulis: Thank you Yasmin for your comment on the previous entry. I appreciate that. Enjoy part 2! Korang rasa wajar ke tindakan Hanum ni? Tinggalkan Wahyu walaupun apa yang terjadi antara mereka berkaitan pemergian Wahyu ke Venice adalah salah faham sahaja. Tapi enam tahun bukan tempoh yang sekejap. Dah terlalu lama Hanum makan hati dengan sikap Wahyu. Sekali-sekala kena ajar juga Wahyu tu kan?