Total Pageviews

FIRST BABY

Saturday 24 August 2013

Suka Hati Akulah Nak Cakap Apa-apa Pun, Mulut Aku.

Assalamualaikum!

Tu dia tajuk... Okey, mungkin tajuk post ni sangat kejam tapi isinya tidak. Hari ni saya cerita pasal agama ya? Tak ada e-novel atau e-cerpen. Cerpen baru ada, tapi tak nak masukkan lagi. Hehe. Nanti-nanti masuk jugak. Sabar jelah ya? Nak request pun apa salahnya.

Okey, cuba korang baca dan renungkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesungguhnya satu kaum telah menaiki sebuah kapal, lalu mereka mengambil tempat masing-masing. Setiap orang mendapat tempat sendiri, tiba-tiba ada seorang lelaki yang memecahkan tempatnya (lantai kapal) dengan sebilah kapak, lalu mereka berkata kepadanya, "Apakah yang sedang engkau lakukan?" Lelaki itu menjawab, "Ini tempatku, aku boleh buat apa-apa yang aku suka." (Nabi menjelaskan) Jika mereka menegahnya (melarangnya) kesemuanya akan selamat, tetapi jika mereka membiarkannya, nescaya kesemuanya akan binasa (tenggelam). 

(Riwayat Muslim)

Dah baca? Dah renungkan? Dapat tak? Okey, macam ni, apa yang nak disampaikan ialah, kalau kita nampak orang lain melakukan kesalahan, sebagai seorang Islam sudah semestinya kita bertanggungjawab untuk menegur. Bukankah amar makruf nahi mungkar itu wajib?

"Suka hati akulah nak cakap apa-apa pun, mulut aku."

"Suka hati akulah nak buat apa-apa pun, tangan aku."

Selalu kan terima balasan yang macam ni bila kita menegur? Tapi, ambillah sabda Rasulullah SAW itu sebagai panduan. Andai kita membiarkan orang itu terus melakukan kesalahan, maka kita akan karam bersama-sama dengannya.

"Saya bukan ustaz, nak tegur dia. Saya kerani aje."

"Saya bukan ustazah nak tegur dia. Saya doktor."

Jadi? Apa masalahnya? Selagi anda adalah seorang Islam, maka laksanakanlah tanggungjawab anda. Ingatlah, tanggungjawab berdakwah itu tergalas pada bahu setiap orang Islam. Ambil tahu tentang agama kita, jika benar kita seorang Islam. Apa-apa pun profession kita, selagi kita seorang Islam, tanggungjawab itu mesti dilaksanakan.

"Eh, apa hukumnya kalau saya tak belajar betul-betul ya macam mana nak solat masa kecil-kecil dulu? Walhal mak ayah saya dah ajar dah. Cuma saya yang tak belajar betul-betul. Jadi sekarang ni, saya pun tak pandai nak solat,"  tanya seorang remaja kepada seorang tukang masak di restoran yang beragama Islam.

"Entah, saya bukan ustaz nak jawab soalan awak tu. Tanyalah ustaz," jawab tukang masak itu.

Sahabat, jangan kerana anda seorang tukang masak, anda tidak mampu untuk menjawab persoalan mengenai Islam sedangkan anda seorang Islam. Jangan kerana anda seorang doktor, anda tidak mampu untuk menjawab persoalan mengenai Islam sedangkan anda seorang Islam. Jangan kerana anda seorang pekebun, anda tidak mampu untuk menjawab persoalan mengenai Islam sedangkan anda seorang Islam. Jangan kerana anda seorang usahawan, anda tidak mampu untuk menjawab persoalan mengenai Islam sedangkan anda seorang Islam.

Sanggup nak biarkan hidup remaja tu terus-terusan macam tu? Tak tahu nak solat? Tahu tak apa hukumnya andai kita tidak tahu mengenai perkara-perkara asas fardu ain? Andai kita tidak tahu mengenai perkara-perkara asas fardhu ain, dosa kita akan terpalit sama kepada ibu bapa kita. Kerana mereka yang bertanggungjawab mendidik kita.  Sebagai ibu bapa, kenalah pastikan yang anak-anak tahu mengenai perkara-perkara asas fardu ain, seperti mengucap dua kalimah syahadah, rukun Islam, rukun Iman, istinjak, tayamum, wuduk, mandi wajib, solat, dan sebagainya.

Abu Said Al-Khadri RA berkata bahawa aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya (percakapan), dan sekiranya tidak berdaya juga, maka ubahlah dengan hatinya, yang demikian itu (mengubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman.

(Riwayat Muslim) 
Konklusinya, sebagai umat Islam, ambil tahulah tentang agama kita. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau ada yang melakukan kesalahan, cubalah sedaya upaya untuk menegur. Jika tidak, kita akan karam juga bersama-sama dengannya. Akhirul kalam, selamat melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Islam, :). Amar Makruf, Nahi Mungkar.

Jazakumullahukhairan, barakallahufiikum. Assalamualaikum.

Salam sayang,
Nasha Hadzir Othman.

No comments:

Post a Comment