LANGIT biru
itu kurenung lama. Seperti biasa. Seperti selalu. Di sini tiada matahari terik
seperti di tanah air. Di sini tiada matahari membahang seperti di tanah air.
Dan entah mengapa, kadang aku rindu untuk kembali ke sana.
Tangan
yang terasa lenguh mengalas kepala kualihkan memeluk tubuh. Muzik mozart yang
sedang bermain di telinga terasa membuai jiwa. Fon telinga kutanggalkan sebelum
pemain MP3 pada tangan kumatikan.
Jam pada
pergelangan tangan kuperhatikan. Buat kesekian kalinya, aku mengeluh hampa.
Sungguh, aku hampa. Kalaulah jeritanku boleh sampai ke Malaysia, memang sudah
lama aku menjerit. Aku ingin menyatakan kepada ibu bahawa penantianku selama
lima bulan di sini, sia-sia.
Tubuh
kutegakkan. Novel karya Alyson Noel yang terdampar di atas rumput itu kucapai
sebelum aku bangun berdiri dan mengibas-ngibas sedikit belakang tubuh yang
dibaringkan di atas lantai rumput tadi. Langkah mula dibuka.
Sekilas,
aku berpaling ke belakang seperti selalu, sebelum aku meninggalkan kawasan ini.
Namun tiada. Kosong. Hanya ada dedaun kering yang riang berterbangan ditiup
angin. Aku berpaling ke hadapan semula. Fon telinga kupasang. Aku diam. Melayan
mozart yang berdendang pada telinga. Mata bergenang. Air mata menitis lagi.
KALENDAR yang tergantung di hadapan
kuperhati lama. Tangan yang sedang memegang marker lambat-lambat kuangkat.
Memangkah tarikh itu. 30 April. Esok, 1 Mei, aku perlu pulang ke tanah air,
sementelah itu ialah janjiku kepada ibu. Kerana sudah cukup lama aku
meninggalkan tanah air. Terlalu lama. Dan jika aku pulang esok, bermakna aku
tidak dapat menanti lagi.
Kadang,
rasa menyesal tidak mendengar bicara ibu. Kata ibu, jangan berharap pada yang
tidak pasti. Tapi entahlah... Masakan aku tidak berharap jika dia sendiri yang
berjanji? Dan janjinya itu sentiasa terdengar-dengar menampar gegendang
telingaku.
“This is the first time we met and we’ve
spent and shared so much together, though. Please, do wait for me again. We
will meet again. Every first day of each month. We’ll meet again here at the
same time, I promise you.”
Itu
janji dia. Ya, janji dia.
Tetapi
sudah dua puluh lapan kali. Dua puluh lapan kali hari pertama setiap bulan
berlalu. Dan setiap kali itu, dia mengingkari janjinya.
Tuhan,
kalau ada yang mendengar ceritaku, pastilah mereka mengatakan aku bodoh. Ya,
aku bodoh. Bodoh kerana mengharapkan sesuatu yang tidak pasti.
Kata
adik aku, “Berpijaklah di bumi yang nyata, kak. Kau kenal dia pun baru sekali.
Nama penuh dia pun kau tak tahu. Asal-usul dia pun kau tak tahu. Kau harap dia
akan jumpa kau lagi? Hei, lelaki, kak... Janji memanglah manis-manis. Tapi
letak kat tepi bibir aje. Tak lama lepas ditutur janji tu, gugurlah janji tu
dari tepi bibir. Baik kau baliklah, kak. Lebih dua tahun kau tunggu dia. Kau
tak rasa kau macam orang bodoh?”
Itulah
Leena, adik aku. Adik aku sendiri mengatakan aku bodoh. Okey, oleh kerana Leena
sendiri mengatakan aku bodoh. Maka aku terpaksa akur. Terpaksa telan. Aku
memang bodoh.
Marker
kucampakkan ke dalam bakul sampah. Dakwatnya sudah habis. Lebih dua tahun,
marker itulah yang setia menemaniku menanda kalander. Barangkali ini juga
tanda, aku harus menamatkan hubungan ini.
Huh?
Hubungan? Aku menarik senyum pudar. Hubungan apa, Hamraa’? Hubungan yang kau
harapkan? Begitu? Sudahlah, Hamraa’. Kau ingat pesan Leena. Berpijak di bumi
yang nyata. Kenyataannya, manusia pandai menipu.
Aku
menghempaskan tubuh di atas katil. Tangan kujadikan pengalas kepala. Aku tidak
ke sana lagi pada hari ini, menanti sesuatu yang tidak pasti. Huh, lagipun hari
ini merupakan hari terakhir bulan empat. Bukannya hari pertama. Sejujurnya,
setiap hari aku ke sana. Menanti dia.
Ah!
Bodohnya aku!
Aku
terus bangkit daripada pembaringan. Rambut kukusutkan seboleh yang mungkin.
Geram dengan diri sendiri!
Saat
sedang melayan perasaan, kedengaran pintu bilik diketuk dari luar.
“Miss?” sapa suara itu.
“Yaaa!” sahutku kuat.
“Tea time,” ujar Mak Yusma, pembantu
rumah di dalam rumah agam ini.
“Will be downstairs in five minutes time,”
sahutku.
Rambut
yang kusut kukemaskan kembali. Tangan bergerak mencapai selendang yang
kusangkut pada kepala katil sebelum kulilit pada kepala sekadarnya. Cukuplah
menutup apa-apa yang patut. Bukannya aku tak tahu kegemaran abang. Suka minum
petang di luar rumah.
Langkah
kuatur turun ke bawah dengan semangat yang terasa merudum jatuh menyerap pada
lantai. Hei... Ingat Tuhan, Lidiya. Allah tak izinkan kau jumpa dia lagi. Sebab
kau belum sedia lagi. Itu juga apa yang abang selalu pesan dan cakap pada aku.
Ya, aku
akui hakikat itu. Barangkali benar aku tidak bersedia dua tahun lalu. Ketika
Islam agamaku, tetapi bukan cara hidupku. Walhal Islam itu ialah ad-din... Cara hidup. Ketika itu, hukum
hanya kuikut sikit-sikit. Soal halal haram makan, aku jagalah. Tetapi pergaulan,
ibadat dan sebagainya... Tidak. Tidak sama sekali.
Sehinggalah
pada tahun lepas... Aku bertemu abang.
TUBUH abang kupeluk erat-erat. Dan aku
dengar dia ketawa. Barangkali geli hati dengan keletahku.
“Will miss you a lot, abang. Will really,
really miss you. Will miss you damn much. You’ve helped me a lot. Teach me a
lot. Oh my... You’re so good to me. How I regret knowing you so late. How can I
don’t ever know that I have my brother alive for the last twenty five years I
live? Oh Allah, thank you so much!” tuturku. Sungguh, aku bersyukur dapat
mengenali abang. Ya, abang yang tak pernah aku tahu dia hidup sehinggalah umurku
mencecah dua puluh lima, tahun lepas.
Abang
membalas pelukanku. Dia memelukku erat, siap dukung aku buat satu pusingan
lengkap tiga ratus enam puluh darjah lagi. Aku ketawa girang. Kadang aku suka
dengan sikap abang yang memanjakan aku.
“Will miss you too, Lidiya Hamraa’. Be a good
muslimah, be a good daughter. Dengar cakap ibu dengan ayah, Lid. Kirim
salam abang pada ibu dan Leena. Dahlah... InsyaAllah, next two weeks, abang sampai depan rumah,” tutur abang selepas dia
merungkai pelukannya pada tubuhku. Aku menarik senyum hingga ke telinga.
“InsyaAllah.
Abang mesti sampai rumah, ya? Ayah, ibu dengan Leena perlu jumpa abang. They need to know about you,” kataku.
Abang tersenyum.
“InsyaAllah,
Lid. Dah, geraklah sekarang. Abang pun kena gerak ke Perlis,” kata abang. Aku
tersenyum sebelum mengangguk. Tangan abang kucapai dan kusalam sebagai tanda
pamitan.
“Assalamualaikum,”
ucapku sebelum mencapai bagasiku.
“Waalaikumussalam,”
jawab abang.
“Abang
jalanlah dulu,” suruhku. Abang menjegilkan matanya. Aku tertawa.
“Alaaa,
Lid takut abang sesat. Abang bukannya selalu balik Malaysia. Lid tak apalah.
Dah biasa dengan Malaysia,” ujarku memberi alasan. Akhirnya abang ketawa akur.
“Okay, take care, Lid,” pesan abang
sebelum dia berpaling dan bergerak pergi. Dia sempat berpaling memandangku dan
melambai sedikit. Aku membalas lambaiannya dengan senyum girang pada bibir.
Seraya itu abang memandang ke hadapan semula. Tangannya bergerak masuk ke dalam
kedua-dua saku seluar jeans yang dipakainya. Aku tersenyum puas sebelum aku
juga turut berpaling.
Aku
menarik nafas dalam-dalam. A new life,
Lidiya Hamraa’. A new chapter of your life is waiting for you. Move on, Lid.
Move on.
“HEY,
watch your move! Why did you
suddenly stop?!”
Jantung
hampir-hampir terasa hendak melompat keluar mendengar suara kasar yang
menyergah itu. Tuhan! Terkejut aku! Aku bukannya sengaja nak berhenti. Dah
tiba-tiba ada budak kecil berlari depan aku. Takkan aku nak langgar budak tu
pula? Hamba Allah yang di belakang ini pun, macamlah tak ada laluan lain sampai
kena jalan di belakang aku?
Aku
mengurut dada, menghilangkan debar yang bertandang.
“I’m sorry,” tuturku selamba tanpa
memandang wajahnya sebelum aku mula menyambung langkah yang terhenti tadi.
“So rude!”
Aku
terkaku mendengarnya. Keras sekejap kaki aku.
“Oh, not again?! Hey, miss! What is your
problem?!” sergah suara itu. Mataku membulat. Allah! Apalah masalah manusia
ini? Jalan dalam KLIA 2 ni besar kot! Dia buta ke apa sampai aku kena bimbing
langkah dia?
Sabar,
Lidiya. Sabar. Aku pujuk diriku sebaik mungkin.
Sekali
lagi aku menyambung semula langkahku.
“Oh God! Such a crazy girl!”
Dum!
Jantung terasa bergegar semacam. Oh, Tuhan! Dia kata aku gila? Langkah termati
lagi. Darah dah terasa membuak-buak naik ke muka. Kalaulah aku ni watak dalam
kartun, memang dah nampak kut telinga aku berasap-asap.
“Oh my God! Just what is your problem, girl!
Could you just walk without stopping suddenly?!” bentak suara garau itu.
Dan sekelip mata, dia sudah berdiri di hadapanku. Mataku yang tadinya sudah
membulat semakin membulat. Wajah yang sedang berkaca mata hitam itu kurenung
lama. Aku agak, dia bukan orang Malaysia.
“Sorry, sayang. I’ll talk to you later. Love
you.” Dia bersuara, barangkali dituju buat orang yang sedang bercakap
dengannya melalui telefon. Lain sungguh nada suaranya. Bajet romantik sangat!
Geli telinga aku!
Cepat
sahaja aku ingin berlalu dari situ. Langkah sudah kubuka. Baru dua tapak
berjalan, tangan yang sedang menarik beg pakaian terasa ditarik kuat
menyebabkan aku terdorong ke belakang, melayang dan...
Bedebuk!
Mata
terpejam menahan sakit.
“Awww!!! Sakitlah, mangkuk!!!” Aku
menjerit sekuat yang boleh. Untung-untung mat saleh tu tak faham Bahasa Melayu,
baguslah juga aku sumpah dia macam tu. Ada air mata terasa mengalir keluar
daripada mata. Mahu tak sakit? Lengkap satu badan hempap lantai. Siap dengan
kepala lagi. Berdengung sekejap kepala aku. Tengah-tengah KLIA 2 tu aku terjatuh!
Mamat ni memang gila!
Seketika,
aku terdengar suara-suara kecoh di sekeliling aku.
“Miss, are you okay?”
Laju
sahaja aku membuka mata yang terpejam. Aku cuba hendak bangun, tapi macam tak
boleh. Aku dah cemas. Allah... Kenapa ni? Aku merenung wajah lelaki separuh
usia yang sedang merenungku. Dia memakai seragam imigresen.
“Uncle... Saya... Saya...”
“Miss, you okey ke tak ni?” soal pak cik
itu lagi. Pak cik? Huh! Hentam!
“Saya
tak boleh gerak!!!” Kuat aku menjerit. Sungguh, aku tak boleh bergerak
langsung.
“Ambulance! Call the ambulance now!” Cemas
suara-suara manusia di sekelilingku. Semakin lama, semakin ramai pula orang
berada di sekitarku. Malunya! Tuhan! Kalaulah aku boleh bergerak, memang aku
dah lari masuk teksi.
Mat
saleh! Memang aku berdendam dengan kau!
SELAMA satu hari aku terdampar di
hospital sebab mat saleh tak waras tu. Sudahlah dia tak bertanggungjawab! Aku
rasa, dia terus lari lepas buat aku terjatuh masa tu. Konon-konon, aku terjatuh
sebab salah sendiri. Berjalan tak pandang depan. Walhal, dia yang buat! Kalau
aku kenal siapa dia, memang aku dah buat laporan polis dah!
Kata
doktor, aku tak boleh bergerak kerana kejutan. Aku terkejut ketika terjatuh dan
mengalami trauma kecil disebabkan kejatuhan itu. Sebab itu badan aku tak boleh
bergerak. Bila trauma tu dah surut, perlahan-lahan tubuh boleh bergerak semula.
Heh, aku tak tahu pun wujud penyakit sebegitu. Apa-apalah... Syukur, aku sudah
boleh bergerak seperti biasa sekarang.
Aku
pandang kalendar di hadapan mata. Esok 1 Jun. Hish! Kenapalah aku masih
diganggu kenangan lama? Pantas kubuang segala kenangan yang tidak penting itu
jauh ke luar kotak ingatan.
Lusa, ayah
akan bawa aku ke syarikat lagi. Menurut ayah, lusa aku perlu berjumpa klien.
Belajar berjumpa klien, sebenarnya. Masih akan ada yang membantuku lusa. Tidak
sabar-sabar pula. Sudah dua minggu aku mula belajar bekerja dengan ayah.
Dua
minggu yang lepas juga, abang telah bertemu dengan ayah, ibu dan Leena. Pada
awalnya, memang ayah, ibu dan Leena agak terkejut menerima kehadiran abang.
Kerana sejauh pengetahuan ayah, abang sudah tiada. Ya, sejauh pengetahuan ayah,
ketika bekas isteri pertamanya yang sudah diceraikan berada di bumi London
bersama-sama abang, mereka mengalami kemalangan jalan raya. Dan kedua-duanya
tidak dapat diselamatkan di dalam kemalangan yang melibatkan kebakaran itu. Apa
tidaknya, memang telah ditemui dua mayat yang rentung selepas api dipadamkan.
Seorang wanita dan seorang kanak-kanak berusia lebih kurang lapan tahun.
Rupa-rupanya,
bukan abang yang terlibat di dalam kemalangan itu. Abang sudah tidak menetap
dengan ibu kandungnya sejak usianya tujuh tahun lagi. Ibu kandungnya
meninggalkan dia, terbiar. Dan dia dijumpai dan dipelihara oleh sepasang
pasangan Muslim pada ketika itu. Yang mana pasangan itulah yang menghadiahkan
syarikat mereka dan rumah agam yang dihuni abang sekarang ini kepada abang
kerana mereka tidak mempunyai sebarang waris lagi.
Soal
siapa yang terlibat di dalam kemalangan itu, abang tidak tahu.
Dan
bagaimana aku boleh berjumpa dengan abang? Aku tersenyum mengingati kisah itu.
Kalaulah bukan kerana rahmat Allah yang menggerakkan hati abang, barangkali
sekarang aku sudah menangisi diri kerana gagal menjaga maruah seorang wanita.
Abang menyelamatkan aku daripada hampir diperkosa. Malam itu aku menghabiskan
masa lebih lama menanti ‘dia’. Sangat lama, sebenarnya. Ya, aku pulang sangat
lewat. Dan kelewatan itu menyebabkan aku menjadi sasaran.
Alhamdulillah,
abang menyelamatkanku. Dia membawa aku pulang ke rumah agamnya dan membenarkan aku berehat di situ sehingga trauma aku
benar-benar hilang. Dan sebelum dia menghantar aku pulang ke tempat
penginapanku, kami sempat berkenalan. Awalnya, aku terkejut juga mendengar
kenyataannya bahawa dia merupakan seorang Melayu. Kerana wajahnya tidak seperti
seorang Melayu. Aku memberitahu nama penuhku dan wajahnya tampak sedikit
berkocak mendengar nama ayah. Aku bertanya mengapa air mukanya berubah. Dia
sekadar senyum dan menyatakan bahawa nama ayah kami sama. Aku tidak ambil
kisah. Nama saja yang sama. Aku fikir itu hanya kebetulan. Kami mula berkawan.
Dan menjadi kawan kepada abang, sedikit-sedikit mengubah aku. Tetapi sedikit
sahajalah. Kiranya, aku sudah pandai untuk menjaga diri agar tidak menyentuh
lelaki yang bukan mahramku. Kerana abang bukannya lelaki yang boleh disentuh
oleh bukan mahramnya.
Sehinggalah
pada suatu hari dia meminta untuk melihat wajah ahli keluargaku. Aku tidak
keberatan, kerana aku tahu, dia tidak punya keluarga. Apa salahnya aku
berkongsi? Maka aku tunjukkan gambar ahli keluargaku yang berada di dalam
simpanan telefonku. Dan pada saat melihat wajah ayah, abang berubah. Dia
meminta aku kembali pada gambar sebelumnya, yang memaparkan wajah ayah. Dia
bertanya, apakah benar ini wajah ayah aku? Maka aku jawab, ya. Lalu dia meminta
kepastian. Siap disebut asal usul ayah. Nama datuk dan moyangku. Aku pelik
juga, bagaimana dia tahu, sehinggalah aku teringat, bahawa nama ayah kami sama!
Sejurus
itu, aku teringat mengenai cerita ayah, berkenaan abang yang aku miliki. Yang
menurut ayah, dia sudah meninggal.
Lalu aku
luahkan kepada abang. Dan kala itulah abang menjelaskan segala-galanya mengenai
dirinya yang tidak terlibat di dalam kemalangan itu. Dan kami memandai-mandai
membuat kesimpulan bahawa kami ini merupakan adik-beradik. Tetapi kesimpulan pandai-pandai
kami, tidaklah membolehkan kami bersentuhan pun. Cuma lebih mesra. Abang
memaksa aku membuat ujian DNA ketika dia tahu yang ayah akan datang ke London
atas urusan kerja dan bertemu aku. Lalu aku akur. Aku meminta izin untuk
menarik beberapa helai rambut ayah atas alasan aku rindukan ayah. Walaupun ayah
agak pelik, namun dilayan sahaja permintaanku itu. Barangkali dia memikirkan
bahawa emosiku tidak stabil kerana masih belum bertemu dengan ‘dia’.
Nyata
keputusannya benar. Kami memang adik beradik. Biarpun berlainan ibu. Tetapi
kehadiran abang, aku tidak ceritakan kepada mana-mana ahli keluargaku. Kalau
abang suruh menyampaikan salam pun, aku cuma memberitahu, ada kawan yang
mengirim salam. Bukan abang. Abang sendiri sedia maklum mengenai itu.
Syukurlah,
kami bersatu kembali. Benar, aku bersyukur kerana itu.Tubuh kurebahkan di atas
katil, melayan tubuh yang terasa penat. Mata kupejamkan rapat. Entah mengapa,
wajah mat saleh berkaca mata hitam itu mengisi ruang fikiran. Ah, sudah! Dah
kenapa ni?
AKU melepaskan keluh perlahan
memikirkan ragam cerewet klien yang baru sahaja kutemui pagi tadi. Ceh! Walhal
wakil sahaja pun, cerewet dia... Subhanallah! Kalau diikutkan, memang dah lama
aku angkat kaki keluar dari bilik mensyuarat itu.
Maka
kerana itu aku mengambil keputusan untuk tidak berurusan dengan wakil itu lagi.
Aku mahu bercakap dengan orang yang sepatutnya berurusan dengan aku. Tetapi
menurut si wakil, bosnya tidak akan berada di Malaysia sehinggalah satu tempoh
tertentu. Lalu aku buat muka tak kisah. Kalau benarlah, dia mahu syarikat kami
yang menguruskan rekaan untuk outlet
terbaharunya, maka dia perlu bersemuka dengan aku. Aku tidak mahu mengikut
kehendak si wakil yang cerewet. Buang masa aku sahaja jika nanti orang yang
sepatutnya berurusan dengan aku berkehendakkan rekaan yang lain pula.
Huh!
Penat memikirkan hal syarikat, aku mula mencapai telefon di atas katil. Skype dengan abang, sembang tentang
agama lagi baik. Sementara menunggu abang muncul di dalam talian, wajah ‘mat
saleh mangkuk’ itu menerjah fikiranku. Ops!
Bukan aku sengaja nak mengutuk. Tapi disebabkan lelaki itu memang benar-benar
menyakitiku, lalu setiap kali aku teringatkan dia dan peristiwa fobia tidak
boleh bergerak, gelaran ‘mangkuk’ tetap kukuh melekat dengan lelaki itu.
AKU memandang kalendar, memerhatikan
jadualku. Mencari lompong di mana-mana. Hah! Jumpa.
“Ummm... How about on the 1st of July?”
soalku. Eheh... Aku pula yang terdiam sesaat. 1 Julai? Hmmm... Redha, Lid.
“Nice. Will meet you here at nine o’clock. If
anything came up, let me know. Thanks.”
“Okay, thank you too,” ujarku seraya
meletakkan gagang telefon. Butang interkom kutekan. Ceh! Dah merasa jadi bos
besar sikit. Ayah dah naikkan pangkat aku, memandangkan prestasi kerja aku
boleh tahan bagus. Bukanlah nak memuji diri sendiri, ayah yang berkata begitu.
“Natalie, please remind me that on the 1st of
July, I’ll have an appoinment with our client from The Nocturnal,” ujarku.
“Alright, Lidiya,” jawab Natalie.
“Thanks,” ucapku sepatah. Alhamdulillah,
akhirnya, dapat juga aku tetapkan satu tarikh yang pasti untuk bertemu dengan
klienku yang satu itu.
No comments:
Post a Comment