Total Pageviews

FIRST BABY

Saturday 27 May 2017

Cerpen- Jujurlah Mencintai Aku (Part 7) -FINALE-

Nota kepala: Assalamualaikum semua, :). Last part is up!




            “SEBAB tulah, Hazzar! Sebab tu akak layan dia macam tu! Sebab tulah akak layan dia hendak tak hendak saja! Sampai mati pun akak tak boleh buang rasa bersalah dalam jiwa akak ni terhadap dia! Kau ingat senang ke akak nak tuntut fasakh daripada mahkamah? Kau ingat akak saja-saja, suka-suka, naik turun mahkamah untuk pastikan yang akak betul-betul dah tak ada hubungan dengan bekas suami akak tu? Kau tahu tak Hazzar, akak lebih rela hilang suami yang tak ada pertalian darah dengan akak daripada hilang adik sepupu yang sekarang ni dah jadi adik ipar akak sendiri! Akak sayang dia, kau tahu? Akak sayang Iva macam adik sendiri. Sebab sayang itulah akak sanggup buang suami akak dari hidup akak.”

            Tersentap jantungku mendengar suara Kak Hayfa.

            Ya Allah, apa yang sudah berlaku? Mengapa namaku disebut agaknya?

            “Sejak tahun pertama akak berkahwin akak dah tahu tentang dia, Hazzar. Sejak tahun pertama. Sebab tu akak tak fikir panjang untuk bercerai dengan dia. Sebab tu akak sanggup keluarkan duit, sanggup bersusah-payah untuk bercerai dengan dia. Akak lebih sanggup tengok dia mati daripada tengok Iva yang menjadi mangsa.”

            Perlahan-lahan aku menapak masuk ke dalam rumah yang tidak bertutup pintunya. Ah, kalaulah aku ke rumah Maysa dulu tadi, sudah tentu aku tidak berpeluang untuk mendengar semua ini. Memang aku ada beritahu kepada Hazzar bahawa aku akan singgah di rumah Maysa lebih kurang satu jam sebelum ke rumah arwah pak long yang dihuni oleh Kak Hayfa. Tetapi oleh kerana Maysa kini berada di Pahang, di rumah ibu bapanya, aku batalkan rancangan pertama aku tadi dan terus sahaja aku ke rumah arwah pak long.

            “Ummi... Kenapa mak long tu?” tanya Huzair.

            “Syhhh...” Aku meminta Huzair senyap.

            “Ya, memang. Kemalangan arwah mak ngah dulu, yang arwah pak ngah langgar, ibu bapa Arman.”

            Aku terlalu terkejut pada saat ini. Tangan kanan secara automatik naik menekup mulut.

            “Ya, Hazzar! Sebab itulah dia kahwin dengan aku, untuk hancurkan hidup Iva!”

            Ya Allah! Lutut aku benar-benar terasa lemah pada saat ini. Aku jatuh terduduk di situ juga. Segala-galanya yang pernah aku lupakan kembali jelas dalam ingatanku. Wajah yang disuluh dengan cahaya itu! Suara itu! Aku ingat segalanya!

            “Ummi!”

            Huzair yang sudah menarik-narik tanganku tidak aku pedulikan.

            “Ummi bangun, ummi!”

            Aku nampak wajah Kak Hayfa muncul di hadapanku.

            Kak Hayfa... Dia tahu segala-galanya.

            Begitu juga dengan Hazzar! Selama ini lelaki itu senyap, tidak menceritakan apa-apa langsung kepada aku! Tidak membuka mulut saat aku bertanya lama dahulu!

            Tanpa mempedulikan panggilan Kak Hayfa, aku terus bangun daripada dudukku. Tubuh terasa melayang sejenak. Perlahan-lahan aku menapak untuk mendapatkan kereta dengan tangan kanan yang berpaut pada apa yang mampu aku capai.

            Masuk sahaja ke dalam kereta, setelah menghidupkan enjin, aku terus memulakan pemanduan. Aku nampak Huzair yang menangis-nangis dalam pelukan Kak Hayfa, tetapi aku mengabaikan semua itu.

            Aku mahu lari daripada hubungan yang dibina dengan bunga-bunga penipuan ini. Hazzar tidak jujur mencintai aku.


            Berhenti menelefon. Tak perlu cari saya. Awak tahu semuanya dan terus simpan semuanya sendiri. Lebih mudah begitu. Tak perlu ada kejujuran dalam perhubungan kita. Tak perlu jujur mencintai saya. Tak perlu terus mencintai saya.

            ITU ialah mesej terakhir yang aku hantar kepada Hazzar sebelum aku keluarkan kad SIM telefon aku dan aku tukar ke kad SIM yang baharu.

           “Wei.” Aku toleh ke sebelah kanan, pandang gelas yang dihulurkan kepada aku.
 
           Thanks,” ucapku sambil huluran itu aku sambut.

            “Sampai hati kau tak bagitahu aku...” ujar manusia di sebelah.

            “Aku tak teringat. Maaflah,” ucapku.

            “Mana nak ingat aku dah. Dah ada lelaki lain dalam hati tu kan...” tuturnya seperti berjauh hati.

            “Aku malaslah nak cakap fasal ni sekarang ni...”

            “Eh, sedap aje mulut kau kan? Kau tahu tak, kalau bukan sebab aku nampak kau dengan Hazzar keluar berdua siap pegang tangan lagi, sampai mati pun aku tak tahu yang kau tu isteri orang, tahu?” Bengang Fayyadh bersuara.

            “Aku dah bagitahu, kan? Kau yang tak nak percaya. Mohon bersihkan hati kau tu lain kali. Percaya saja apa yang aku kata lepas ni,” kataku.

            “Ni kau sorang-sorang dekat Pulau Langkawi ni dah kenapa?” soal lelaki itu.

            Aku pandang wajah Fayyadh, “Sebab aku tahu kau tengah bercuti dekat sini dan aku tahu hanya kau saja yang aku boleh harap untuk jaga aku.”

            “Kau gaduh apa dengan suami kau tu?” tanya Fayyadh.

            “Tak payah tahulah. Buat sakit hati saja kalau fikir.”

            “Aku ni empat hari saja tau dekat Langkawi, kau jangan nak duduk seminggu pulak. Dahlah perut tu tengah bawa anak,” kata Fayyadh. Dia bawa aku ke klinik tadi sebaik sahaja aku tiba. Mana taknya, keluar sahaja dari kereta terus aku muntah dan terasa seperti ingin pitam. Patutlah tekanan darah aku sekarang selalu saja tidak stabil. Mudah sangat kepala rasa melayang.

            “Aku nak ikut kau balik rumah mak. Aku tak nak balik rumah aku,” pintaku.

            “Mana boleh? Kau tu mengandung anak Hazzar, tau? Anak kau yang dekat rumah tu? Kau tak kesian ke dia kalau dia rindu ummi dia?” kata Fayyadh.

            “Memanglah anak Hazzar, tapi duduk dalam perut aku. Suka hati akulah nak bawa dia pergi mana pun. Siapa suruh papa dia sakitkan jiwa aku?” bebelku. Malas aku nak bagitahu Hazzar tentang kehamilan aku. Huh!

            “Kau tu yang menempah bala sendiri. Duduklah depan Hazzar tu, cakap elok-elok dengan dia. Dahlah minggu ni anniversary korang yang ketujuh, kan?”

            “Kau ni, kenapa semua benda kau tahu ni?”

            “Aku tengoklah wei, insta Sir Hazzar. Selalu sangat post gambar kau dengan Huzair tu, caption pun manis-manis aje. Tapi tak pernah nak tunjuk muka penuh kau. Selalu muka kau kena tutup dengan cahaya matahari. Nasib baiklah aku ni Fayyadh, tau? Tengok senyum dengan gigi taring tu pun aku dah tahu tu senyuman kau.”

            “Banyaklah kau punya gigi taring.”

            “Kau ni tak ada insta ke apa?”

            “Mana ada! Kau macam tak kenal aku aje.”

            “Laki kau tu, tua-tua pun pandai main insta. Kau ni harap aje muda-mudi, tapi haprak pun tak ada.”

            “Buang masa, tau? Buang masa. Tak baik show off kebahagiaan. Apa guna tayang benda-benda manis walhal realitinya pahit? Gambar saja cantik, kisah di sebalik gambar tu kita tak tahu apa-apa,” balasku.

            “Aku nak cakap awal-awal, kalau kau jumpa Hazzar dekat sini, bukan salah aku eh?”

            “Asal kau cakap macam tu?” Berkerut kening aku pandang Fayyadh.

            “Saja cakap.” Fayyadh terus buang pandang ke arah matahari yang sedang terbenam. Seriau pula aku dengar amaran Fayyadh itu. Buatnya aku betul-betul jumpa Hazzar di sini!  

           
            GIGIH benar Fayyadh berswafoto. Aku pula tidak berminat untuk bergambar. Morning sickness aku masih melekat lagi. Rasa macam nak tidur sepanjang hari.

            Aku punyalah berhati-hati menggunakan kaedah masa selamat, tapi rezeki tu, Allah tetap bagi juga. Haih, mulalah aku terbayang macam mana aku nak kerja dengan ubat-ubat tu semua dengan kerenah tubuh yang begini.

            “Kau jangan eh masukkan gambar aku dalam insta kau?” Siap-siap aku memberi amaran kepada Fayyadh.

            “Gila apa? Takkanlah aku nak khianat kau?” Fayyadh menggeleng bersungguh.

            “Aku nak tidurlah, Fayyadh. Lembik sangat rasanya badan ni.”

            “Kau kenalah makan dulu, weh. Nanti apa-apa jadi kang dekat anak kau.”

            “Buat apa nak makan kalau nanti semuanya keluar balik? Biarlah apa-apa nak jadi dekat dia pun, bukannya papa dia ada dengan aku pun.”

            “Eyyy, kau ni. Bercakap tak pakai akal lah! Kufur nikmat sungguhlah! Kufur tau, kufur?”

            “Yalah, yalah. Aku salah, aku tahu. Aku tak bolehlah, Fayyadh. Hati ni serabut sangat rasanya.”

            “Serabutlah, kau lari ni, tak ada reda suami. Kau ni isteri, tau? Reda Allah tu terletak pada reda suami. Kau nak ke mati dalam keadaan isteri nusyuz? Buatnya tak sempat minta maaf dekat suami, Izrail tarik nyawa kau,” kata Fayyadh.

            Aku jeling wajah Fayyadh, “Kau memang gurau kasar menjadi-jadi kan?”

            “Aku cakap benda betul. Bukan tipu-tipu. Untuk kebaikan kau juga.”

            “Aku tak ada masalah kalau dia jujur. Pantang nenek moyang aku orang tipu aku, tau?” kataku.

            “Dia tipu apa, masalahnya?”

            “Rahsia.”

            “Haaa, itulah kau. Sikit-sikit rahsia. Tu yang selalu merajuk dengan suami tu. Tak nak berterus-terang. Apa tak puas hati sepatutnya kau tembak aje. Ini tidak. Pendam, pendam, jadi nanah tau dalam hati tu?”

            Tersenyap aku mendengar kata-kata Fayyadh. Ada benarnya juga apa kata Fayyadh. Aku yang tidak mahu duduk berbincang.


            “FAYYADH...” tegurku dengan nada geram.

            “Wei, Fayyadh! Matahari aku!” Terus sahaja aku membuka mata dek terlalu bengang apabila matahari yang sepatutnya menyimbah wajah dihalang oleh tubuh manusia.

            Terketap rapat bibirku apabila wajah manusia lain yang mengisi ruang mata. Aku terus bangun daripada pembaringanku. Kaki yang melunjur aku ubah kepada sila.

            Mata masih memandangnya takut-takut.

            Tangan kanan aku hulurkan, mahu bersalaman dengannya.

            Keluh perlahan terbebas dari mulutnya sebelum dia meleraikan tangannya yang bersilang di dada. Huluran aku disambut jua akhirnya. Usai aku mengucup tangannya, dia mengusap perlahan kepalaku.

            “Rindu...” tuturku perlahan dengan kepala yang tertunduk.

            Lelaki itu melabuhkan duduknya di hadapanku seraya menarik aku ke dalam pelukannya.

            Lama dia memeluk aku.

            Aku menyembunyikan wajahku pada bahunya. Sebak terasa dalam dada. Mata sudah mula bergenang.

            “Kenapa tipu saya?” desisku perlahan. Air mataku sudah mulai jatuh.

            “Kenapa tak bagitahu yang Arman orangnya yang pernah nak rogol saya dulu?” tanyaku.

            Aku dapat merasakan pelukan pada tubuhku semakin dieratkan. Kepalaku yang berlapik dengan tudung juga dikucup beberapa kali.

            Pelukan pada tubuhku kemudiannya terlerai. Hazzar mendongakkan wajahku, memaksa aku memakukan pandanganku pada mukanya.

            I thought that it will be painful for you if I bring up the issue again,” kata Hazzar sambil mengesat air mataku.

            “Tapi saya perlu tahu siapa yang nak buat jahat dekat saya,” ujarku.

            I thought he has done.

            Keningku berkerut.

            “Maksud awak?”

            Hazzar melepaskan keluh perlahan, “Dia yang rempuh awak dengan motosikal hari tu.”

            What?!

            “Selepas saja keluar dari penjara, dia cari awak. It was my mistake for not telling you about him. Awak mungkin akan lebih berhati-hati jika awak tahu tentang dia,” kata Hazzar.

            “Dia berdendam, kan?” tanyaku.

            Hazzar mengangguk, “Dia menyalahkan keluarga awak atas kematian arwah ibu bapanya.”

            Aku melepaskan keluh perlahan, “Saya nak jumpa dia. Saya nak cakap dengan dia,” pintaku.

            Hazzar mengangguk akur, “Saya akan bawa nanti.”

            “Kalau saya tak dengar daripada mulut Kak Hayfa, sampai bila awak nak rahsiakan semuanya daripada pengetahuan saya?” soalku.

            “Saya tak pernah berniat pun nak rahsiakan, Zaira.”

            “Habis tu? Kita ada masa selama setahun selepas saya balik dari Dublin untuk awak berterus-terang, Hazzar!” Suaraku sudah meninggi.

            To hurt you and your feelings again, is not my duty.

            Then? Bila awak nak bagitahu?”

            If possible, I don’t want to tell you. Tapi mustahil saya dapat sembunyikan semuanya daripada awak selama-lamanya.”

            “Tahu pun!”

            “Sebab itulah saya dah berhasrat, kalau awak sendiri yang bangkitkan kejadian enam tahun lepas, saya akan jujur dan beritahu apa-apa yang awak nak tahu.”

            “Enam tahun lepas, kenapa tak jawab semasa saya bertanya?”

            Hazzar menghela nafas dalam, “Saya perlu selesaikan semua persoalan yang ada dalam kepala saya ni dulu sebelum menjawab soalan awak. Cuba kalau saya bagitahu awak masa tu, Arman orangnya yang serang awak, mesti awak akan tanya kepada saya, kenapa dia buat macam tu sedangkan pada ketika itu saya tak ada jawapannya. Seumur hidup awak takkan tidur dengan lena sebab tertanya-tanya apa motif dia buat macam tu dekat awak. Sekarang, apabila saya dah ada penjelasan yang benar tentang mengapa dia berdendam dengan awak, barulah saya putuskan untuk jelaskan semuanya kepada awak.”

            “Kak Hayfa bercerai dengan dia, sebab saya ke?” soalku.

            “Kak Hayfa terlalu sayangkan awak, Zaira.”

            “Saya ingat selama ni...” Aku tersenyap. Wajah terus aku tundukkan. Terhinggut-hinggut bahuku menahan esakan.

            “Saya ingat selama ni dia berdingin dengan saya sebab dia tak sayang saya...” luahku. Air mata terus berjurai-jurai jatuh ke pipi. Jari-jemari bergerak saling mengait antara satu sama lain.

            Tubuhku sekali lagi ditarik ke dalam pelukan.

            She loves you so much...” Bisikan Hazzar menyisipkan satu perasaan lega dalam benakku. Tangannya yang bergerak mengusap-ngusap belakang tubuhku meredakan sedikit sebanyak gusar di dalam jiwa.

            Perlahan-lahan esakanku mulai menghilang. Tanganku bergerak melingkari pingggangnya. Erat aku memeluknya.

            “Tolonglah, jangan biarkan saya tersilap langkah lagi,” pintaku, tulus.

            “Dan tolong, angkatlah tinggi nilai seorang isteri di sisi suaminya,” tutur Hazzar.

            Aku mengangguk perlahan-lahan. Angkatlah tinggi nilai seorang isteri di sisi suaminya. Semudah itu sebenarnya, untuk seorang wanita bergelar isteri meraih reda Tuhan.


            HAZZAR berjaya menjejak aku dengan bantuan gambar tudung aku yang ter-interframe dalam gambar swafoto Fayyadh yang dia post di Instagram. Beberapa kali menggertak Fayyadh barulah Fayyadh mengaku. Huh, kesian Fayyadh. Tak fasal-fasal terlibat dalam masalah aku dengan Hazzar dahulu.

            Sekurang-kurangnya usaha Fayyadh itu berbaloi. Segala-galanya tentang Kak Hayfa dan Arman sudah jelas kini.

            “Kak Hayfa tak ada adik perempuan. Sebab tu akak extra sayang dekat Zaira, macam adik kandung akak sendiri.”

            Masih terngiang-ngiang di telingaku patah-patah kata Kak Hayfa kepadaku tempoh hari. Sejuk terasa hati apabila sesi luahan kami telah berjaya mengendurkan semula tali hubungan yang selama ini tegang. Aku fikir selama ini, dia tidak sukakan aku. Tetapi rupa-rupanya, dia mengelak daripada aku kerana setiap kali dia memandang wajah aku, dia pasti akan teringat segala niat jahat yang pernah Arman niatkan untuk lakukan kepada aku dahulu. Patutlah sejak dia bercerai dengan Arman dahulu, sikapnya begitu dingin dengan aku.

            Perbualan aku dengan Arman dahulu terimbau semula dalam fikiran. 

            “Sebab aku nak kau rasa macam mana perasaan hilang benda berharga dalam hidup! Aku hilang mak bapak aku, sebab mak bapak kau!”

            “Tapi arwah ibu bapa aku pun meninggal sama dalam kemalangan tu!”

            Arman mengukir senyum sinis, “Kau hilang mak bapak kau, tapi kau ada bapak saudara kau untuk sambut kau! Aku? Aku ada siapa?! Aku ada siapa, Adiva Zaira?!”

            Tersentak aku mendengar luahannya itu.

            “Apa yang keluarga aku tahu, cuma mengaut duit aku untuk memenuhi kehendak nafsu mereka! Aku dicampak merata-rata. Disepak tendang, dipandang hina! Kalau bukan sebab Bonda Nora, mustahil aku dapat berdiri di sini sampai hari ini! Kalau bukan sebab mak bapak aku meninggal, hidup aku takkan semalang ini! Semuanya salah keluarga kau!” tengking Arman betul-betul di hadapan wajahku.

            Allah... Kalaulah nasib aku seperti Arman, apakah aku akan menjadi sebegini berdendam terhadap orang yang menjadi punca kepada kematian ibu bapaku?

            Aku mengetap rapat bibirku lantas aku menunduk sejenak.

            “Kalau bukan kerana kasih sayang Tuhan, barangkali aku dan kau, sudah sama-sama mati dalam kemalangan itu.” Bergetar suara aku menutur.

            Wajah Arman aku pandang semula. Bulat matanya merenung aku. Barangkali dia terkejut mendengar ungkapan bicaraku.

            “Itulah alasannya mengapa kau begitu berdendam, kerana kau asyik mahu memandang pada sisi-sisi negatif dalam setiap apa yang berlaku sepanjang kehidupan kau. Kau tidak mahu memandang hikmah yang terzahir di sebalik keburukan. Engkau hanya mahu memandang apa yang kau mahu. Engkau tidak mahu memandang apa yang cuba Tuhan tunjukkan kepada kau. Engkau tidak sudi memandang Tuhan. Tidak sudi bersyukur walau hanya untuk setiap helaan nafas kau di atas muka bumi ini, yang memastikan kau terus hidup, dan bisa terus mengutip pahala.”

            Aku lihat rahang Arman bergerak-gerak, tidak lama selepas itu, tiba-tiba sahaja pandangan mata kami yang bersabung tajam dicemari dengan satu lapisan cecair jernih yang melitupi bebola mata Arman. Dia mengetap rapat bibirnya dan menundukkan kepalanya.

            “Sampai sini saja, Adiva Zaira. Maafkan aku.”

            Maafkan Arman. Lelaki yang pernah cuba memperkosa aku, lelaki yang pernah cuba meragut nyawa aku...

            Tidak terjadi sesuatu itu melainkan dengan izin Tuhan. Dengan kasih sayang Allah, segala nikmat yang Arman cuba tarik daripada aku, tidak berjaya ditariknya. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Perancangan manusia tidak sehebat perancangan Tuhan.

            Aku boleh memaafkan Arman. Mungkin jiwa aku pernah hancur disebabkan apa yang pernah dia lakukan kepadaku. Tetapi jiwa yang hancur itu tidak hancur selama-lamanya. Aku ada Allah yang menguatkan aku. Tetapi jiwa Arman yang hancur? Dia ada siapa jika Allah pun sudah lama dia lupakan?

            Aku harap Arman kembali memandang Dia. Aku harap Arman cuba meraih keampunan daripada Dia. Sesungguhnya yang Maha Pengampun itu adalah Allah yang esa.

            Dendam bisa saja membunuh jiwa. Jangan sampai jiwa itu mati.

            “Ummi!” Aku berpaling memandang Huzair yang sibuk berlari mendekati aku.

            “Ummi nak!” Teruja betul aku apabila ternampak apa yang dipegang oleh Huzair itu.

            Segera Huzair melarikan tangannya ke belakang, “Tak boleh! Papa tak bagi.”

            “Alaaa, sikit aje. Papa tak nampak pun,” hasutku.

            “Tak boleh, Allah nampak!”

            Erk! Tertelan liur aku dibuatnya.

            “Yalah, yalah!” Aku akur juga akhirnya. Susah betul dapat anak yang sekepala dengan papa dia ni. Protective sangat.

            “Abang...” Manja aku memanggil Hazzar yang sedang melangkah ke mari.

            No! Tu Huzair punya.”

            Aku sudah mencebik. Huh! Kedekut!

            “Sikiiit aje. Sikit sangat. Secubit saja,” rayuku. Aku tayang muka comel kepada Hazzar yang sudah melabuh duduknya di sebelah aku.

            “Nah.” Aku pandang tangan kanan Hazzar. Terus sahaja senyumku melebar. Patutlah dari tadi tangan itu disorok di belakang tubuh.

            Yeay! Thank you, sayang,” ucapku sambil menyambut hulurannya.

            “Muah! Muah! Muah!” Aku hadiahkan ciuman di udara. Gila kau nak cium pipi Hazzar tengah-tengah taman ni?

            “Separuh saja. Separuh lagi bagi abang.”

            “Okey.” Aku mengangguk patuh.

            Aku mula mencubit sedikit gula kapas itu lalu aku masukkan ke dalam mulut.

            “Ya Allah, nikmatnya!” Dah tiga bulan aku teringin nak makan gula-gula kapas, tapi Hazzar tak bagi sebab makanan tak berkhasiat katanya.

            “Suka tak adik dapat gula-gula kapas?” Selamba Huzair mengusap-usap perutku dan melekapkan telinganya ke perutku.

            “Adik cakap apa?” Aku layan kerenah si kecil itu.

            Mata Huzair membulat. Senyumnya melebar. Kepalanya terus dijauhkan daripada perutku.

            “Suka!” Laju sahaja dia mengangguk.

            “Macam mana Huzair boleh dengar ni? Papa tak dengar apa-apa pun?”

            Aku dah boleh agak dah apa yang Hazzar nak buat. Sebelum sempat telinganya melekap pada perutku, terus sahaja aku menolak kepalanya.

            “Abang ni...” Memerah wajahku dibuatnya. Malu apabila ternampak ada mata-mata yang memandang.

            Hazzar ketawa nakal.

            “Taklah, gurau aje, sayang,” ujar Hazzar lantas dia mencapai tangan kananku.

            “Dua minggu lagi due date, kan?” kataku. Hazzar mengangguk.      

            “Kesian abang,” ujarku lagi.

            “Kenapa?”

            “Masa abang hantar dia pergi tadika, umur abang dah 41 tahun, tau?”

            Hazzar jeling tajam wajah aku. Giliran aku pula menghamburkan tawa nakal.

            “Dia tingkatan tiga, abang dah 51 tahun! Orang lain 51 tahun dah ada anak masuk universiti dah.” Terkekek-kekek aku ketawa. Suka benar aku menyakat Hazzar apabila membicarakan soal perbezaan usianya dengan anak di dalam kandungan aku ini.

            “Eee!” Hazzar mencubit lembut pipi aku. Geram benar gayanya.

            “Tak baiklah, sayang. Orang lain 51 tahun belum tentu ada anak, tau?” kata Hazzar.

            Aku memuncung.

            Sorry... Saja nak usik abang aje. Tak ada pun nak usik orang lain,” ujarku.

            “Alah, tak payahlah dengar cakap ummi ni, kan Huzair? Huzair tingkatan tiga nanti, papa baru 46 tahun, kan?” kata Hazzar.

            Huzair mengangguk-angguk. Mentang-mentanglah dah pandai mengira...

            “Abang!” Tangan aku yang digenggam oleh Hazzar serta-merta mencengkam tangannya.

            “Aduh! Aduh! Aduh! Patah jari abang, sayang!” Bersusah-payah Hazzar menarik tangannya daripada terus dicengkam oleh aku.

            “Abang!” Aku terus mengalihkan tangan mencengkam lengan bajunya pula.

            “Ya Allah, kenapa ni?” Hazzar dah pandang aku dengan air muka cuak dia.

            “Hukhukhuk...” Aku dah berdrama. Mata sudah bergenang, “Sakit...”

            “Hah? Sakit?!” Mulalah Hazzar dengan kelam kabut dia tu.

            “Tak payahlah!” Aku halang Hazzar daripada berdiri.

            “Ummi kata sakit?” Huzair pula yang kelihatan panik.

            False contraction, tau? False contraction. Bukannya nak beranak lagi. Tiba-tiba aje sakit lain macam.”

            “Ya ke? Jomlah pergi hospital, sayang. Buatnya nak bersalin betul-betul macam mana?”

            “Taklah, kalau contraction nak bersalin lain. Sela masa dia dekat-dekat. Ni biasa aje ni. Cuma sakit kuat sikit saja tadi.”

            “Degil, awak tu mana pernah bersalin? Suka hati saja. Dah, jom.”

            Akhirnya aku terpaksa mengalah juga dan membiarkan Hazzar dan Huzair memimpin tangan aku ke kereta. Takut juga aku kalau apa-apa jadi pada saat-saat akhir begini. Mudah-mudahan Allah permudahkan segalanya.


            AKU mengintai tingkah Hazzar. Sengaja aku berpura-pura tidur. Menipu sangat aku tak terjaga kalau dah namanya yang meraung tu Isyqee.

            “Tidur, anak papa. Hari ni minum susu dengan papa aje. Tak payah kacau ummi tidur. Kesian ummi jaga Isyqee dengan abang sorang-sorang, dua hari papa tak ada...” tutur Hazzar kepada Isyqee yang sedang menyusu botol. Gigih Hazzar bangun dan panaskan susu dalam freezer tadi semata-mata sebab tak nak kejutkan aku. Terharu rasanya hati ini.

            “Bulu mata lentik sangat ni, cantik macam ummi dia.”

            Aku sembunyi senyum. Hazzar ni jarang-jarang sangat nak puji aku cantik. Tapi pernahlah sekali dia puji mata aku yang paling dia suka tengok, sebab bulu mata aku cantik.

            “Kenapa pandang papa macam tu? Isyqee rindu papa, ya? Anak papa ni rindu papa?” Hazzar ni pun. Memang tak tidurlah kan Isyqee kalau dah diajak berborak begitu. Macamlah dia tak tahu Isyqee tu suka benar layan dia berborak.

            “Bang...” Aku bersuara juga akhirnya. Tak larat aku nak tengok Hazzar layan Isyqee macam tu.

            Aku buka mata, berpura-pura macam aku baru terjaga dari tidur.

            “Tidurlah, tak payah bangun. Isyqee dengan abang ni.”

            “Abang janganlah borak-borak dengan dia. Nanti dia tak nak tidur. Enjut-enjut sikit bagi dia tidur. Selawat banyak-banyak,” bebelku. Sejak dah ada dua orang anak ni, memang mulut tak boleh kalau tak membebel.

            “Yalah, abang tak borak dah.”                                      

            Aku bangun daripada pembaringanku.

            “Pukul berapa abang balik tadi?” tanyaku.

            “Pukul sebelas lebih.”

            “Macam mana? Dapat ke?”

            “Alhamdulillah.” Hazzar mengukir senyum dan mengangguk.

            Terus sahaja aku memeluk tubuhnya dalam berhati-hati, takut terkena Isyqee.

            Thank you, sudi berkorban nak jaga Huzair dengan Isyqee. Sepatutnya Zaira yang duduk rumah.”

            Hazzar mengucup ubun-ubunku, “Tak ada apalah. Abang memang cuti pun, kan? Kali ni memang abang dah niat tak nak tanda kertas dah sebab ada Isyqee. Kalau setakat Huzair seorang tahan lagi sebab dia dah besar. Tapi awal-awal dulu nak cari ganti susah. Cikgu-cikgu muda mana nak tanda kertas? Mujurlah last minute ada yang sudi ganti. Lagipun, Zaira punya kerja dah macam tu. Nak buat macam mana?”

            “Nanti dah habis kontrak dengan kerajaan, Zaira nak berhenti, boleh? Zaira nak fokus dekat keluarga.”

            Hazzar mengangguk, “Boleh. Elok sangatlah tu.”

            Aku pandang Isyqee yang sudah terpejam-pejam matanya. Isyqee ni kalau nak tertidur, sepuluh kali pejam dulu, barulah dia betul-betul pejam.

            “Terima kasih,” ucapku.

            “Untuk apa?”

            Aku memandang Hazzar. Senyum manis aku hadiahkan buatnya lantas aku menutur, “Jujur mencintai kami.”

            Hazzar turut mengukir senyum, “Will always do.

            Kejujuran bisa menghidupkan jiwa. Jujurlah, lepaskan, bebaskan segala rasa yang menghimpit dada. Nescaya selepas itu, kuntuman bunga jiwa itu akan terus mekar dan sukar untuk layu dan mati lagi.

            Sekian kisah hidup budak acah-acah pandai sekolah dengan cikgu hot.

            Siapa sangka, akhirnya dua orang manusia yang tak sekepala tu boleh bina hidup sama-sama, siap ada anak lagi.

            Percaturan Tuhan... Terlalu banyak rahsia yang hanya dapat dilihat sekiranya kita MAHU melihatnya.
 TAMAT


Nota kaki: Tamat sudah cerpen hero heroin perangai tak semenggah ni. Hahaha. Biasalah, dalam hidup ni pengalaman yang mematangkan kita, kan? Jadi, tamatnya kisah Zaira dan Hazzar ini menandakan blog ini akan berada dalam fasa sunyi sepi selepas ini. Huhuhu. Sedih, kan? Bersabarlah untuk setahun. Dan ingatlah, sesungguhnya apa-apa berita manis-manis dan indah2 akan saya kongsikan di sini dengan izin Allah.

Tak terlewat lagi rasanya untuk saya mengucapkan selamat berpuasa untuk semua pembaca yang beragama Islam tak kiralah di mana jua anda berada. Semoga ibadah puasa pada kali ini tidaklah hanya mendatangkan lapar dan dahaga sahaja kepada kita. Kejarlah pahala dan raihlah reda Tuhan, :). Semoga Allah merahmati kita.

Akhirul kalam, terima kasih kerana membaca dan semoga terus cekal menjalani ujian kesenangan dan kesusahan hidup, :).

2 comments: