Total Pageviews

FIRST BABY

Saturday, 18 June 2016

Cerpen- AIDID (Part 2)

Pesan cik penulis: Nahhh, part 2. Part 2 saya bagi pendek sikit, ya. Psttt, part 3 saya bagi lepas tarawih nanti. (Tarawih tempat saya 8 rakaat saja) Tunggu yaa~ For now, terima kasih untuk yang sudi baca, :).




             AKU tiba di rumah pak ngah tepat jam enam setengah petang. Mujaddid yang berada di bawah rumah memandangku dengan pandangan yang tajam. Sempat aku membesarkan mataku ke arahnya, menandakan bahawa aku betul-betul geram dengannya.

            “Assalamualaikum!” Ucapan salam aku hulurkan.

            “Waalaikumussalam.” Jawapan salam daripada Mujaddid sama kuat dengan salam yang kuhulur. Aku menjelingnya. Kasut yang tersarung pada kaki kutanggalkan. Usai membasuh kaki, aku mendaki anak tangga dan masuk ke dalam rumah.

            “Anak dara tak elok balik senja-senja,” kata mak ngah dari arah dapur. Aku tersengih.

            “Ila pergi jalan-jalan dekat kampung ni aje, mak ngah,” jawabku lantas melangkah masuk ke dalam bilik yang disediakan untukku. Suis kipas dan lampu dipetik. Selendang yang terlilit di kepala kutanggalkan. Tuala kucapai dan langkah kuatur ke ruang tamu.

            “Marhaban Mujaddid! Jangan masuk ke dalam rumah sebelum saya bagi arahan awak boleh masuk.” Sempat aku berpesan kepada Mujaddid melalui tingkap di ruang tamu sebelum tingkap itu kututup.

            “Apa-apa ajela, Cik Aidilla...” Jawapan Mujaddid sempat singgah pada pendengaranku sebelum aku mengatur langkah ke bilik air.


            TELINGAKU menangkap suara pak ngah dan Mujaddid yang sedang rancak berbual-bual. Andai tidak silap pendengaranku, suara mereka datang dari ruang makan yang letaknya berhampiran dengan bilik air ini. Aku mengetap bibir. Sah! Dia memang gila!

            “Hish! Aku pesan bukan nak dengar. Sekarang siapa yang susah? Kau dengan aku jugak, kan?” bebelku sendirian sambil tangan mengemaskan kain batik basahan pada tubuh. Tuala yang kubawa bersama-sama aku gunakan untuk menutup bahagian kepala hingga ke lenganku.

            “Pak ngah, Aid keluar nanti pak ngah tekup muka anak kesayangan pak ngah tu, ya?” jeritku dari dalam tandas. Entah pak ngah dengar atau tidak. Perbualan tadi masih belum mati.

            Dengan lafaz basmallah dalam hati, aku membuka selak pada pintu tandas dan melangkah keluar. Laju sahaja langkah yang kuatur. Entah mengapa, keadaan yang tadinya rancak dengan perbualan menjadi sepi begitu sahaja.    

            Sampai sahaja di bilikku, aku menghempas pintu bilik. Hembusan nafas lega kulepaskan. Kehadiran Mujaddid benar-benar menyusahkan!


            “AIDILLA, tak nak ikut kami ke masjid?” soal Mujaddid. Aku masih beku di kerusi rotan yang teratur letaknya di ruang tamu.

            “Pergi sajalah, saya jaga rumah. Lagipun perempuan kan elok solat di rumah saja,” balasku. Sempat kutatap wajah mak ngah sekilas, memohon pengertian mak ngah.

            “Tapi kalau di rumah awak tinggal seorang sajalah. Rugi tak kutip pahala berjemaah,” kata Mujaddid. Hish! Banyak cakap betul dia ni.

            “Kalau awak nak sangat saya dapat pahala berjemaah, marilah awak tinggal di rumah dengan saya, awak imamkan solat saya. Nak sangat, kan?” ujarku penuh beremosi. Wajahnya kujeling entah untuk ke berapa kali pada hari ini.

            “Mana boleh tinggal berdua saja, tak baik,” balas Mujaddid.

            “Haaa, tau pun, kan? Dah tu? Awak pergi sajalah dengan mak ngah dan pak ngah. Tinggal saya di sini sorang-sorang. Biar saya jaga rumah. Awak tak perlulah nak jaga saya sangat, saya pandai jaga diri,” tempelakku. Dia ni tak faham bahasa ke apa? Kalau aku cakap dengan kucing pun, kucing tu faham yang aku tak nak ikut ke masjid.

            “Awak jangan lari macam petang tadi. Nanti apa saya nak jawab dengan Hairul,” pesan Mujaddid.

            “Apa awak ingat saya ni kanak-kanak riang yang tak pandai berfikir? Kalau saya lari pun saya nak ke mana? Luas manalah sangat kampung ni. Tup-tup nanti awak jumpa juga,” ujarku. Mujaddid terdiam seketika.

            “Dahlah, awak pergilah masjid. Nanti lambat pula sampai,” tuturku lantas langkah kuatur ke muka pintu. Pak ngah, mak ngah, dan Mujaddid sudah menyarung pengalas kaki masing-masing.

            “Selak pintu tu,” pesan Mujaddid. Aku membesarkan mataku memandangnya.

            “Ya, Marhaban Mujaddid!” balasku. Setelah kelibat mereka hilang dari pekarangan rumah mak ngah, aku menutup pintu dan memasang selak pada pintu seperti pesan Mujaddid tadi.


            PAK NGAH, kenapa pak ngah tak pernah beritahu yang ada orang duduk dekat rumah pak ngah?” soalku ketika sedang menjamah makan malam. Sempat kukerling wajah Mujaddid yang duduk berhadapan denganku.

            “Laaa, buat apa nak bagitahu? Aidilla tak tanya pun,” kata pak ngah. Haih! Loyar buruk pula pak ngah ni!

            “Takkan nak kena tunggu Ila tanya? Setiap hujung minggu Ila telefon pak ngah takkan pak ngah tak teringat nak cerita?” soalku. Mujaddid memandangku.

            “Awak ke yang selalu kecohkan rumah tiap-tiap hujung minggu?” Mak ngah dan pak ngah ketawa mendengar kata-kata Mujaddid. Aku mengetap gigi. Mata kubesarkan memandangnya.

            “Pak ngah, anak angkat pak ngah ni asal mana?” soalku.

            “Tu, tanya tuan badan tu sendiri. Depan mata tak nak tanya,” kata pak ngah sambil menjuihkan bibir ke arah Mujaddid. Aku mencebik.

            “Tak naklah. Nanti entah apa-apa yang dia jawab. Dia ni kan tak sihat sikit.” Selamba aku melemparkan kutukan kepada Mujaddid.

            “Dia yang tak waras, ada hati nak kata orang. Tak konsisten!” bebel Mujaddid.

            “Apa maksud awak ni?” soalku.

            “Tu, siang tadi ada. Sekarang hilang?” ujarnya merujuk kepada tudungku.

            “Masalahnya, saya ada satu aje. Awak jangan banyak cakap, boleh? Sibuklah awak ni,” bidasku.

            “Kenapa tak pinjam dengan ibu ngah?” Soalannya sepi tanpa sebarang jawapan.

            “Kalau awak dah tak suka sangat saya tak pakai tudung, awak keluarlah dari sini. Tidur dekat bawah rumah tu. Tak adalah saya menambahkan dosa awak, kan? Awak pun tak tambahkan dosa saya,” ujarku setelah lama aku mendiamkan diri. Pantas kubangun dan mengangkat pinggan bersama-sama ke singki dapur. Usai mencuci pinggan, aku mengorak langkah ke bilikku. Masih terasa geram akan Mujaddid.


            KEDATANGAN Umar dan Ashilah pada petang itu benar-benar membawa tuah buatku. Selain membawa air batu campur, Umar juga menawarkan aku untuk menjadi jurugambar semasa hari pernikahannya nanti. Sungguh aku tidak menyangka bahawa Umar akan memberikan aku tawaran itu. Tawaran itu aku terima dengan hati yang terbuka.

            Sebaik sahaja Umar dan Ashilah pulang, aku menghabiskan masa di atas pangkin yang dibina di bawah rumah pak ngah. Mujaddid yang sedang membaca di sisiku tidak kuhiraukan.

            “Aidilla, awak memang suka jadi jurugambar?” soal Mujaddid tiba-tiba. Buku yang menjadi tatapan matanya sedari tadi diletakkan di atas pangkin. Aku memandang tampangnya buat seketika sebelum mengangguk.

            “Ya, tapi papa saya tak suka. Dia lebih suka saya jadi akauntan,” jelasku. Mujaddid mengangkat keningnya dan mengangguk.

            “Kenapa tak ikut cakap papa awak?” soalnya. Aku melepaskan keluhan kecil.

            “Sampai bila saya perlu hidup dengan telunjuknya? Dia tunjuk situ, saya ke situ, dia tunjuk sini, saya ke sini. Bahkan, kelulusan yang saya ada dalam bidang perakaunan, adalah atas kehendak dia. Ini cita-cita saya, masa depan saya, jadi saya yang perlu tentukan. Lagipun, bukannya papa yang akan hadapi semuanya,” tuturku. Entah mengapa aku perlu berkongsi ceritaku dengan Mujaddid.

            “Tapi awak sedar tak, tugas dan tanggungjawab seorang jurugambar bukan hanya mengambil gambar, sahaja?” soalnya. Aku memandangnya.

            “Maksud awak?” soalku.

            “Maksud saya, tanggungjawab awak sebagai seorang jurugambar Islam,” katanya. Aku mengangguk, faham.

            “Ya, saya tahu. Saya sedar, setiap apa yang seseorang itu lakukan, datang dengan tanggungjawab. Saya tahu apa yang saya buat. Saya tahu gambar apa yang boleh saya bidik, dan tidak. Saya tak terima tawaran menjadi jurugambar pra perkahwinan. Yalah, ada sesetengah pasangan tidak terfikir mengenai hukum bersentuhan antara bukan mahram. Sedangkan mereka tidak punya ikatan yang menghalalkan sentuhan antara mereka. Saya tak nak terlibat sama lantas mendapat saham percuma,” ujarku.

            “Baguslah kalau awak sedar,” kata Mujaddid. Aku sekadar tersenyum.      

            “Awak dari mana?” soalku. Entah angin apa yang singgah pada tubuhku sehinggakan aku ingin tahu mengenai dirinya.

            “Kampung sebelah,” jawab Mujaddid. Aku memandangnya dengan mata yang dikecilkan, tidak percaya dengan kata-katanya. Ketawa kecil terlepas daripada bibirnya.

            “Betul, saya dari kampung sebelah.” Bersungguh-sungguh Mujaddid meyakinkan aku.

            “Awak memang Islam, ke? Awak convert?” soalku.

            “Awak meragui agama saya?” soalnya kembali. Aku terkedu.

            “Tak, bukan macam tu... Cuma...” Aku teragak-agak ingin menyambung bicara. Bimbang mengguris hatinya.

            “Kenapa awak harus meragui agama saya? Kerana wajah saya?” soalnya. Aku terdiam.

            “Memanglah saya tak ada raut Melayu langsung, tapi salahkah saya beragama Islam?” soalnya. Tersentak aku mendengarnya. Aduhai, janganlah tersalah tafsir! Jangan buat usul melulu!

            “Bukan macam tu! Ya Allah... Awak ni, janganlah cakap ikut sedap mulut awak aje,” ujarku. Mujaddid melepaskan keluhan kecil. Bibirnya bergerak-gerak seolah-olah ingin menyatakan sesuatu.

            “Awak nak cakap sesuatu ke?” soalku.

            “Kalau saya cerita fasal saya, awak akan dengar ke?” soal Mujaddid. Matanya merenung ke dalam mataku menyebabkan aku kalut seketika. Pantas kualihkan pandanganku daripada terus menatap matanya. Entah mengapa rasa aneh itu terbit setiap kali sepasang mata itu kutatap.

            “Bergantunglah... Awak cerita ajelah,” ujarku dalam nada gugup yang cuba kusembunyikan.

            “Macam mana nak cerita, ya? Susah sikitlah,” kata Mujaddid lalu dia menggaru dahinya.

            “Laaa, awak cerita sajalah. Tadi awak yang beria-ia nak cerita, kan? Bila saya nak dengar ni, awak tak tahu pula macam mana nak cerita,” bicaraku sedikit geram dengan Mujaddid. Mujaddid ketawa.

            “Okey, okey. Asalnya, saya memang bukan Islam. Maksud, saya... Saya tak lahir sebagai seorang Islam. Mak saya Caucasian dan ayah saya Chinese. Tapi hidup saya sebagai bukan Islam tak lama. Ayah ambil keputusan untuk convert dan alhamdulillah, ibu turut convert. Secara automatik, saya dengan adik beradik saya pun convert sekali. Kalau tak silap saya, umur saya masa tu satu tahun. Abang sulung saya lima tahun, kakak saya tiga tahun dan adik saya yang paling beruntung, kerana dia lahir dalam Islam,” terang Mujaddid. Aku mengangguk-angguk.

            “Jadi, apa yang membawa awak ke sini?” soalku, ingin tahu.

            “Entah. Tapi saya dah lama dah kenal dengan ayah ngah, sejak kecil lagi. Ayah saya banyak belajar tentang Islam dengan ayah ngah dan imam masjid kampung ni. Kadang-kadang saya akan ikut ayah ke sini,” jelas Mujaddid. Aku ketawa. Mungkin kedengaran sarkastik pada pendengaran Mujaddid.

            “Awak tak tahu apa tujuan awak ke sini? Tak mungkin. Mujaddid yang saya kenal selama dua hari ni, orangnya berkeyakinan. Apa awak dah jadi ni?” ujarku. Mujaddid meraup rambut perang kehitamannya ke belakang. Sengihan di bibirnya membuahkan tanda tanya dalam hatiku.

            “Saya tahu, cuma saya tak pasti...” kata Mujaddid. Aku ketawa lagi.

            “Apa awak ni? Tahu tapi tak pasti. Sama ajelah macam awak tak tahu. Awak jangan buat lawak, boleh tak? Lagipun dah dua tahun awak menetap di sini,” tuturku.

            “Okey, apa-apa yang saya tahu, saya ke sini untuk tinggal dengan ayah ngah dan ibu ngah. Mereka kan tak ada anak, jadi saya nak mengisi kekosongan hidup mereka. Selain tu, saya tolong pak ngah apa-apa yang patut. Pokok getah dia, saya torehkan. Lepas tu, saya ingat nak dapatkan pengalaman duduk dalam keluarga Melayu Islam.” Penjelasan Mujaddid membuatkan aku terangguk-angguk.

            “Umur awak berapa?” soalku lagi. Mata Mujaddid menikam mataku membuatkan mataku bergerak pantas mengalihkan arah pandanganku. Aku menggigit bibir, cuba menghalau resah yang hadir.

            “Dua puluh sembilan,” jawabnya. Oh, tua lima tahun daripadaku.

            “Kalau saya tanya, awak jawab tak?” soal Mujaddid tiba-tiba setelah masing-masing sepi tanpa suara.

            “Bergantung, kalau saya boleh jawab, saya jawab. Kalau tak, sepi ajelah,” balasku.

            “Apa yang membuatkan perempuan macam awak rela hati untuk duduk di sini?” soalnya. Bibirku mengukir senyum tanpa dipinta.

            “Perempuan yang macam mana tu? Perempuan bandar?” ujarku. Mujaddid ketawa dan menggeleng perlahan.

            “Perempuan bandar tu umum sangat. Maksud saya, yalah... Perempuan yang beberapa peratus hidup dengan gaya kebaratan,” katanya. Aku mencebik. Sudahlah, nak perli akulah tu.

            “Saya tak hidup dengan cara barat, okey? Saya masih makan dengan tangan, mandi dengan tangan sendiri, bukan dengan tab mandi. Saya masih tahu pakai baju kurung dan kain batik. Suka hati saja awak buat usul sendiri, ya?” bidasku. Mujaddid tersenyum.

            “Tapi... Kenapa awak tak bertudung semalam? Kenapa tak tutup aurat awak?” soalnya. Tak sudah-sudah membangkitkan soal aurat. Aku melepaskan keluhan kecil. Bahu kujungkit tanda tidak tahu.

            “Saya rasa saya tak akan bebas dengan bertudung. Maksud saya, aktiviti saya terhad. Lagipun, awak lelaki kedua yang mengingatkan saya tentang tudung dan menutup aurat selepas pak ngah. Papa dan abang, tidak pernah menegur. Kata papa, cukuplah saya sudah berpakaian sopan,” jelasku. Mujaddid menggeleng.

            “Bertudung dan menutup aurat tidak akan membuatkan aktiviti awak terhad, Aidilla. Awak masih boleh bermain sukan lasak, awak masih boleh bergambar dengan gaya gila-gila awak tu...” Kata-kata Mujaddid membuatkan aku terbatuk-batuk kecil. Jelaslah bahawa dia sudah melihat segala-galanya.

            “Lagipun, awak hanya perlukan tudung yang cukup labuh untuk melengkapkan tuntutan menutup aurat. Pakaian awak sudah cukup bagus sekarang ni. Aidilla, perlukah awak menunggu mereka menegur sedangkan dalam al-quran sudah jelas diberitahu akan perintah ini? Andai awak pelihara aurat awak, secara automatik, maruah dan kesucian awak akan terpelihara, insyaAllah. Awak tak perlukan pengawal, untuk mengawal awak dua puluh empat jam. Aurat yang awak tutup mampu memelihara diri awak,” bicara Mujaddid. Aku tertunduk mendengar kata-katanya.

            “Awak tak tahu bahaya di luar sana. Nafsu seorang lelaki dan seorang wanita, tak sama. Nafsu wanita yang banyak, cenderung ke pelbagai arah yang berlainan. Nafsu lelaki yang satu, cenderung ke satu arah. Awak tak tahu, fikiran mereka boleh pergi jauh walaupun sedikit yang terdedah.” Aku suka mendengar penjelasannya. Aku dapat tangkap isinya walaupun dia menyampaikan isi itu dengan berlapik.

            “Pernah awak terfikirkan dosa?” soalnya. Aku masih menunduk dan mengangguk.           

            “Sebelum saya melakukan sesuatu yang salah, saya selalu berfikir, banyak sangatkah pahala yang ada pada saya sehinggakan saya suka mengutip dosa? Walaupun sedikit, andai dikumpul, berlonggok jua. Seringkali saya berfikir, betapa sesal itu takkan mengubah apa-apa andai sedetik lagi nyawa saya ditarik dan dosa saya lebih banyak daripada pahala.” Kata-kata Mujaddid meresap jauh ke dalam hatiku. Aku beristighfar. Sungguh aku tidak mungkin mampu untuk menyanggah kata-katanya.

            “Hidup ini medan untuk kita berjuang mengumpul sebanyak pahala yang kita mampu dan menjauhkan diri daripada melakukan dosa. Kita hanyalah manusia yang begitu kerdil. Dalam sedar atau tidak, pasti ada dosa yang kita kutip. Dalam mahu atau enggan, pasti ada dosa yang kita raih. Sedarkah kita bahawa pahala itu begitu mudah untuk diraih? Dalam sedar atau tidak, dalam mahu atau enggan, pasti ada pahala yang dapat kita kutip. Bergantung, di mana tahap keimanan kita,” tutur Mujaddid. Entah mengapa, semua kata-katanya ingin kuterima. Semua kata-katanya kuserap masuk ke dalam hatiku.

            “Mungkin ramai yang akan berfikir mengenai pahala dan dosa andai pahala dan dosa itu ditampilkan dalam bentuk material. Pahala dijelmakan sebagai wang, dan dosa dijelmakan sebagai jarum. Manusia akan berlumba-lumba mengejar wang itu dan tangkas melarikan diri daripada ditusuk jarum yang tajam,” kataku, tiba-tiba. Mujaddid memandangku dengan senyuman pada bibirnya yang tampak berbeza berbanding selalu. Sedikit sebanyak, senyuman itu bisa menggetarkan naluri wanitaku.

            “Ibaratkan sekeping not seratus ringgit untuk satu pahala dan satu jarum yang tajam untuk satu dosa. Pastilah manusia akan berkejar-kejaran mendapatkan pahala itu dan berlari-lari menjauhi jarum itu,” sambung Mujaddid.

            “Tu ustazah saya yang cakap, masa saya tingkatan lima dulu,” kataku dengan senyuman kecil pada bibir.

            “Patutlah...” ujarnya perlahan. Aku mengambil buku yang berada di atas pangkin lalu memukul lengannya. Mujaddid ketawa sambil mengelakkan tubuhnya daripada terkena pukulanku.

            “Perli saya, ya? Sekurang-kurangnya, saya ambil perhatian atas apa yang dia beritahu, tau? Walaupun dah tujuh tahun, saya masih ingat lagi,” tuturku lantas aku menghentikan pergerakan tanganku. Mujaddid masih dengan sisa tawanya.

            “Yalah, ingatan awak bagus sangat. Alhamdulillah,” katanya usai tawanya reda.


            SEMINGGU berlalu setelah majlis pernikahan Umar dan Ashilah berlangsung. Foto-foto mereka sudah tersusun rapi di dalam album pernikahan mereka yang bersalut kain baldu berwarna hitam. Halaman pertama album itu jelas terpapar namaku pada sudut bawah sebelah kanan. Kusentuh perlahan tulisan ‘Aidid’s Photography’ yang tercetak.

            Album itu kututup kembali lantas sulaman yang berwarna keemasan pada muka belakang kulit album itu menjadi sapaan mataku. Sungguh aku berpuas hati. Terdapat sulaman kecil namaku pada sudut bawah sebelah kanan muka belakang album itu.  

            Aidid. Aku tersenyum sendiri. Entah mengapa perlu aku ubah nama itu. Asalnya, hanya nama Aid yang terpapar. Kalaulah dia tahu, malu yang bertandang takkan mungkin pulang. Masakan tidak? Aku mencuri namanya untuk dicantumkan dengan namaku!

            Fikiranku menerewang pada majlis pernikahan Umar dan Ashilah minggu lalu. Kata-kata Mujaddid bagaikan terngiang-ngiang menyapa telingaku. Aku tersenyum kecil. Aku tahu dia sekadar bergurau dan entah mengapa aku mahu mengambil serius.

            “Aidilla, bila pulak awak nak duduk dekat atas sana?” soalnya, tiba-tiba. Aku yang sedang menatap hasil bidikanku pada kamera agak terkejut dengan sapaannya. Wajah kuangkat lalu tanpa sengaja pandangan mata kami bertembung. Pantas kualih, lantas kuusir resah yang mengetuk pintu hatiku.

            “Tengoklah kalau ada jodoh. Kalau tak, tak merasalah saya nak naik pelamin,” balasku. Mujurlah suasana yang hingar-bingar mampu menyembunyikan nada gugup pada suaraku.

            “Takkan awak masih sepi?” soalnya. Aku sedar, Mujaddid suka berlapik-lapik apabila berbicara.

            “Ya, saya masih sepi. Tak ada kumbang yang sudi buat bising dekat bunga macam saya ni. Dahlah ganas, kerja pula jurugambar aje, mana ada orang akan jatuh hati,” tuturku. Mujaddid menghamburkan tawanya.

            “Kalau macam tu, biar saya ajelah yang jadi kumbang tu. Untung-untung saya selalu buat bising dekat awak,” bicara Mujaddid. Aku memandang wajahnya sekilas. Jelas sekali dia tidak berniat seperti bicaranya. Sekadar usikan yang menjadi halwa telingaku hampir setiap hari.

            “Janganlah main-main,” ujarku. Mujaddid mengalih pandang ke arahku. Pantas kualihkan pandangan daripada menatap tampangnya.

            “Betullah, kalau awak sepi... Biar saya jadi suami awak, ya?” katanya. Aku menjeling wajahnya menyebabkan tawanya terlepas daripada bibirnya. Aku mencebik. Suka benar mempermainkan aku.

            Kepala kugelengkan dek teringatkan situasi itu. Sungguh dia memang suka mengganggu keharmonian hatiku.

            “Aidilla!” Laungan Mujaddid singgah ke pendengaranku. Pantas kusarungkan tudung pada kepala sebelum menjenguk melalui jendela. Bola mataku melilau mencari batang tubuhnya.

            “Sini!” Laungnya lagi. Aku mencari-cari arah laungan itu. Lantas mataku tertancap pada dirinya yang sedang duduk di atas dahan pokok rambutan. Aku tersengih memandangnya.

            “Awak buat apa atas pokok tu? Jatuh nanti, saya tak nak tolong, ya?” laungku. Mujaddid ketawa.

            “Saya naik atas ni sebab awak jugak. Semalam awak yang merayu-rayu dengan saya nak makan buah rambutan, kan? Mengalahkan orang mengidam. Ni saya naiklah, nak bagi awak makan,” jawabnya. Aku menggelengkan kepala. Entah mengapa hatiku perlu terusik akan kesungguhannya itu.

            “Hati-hati. Nanti saya sampai,” ujarku lantas aku membuka langkah menuju ke luar rumah. Aku melabuhkan duduk di atas pangkin yang dibina di bawah pokok rambutan itu.

            “Hai, ingat saya ni kuli ke? Tolonglah kutip buah rambutan yang jatuh tu...” kata Mujaddid. Aku tersengih sebelum bergerak untuk membantunya.

            “Dahlah, awak turunlah. Dah banyak dah ni...” ujarku setelah habis mengutip kesemua buah rambutan yang berselerakan di atas tanah. Penuh satu besen terisi dengan buah-buah rambutan yang tampak masak ranum.

            “Assalamualaikum.” Ucapan salam itu mematikan senyuman pada bibirku. Manja suaranya sudah lali pada pendengaranku. Pantas kupandang pemilik suara itu. Ketara senyuman yang kukira mengada-ada pada bibirnya. Aku memandang Mujaddid, ternyata Mujaddid turut memandangku. Dia mengangkat kening lantas aku menjungkit bahu.

            “Waalaikumussalam,” jawab Mujaddid. Perlahan saja nada suaranya. Entahlah, aku tidak mengerti apa yang ada dalam benaknya.

            “Tengah petik buah rambutan ke?” soal gadis itu.

            “Taklah, tengah tanam pokok. Tak nampak?” ujarku. Entah mengapa, aku tidak pernah menyenangi gadis ini dari saat pertama kali aku bersua muka dengannya di majlis pernikahan Umar. Sudahlah suka meliuk-lentok seakan-akan tidak bertulang!

            “A’ah, kami tengah tanam pokok ni. Awak buat apa ke sini?” soal Mujaddid. Aku tersenyum kecil memandangnya. Tidak sangka bahawa dia serentak dan seirama denganku.

            “Sengaja menjenguk. Sejak dah ada Ila, awak dah tak layan saya, kan Adid?” kata gadis itu. Aku memalingkan wajah lantas melepaskan batuk-batuk kecil buatan.

            “Dah dia lagi suka layan saya daripada layan awak,” ujarku perlahan. Tidak semena-mena kepalaku terkena balingan Mujaddid. Kulit rambutan yang mengenai kepalaku jatuh ke atas tanah. Aku memandang Mujaddid. Dia sedang ketawa tanpa suara. Aku sekadar menayang sengih.

            “Sebelum Aidilla ada pun, pernah ke saya layan awak?” kata Mujaddid. Aku menyembunyikan senyum yang menghiasi dua ulas bibirku.

            “Awak ni! Sengaja nak sakitkan hati saya, kan?” ujar gadis itu, kedengaran manja. Ya Allah! Menyampahnya aku! Gedik!

            “Awak nak rambutan, tak? Nah, ambillah... Bawa balik rumah, lepas tu jangan datang lagi, ya?” kataku. Bukannya aku tidak menghormati tetamu, atau menghalau. Tetapi kalau sudah hampir tiga kali dalam sehari dia datang ke sini, siapa yang tidak sebal? Sudahlah datang kerana ingin menggatal! Kalau ingin menziarahi pak ngah atau mak ngah, tidak mengapalah juga!

            “Eh, tak apalah! Susah-susah aje,” kata gadis itu. Andai tidak silapku, rumahnya terletak jauh dari rumah pak ngah. Rumahnya di blok B manakala rumah pak ngah terletak di blok Q. Sanggup dia datang jauh-jauh untuk menggatal? Entah spesies apalah gadis ini.  

            “Awak tak kerja, ke?” soalku, ingin tahu.

            “Kenapa awak tanya?” soalnya kembali.

            “Sebab setiap hari awak datang ke rumah kami. Pulak tu, dalam sehari, tiga kali awak datang. Nampak sangatlah yang awak tak bekerja, kan?” soalku. Gadis itu terdiam dan tertunduk. Dia tersipu-sipu, menahan malu barangkali.

            “Awak pun apa kurangnya, dua puluh empat jam melekat dengan Adid,” katanya. Tidak fasal-fasal pula dia ingin menarik aku sama.

            “Apa pulak dua puluh empat jam? Waktu pagi Mujaddid pergi kerja. Petang aje saya dengan dia. Lagipun, serapat-rapat, semelekat-melekat saya dengan Mujaddid pun... Saya masih tahu cari duit saya sendiri. Tak adalah kerja saya menghabiskan beras pak ngah saya aje,” bidasku berbaur perlian. Gadis itu tertunduk lagi, menahan malu barangkali. Mujaddid membaling kulit rambutan mengenai kepalaku. Aku memandangnya. Dia menaikkan ibu jarinya dengan sengihan pada bibir.

            “Tak apalah! Saya balik dulu, assalamualaikum!” ucap gadis itu. Lantas laju sahaja langkah kakinya diatur keluar dari pekarangan rumah pak ngah. Aku dan Mujaddid saling berpandangan sebelum ketawa yang ditahan sedari tadi terlepas keluar daripada bibir masing-masing.

            “Aidilla, saya pun tak tahu apa masalah Si Cempaka tu. Dulu pun dia selalu ke sini. Memang sah tak ada kerja,” kata Mujaddid sambil kaki dan tangannya ligat bergerak untuk turun daripada pokok rambutan itu.

            “Ya ke? Dia minat dekat awak, kot?” ujarku. Aku melabuhkan punggung di atas pangkin. Mujaddid turut melakukan perkara yang sama. Sebiji rambutan kucapai lalu kukupas dan aku makan isi rambutan itu. Biji dan kulit rambutan itu kucampakkan ke atas tanah.

            “Minat? Minatlah walau seribu kali minat pun, saya tak pernah ada hati kat dia. Apa dia ingat orang suka sangat ke tengok dia tergedik sana, tergedik sini. Meluat, tau?” tutur Mujaddid. Aku tergelak.

            “Tak baik cakap macam tu,” balasku. Mujaddid memandangku.

            “Awak ingat saya tak tahu ke, Aidilla?” soalnya. Aku mengangkat kening memandangnya sekilas.

            “Tahu apa?” soalku kembali. Senyuman pada bibir Mujaddid melahirkan tanda tanya dalam benakku.

            “Kalau saya meluat dengan dia, awak sepuluh kali lebih meluat, kan?” ujarnya. Aku ketawa sambil terangguk-angguk.

            “Ya, memang tepat! Tak dapat dinafikan! Ya Allah! Siapa tak menyampah kalau dalam sehari tiga kali dia datang sini. Gila betul! Memang sah dia tergila-gilakan awak,” kataku. Sakit jua hatiku saat menuturkan ayat terakhir itu. Sebahagian besar hatiku tidak merelakan ayat itu meluncur keluar tetapi sebahagian kecil memaksa.

            “Biarlah dia seorang jadi gila. Saya tak nak jadi gila sama,” ujar Mujaddid. Aku menyembunyikan senyum kecil yang bertandang.

            “Awak, lepas asar nanti saya nak ke bandar,” ujarku. Mujaddid memandangku.

            “Buat apa? Saya temankan, ya?” soalnya.

            “Beli baranglah. Tak apa, saya boleh pergi sendiri. Naik teksi aje,” balasku.

            “Tak boleh, saya tak nak makan gaji buta, tau? Abang awak suruh saya jaga awak. Saya pergi dengan awak,” katanya.

            “Naik apa? Awak bukannya ada kereta pun. Takkan saya nak naik motor awak kot... Gila ke apa?” ujarku. Mujaddid tersengih.

            “Apa salahnya? Dah tu, takkan nak jalan kaki pergi bandar?” balasnya. Aku mencebik.

            “Jalan kaki lagi afdal tau?” kataku.

            “Kalau awak rela, awak jalan kaki. Saya ikut dengan motor saya, ya?” balasnya lalu ketawa kuat. Aku menjeling wajahnya.

            “Sempat kenakan saya, kan?” tuturku, geram. Aku melemparkan kulit rambutan yang terdapat dalam genggamanku, tepat mengenai lengannya. Tawanya semakin kuat. Entah mengapa, aku suka mendengar tawanya. Tawa yang semakin sebati dalam hatiku.

Cerpen- AIDID (Part 1)

Pesan penulis: Saya tulis cerita ni untuk satu projek penulisan dengan penulis2 lain sebenarnya. Tapi nampaknya projek tu tergendala atas sebab2 yang tak dapat dielakkan. Jadi, saya post cerpen ni dekat sini sajalah. Daripada tersimpan dalam lappy tak terbaca, baik bagi orang baca, kan? Heee, :). Kalau tak silap saya, cerita ni pun dah ditulis dua tahun lepas macam tu. Jadi any flaws, maafkan hamba. Dan cerpen ni bukanlah cerpen sangat pun. Cerita ni dah masuk dalam kategori cerpan. Jadi walaupun cerita ni panjang untuk korang, baca sajalah eh? Saya bahagikan cerpan ni kepada beberapa bahagian untuk menyelesakan pembacaan korang. Hehe. Selamat membaca, :).




            “NUR AIDILLA AZZA!” Papa betul-betul marahkan aku. Aku memandang wajah umi bagi meminta pertolongan. Umi menjongketkan bahu tanda tiada apa-apa yang dia boleh bantu. Aku memejamkan mataku seketika. Pelbagai alasan sedang aku reka di dalam kotak fikiranku.

            Again?” Soalan papa itu sepi tanpa sahutan.

            “Apa kamu nak jadi ni? Kamu tu perempuan! Setiap hari kamu balik lambat,” kata papa. Umi merapati papa. Mengurut lembut dada papa dan meminta papa duduk. Papa menurut.

            “Papa, Aid kerjalah. Aid bukannya berfoya-foya tak tentu hala,” kataku.

            “Kerja apa? Kamu bagitahu papa, kamu bekerja dekat syarikat mana? Kamu kerja sebagai apa?” Bertalu-talu soalan papa hinggap pada pendengaranku. Aku mengurut dadaku.

            “Aid... Aid tangkap gambarlah. Aid kerja sendiri saja,” jelasku. Sungguh papa tak akan pernah faham dengan minatku yang satu ini.

            No, papa tak nak Aid jadi jurugambar. Aid ada kelulusan dalam akaun... Kenapa tak jadi akauntan saja?” kata papa.

            “Ya, memang Aid ada kelulusan dalam perakaunan. Tapi itu semua atas kehendak papa. Bukan Aid yang nak. My passion is in photography,” ujarku. Sejak aku kecil hingga sekarang, lapan puluh peratus hidup aku ditentukan atas kemahuan papa dan bukan atas kemahuan aku.

            “Papa tak suka Aid jadi jurugambar. Kerja tu tak mendatangkan faedah. Papa tetap nak Aid jadi akauntan!” Tegas papa bersuara. Aku bangun daripada dudukku.

            No! Stop it! Cukuplah papa menentukan hidup Aid selama ni. I’m not gonna live in your way anymore. That’s it!” kataku. Papa kelihatan berang.

            “Aid! Siapa yang ajar Aid tinggikan suara dekat papa?” Umi mula bersuara.

            “Umi, Aid dah tak tahan, tau? Aid nak jadi jurugambar, bukan akauntan. Bahkan Aid dah dapat pendapatan melalui photography sekarang ni,” jelasku. Mengapa papa tidak pernah faham tentang keinginanku? Keinginan abang, semua dieyakan. Keinginan aku, ada yang dieyakan dan ada yang ditidakkan. Sungguh tidak adil.

            I don’t care, Aidilla Azza! Either you are going to work as an accountant in my company, or you will be sent to pak ngah’s house.” Mencerlung mata papa memandangku. Aku melemparkan senyum sinis.

            I would rather choose to stay with pak ngah than working as an accountant. Aid lebih rela duduk dekat kampung tu, untuk teruskan minat Aid,” bicaraku lantas langkah kaki kuatur ke tingkat atas.

            “Aid!” Panggilan papa aku tidak endahkan. Sungguh aku benci akan sikap papa yang suka melebihkan abang dalam segala hal. Keinginan abang pasti akan dipenuhi. Tetapi keinginan aku langsung tidak dipertimbangkan. Keluhan kecil aku lepaskan apabila tubuhku selamat mendarat di atas tilam yang empuk. Mungkin ini adalah terakhir kali aku dapat merehatkan tubuhku di atas tilam ini. Aku tidak akan merungut, kerana inilah keputusan aku.


            AKU kira, marah papa tidak pernah surut. Hanya umi yang masih mahu menemaniku ke rumah pak ngah. Abang benar-benar berbeza. Dia menjadi sukarelawan untuk menghantar aku ke rumah pak ngah. Riak wajahnya tidak seceria selalu dan tidak pula aku dibuli pada hari ini. Jika tidak, paling kurang pun, setiap hari dia akan menggosok kepalaku sehingga rambutku menjadi kusut masai.

            “Aid, dekat rumah mak ngah nanti, kamu jagalah diri kamu, ya? Jangan buat perkara tak senonoh pula,” nasihat umi. Aku menerima nasihat itu tanpa sebarang bicara.

            “Aid tak tahu bila Aid akan balik semula ke rumah umi dengan papa. Aid mungkin akan tinggal dengan mak ngah terus. Lagipun, mak ngah tak ada anak. Bolehlah Aid teman mak ngah,” kataku. Umi memandang wajahku melalui cermin pandang belakang. Aku membalas pandangannya seketika sebelum aku melemparkan pandanganku ke luar tingkap.

            “Umi jangan kisah sangat. Papa dengan umi masih ada abang. Papa dengan umi tak akan kesunyian sebab kehilangan seorang anak macam Aid ni. Lagipun, Aid akan menyusahkan papa saja kalau Aid terus tinggal dengan papa dan umi,” bicaraku.

            “Apa Aid ni? Kenapa kena beza-bezakan antara kita? Kita ni adik-beradik, tau? Sedarah, seibu dan sebapa,” kata abang. Aku mengangkat kening.

            “Bukan Aid yang membezakan kita, tapi papa. Kasih sayangnya tidak dibahagi dengan sekata,” bisikku perlahan. Tidak perlulah abang dan umi mendengar bicaraku itu. Aku malas ingin memanjangkan lagi acara perdebatan.

            Lima minit kemudian, kereta yang dipandu abang terhenti di pekarangan rumah mak ngah. Cepat-cepat aku memboloskan diri daripada perut keretanya. Aku menghulurkan salam sebagai ucapan. Tubuh mak ngah yang sedang setia menantiku menjadi mangsa dakapanku. Kedua-dua belah pipi dan dahiku diciumnya. Setelah itu, aku menyalami tangannya.

            “Pak ngah mana, mak ngah?” soalku. Tampang mak ngah yang tersenyum ceria itu kupandang senang.

            “Dia di ladanglah, masih bekerja lagi,” kata mak ngah. Aku menganggukkan kepala tanda mengerti.

            “Dah tua-tua pun masih bekerja lagi. Suruhlah dia berehat.” Umi mula bersuara setelah dia bersalaman dengan mak ngah tadi.

            “Hai, kalau dia berehat, siapa yang nak usahakan kebun getah tu? Masa tua-tua nilah kena banyak bekerja, barulah kesihatan dapat dikekalkan,” kata mak ngah yang sememangnya sangat menitik beratkan hal yang melibatkan kesihatan. Lihat sajalah pada wajahnya, jika dikatakan bahawa umurnya sudah mencecah enam puluh lima tahun, pasti ada yang menggeleng tidak percaya.

            “Upahlah orang, mak ngah,” ujar abang. Hai, abang... Apa abang ingat masih ada lagi ke anak-anak muda kita yang ingin melakukan pekerjaan itu? Hampir semuanya sudah berpusu-pusu ke bandar mencari peluang pekerjaan yang lebih baik. Pekerjaan yang lebih selesa, dan pekerjaan yang lebih memendekkan jangka hayat hidup mereka.

            “Upah apanya, Hairul? Belia-belia kita yang tinggal dekat kampung ni kebanyakannya yang hampas saja. Lagipun, budak-budak kita zaman sekarang ni, bukan boleh percaya sangat. Lebih kurang sajalah dengan budak-budak kita zaman dulu. Kalau dah terdesak tu, macam-macam yang boleh jadi. Alah, pak ngah kamu tu bukannya lama sangat berada di ladang. Sekejap lagi baliklah dia. Petang nanti, dia ke sangkar pula,” jelas mak ngah. Aku menyokong penuh kata-kata mak ngah.

            “Haaa, marilah masuk. Tak elok berpanas lama-lama dekat luar ni.” Mak ngah mula menarik tanganku untuk masuk ke dalam rumah. Abang pula mengeluarkan dua buah beg pakaianku lalu dibawanya bersama-sama ke dalam rumah mak ngah. Aku akui, abang berkelakuan murni pada hari ini.

            “Terima kasih, bang,” ucapku. Abang tidak bereaksi. Senyum pun tidak, angguk pun tidak, membuka mulut jauh sekali. Aku tidak pasti apa yang mengganggu fikiran abang, tetapi aku dapat rasakan bahawa abang betul-betul sedang menghadapi masalah.

            “Ni, jemputlah minum. Makanlah apa yang ada ni...” kata mak ngah. Aku memandang makanan dan minuman yang terhidang. Terlangsai hutang rinduku terhadap air tangan mak ngah apabila menjamah kuih karipap yang sudah kupasti karipap itu buatan mak ngah. Cukup sekadar aku rasa keenakan inti karipap itu, aku tahu karipap itu merupakan hasil air tangan mak ngah.

            “Sedapnya, mak ngah! Dah lama tak makan masakan mak ngah,” ucapku tulus. Abang turut mengangguk mempersetujui kata-kataku.

            “Alhamdulillah. Kalau sedap, makanlah. Dekat dapur tu ada lagi. Eh, kak ngah lupa nak tanya Ainun, Khalid mana? Tak ikut sekali?” soal mak ngah.

            “Dia dah tak sayang dekat Aidilla, mak ngah. Sebab tu dia tak ikut sekali,” ujarku lantas aku melentokkan kepalaku di atas bahu mak ngah. Lengannya kupaut mesra.

            “Hish! Takkanlah sampai macam tu sekali. Kamu ni, Ila...” kata mak ngah yang lebih senang memanggilku dengan panggilan Ila. Kata mak ngah, namaku menyukarkan dia untuk memanggilku. Hmmm, aku tak boleh nak kata apa-apa. Bukannya aku yang beri nama kepada diriku.

            “Yalah, mak ngah... Dia tak sayang Ila lagi. Kalau papa sayang Aidilla, papa akan sokong cita-cita Ila. Dia tak akan kata yang kerja jurugambar ni, kerja kampung dan tak ada kelas,” luahku. Umi memandangku sayu. Aku tahu umi sudah lama cuba meyakinkan papa untuk menyokong kerjayaku, namun tidak berjaya. Papa sungguh keras!

            “Tak adalah, kak ngah. Abang Khalid tu tak berapa nak sihat. Dari semalam lagi dia mengadu sakit kepala,” kata umi. Abang iyakan saja kata-kata umi. Nampak benar umi menipu untuk menjaga nama baik papa sebagai seorang ayah. Elok sahaja papa berleter pada pagi tadi. Sakit kepala dari celah mana pula?

            “Sakit kepala sebab Ila tu, mak ngah...” bisikku perlahan.

            “Apa Ila kata?” soal mak ngah. Pantas aku menegakkan kepalaku. Dapat kulihat dengan jelas tautan kening mak ngah.

            “Eh, tak ada apa-apa, mak ngah! Ila berangan saja tadi,” ujarku.

            “Kak ngah, kami harap Aidilla tak akan susahkan kak ngah sepanjang keberadaannya di sini,” tutur umi.

            “Tak ada yang susahnya, Ainun. Ila ni dah macam anak kami sendiri dah,” kata mak ngah. Sememangnya aku dan keluarga mak ngah sangat rapat. Setiap hujung minggu, pasti aku akan mendengar suara mak ngah dan pak ngah melalui corong telefon. Jika ada kisah yang menarik, akan aku kongsikan bersama-sama mak ngah atau pak ngah. Namun jika tidak, aku hanya bertanya khabar dan meleraikan tali rindu yang tersimpul.

            “Abang Khalid yang beria-ia mahukan Aidilla tinggal di sini. Ainun kalau boleh tak mahu berpisah dengan Aidilla. Dia satu-satunya puteri kami,” kata umi. Suaranya bertukar sebak pada hujung bicaranya. Umi tertunduk. Hatiku tersentuh mendengarnya. Pantas aku bangun mendapatkan umi dan melutut di sisinya. Belakang badannya kulurut lembut.

            “Umi, Aid masih lagi your beautiful and cute princess. Don’t worry, okay? Aid akan jaga diri Aid macam Aid jaga umi. Umi tak perlu sedih, abang kan ada. Bang, jaga umi elok-elok. Kalau Aid tahu umi sakit ke apa ke, Aid lesing kepala abang. Tak pun, Aid botakkan rambut abang.” Laju sahaja tangan abang mempertahankan rambutnya. Aku tergelak melihatnya. Itulah satu-satunya harta yang haram disentuh oleh orang lain kecuali umi. Aku cuit sedikit pun dia akan mengamuk sampai berselerak bilik aku dikerjakannya.

            “Sayang sangat rambut kepop dia tu.” Kata-kata mak ngah meletuskan tawa besar daripada aku dan abang. Umi turut ketawa kecil. Tampang mak ngah kehairanan melihat respons daripada kami.

            “Bukan kepop lah, mak ngah! K-pop!” kataku. Berair mataku dek ketawa besar itu.

            “Hish! Lantaklah kepop ke k-pop ke kepoh ke... Tak boleh mak ngah nak mengingatnya,” kata mak ngah. Aku mengesat pipiku yang basah dek air mata yang keluar ketika ketawa. Tawa tadi masih bersisa lagi di bibirku.

            “Haaa, Aid... Kamu tolonglah mak ngah kamu di sini, ya? Jangan duduk-duduk saja,” pesan umi.

            “Ya, umi... Aid bukannya pemalas pun. Dekat rumah tu lainlah. Dah papa upah pembantu rumah, takkan nak disia-siakan?” kataku. Umi mencubit lenganku. Terpejam-pejam mataku menahan bisanya.

            “Aduh, umi... Aid cakap betul ni, umi,” bicaraku. Bekas cubitan umi kuusap. Masih terasa peritnya.

            “Betul ni? Tolong mak ngah apa-apa yang patut, basuh bilik air ke, masak ke, basuh baju ke, sidai baju ke,” pesan umi. Aku mengangguk.

            “Ya, umi... Aid rajinlah,” ujarku meyakinkan umi. Senyuman kepuasan umi melegakan aku. Akhirnya umi telah menyerahkan kepercayaannya kepadaku. Rambutku diusapnya.

            “Kak ngah, Ainun dah nak kena balik ni. Kasihan pula Abang Khalid sakit di rumah,” kata umi lantas dia bangun daripada duduknya. Aku ikut bangun bersama-sama abang dan mak ngah. Betul ke papa sakit?

            “Yalah, elok juga tu. Sekejap, ya? Kak ngah bekalkan karipap di dapur tu. Banyak lagi, takut tak terhabis. Nanti membazir pula,” bicara mak ngah seiring dengan langkahnya menuju ke dapur. Aku yakin mak ngah sudah masak dengan sikap umi. Jika dia menuju ke dapur selesai bicaranya, pasti umi akan menghalang niat mak ngah kerana risau akan menyusahkan mak ngah nanti. Aku menemani abang dan umi ke luar rumah.

            Tidak beberapa lama kemudian, mak ngah kembali bersama-sama beg plastik yang berisi bungkusan karipap yang belum digoreng di dalamnya. Beg plastik itu diserahkan kepada umi. Umi tersenyum sambil menyambut pemberian itu.

            “Buat susah-susah aje, kak ngah. Segan pula saya,” kata umi.

            “Tak ada menyusahkan pun. Bawalah balik, boleh makan anak-beranak,” bidas mak ngah. Itulah umi, tuan punya badan sudah kata tidak menyusahkan, pandai-pandai umi membuat spekulasi bahawa perkara itu menyusahkan.

            “Kami jalan dulu, mak ngah,” kata abang. Dia bersalaman dengan mak ngah. Seterusnya giliran umi pula. Aku menyalami tangan abang. Setelah itu, dia menggosok kasar kepalaku membuatkan rambutku menjadi kusut masai. Kemarahan yang baru mendidih kembali beku apabila aku menerima ciuman kasih sayang daripada abangku. Elok sahaja dia mencium kepalaku. Tersengih lebar aku memandangnya.

            “Sayang jugak dekat mangsa buli dia, ya?” kataku lalu mengangkat-angkat keningku. Abang mencebik. Kalahlah tu. Yalah, dia terpaksa merendahkan egonya semata-mata kerana perpisahan ini. Syukurlah abang masih pedulikan aku sebagai satu-satunya adiknya.

            “Umi, jaga diri elok-elok, ya?” ucapku semasa bersalaman dengan umi. Lama bibirnya hinggap pada dahiku.

            “Aid pun sama, elok-elok di tempat orang,” pesan umi lagi semasa tubuhku berada di dalam pelukan kasih sayangnya. Aku mengangguk. Pipi umi yang basah dengan air matanya kulap seterusnya kedua-dua belah pipi itu kukucup sayang.

            “Kirim salam dekat pak ngah ya, mak ngah,” kata abang. Mak ngah mengangguk.

            “InsyaAllah,” ujar mak ngah. Setelah itu, abang dan umi memboloskan diri mereka ke dalam perut kereta milik abang. Setelah membalas lambaian umi, aku dan mak ngah melangkah masuk ke dalam rumah kayu yang masih tersergam indah.


                AKU mengorak langkah keluar dari rumah mak ngah. Kamera di tangan kupandang sebentar sebelum kakiku mula membuka langkah. Namun, niatku mati di tengah jalan apabila mataku terpandangkan sebuah motosikal berkuasa tinggi memasuki pekarangan rumah mak ngah. Terkejip-kejip mataku memandang pemilik motosikal itu. Lama aku menanti dia membuka topi keledarnya yang menghalang aku untuk melihat wajahnya.

            Enjin motosikalnya sudah dimatikan tetapi dia langsung tidak turun daripada tunggangannya itu. Bahagian hadapan helmet itu terhala ke arahku tetapi aku tidak pasti ke arah mana pandangannya jatuh. Aku memberanikan diri menghampiri manusia itu.

            “Salam sejahtera, sedara. Sedara ni manusia ke bukan?” soalku. Helmetnya kuketuk sesuka hatiku. Aku tidak menerima sebarang balasan daripadanya. Aku dapat melihat bayang wajahnya namun aku tidak pasti ke arah mana matanya terhala.

            “Maaf, ya? Sedara sesat, ya? Nak saya tolong tunjukkan jalan ke?” soalku lagi.

            “Saya tak rasa saya yang sesat. Apa yang awak buat dekat sini?” soalnya. Hai, aku tanya dia, dia tanya aku balik? Ini tidak adil!

            “Suka hati sayalah nak buat apa dekat sini. Sedara datang kemudian daripada saya, ada hati nak tahu apa yang saya buat di sini?” bidasku. Geram juga dengan manusia di hadapanku ini. Daripada suara garaunya, aku pasti bahawa manusia ini ialah seorang lelaki.

            “Sedari, elok sikit cakap. Saya datang sini dulu. Dah dua tahun saya tinggal di sini, tiba-tiba sedari terpacak dekat sini, kenapa?” soalnya. Dia dah tinggal di sini selama dua tahun? Biar betul? Siapa dia ni? Kalau nak kata sepupu-sepapat aku, mustahil! Takkanlah mereka tak kenal aku.

            “Hei! Sedara yang menyibuk dekat sini. Entah dari mana asal-usulnya, tiba-tiba mengaku jadi penghuni rumah ni. Entah-entah sedara sengaja nak mencipta sandiwara sebab nak mencuri, kan? Yalah, manusia bila dah terdesak,” balasku.

            “Amboi, sedari... Cakap main lepas saja. Saya bukan bodoh sampai tak tahu hukum syarak. Lainlah macam sedari ni, hukum syarak pun tak tahu,” kata lelaki itu. Cis! Masih sempat menghina aku.

            “Eh? Tak adil untuk awak kata yang saya berpengetahuan cetek tentang agama saya sendiri. Sudahlah asal-usul pun tidak diketahui, masih tidak malu untuk merendahkan orang lain?” balasku. Ketawa sinis dapat kudengari.

            “Sedari, hukum syarak mana yang kata haram tu boleh dibuat? Ha? Cuba sedari cerita dekat saya, haram ni macam mana konsepnya?” soal jejaka itu. Aku rasa tercabar.

            “Haram, kalau buat dapat dosa,” jawabku.

            “Jadi, kalau saham dosa pengakhiran dekat mana?” soalnya. Aku memandangnya tajam sebelum memberikan jawapan.

            “Nerakalah,” jawabku.

            “Sejak bila membuka aurat menjadi sesuatu yang halal? Hukum mana sedari belajar ni? Cuba cerita dengan saya,” bidas lelaki itu. Aku tertunduk seketika.

            “Sedara jangan nak mengajar saya pula. Sudahlah makhluk asing sesat! Entah dari planet mana entah sedara datang,” balasku.

            “Sedari tak faham lagi ke hint saya? Sedari tak sedar lagi ke yang sedari sedang melabur saham untuk ke neraka? Kasihan ayah sedari dan kasihan juga saudara lelaki sedari. Lebih kasihan, suami sedari. Sedari yang labur saham, mereka pun kena tarik sama.” Kata-kata lelaki itu menyentakkan tangkai hatiku. Tajam mataku memandangnya. Lelaki itu mengambil sesuatu dari dalam jaketnya. Laju sahaja tangannya yang bersarung tangan kulit singgah di kepalaku bersama-sama sehelai kain. Tindakannya yang pantas menyebabkan aku tidak sempat bersuara.

            “Sedara! Apa yang sedara cuba buat ni? Sudahlah sesat! Sesuka hati saja mengajar saya. Lagi satu, saya tak ada suami!” Aku meleraikan ikatan di bawah daguku. Kain itu aku campak ke tanah.

            “Sedari, saya hanya ingin menyelamatkan sedari. Sedari kata nak masuk syurga, tapi kenapa buat begini?” soalnya. Aku tersentak buat kedua kalinya.

            “Macam mana sedara tahu saya nak masuk syurga?” soalku, gugup tiba-tiba.

            “Soalan ni, budak tadika pun pandai jawab. Kalau tanya orang kafir, orang kafir pun tahu jawab heaven. Inikan pula kita yang Islam ni, pastilah syurga yang kita dambakan. Mana ada orang yang nak masuk neraka. Sudah tahu seksanya bagaimana, takkanlah sengaja mahu menyeksa diri? Kita ni, bibir saja kata nak masuk syurga, tapi buatnya macam nak sungguh-sungguh ke neraka,” bicara lelaki itu tersangkut pada tangkai hatiku, tepat mengenai batang hidungku.

            “Sedari insaflah, ya? Kalau nak masuk syurga, buatlah cara nak masuk syurga,” kata lelaki itu. Dia menanggalkan topi keledarnya. Ternyata pandangannya lurus terhala ke arah rumpun pokok buluh di belakangku.

            “Sedara tak perlulah nak mengajar saya. Saya tahu apa yang saya buat,” ujarku. Belum pernah aku menerima teguran seperti ini. Papa dan abang tidak pernah menegur aku yang tidak bertudung. Kata papa, aku berpakaian sopan pun sudah cukup baik. Hanya umi yang selalu menegur aku yang tidak bertudung.

            “Sedari ni betul-betul sesat ke?” soalnya. Pantas aku menggeleng. Dia memandang wajahku membuatkan aku terkesima buat seketika. Terusik hatiku tanpa kupinta. Baru aku perasan, lelaki ini tidak berwajah Melayu langsung tetapi fasih berbicara dengan menggunakan bahasa Melayu. Wajahnya mempunyai raut Cina dan... Kaukasia. Ya! Beraut wajah Cina dan Kaukasia. Yang pasti, bukan Melayu. Dan... Lelaki ini... Islam? Aku terkesima sekali lagi.

            “Sedara yang sesat, kata saya pula,” bidasku setelah mengembalikan diri ke dunia realiti.

            “Sedari, saya betul-betul tinggal di sini. Takkan saya nak tipu pula?” ujar lelaki itu.

            “Nama ayah sedara apa?” soalku.

            “Apa pasal nama ayah saya pulak? Tak ada kena mengena dengan situasi sekarang,” katanya.

            “Dah, sedara mengaku tinggal di sini, sebab itulah saya bertanya,” kataku.

            “Karim,” jawab lelaki itu selamba. Ternganga seketika mulutku.

            “Takkan anak pak ngah kot? Tak mungkin, tak mungkin...” desisku perlahan.

            “Sedari ni datang dari mana? Nak apa ke sini?” soalnya.

            “Sedara, ini rumah saya. Kenapa sedara kata sedara tinggal di sini? Saya tak pernah tengok sedara di sini,” balasku. Membulat mata lelaki itu memandangku. Sekali lagi, aku terkesima. Jelas aku lihat warna matanya yang menggetarkan hatiku. Aku menjadi tidak keruan. Pandangannya dihantar ke rumah mak ngah sebelum kembali memandangku.

            “Sedari, saya memang tinggal di sini. Apa yang sedari merepek ni? Saya yang tak pernah nampak batang hidung apatah lagi batang tubuh sedari dekat sini,” kata lelaki itu yang belum kuketahui namanya.

            “Mak ngah! Ada orang gila mengaku tinggal dengan mak ngah! Ke sini cepat mak ngah! Ila takut!” Jeritku. Pantas lelaki itu menarik kepalaku ke dadanya dan menekup mulutku dengan tangannya yang masih bersarung tangan.

            “Sedari! Sedari yang gila ke saya yang gila? Kenapa sedari menjerit-jerit ni?” soalnya. Aku benar-benar runsing dengan situasi kini. Siapa yang penceroboh dan benar juga kata lelaki itu, siapa yang gila? Aku cuba melarikan tangannya daripada mulutku. Kepalaku juga aku tolak kuat ke dadanya. Apabila sesekali tangannya lari daripada mulutku, aku menjerit memanggil nama mak ngah. Aku masih menjerit-jerit walaupun mulutku ditekup lelaki asing itu. Puas sudah dia mengisyaratkan aku agar diam, tetapi aku masih berdegil.

            “Ya Allah! Ila! Adid! Kenapa kau orang berdua ni?” Soalan pak ngah yang menyapa gegendang telingaku menyebabkan aku terlepas daripada lelaki itu. Lelaki itu sudah turun daripada motosikalnya.

            “Pak ngah kenal lelaki gila ni?!”

            “Ayah ngah kenal perempuan tak waras ni?!”

            Soalan yang meluncur keluar serentak daripada bibir aku dan lelaki itu menyebabkan pandangan kami bertemu. Rambutku yang sudah menjadi kusut tidak aku hiraukan. Geram sungguh dengan lelaki di hadapanku ini.

            “Ya Allah, budak berdua ni! Apa yang dah jadi, bang?” soal mak ngah yang terkocoh-kocoh turun daripada tangga dengan telekung yang masih melekat pada tubuh. Barangkali jeritan aku sudah mengganggu solatnya.

            “Lelaki gila ni, mak ngah!”

            “Perempuan tak waras ni, ibu ngah!”

            Sekali lagi, pandangan kami bertemu kerana berkata-kata dengan serentak. Aku memalingkan wajah dengan dengusan kasar.

            “Entahlah, Ros. Abang sampai-sampai saja, nampak Adid dengan Ila macam tengah berpeluk.” Kata-kata pak ngah menjadikan mataku bulat secara tiba-tiba.

            “Pak ngah!”

            “Ayah ngah!”

            Sekali lagi kami bersuara serentak. Aku memandangnya tajam.

            “Sedara, baik sedara terangkan situasi sebenar. Pak ngah, tak adanya Ila nak buat benda tak senonoh dekat sini. Ila ada maruah lagi. Ni, lelaki gila ni yang tarik Ila.” Lurus jari telunjukku menghala ke arah lelaki itu.          

            “Aidilla Azza! Tak baik panggil orang begitu,” tegur pak ngah. Aku menjeling lelaki di sebelahku dengan tajam. Riak wajahnya tampak berbeza berbanding tadi.

            “Apa? Ayah ngah, nama perempuan tak waras ni siapa?” soal lelaki itu.

            “Kenapa sedara perlu sibuk dengan nama saya? Saya sendiri pun tak tahu nama sedara! Hish! Dahlah gila!” bidasku. Lelaki itu mengecilkan matanya memandangku.

            “Nama saya Marhaban Mujaddid. Puas hati?” katanya. Aku mencebik. Ada aku kisah?

            “Pak ngah, jangan bagitahu nama Ila. Entah apa lagi yang dia nak buat,” ujarku. Manalah tahu dia ingin mengenakan aku.

            “Hish! Budak berdua ni... Pertama kali jumpa dah bertekak sampai nak roboh rumah! Macam mana nak duduk satu rumah macam ni?” ujar pak ngah. Aku membulatkan mataku.

            “Apa? Satu rumah?!” Kesekian kalinya suara aku dan Mujaddid bersatu. Aku menjelingnya tajam.

            “Ya, satu rumah. Adid tinggal di sini sejak dua tahun lalu. Dia baru pulang daripada percutiannya di Pulau Pinang,” jelas mak ngah.

            “Hish! Awak ni kan... Menyibuk!” tuturku lalu aku memandangnya sekilas.

            “Eh, awak yang menyibuk. Saya tinggal di sini dah dua tahun. Awak yang datang kemudian,” katanya.

            “Tapi saya anak saudara pak ngah. Tak ada istilah saya datang kemudian, okey?!” ujarku.

            “Aidilla Azza...” Suaranya yang mengalunkan namaku membuatkan aku berpaling. Aku memandangnya tajam.

            “Macam mana awak tahu nama saya?” soalku.

            “Dengar sekali saja dah dapat tangkap. Sengaja minta ayah ngah ulang untuk kepastian. Menyesal saya terima kerja saya,” katanya.

            “Kisah ke saya dengan kerja awak? Bukannya ada kaitan dengan saya pun,” balasku. Mujaddid tersenyum sinis.

            “Menyesal saya kena jaga gadis tak waras macam awak ni. Hai, Encik Hairul... kau sengaja seksa aku,” katanya.

            “Hairul?! Maksud awak?” soalku. Dia mengangkat keningnya.

            “Ya, abang awak yang upah saya jadi bodyguard awak sepanjang masa awak berada di sini,” kata Mujaddid. Terbit senyuman di bibirku buat seketika. Sayang juga abang pada aku.

            “Oh, ya? Padan muka!” kataku sebelum langkah kuatur untuk masuk ke dalam rumah. Sempat kuhadiahkan jelingan maut buatnya. Aku menyanggulkan rambutku dan melilitkan sehelai selendang pashmina pada kepalaku dengan kemas. Setelah aku pastikan bahawa pemakaian selendang aku betul-betul kemas, aku melangkah ke luar rumah semula. Aku akur jua dengan kata-kata Mujaddid. Abang betul-betul ingin menjaga aku, maka aku harus berusaha untuk menjaga abang. Bukannya aku tidak pernah bertudung sebelum ini.

            “Marhaban Mujaddid!” panggilku. Dia yang sedang berbual-bual dengan pak ngah di sisi motosikalnya memandang ke arahku. Senyuman di bibirnya yang pada mulanya kelihatan hendak mati kembali hidup. Aku menjeling tajam.

            “Puas hati?” soalku sambil jari telunjuk kananku ditunjal-tunjal ke kepalaku. Biar dia betul-betul sedar. Setelah itu, aku menyarungkan kasutku dan mendapatkan pak ngah.

            “Huih, cunnya Ila pakai tudung! Nak pergi mana ni?” Usikan pak ngah mengundang ketawa besar di bibirku. Aku tidak mempedulikan Mujaddid di sisi pak ngah. Aku tidak pernah kisah dengan lelaki yang sedikit sebanyak menjejaskan keharmonian hati aku.

            “Ila nak pergi main sorok-sorok dalam ladang getah pak ngah, lepas tu nak terjun dalam sangkar ikan pak ngah,” ujarku. Pak ngah tersengih.

            “Amboi, cakap sajalah terus-terus, tak payah konar-konar. Hah, pergilah... Jangan balik lewat sangat. Bahaya berjalan sorang-sorang di sini,” pesan pak ngah.

            Yes, boss!” jawabku bersama-sama tabik pada dahiku. Setelah itu, aku menyalami tangan pak ngah dan mula membuka langkah.

            Aku membelek-belek kamera di tangan seiring dengan langkah kakiku. Sesekali aku memandang keadaan sekeliling kampung itu. Jika ada pemandangan yang menarik perhatianku, aku akan membidik pemandangan itu. Tidak ramai kanak-kanak yang keluar bermain pada waktu begini. Jika ada pun, hanya kanak-kanak daripada latar belakang keluarga yang agak susah. Pada zaman aku kecil-kecil dahulu, kanak-kanaklah yang memeriahkan kampung ini dari pagi sampai petang. Pasti ada sahaja yang keluar untuk menceriakan suasana kampung ini. Tidak kisahlah daripada kaum keluarga yang kaya mahupun miskin, semuanya bermain tanpa sebarang jurang yang sengaja dicipta.

            Barangkali, kanak-kanak sekarang lebih terikat dengan gajet moden yang sedikit sebanyak membantutkan tumbesaran mereka. Kanak-kanak seharusnya membesar dengan pengalaman. Apabila mereka berlari dan terjatuh, mereka mula belajar. Apabila mereka memegang pokok yang berduri dan tertusuk duri pokok itu, mereka mula belajar. Apabila mereka menggunakan ciptaan Allah untuk bermain, mereka belajar untuk bersyukur.

            Bagiku, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka membesar dengan wajar. Kanak-kanak tidak seharusnya didedahkan dengan gajet-gajet moden sedari kecil. Mereka haruslah dibawa keluar untuk bermain agar mereka dapat meraih pengalaman sendiri. Lagipun, pengalaman benar-benar memberi pengajaran yang baik.

            Batang tubuhku ditelan oleh pokok-pokok getah milik pak ngah. Ladang getah milik pak ngah ini sememangnya kemas tanpa sebarang semak samun. Pak ngah lebih suka mengikut cara bekerja rakyat Jepun dalam segala hal. Aku mempersetujui kata-kata pak ngah yang menyatakan bahawa sesuatu bangsa itu akan semakin mundur kerana sikap malas dan manja.

            Dari ladang getah yang diselia dengan baik oleh pak ngah ini, aku dapat perhatikan suasana kampung itu. Lagipun, ladang getah pak ngah terletak di kawasan yang agak berbukit. Mataku meliar memerhatikan sekumpulan remaja lelaki yang sedang melepak di perhentian bas sambil melepaskan ketawa yang jelek pada pendengaranku. Tidak kurang juga ada yang menghisap rokok. Aku menggeleng sendiri. Bila agaknya kemajuan dapat dicapai sekiranya ada belia-belia kini yang sudah semakin mundur? Aku benar-benar ingin memberi tabik terhadap pak ngah kerana kata-katanya sangat benar mengenai sikap malas yang akan membantutkan kemajuan yang ingin dicapai.

            Aku melarikan pandanganku memandang kawasan pergunungan yang terletak agak jauh dari kampung itu. Kabus-kabus yang masih melitupi bahagian puncak pergunungan itu membuatkan aku tertarik untuk membidik pemandangan yang indah itu. Jika di rumah papa dan umi, mustahil untuk aku melihat pemandangan sebegini. Pembangunan yang pesat menyebabkan pemandangan-pemandangan seperti ini terhapus.

            Barangkali generasi akan datang sudah tidak mengenali apa itu pergunungan jika pembangunan terus berjalan tanpa dikawal. Aku dapat merasakan terik cahaya matahari yang terpanah pada kulit wajahku. Jika dahulu, teriknya tidak seperti kini yang terasa agak perit. Masih ada damai pada teriknya. Aku mengeluh kecil. Mengapa manusia semakin suka menghancurkan diri mereka?

            Langkah kaki kuatur ke dalam ladang pak ngah. Hasil torehan pak ngah pada pokok getahnya menjadi mangsa bidikanku. Getahnya meluncur turun dengan teratur. Susu getah itu seakan-akan tahu untuk beratur. Setitik demi setitik susu getah itu menitis melalui sudu getah dan bersatu dengan susu getah yang berada di dalam mangkuk pokok getah itu. Kata pak ngah, susu getah akan menjadi beku dengan lebih cepat apabila cuka diletakkan ke dalamnya.

            Aku memasukkan jariku ke dalam mangkuk itu dan menarik kulit pokok getah yang bersimpul-simpul di dalam mangkuk itu. Kulit itu aku nampakkan seperti tertimbul pada permukaan susu getah itu. Lalu situasi itu turut menjadi mangsa bidikanku. Aku menghidu jari tanganku. Masih segar bau getahnya. Aku sudah terbiasa dengan bau ini.

            Sengihan di bibir muncul apabila teringat kenangan sewaktu aku baru berusia sepuluh tahun. Pak ngah beria-ia mengajakku ke ladang getahnya untuk membantunya mengutip getah. Aku menurut kerana pak ngah menjanjikan aku upah yang lumayan. Dia menjanjikan aku upah air batu campur yang terkenal di kampung itu.

            Aku masih lagi tidak senang dengan bau getah pada ketika itu. Getah beku yang berada di dalam mangkuk getah aku kutip dengan hujung jari sahaja. Gelilah kononnya. Usai mengutip dan berehat di pondok pak ngah sementara menunggu peraih getah-getah beku pak ngah tiba, pak ngah mengambil sebuku getah dan ditekapkan pada pipiku. Jeritan aku menyebabkan burung-burung yang hinggap pada dahan pokok-pokok getah pak ngah berterbangan. Sakan pak ngah mentertawakan aku pada hari itu. Abang yang turut ikut serta bersama-sama aku dan pak ngah turut menghamburkan tawanya. Dia turut berbuat perkara yang sama pada pipiku yang masih belum tercemar.

            Disebabkan hal itu, aku tidak keluar dari bilik selama satu hari. Puas juga pak ngah memujukku. Namun disebabkan hal itu juga, aku sudah serasi dengan bau getah. Sewaktu membantu pak ngah mengutip getah pula, aku tidak lagi mengutip getah dengan hujung jari. Selamba sahaja aku mengutip getah beku itu dengan menggunakan kesemua permukaan pada tanganku. Walaupun kata orang baunya kurang menyenangkan, namun inilah salah satu punca pendapatan pak ngah yang memberi aku makan air batu campur. Aku mentarbiahkan diri aku agar tidak perlu geli dengan punca pendapatan yang memberi aku makan.

            Setelah puas bertemu janji dengan ladang getah pak ngah, aku mengatur langkah ke sangkar ikan pak ngah pula. Lokasi sangkar ikan yang agak jauh dari ladang getah pak ngah tidak membantutkan niatku untuk sampai ke sana. Aku mengambil jalan yang terbuka untuk mengelakkan terjadinya perkara-perkara yang buruk.

            Sesekali aku menegur mak cik-mak cik yang sedang menyiram pokok-pokok bunga di halaman rumah mereka. Ada juga dalam kalangan mereka yang masih mengingati diriku. Namun aku keliru juga dengan riak wajah mereka. Walaupun sedang berbicara denganku, mereka pasti akan menjenguk ke belakangku. Bagai ada yang tidak kena sahaja. Namun tidak pula aku terasa untuk menoleh ke belakang.

            Langkah kaki terus kuatur menuju ke sangkar ikan pak ngah sambil pandanganku tertumpu pada kameraku yang talinya tergantung pada leherku. Telingaku menangkap bunyi hon kereta sebelum tubuhku ditarik ke tepi jalan. Atau lebih tepat, ditarik ke dalam pelukan seseorang. Pantas aku mengangkat pandanganku. Tanganku bertindak menyiku perut si pelaku lalu pelukannya pada tubuhku terlerai.  Pemandu kereta tadi sudah memberhentikan kenderaannya di bahu jalan. Tingkap keretanya diturunkan.

            “Ila!” Panggilnya. Aku mengangkat kening. Siapa pula yang memanggilku? Terbantut niatku untuk memandang si pelaku.

            “Kau nak mati ke?” soalnya. Aku tersengih. Tampang lelaki itu kupandang lama. Seketika kemudian muncul senyuman di bibirku.

            “Umar!” jeritku. Terus sahaja aku merapati keretanya. Dia tersengih memandangku.

            “Bila kau datang sini?” soal Umar.

            “Seminggu dah. Kau bukan nak menjenguk pak ngah aku dekat rumah tu,” bidasku. Umar tersengih lagi.

            “Aku sibuk sikitlah. Hujung minggu depan aku dah nak kahwin dah.” Kata-kata Umar menyebabkan senyuman pada bibirku semakin melebar.

            “Amboi! Tak ajak aku pun. Tak apa... Aku merajuk seminggu dengan kau,” kataku.

            “Wei, kau ni. Merajuk pulak. Shila kata dia akan ajak kau. Sebab tu aku tak ajak,” ujarnya. Membulat mataku mendengarnya.

            “Kau dengan Shila?! Biar betul?!” Aku menginginkan pengesahannya. Apa tidaknya, semasa kami masih kecil, Umar dan Shila tidak pernah sekufu. Ada sahaja yang akan dibalahkan. Kadang-kadang Umar mengalah, ada ketikanya Ashilah mengalah dengan muncung sedepa pada bibirnya. Paling kerap sekali, kedua-duanya keras kepala dan hati untuk mengalah. Keesokannya, timbul pula topik baru untuk dibalahkan. Senang sahaja perbalahan semalam terhapus tanpa diungkit-ungkit lagi.

            “Nampaknya macam tulah,” kata Umar. Aku ketawa besar. Berair mataku dek ketawa itu.

            “Inilah namanya benci jadi sayang, ya?” ujarku setelah tawaku reda. Umar tersengih.

            “Kau ni pulak bila? Tu siapa tu? Bukan main lagi dia peluk kau tadi?” kata Umar lalu bibirnya dijuihkan ke belakangku. Setahu aku, aku bersendirian sedari tadi. Hanya selepas aku mendengar bunyi hon kereta tadi aku diselamatkan seseorang.

            “Kau ni Umar... Aku ada maruah lagi tau? Tak ada maknanya aku nak berpeluk dengan orang tengah-tengah jalan ni. Kau yang nak langgar aku tadi. Tak rasa bersalah langsung! Nanti belanja aku air batu campur, ya?” kataku. Umar mengangkat kening.

            “Tak ada masalah. Petang esok aku datang rumah pak ngah kau dengan air batu campur kau sekali,” tutur Umar. Aku tersenyum senang.

            “Bawak Shila sekali. Dah lama tak jumpa dia,” ujarku. Umar mengangguk.

            “InsyaAllah. Tapi kau tak cakap lagi siapa lelaki tu.” Umar menjuihkan bibirnya ke belakangku. Pantas aku berpaling. Membulat mataku memandang Mujaddid. Serius sahaja wajah lelaki itu.

            “Ni? Entah, lelaki gila mana entah yang abang aku hantar,” ujarku seiring dengan pandanganku yang beralih kepada Umar kembali. Umar tersengih.

            “Kau jangan benci sangat. Nanti jadi macam aku dengan Shila baru kau tahu,” kata Umar. Aku mencebik.

            “Dengan lelaki gila ni? Tak ada maknanya,” balasku.

            “Eleh, yalah tu. Ila, aku nak ke kedai sekejap. Aku blah dululah. Assalamualaikum,” kata Umar. Aku mengangguk dan membalas ucapan salamnya. Setelah keretanya berlalu, aku berpaling menghadap Mujaddid.

            “Hei, Marhaban Mujaddid! Kenapa awak ada dekat sini, hah?!” sergahku. Mujaddid mengangkat keningnya.

            “Suka hati sayalah nak berada dekat mana pun. Kampung ni awak punya ke?” ujar Mujaddid. Aku mengetap bibir. Langkah kuatur menuju ke sangkar ikan pak ngah.

            “Awak tak boleh ke kalau tak ikut saya?” hamburku sebaik sahaja tiba di sangkar ikan pak ngah. Mujaddid mendekatkan wajahnya dengan wajahku dengan mata yang dibesarkannya sehingga aku terpaksa berganjak ke belakang. Risau juga memandang matanya lama-lama. Hatiku akan dipagut resah tanpa dipinta.

            “Cik Aidilla, ada saya ikut awak? Jangan perasan, boleh? Saya cuma berjalan. Kebetulan tujuan kita sama,” kata Mujaddid. Aku mendengus kasar dan menghentak kakiku. Laju sahaja aku berpaling.

            “Dasar gila!” getusku. Terhambur tawa daripada bibir Mujaddid. Aku menjelingnya tajam sebaik sahaja tawanya mati.

            “Gila!” Aku menjegilkan mataku memandangnya. Langkah kaki terus kuatur ke sangkar ikan pak ngah.

            “Assalamualaikum, Pak Yaakob!” Rajin mulutku menyapa pekerja merangkap kawan pak ngah. Pak Yaakob yang sedang memindahkan sebahagian palet makanan ikan dari dalam guni ke dalam sebuah bekas, berpaling. Terus sahaja dia tersenyum.

            “Sihat, Pak Yaakob?” soalku. Pak Yaakob mengangguk.

            “Alhamdulillah. Bila kamu balik ke sini Azza?” soal Pak Yaakob.

            “Dah seminggu dah. Azza duduk sini lama kot. Tak nak balik KL dah,” kataku. Pak Yaakob masih murah dengan senyumannya membuatkan aku senang untuk berbual-bual dengan Pak Yaakob.

            “Kenapa sampai macam tu sekali?” soal Pak Yaakob. Aku mencebik.

            “Papa tak sayang Azza dah...” tuturku dengan mimik muka yang dibuat-buat sedih.

            “Mana ada ayah yang tak sayang anak...” Jelas kata-kata Mujaddid hinggap pada pendengaranku.

            “Papa saya lain tau? Awak tak tahu,” bidasku lalu pincing mataku memandangnya.

            “Hish! Takkanlah papa Azza sanggup buat begitu,” kata Pak Yaakob. Pak Yaakob cukup mengenali papa dan pak ngah kerana mereka berkawan sedari remaja lagi.

            “Entahlah... Tapi Azza rasa yang Azza dah tak nak balik ke sana lagi. Duduk di sini lagi seronok. Sekurang-kurangnya, Azza masih boleh meneruskan cita-cita Azza,” jelasku lalu kubidik wajah Pak Yaakob. Dapat juga figuranya yang sedang tersenyum. Pak Yaakob sungguh liat untuk menjadi mangsa bidikanku.

            “Budak ni... Suka sangat curi-curi ambil gambar Pak Yaakob,” ujar Pak Yaakob. Aku tersengih. Aku memandang bekas yang berisi makanan ikan dalam pegangan Pak Yaakob.

            “Pak Yaakob nak bagi ikan makan ke?” soalku. Pak Yaakob mengangguk. Aku mencapai bekas itu.

            “Biar Azza bagilah. Dah lama ikan-ikan tu tak rasa kasih sayang Azza,” kataku. Baru sahaja kaki ingin melangkah, terasa tali kameraku ditarik seseorang dari belakang. Mujurlah aku menghentikan langkahku. Jika tidak, leherku pasti akan terjerut.

            “Letak dulu kamera tu. Jatuh dalam sangkar tu sia-sia aje,” ujar Mujaddid seiring dengan pergerakannya ke hadapanku. Tali kameraku yang tergantung pada leherku dipisahkannya. Aku tidak berani memandang wajahnya. Pandanganku hanya terarah ke kawasan sungai di belakang Mujaddid. Usai memisahkan tali kamera tadi daripada leherku, kameraku dibawa bersama-samanya menuju ke arah Pak Yaakob yang sedang berehat di atas bangku.

            “Jangan tengok apa-apa pun gambar dalam tu. Haram disentuh! Jaga elok-elok,” pesanku sebelum aku meniti tong-tong yang terapung di sungai itu. Tong-tong plastik itu dibina sebagai laluan.

            “Ikan, mesti kau orang rindukan aku, kan?” ujarku lalu aku taburkan makanan untuk disantap oleh ikan-ikan itu. Pak ngah pernah memberitahu kepadaku supaya memberi lima mangkuk kecil makanan kepada ikan-ikan itu. Aku tidak pernah tahu berapa banyak bilangan ikan di dalam sangkar-sangkar ini.

            “Bertuah badan kau orang. Makan pun bersuap. Nanti aku makan kau pulak ya? Tengoklah siapa yang bertuah,” kataku dengan sengihan pada bibir. Ikan-ikan yang muncul di permukaan air menarik minatku. Setelah selesai menaburkan makanan, aku mendapatkan semula kameraku yang masih selamat dalam pegangan Mujaddid. Entah apa entah yang dilihatnya pada kameraku itu.

            “Awak tengok apa?” tegurku. Mujaddid mengangkat pandangannya. Aku mengambil kameraku daripadanya.

            “Marhaban Mujaddid! Kan saya dah kata, haram!” kataku setelah mendapati bahawa dia menyelongkar memori kamera itu. Aduhai, janganlah dia tengok gambar gila-gila aku di taman tempoh hari.

            “Lucu juga awak ni, ya? Haram awak tak boleh pakai. Lagipun Encik Hairul suruh saya perhatikan, gambar-gambar yang awak tangkap. Dia bimbang awak mengambil gambar yang bukan-bukan,” kata Mujaddid lalu ketawa. Aku mengecilkan mataku.

            “Gila!” Kata-kataku membuatkan tawanya semakin galak. Aku mengatur langkah ke tempat berteduh ikan-ikan sangkar itu. Lalu aku membidik apa-apa situasi yang menarik perhatianku.

            “Awak nak ke mana pula ni? Awak kata dengan ayah ngah nak ke ladang dan sangkar saja,” tegur Mujaddid apabila aku melangkah ke arah yang bertentangan dengan jalan ke rumah pak ngah. Tampang Mujaddid kujeling sekilas.

            “Sibuk! Pergilah balik. Suka hati sayalah nak ke mana pun, kaki saya. Awak jangan nak mengikut pula.” Sempat aku memberi amaran kepadanya.

            “Suka hati sayalah nak mengikut awak, kaki saya.” Mujaddid seakan-akan mengajuk cakapku. Aku memandangnya tajam.

            “Hish! Awak ni gila, tau? Abang tak suruh pun awak jaga saya macam ni sekali. Dia suruh tengok-tengokkan saja, kan?” ujarku tidak berpuas hati dengan tingkah Mujaddid.

            “Abang awak suruh saya perhatikan setiap gerak-geri awak. Setiap,” kata Mujaddid. Perkataan setiap itu ditekannya.

            “Ya Allah! Bencinya aku!” Aku menghentakkan kakiku buat beberapa kali. Haluan sudah bertukar. Tidak jadi aku melangkah ke tempat rahsiaku.

            “Awak boleh tak jalan jauh ke belakang? Sepuluh meter jauh!” tegasku. Mujaddid menggeleng.

            “Saya tak nak awak lari,” kata Mujaddid. Kata-katanya mendatangkan ilham gila dalam fikiranku. Aku akan gunakan kelebihan berlari pecut yang aku miliki.

            “Awak tahu tak yang awak gila? Saya tak suka lelaki macam awak jalan dekat-dekat dengan saya. Orang kampung nampak, tahu? Apa yang akan mereka fikir nanti? Gilalah awak ni!” balasku geram. Lantas haluanku bertukar semula menuju ke tempat rahsiaku. Aku berpaling dan memandangnya.

            “Mujaddid, kereta!” kataku sambil lurus telunjukku menghala ke arah belakangnya. Apabila dia berpaling ke belakang, pantas aku membuka langkah seribu. Aku berlari pecut. Biar dia rasa! Seluar trek dan kasut yang tersarung memudahkan langkahku.

            “Cik Aidilla!” Jeritannya kuat kedengaran. Sungguh aku berharap dia tidak mengejar langkahku. Sebaik sahaja tempat yang dituju sudah berdekatan, aku memboloskan diri ke dalam kawasan yang agak berhutan. Bukannya aku tidak tahu selok-belok kawasan ini. Inilah jalan untuk menuju ke tempat rahsiaku. Laju kakiku melangkah, bimbang dikesan oleh Mujaddid. Mujurlah laluan di dalam ini diterangkan. Hanya di luar sahaja dibiarkan kelihatan bersemak.

            Aku melepaskan nafas lega sebaik sahaja tiba. Air jernih yang mengalir membuatkan bibirku tersenyum. Ternyata Umar dan Rahman masih menjaga kebersihan kawasan sungai ini. Laju sahaja aku melangkah masuk ke dalam sungai itu dan melabuhkan dudukku di atas sebuah batu. Aku yakin tidak ramai yang mengetahui kewujudan sungai ini. Hanya rakan-rakanku di kampung ini yang mengetahui akan kewujudan sungai ini.

             Menurut Umar, ladang ini mempunyai tuan, namun tidak diusahakan. Oleh kerana itu, ladang ini ditumbuhi semak-samun dan tampak seperti hutan tebal pada luarannya. Tidak ramai yang berani melangkah masuk ke dalam ladang ini. Maka mereka tidak tahu akan kewujudan sungai yang agak besar dan dalam pada sesetengah bahagian sungai itu. Sungai ini pun kami temui atas usaha Umar dan Rahman. Sejak sungai ini ditemukan oleh mereka, sungai ini menjadi tempat lepak kami bersama-sama Ashilah, Najihah, dan Farhana.

            “Abang...” desisku perlahan. Tidak semena-mena wajahnya singgah pada mindaku. Serta merta aku mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Nombor telefon pejabatnya kudail. Tidak lama aku menunggu, panggilan berjawab.

            Hello? Hairul here,” ajunya. Aku senyap.

            Hello? Who’s there? May I help you?” soal abang. Aku tersengih.

            “Eh, jangan main-main. Siapa ni?” soal abang lagi setelah dia tidak menerima sebarang balasan daripadaku.

            “Saya letak nanti,” kata abang berbaur ugutan.

            “Eh, nanti-nanti!” Laju aku menghalang niatnya. Terdengar ketawa abang meresap masuk ke dalam hatiku. Sudah lama tidak kudengar tawanya yang sering kali terhambur ketika dia membuliku.

            “Aid?” ujar abang. Aku mengangguk seakan-akan abang boleh melihat anggukanku.

            “Yalah, siapa lagi yang telefon dari perantauan ni? Abang dengan umi sihat?” soalku. Abang ketawa lagi.

            “Perantauanlah sangat. Alhamdulillah, sihat. Abang tak nak Aid botakkan rambut abang. Khabar papa tak nak tanya ke?” Soalan abang itu mematahkan sebahagian keceriaan aku. Mati sengihan yang terukir pada bibirku tadi.

            “Hmmm, papa sihat?” soalku kerana tidak mahu abang mengesyaki apa-apa. Sungguh abang tidak pernah tahu bahawa aku berjauh hati dengan sikap papa yang membeza-bezakan keinginan aku dengan abang.

            “Alhamdulillah, sehari lepas hantar Aid papa dah sihat,” jelas abang. Aku mencebik. Berjauh hati seketika. Sihat sebab aku tak ada lah tu.

            “Mujaddid macam mana? Okey?” soal abang. Mati mood aku untuk berbual-bual dengan abang. Aku mendengus kasar.

            “Abang... Abang pesan dekat dia suruh perhatikan setiap gerak-geri Aid atau tengok-tengokkan Aid saja?” soalku. Aku ketawa. Entah mengapa terasa sakit hatiku mendengar tawanya kini yang kedengaran jahat pada pendengaran.

            “Abang suruh dia buli Aid. Wakillah sebab abang pun rindu nak buli Aid,” kata abang. Aku mencebik.

            “Abang! Seriuslah... Dia tu gilalah, bang!” kataku tidak berpuas hati dengan jawapan abang yang kedengaran seperti ingin mempermain-mainkan aku.

            “Ya, abang suruh dia jaga Aid, perhatikan setiap gerak-geri Aid,” jelas abang. Aku mengeluh seketika.

            “Abang... Aid bukan anak kecil lagi. Aid tahulah menjaga diri. Lagipun, Aid tahu selok belok kampung ni. Bukannya Aid tak pernah membesar di sini. Kan sejak dari darjah satu sampai habis tingkatan empat, bila cuti hujung tahun saja, Aid akan duduk di rumah mak ngah,” ujarku. Sungguh aku kurang senang dengan kehadiran lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Marhaban Mujaddid itu.

            “Abang tak kisah Aid nak kata apa-apa pun. Abang tetap nak Adid jaga Aid. Adid tu baiklah, Aid,” tutur abang.

            “Abang... Aid tak suka dia. Semak tau tak? Aid nak pergi mana-mana pun, semua dia nak ikut. Nanti kalau satu hari Aid bunuh dia abang jangan tanya kenapa,” ujarku. Abang ketawa, bagai memahami bahawa apa yang aku perkatakan hanyalah sekadar gurauan.

            “Hish! Abang, Aid serius ni. Aid rasa macam nak pijak-pijak aje dia tu. Sakit hati betul dengan perangai dia yang suka ikut Aid tu,” jelasku. Abang masih ketawa.

            “Aid! Dia baiklah,” kata abang lagi. Tak habis-habis cakap dia baik. Kenapa aku tak rasa yang dia ni baik?

            “Masalahnya nanti Aid duduk satu rumah dengan dia. Abang tahu tak, baik-baik orang pun ada jugak syaitan, nafsu. Satu lagi, dia tu betul ke Islam?” soalku. Entah mengapa aku perlu ragu-ragu dengannya walaupun nasihatnya tadi telah mengusik tangkai hatiku.

            “Hish! Aid ni... Jangan fikir bukan-bukan, boleh? Kalau Aid ada, tak adalah dia duduk dalam rumah tu juga. Kalau dia berani nak kena pelangkung dengan pak ngah, dia buatlah. Adid tu memang Islam, walaupun muka dia tak ada muka Melayu langsung. Aid jangan tuduh dia bukan-bukan pulak.” Abang memberi peringatan. Aku melepaskan keluhan kecil.
            “Mana abang kenal dia?” soalku.

            “Dia kawan abang,” jawab abang. Aku mencebik. Aku tahulah dia kawan abang. Aku tanya mana abang kenal dia. Abang ni... Lain yang ditanya, lain juga yang dijawab.

            “Sekarang Aid dekat mana?” soal abang.

            “Rahsialah. Dia tak ada dengan Aid. Aid lari daripada dia,” ujarku. Dengusan abang singgah pada pendengaranku.

            “Aid! Abang bayar dia untuk jaga Aid, tau? Aid pergi lari tu buat apa? Nanti kalau apa-apa terjadi dekat Aid macam mana? Abang akan suruh Adid bertanggungjawab, tau?” Abang mula membebel.

            “Hish! Aid tak suruh pun abang upah orang jaga Aid, kan? Lagipun, ada Aid kisah kalau duit abang habis? Abang yang beria nak dia jaga Aid. Bang, Aid bukan budak kecil lagi, tau? Aid tahulah jaga diri,” ujarku sedikit geram dengan sikap abang yang tiba-tiba prihatin ini. Kedengaran abang melepaskan keluhannya.

            “Abang... Abang tahu tak yang dia tu dah dua tahun duduk dengan pak ngah?” soalku.

            “Tahu.” Jawapan abang menyemarakkan kemarahan dalam hatiku.

            “Kenapa tak ada sesiapa pernah bagitahu Aid? Kalau Aid tahu macam ni, baik Aid duduk rumah pak long dekat Sabah tu,” tempelakku. Wajahku bertukar keruh. Abang melepaskan tawanya. Tawa yang semakin menyakitkan hatiku.

            “Sebab tu tak ada sesiapa beritahu Aid. Kami tak mahu Aid pergi jauh daripada kami.” Huh! Yalah tu! Kalau umi yang bercakap, aku percaya. Tetapi apabila ayat itu keluar daripada mulut abang atau papa, bukan mudah untuk aku percaya bulat-bulat. Aku perlukan saintis yang pakar untuk mengkaji kesahihan kata-kata itu terlebih dahulu.

            “Hmmm... Dahlah, Aid nak letak ni. Aid rajin nanti Aid telefon lagi. Nanti abang kirim salam pada umi. Peluk cium umi untuk Aid. Lepas tu, abang kirim salam dekat papa juga. Tanya dia rindu Aid tak?” ujarku.

            “Banyaknya pesan dia. Haaa, okey. InsyaAllah, nanti abang sampaikan. Aid jaga diri, tau?” pesan abang.

            “Hmmm... Assalamualaikum,” ucapku. Setelah abang menjawab salamku, aku mematikan talian. Telefon aku masukkan kembali ke dalam saku seluarku. Imej di kamera kutatap kembali. Memerhatikan semula hasil bidikanku. Memikirkan bahawa gambar-gambarku dengan aksi yang gila-gila telah dicemari oleh penglihatan Mujaddid, aku jadi geram sendiri. Dapat aku rasakan hari-hari yang mendatang, tidak akan aman lagi dengan adanya lelaki itu.