“APA
yang kau nak?” soalku sebaik sahaja bersua muka dengan Cempaka. Gadis itu
berpaling memandangku. Dia tersenyum.
“Hei,
Aidilla. Tadi aku tak sempat nak tanya khabar kau. Kau sihat? Kau datang sorang
aje, kan?” ujarnya.
“Kau
nak apa?” Soalan tadi kuulang semula lantas aku melangkah ke dalam sungai.
Soalannya sepi tanpa sebarang jawapan daripadaku. Aku tidak tahu apa keinginan
Cempaka untuk bersua denganku. Aku tidak tahu juga bagaimana dia boleh tahu
lokasi sungai ini. Sungai yang menjadi tempat lepak aku dan kawan-kawanku
dahulu.
“Kau
tanya aku apa yang aku nak?” soal Cempaka. Kedengaran sarkastik pada
pendengaranku. Aku mengangguk lalu melabuhkan duduk di atas salah satu batu besar
yang terdapat di dalam sungai itu. Pakaian yang sudah basah hingga ke paras
pinggang tidak aku hiraukan. Sesekali aku memerhatikan kedalaman air sungai di
belakangku.
“Aku
nak Mujaddid! Aku nak dia bertanggungjawab atas anak ni,” tempelak Cempaka. Aku
memandangnya sebelum mengukir senyum sinis.
“Kenapa
minta dekat aku? Kau pergilah masuk meminang dia. Aku bukannya mak dia pun, nak
halang dia kahwin,” balasku.
“Oh,
ya! Aku lupa... Kalau kau nak masuk meminang dia pun, sebelum kau sampai rumah
dia lagi dia dah suruh kau jangan datang. Yalah, mana ada orang yang
senang-senang nak jadi kambing hitam. Kau suruh ajelah James tu
bertanggungjawab. Anak dia jugak, kan?” tokokku lagi. Terasa sia-sia pula
usahaku menyelinap keluar dari rumah tanpa disedari Mujaddid.
“Hoi!
Kau jangan nak menghina aku pula! Kau tu menumpang aje dekat kampung ni. Tak
sedar diri!” herdik Cempaka. Dia mula melangkah ke dalam sungai. Dapat aku
lihat kakinya sudah ditenggelami air sehingga ke paras lutut.
“Cempaka,
sekarang ni siapa yang tak sedar diri? Cuba kau semak balik. Kau yang
mengandung anak James dan minta Mujaddid bertanggungjawab atau aku yang
menyuruh kau minta James, orang yang tepat bertanggungjawab?” soalku. Tanpa
kusangka, Cempaka meluru pantas ke arahku lantas menolak tubuhku jatuh ke
belakang. Aku cuba untuk memijak lantai sungai itu namun usahaku tidak tercapai
dek kedalaman sungai itu. Dayaku tidak terlawan dek arus sungai itu. Sempat
kutangkap gelak tawa Cempaka ketika aku mencuri nafas.
“Aku
kena musnahkan kau untuk Mujaddid, Aidilla,” katanya. Dapat kurasakan tolakan
pada kepalaku yang menyebabkan aku tidak mampu mencuri nafas lagi. Dan gemersik
arus sungai yang menderu laju hilang daripada pendengaranku. Pandanganku gelap
tanpa sebarang cahaya lagi.
AKU
memuntahkan semua air yang aku kira menyekat pernafasanku. Pandanganku
masih berbalam-balam. Kemudian kupejamkan kembali mataku yang terbuka seketika
tadi. Tubuhku yang dingin terasa hangat dalam satu pelukan yang sangat erat. Pelukan
yang menyalurkan kekuatan untuk aku terus hidup. Buat kedua kali, pandanganku
gelap kembali.
AIR
hangat yang membasahi wajahku menyebabkan aku tersedar. Pandanganku masih
kabur, masih berbalam-balam. Wajah pertama yang menyapa pandangan kaburku,
ialah wajah Mujaddid. Aku yakin itu Mujaddid. Sekali lagi, tubuhku ditarik ke
dalam pelukan yang kejap. Pelukan yang sama seperti tadi.
“Adid...”
Suara pak ngah menyapa gegendang telingaku. Serentak dengan itu, tubuhku
terlerai daripada pelukan tadi.
“Ila...”
Suara mak ngah pula yang menyapa pendengaranku. Terasa jari-jemari hangatnya
menyentuh kulit wajahku yang dingin. Pandanganku perlahan-lahan berubah jelas.
“Umi...”
Hanya nama itu yang aku ingin seru pada ketika ini. Berharap umi akan ada di
sisiku seperti selalu. Ketika aku tidak berdaya untuk bangun lagi.
“Umi...”
Sekali lagi, nama itu kuseru.
“Umi
tahu, sayang. Nanti dia sampai.” Mak ngah cuba menenangkan aku. Terasa rambutku
diusapnya.
“Adid,
bawa dia ke katil.” Pak ngah memberi arahan. Terasa tubuhku dicempung dan
dibaringkan di atas tilam.
“Aidilla!
Why are you so stupid?! You know what? You could drive me into crazy!” Kali
ini suara Mujaddid pula menyapa pendengaranku.
“Awak
suka buat kerja gila! Awak suka menyusahkan saya! Awak suka seksa saya! Awak
tahu tak, Aidilla... Nyawa saya akan putus kalau awak tiada. Awak tahu tak?!
Awak faham tak apa yang saya rasa, Aidilla? Awak faham tak macam mana rasanya
kalau kita nampak orang yang kita sayang hampir kehilangan nyawanya? Awak faham
tak saya sayang awak? Awak faham tak, awaklah orang yang saya sayang?”
Kemudian, soalan-soalan itu bertubi-tubi singgah pada pendengaranku. Kali ini,
aku tidak mahu percaya bahawa kata-katanya ialah suatu jenaka. Kesungguhan
dalam matanya, ketulusan dalam bicaranya... Ya, aku nampak.
“Adid,
bagi Ila berehat,” tegur pak ngah.
“Ayah
ngah, ayah ngah faham tak apa yang Adid rasa sekarang? Ayah ngah faham tak?
Adid tak boleh. Adid tak boleh...” Dia bersandar pada birai katil itu. Lantas
dapat kulihat butir-butir mutiara yang gugur daripada tubir matanya. Sekilas
pandangannya menyapa pandanganku kemudian dia tertunduk.
“Adid
tak mampu hidup tanpa dia...” Perlahan saja suara itu sampai ke gegendang
telingaku. Lantas dia mengangkat pandangannya. Wajahnya diraup bagi
menghapuskan air mata yang membasahi pipinya.
“Assalamualaikum.”
Ucapan salam itu membawa pak ngah keluar dari bilikku. Sejurus itu, dia kembali
bersama-sama ahli keluargaku. Ingin sahaja aku mengangkat tubuhku dan
mendapatkan umi yang sedang berhenti di muka pintu.
“Cepat
Ainun sampai?” soal mak ngah. Umi tersenyum tawar.
“Kebetulan
ada kenduri dekat-dekat sini. Memang tadi dah bercadang lepas habis kenduri tu
nak singgah sini. Tak sangka pula Aid boleh jadi macam ni,” jelas umi. Dapat
kulihat air matanya mengalir.
“Umi...”
Namanya kuseru lagi. Umi mula menghampiriku. Ingin sekali kucapai tangannya
yang menyentuh wajahku. Namun entah kenapa, aku tidak mampu mengangkat tanganku
walau sedikit pun.
“Macam
mana boleh jadi macam ni, Adid? Kau tak jaga dia?” soal abang. Papa turut
menala pandangannya ke arah Mujaddid.
“Apa
yang aku boleh buat kalau dia keluar senyap-senyap? Dia pergi tempat yang aku
sendiri tak tahu nak cari dekat mana. Nasib dia baik sebab ada yang nampak dia.
Dia dah jauh masa tu. Aku hampir hilang dia. Kita hampir hilang dia,” jelas
Mujaddid.
“Aid
minta maaf. Aid memang tak bagitahu Mujaddid. Aid keluar sendiri. Aid tak tahu
pun benda ni nak jadi. Aid tak sangka Cempaka sanggup buat cubaan untuk bunuh Aid,”
tuturku. Umi masih mengusap-usap kepalaku.
“Uncle,
Rul, saya ada satu permintaan.” Suara Mujaddid memecahkan sepi yang mengisi
ruang kamar itu tadi.
“Apa,
Adid?” soal papa. Mataku turut terarah kepada Mujaddid yang kini sudah berdiri
berhadapan dengan abang dan papa.
“Saya
nak jaga Aidilla...” tuturnya.
“Selama-lamanya,”
sambungnya lagi. Pada waktu itu, dapat kukesan perubahan riak pada wajah papa
dan abang. Pak ngah, mak ngah, dan umi turut menala pandang ke arah Mujaddid.
Begitu juga aku.
“Maksud
kau?” soal abang. Keningnya terangkat sedikit. Mujaddid kemudian
mengangguk-angguk.
“Saya
nak bertanggungjawab atas dirinya. Saya nak ambil alih tanggungjawab uncle.
Saya nak jaga dia, lindungi dia, dan sayangi dia dalam perhubungan yang halal.
Bukan dengan cara begini. Saya nak memperisterikan dia dan saya ingin menjadi
suaminya,” tutur Mujaddid. Buat seketika, aku terkedu. Fikiranku bagaikan tidak
mampu mencerna kata-katanya. Aku yakin bahawa Mujaddid tidak bergurau kali ini.
Dia tidak pernah bergurau lagi sejak aku sedar tadi. Senyumnya juga tidak
pernah singgah pada pandanganku sejak aku sedar tadi.
“Kamu
yakin, Mujaddid?” soal papa. Matanya menikam mata Mujaddid.
“Saya
yakin, uncle. Ini istikharah saya. Dia Aidilla saya, dan saya
Mujaddidnya. Dia perlukan saya dan saya perlukan dia untuk melengkapkan Aidid,”
jawab Mujaddid lagi. Aidid? Dia tahukah? Sungguhkah dia tahu?
“Bro,
istikharah? Since when?” soal abang, tiba-tiba. Senyum tawar terbit
pada dua ulas bibir Mujaddid sebelum mengangguk.
“Three
weeks ago. Each night,” jawab Mujaddid. Abang menepuk-nepuk bahu Mujaddid.
Pandangannya lurus tertala pada wajahku. Senyumnya terbit pada bibir.
“Sukalah,
kan?” Soalan abang menyentakkan aku. Bulat mataku memandangnya. Entah dari mana
datangnya kekuatan untuk aku bangun daripada pembaringanku. Patung beruang di
sisi kucapai sebelum kubaling mengenai abang. Dia ketawa. Sungguh aku rindu
akan tawa itu. Sejurus itu, tubuhku tersandar pada kepala katil. Selimut yang
masih berlipat di sisi katil turut kucapai lalu kututup kepalaku yang terdedah.
Entah ke mana hilangnya tudungku. Dibawa arus sungai barangkali.
“Uncle
setuju. Jadi bila nak masuk meminang? Tahun depan bolehlah nikah.” Kata-kata
papa menyentakkan aku sekali lagi.
“Tak
boleh!” Pantas aku memotong. Semua mata terhala ke arahku.
“Apa
yang tak boleh?” soal papa.
“Tak
bolehlah! Aid tak kata pun Aid nak Mujaddid jadi suami Aid,” bantahku.
“Papa
kan ayah Aid, kalau Aid tak setuju pun papa boleh nikahkan Aid dengan Adid,”
kata papa.
“Tak
boleh! Ni negara bebas. Mana boleh paksa!” bantahku lagi.
“Aidilla,
betul awak tak nak?” soal Mujaddid. Aku memandangnya.
“Bila
pulak saya kata tak nak?” soalku semula. Jelas kerutan pada dahinya.
“Habis
tu Aid nak?” soal abang pula.
“Bila
pulak Aid kata Aid nak?” soalku semula.
“Aidilla!
Serius!” Abang mula merenung mataku.
“Yes,
bang! I’m serious. Aid tak kata Aid nak, dan Aid tak kata Aid tak nak. Kalau
papa nak paksa Aid kahwin dengan Mujaddid, Aid pun nak paksa papa juga untuk
terima satu syarat,” tuturku.
“Syarat
apa?” soal papa.
“Nikah
tu jangan buat tahun depan,” jawabku.
“Kenapa?
Eloklah tahun depan tu,” kata umi. Pantas aku menggeleng.
“Tak
naklah, umi...” balasku.
“Kenapa?”
soal papa pula. Serius riaknya memandangku. Wajahku mula bertukar riak. Hendak
ketawa pun ada melihat reaksi setiap yang ada dalam kamar ini.
“Lambat
sangatlah tu, pa...” Abang mula memainkan peranannya tanpa dipinta. Jelingannya
singgah pada wajahku dengan senyum senget pada bibirnya.
“Aid
kata, kalau majlis tahun depan atau dua tahun lagi dia tak kisah. Tapi nikah
dia nak esok,” kata abang lagi disambut gelak tawa daripada papa dan pak ngah.
Bulat mataku memandang abang. Semangatku mula berkobar-kobar untuk berperang
dengan abang. Aku mengangkat tubuh dari tilam.
“Aidilla,
jangan bangun lagi.” Mujaddid memberi amaran. Namun semangatku mengatasi
amarannya. Sebaik sahaja aku memijak lantai, aku terduduk semula ke atas katil.
Umi memegang bahuku. Aku tertunduk, menahan pening kepala yang bertandang.
“See,
saya dah cakap tadi. Degil.” Mujaddid sudah memainkan peranannya. Aku tersengih
sahaja. Umi membantuku untuk bersandar semula pada kepala katil. Tubuhku masih
tersarung dengan pakaian yang basah. Namun tiada kedinginan yang terasa kerana
dikelilingi orang-orang yang disayangi.
“Abang...
Aid sihat nanti, siaplah! Aid tak kata macam tu pun, kan?” ujarku sebaik sahaja
aku bersandar semula pada kepala katil.
“Habis
tu, macam mana? Nak nikah sekarang?” soal abang.
“Mana
boleh macam tu. Pa, umi... Tengok abang tu,” rengekku seperti anak kecil. Aku
memaut lengan umi.
“Habis
tu, Aid nak macam mana? Apa syarat tadi?” soal umi, lembut. Aku tersengih.
“Nikah
tahun depan tu lambat sangatlah, umi. Kalau majlis tahun depan Aid tak kisah,”
bisikku pada telinga umi di sebalik tudungnya. Bulat mata umi memandangku.
“Habis
tu bila?” soalnya. Aku tahu, semua mata sedang memerhatikan kami.
“Sijil
kursus perkahwinan dah ada. Aid rasa, bila dah dapat kelulusan untuk
menjalankan pernikahan dan bila dah selesai buat ujian kesihatan, bolehlah.
Okey?” bisikku lagi. Sekali lagi umi membulatkan matanya. Lenganku dicubit.
“Habis
tu masa bila nak bertunang?” soal umi. Aku menggelengkan kepala dengan cebikan
pada bibir. Sejurus itu umi ketawa besar. Barulah aku tahu daripada mana
datangnya tawa yang aku miliki sekarang.
“Bang,
tengoklah anak abang ni. Dah besar dah,” kata umi. Papa masih dengan riak
terpinga-pinganya.
“Betul
tak Hairul kata yang Aid minta nikah cepat sikit?” soal abang. Umi
mengangguk-angguk menyebabkan aku tertunduk. Sempat kutangkap ketawa abang dan
papa.
“Gotcha!
Gatal!” sambung abang lagi dengan sisa tawanya.
“Pa...
Hairul setuju dengan permintaan Aid tu. Bila dah buat ujian kesihatan dan dah
dapat kelulusan langsungkan perkahwinan, papa nikahkan aje Aid ni. Aid dengan
Adid ni dahlah duduk satu rumah,” kata abang setelah tawanya reda.
“Okey,
insyaAllah. Kita uruskan elok-elok hal ni,” kata papa. Pak ngah tersenyum
senang.
“Sekejap...”
Aku mula bersuara. Semua mata memandang ke arahku.
“Cempaka
dekat mana?” soalku. Mujaddid mengangkat keningnya.
“Kenapa
tanya?” soal Mujaddid kembali. Aku membalas pandangannya dengan pandangan
kosong sebelum mengangkat bahu.
“She
tries to kill me to get you. She’s willing to do anything for you,” tuturku.
“Tapi
dia tak boleh lawan takdir Allah. She’s gone by the flow,” kata
Mujaddid. Bulat mataku memandangnya. Mujaddid mengangguk.
“Awak
tak tolong dia?” soalku, mungkin kedengaran seperti aku seorang yang naif.
Mujaddid menghembus nafas perlahan.
“Aidilla,
separuh nyawa saya ada pada awak. Kalau awak pergi, separuh nyawa saya turut
pergi. Cempaka tu perosak. Antara nyawa dengan perosak, saya pilih nyawa. Saya
selamatkan awak dulu, sebelum dia jatuh. Saya bantu pernafasan awak dulu, dan
biarkan dia hanyut. Saya pastikan awak bernafas dahulu, dan biarkan dia terus
menjauh. Saya tak ada pilihan, saya perlukan awak, tidak dia. Rahman yang tarik
Cempaka ke tebing. Tapi Cempaka tak mampu diselamatkan. Rahman tak berjaya
bantu pernafasan dia,” jelas Mujaddid. Allah, betapa bersyukurnya aku kerana
masih diberi peluang untuk terus bernafas di atas muka bumiMu.
AIDID.
Nama yang suatu ketika dahulu sekadar terlakar di atas kertas, tanpa ada
kepastian ke mana hala tujunya. Alhamdulillah, puji-pujian itu aku panjatkan ke
hadrat Ilahi yang telah mengurniakan nyawa dan keimanan untuk terus berbuat
kebaikan. Puji-pujian itu aku panjatkan ke hadrat Ilahi yang telah mengurniakan
kenikmatan yang kuperoleh kini.
Aidid.
Kini nama itu terlakar indah dalam hati aku dan dia. Nama itu tercetak kemas di
dalam setiap album yang terhasil. Harapan yang aku dan dia simpan adalah sama,
semoga nama Aidid itu terus memberikan kegembiraan dan kebaikan kepada setiap
pemilik album. Seperti mana aku menggembirakan dia, dan dia terus mengajar aku
ke arah kebaikan. Selagi mana, Allah mengizinkan segala perkara itu terjadi.
Alhamdulillah,
Allah menarikku kepadaNya melalui dia. Ya, Marhaban Mujaddid. Ada sesuatu
padanya yang membuatkan aku patuh akan kata-katanya yang mengajar aku berbuat
kebaikan. Ada sesuatu padanya yang membuatkan aku senang bersama-samanya.
Sudah
hampir dua tahun usia perkahwinan kami. Semakin lama aku hidup dengannya,
semakin aku tahu siapa dirinya. Mungkin bagi Cempaka, kekayaan Mujaddid
terletak pada beratus-ratus ekar ladang dan bengkel kenderaan yang dimilikinya.
Namun bagiku, kekayaan Mujaddid terletak kepada kemampuannya. Kemampuannya
meletakkan martabat wanita di tempat yang tinggi. Kemampuannya mengawal
dirinya. Kemampuannya memberi pembaharuan kepadaku, juga kepada orang-orang di
sekelilingnya.
If
Allah wills it. Ya, jika diizinkanNya, aku akan menimang cahaya
mataku sendiri dalam tempoh sebulan lagi. Cahaya mata aku dan suamiku, Marhaban
Mujaddid.
“Sayang!
Where’s your tudung?” soalannya menyebabkan aku berpatah balik ke dalam
rumah. Pantas kucapai tudung yang tersangkut pada kerusi dan melangkah keluar
ke pekarangan rumah. Mujaddid yang sedang mencuci kereta kudekati dengan
senyuman. Dia membalas senyumanku.
“Abang...
Comel tak couple ni?” soalku sebaik sahaja aku berdiri di sebelahnya.
Album yang kupegang sedari tadi kutunjukkan kepadanya. Sebaik sahaja dia
melihat sekilas, dia membulatkan matanya memandangku.
“Sayang!
Promise me, this will be the last time?” tuturnya lalu matanya merenung
mataku. Aku tersengih-sengih memandangnya. Tanpa kusangka, dia menarik
hidungku.
“Abang!
Basah hidung Aid, tau?” tuturku lalu kugosok hidungku dengan hujung tudung.
“Siapa
suruh nakal dengan abang?” soalnya kembali. Aku mencebik.
“Okay,
I promise you, abang. This will be the last time. Lepas ni Aid suruh Izzan
dengan Inayah aje buat kerja. Aid akan duduk dekat rumah macam permaisuri
sampailah anak kita keluar. InsyaAllah. Lepas habis pantang, Aid sambung kerja
balik,” tuturku dengan senyuman pada bibir.
“Nope!
Abang tak setuju. Sayang hanya boleh mula kerja selepas empat bulan sayang
lahirkan anak kita,” kata Mujaddid. Bulat mataku merenungnya.
“Laaa...
Lamanya, abang!” tukasku.
“No,
sayang. Tugas isteri apa?” soalnya lantas mengangkat kening.
“Baiklah,
tuanku. Menjunjung perintah, tuanku,” balasku sambil menundukkan kepala buat
seketika. Kedengaran dia melepaskan tawanya. Aku turut tersenyum mendengar
tawanya.
“Love
you, abang,” ucapku sebelum bibirku mendarat pada pipinya.
“Thanks,
dear. I love you most, sayang,” ucapnya kembali lantas dahiku dikucupnya.
Alhamdulillah. Benar, aku perlukan dia, dan dia perlukan aku untuk melengkapkan
Aidid. Aku Aid untuknya dan dia Adid untukku. Segala puji bagi Allah.
Alhamdulillah.