“MACAM
mana, Nuha? Dah
fikir tentang apa yang ibu beritahu minggu lepas?” Sudah dapat kuagak, pasti
inilah soalan pertama yang bakal ibu ajukan kepadaku sebaik sahaja aku menerima
panggilan yang datang dari tanah Malaysia itu.
Aku
merenung cermin di hadapanku dan automatik bibirku yang tampak pucat itu tersenyum
tawar. Jika akalku tidak mampu bertindak waras, sudah pasti aku akan memberi
jawapan ya kepada ibu. Jika akalku tidak mengingatkan aku mengenai keadaan yang
sudah jauh berbeza kini, sudah pasti rasa itu akan berbalas. Kerana sungguh,
aku sudah lama tahu bahawa dia menyimpan rasa itu buatku dan aku sendiri tahu bahawa
aku juga punya rasa yang sama terhadap dia.
“Ibu,
Nuha minta maaf. Tapi Nuha tak nak. Nuha tak boleh terima. Nuha terlalu sibuk
di sini, ibu. Nuha perlu fokus. Maafkan Nuha, ibu.” Hatiku berat menuturkan
ayat itu. Kerana jika mengikut kehendak hati, sudah pastilah aku ingin
menerima. Tetapi keadaan kini yang tidak mengizinkan.
Aku
menghela nafas berat.
“Nuha,
betul ke ni? Nuha pasti? Bukan ke dulu Nuha pernah beritahu ibu tentang
perasaan Nuha terhadap dia? Dan sekarang, apabila dia dah masuk meminang Nuha,
kenapa Nuha tolak? Sedangkan Nuha sukakan dia?” Soalan ibu itu aku ada
jawapannya. Cuma jawapan itu tidak boleh aku berikan kepada ibu. Sekali lagi,
mataku merenung wajah yang terpapar pada cermin di hadapanku. Air mata yang cuba
kutahan sedari sebelum menjawab panggilan ibu tadi, akhirnya gugur juga.
Cepat-cepat tanganku bergerak menyeka air mata itu sebelum tangisku dikesan
oleh ibu.
“Itu
dulu, ibu. Masa zaman tak matang lagi. Dia cuma lelaki biasa yang Nuha suka,
bukan cinta. Lagipun, Nuha dah ubah fikiran. Nuha nak capai cita-cita Nuha
dulu, baru fikir fasal kahwin. Nuha nak stabilkan kewangan Nuha dulu, baru
fikir fasal nak kahwin. Tolonglah faham Nuha, ibu.” Hatiku menahan pedih
menelan pembohongan sendiri. Sungguh, aku terpaksa melakukan semua ini. Demi
kebaikan semua.
“Yalah,
ibu takkan paksa. Kalau itu pilihan Nuha. Sebab yang nak kahwin tu Nuha, jadi
Nuha yang berhak untuk pilih lelaki yang tepat untuk diri Nuha. Ibu akan
beritahu dia dengan cara yang baik.”
“Terima
kasih ibu, sebab faham Nuha. Sampaikan maaf Nuha kepada dia, ibu. Nuha
betul-betul minta maaf. Maafkan Nuha.” Benar, aku benar-benar berharap dia tidak
terkilan sebagaimana aku sedang terkilan kini.
“Yalah,
insyaAllah, ibu sampaikan. Raya tahun ni kamu balik, Nuha?” Raya? Memang, raya
pada tahun ini jatuh pada cuti musim panas. Tapi ibu takkan tahu selagi aku tidak
beritahu.
“Tak,
ibu. Nuha tak boleh balik. Sekarang kan dah tahun ketiga. Banyak tugasan yang nak
kena buat. Nuha sibuk sangat.” Aku memberi alasan lagi.
“Hmmm,
yalah. Lagipun tahun lepas kamu dah balik. Tak apalah. Ibu faham. Nanti jangan
lupa skype ibu,” pesan ibunya.
“InsyaAllah,
ibu. Ibu pun, jaga kesihatan tu. Makan on-time, tau?” pesanku pula.
“Ibu
tahulah, Nuha. Okeylah, ibu letak dulu. Ni abang kamu ada balik ni. Ibu nak masak makan tengah
hari. Assalamualaikum.”
“Hmmm,
waalaikumussalam. Kirim salam kat abang.”
Telefon
yang sudah mati taliannya aku letakkan ke tepi. Sikat di atas meja kucapai dan
rambut kusisir rapi sebelum aku sanggul. Jijik? Ya, jijik. Pun begitu, rambut
ini tetap milikku. Botol losyen di atas meja kucapai dan sedikit losyen kutuang
ke atas telapak tangan dan kusapukan ke leher dan kedua-dua belah lenganku.
Jijik? Ya, jijik. Pun begitu, tubuh ini tetap tubuhku.
Air
mata menitis tanpa dipinta. Kerana sejak tiga bulan yang lalu sehingga bulan
keempat sudah tiba, memang begini keadaannya. Memang air mata ini tidak pernah
segan untuk keluar.
“Where
are you hiding? Where are you? Why did you do this to me?” Dan
persoalan-persoalan ini tidak pernah berhenti berlegar dalam kotak fikiranku.
“I
hate you!” Dan bicara ini menjadi pendirianku terhadap dirinya yang
menghilang.
Kedua-dua
belah tangan bergerak naik meraup wajah. Aku bangun daripada dudukku dan
melangkah ke bilik air bagi mengambil wuduk. Tuhan, ampunkan aku. Ampunkan aku.
“HA,
berapa dah?” Soalan itu Wardina sertakan bersama muncung pada bibir yang
menghala ke arah tubuhku. Wardina ni pun, tak sempat keluar lagi dari lapangan
terbang, dia dah terjah aku dengan soalan berkenaan perkara yang aku tidak suka
untuk bangkitkan. Menyesal aku menawarkan diri untuk menjemput dia dari
lapangan terbang pada hari ini.
Akhirnya,
aku membuka genggaman tanganku dan menayangkannya di hadapan wajah Wardina
sebagai jawapan untuk persoalannya tadi.
“Cepatnya.
Sebelum aku balik Malaysia baru empat.” Wardina mula mengarut.
“Kau
balik Malaysia memang satu minggu saja pun, Dina...” perliku. Wardina sudah tersengih.
“Macam
mana sekarang? Ada pening-pening lagi ke?” soal Wardina. Aku menggelengkan
kepala dan mengangkat bahu.
“Kau
malas jawab ke kau tak tahu?”
“Tak
tahu.”
“Asal
kau tak ambil tahu?”
“Entahlah,
Dina. Malaslah aku. Benda ni tak penting pun dalam hidup aku. Biarlah apa nak
jadi pun.”
“Weeeiii,
kau ni cakap pakai kaki ke pakai otak?”
“Otaklah.”
“Dah
tu, kau tak fikir yang benda Allah tu duduk dalam badan kau?”
“Aku
tahulah.”
“Dah
tu kau ni sebenarnya budak medic ke bukan? Kau ingat kalau jadi apa-apa
kat benda Allah tu, tak jejaskan kesihatan kau?”
“Dah,
tak payah susah-susah fikir. Kalau aku sakit pun, sorang-sorang juga. Kalau
benda Allah ni berjaya hidup pun, aku sorang-sorang juga. Penghuni bumi tu
entah ke mana entah hilang. Aku sumpah, kalau aku jumpa dia, aku kerat-kerat
lapan belas. Biar dia rasa kena Qisas sikit.”
“Heiii,
kau ni. Cakap tu cuba pakai akal. Mentang-mentang aku tak ada sebulan, otak kau
pun tak berapa center lah, kan? Asal perangai kau berubah sangat ni?”
“Hormon.”
Mudah jawapan aku.
“Kalau
macam nilah kau punya perangai depan orang lain, memang menjatuhkan imej wanita
solehah aje. Nasib baik kau buat perangai tak center ni depan aku aje.”
Aku
diam. Malas mahu berbahas. Kaki terus melangkah menuju ke pintu keluar lapangan
terbang ini.
Tidak
lama perbualan kami sepi, aku terdengar keluhan yang terbit daripada bibir
Wardina. Wajahnya kupandang sekilas sambil kaki tetap melangkah.
“Ingat
Allah, Nuha.” Buat kesekian kalinya, Wardina mengulang pesan yang sama.
“Bukan
salah aku, Dina.”
“Tapi
kau tak boleh macam ni, Nuha.”
“Kenapa
aku, Dina?”
“Sebab
kau istimewa. Allah tahu kau mampu.”
“Tak
ada hikmah pun benda ni jadi, Dina.”
“Ada.
Aku yakin, ada.”
“Aku
tak nampak, Dina.”
“Allah
akan tunjuk, Nuha.”
“Tapi
kenapa dia buat aku macam ni? Kenapa perlu dia?”
“Aku
tak boleh jawab soalan tu, Nuha. Hanya dia. Dia saja yang boleh jawab.”
“Aku
tak faham. Fahaman kami berbeza. Aku begitu tertutup dan dia begitu terbuka.
Kenapa dalam banyak-banyak gadis, aku yang menjadi mangsa? Walhal dia masih ada
banyak pilihan lain yang bebas seperti dia. Dan, aku tak pernah berhubung
dengan dia pun...”
“Entahlah,
Nuha. Aku pun tak mampu nak membantu kau untuk faham. Takut kalau salah cakap,
terfitnah pula. Apa-apa pun, kau kena dengar daripada dia sendiri.”
“Orangnya
pun tak jumpa, apatah lagi suaranya, Dina. Dia tak bertanggungjawab atas
kesalahannya.”
“Banyakkan
berdoa, Nuha. Minta Allah tunjukkan hikmahnya.”
Aku
mula mendiamkan diri. Ya Allah, tunjukkanlah aku hikmahnya. Tunjukkanlah aku.
“HA,
kau ni tak pernah jumpa budak ke tak pernah jaga budak?” Suara Wardina
sudah naik tiga oktaf daripada nada percakapan biasanya apabila menerjah masuk
ke dalam bilikku. Mataku sekadar memerhati langkah Wardina yang mendekati
katilku dan menerpa ke arah seorang bayi yang sedang menangis kuat.
“Both.
Aku mana reti, Dina.” Wardina yang sedang menepuk-nepuk tubuh bayi itu
kupandang dengan hujung mata.
“Habis
tu, kau harapkan aku jadi nanny ke apa? Takkan setiap kali dia nangis,
kau tak tahu nak handle?” Wardina tampak tidak puas hati.
“Dah
aku tak tahu takkan aku nak buat-buat tahu? Salah buat karang, aku dituduh
bunuh bayi pula. Kau ajelah harapan aku untuk uruskan dia.”
Wardina
tampak geram mendengar jawapanku. Bayi yang berada dalam kendongan Wardina
sudah mula senyap.
“Weeiii,
dia anak kau kot!”
Sepantas
itu, aku berpaling dan menjeling Wardina tajam.
“Ulang
balik!”
“Baby
ni, anak kau!”
“Kau
berani kan?”
“Dah
memang anak kau, takkan aku nak cakap anak alien?”
“Dia
bukan anak aku.”
“Weeeiii,
kau flashback sikit dua hari lepas. Bukan kau ke yang duduk dalam labour
room tu? Bukan budak ni ke yang keluar dari rahim kau?”
“So?”
“Maknanya,
kau ibu dia lah, cerdik.”
Aku
diam. Mati kata. Mati jiwa. Entahlah... Aku rasa kelam. Susah nak terima
hakikat, bayi yang dikendong Wardina itu ialah benda Allah yang selama lebih
kurang sembilan bulan sudah bersama-sama dengan aku.
“Ayah
dia kafir, Dina.” Bicara itu aku tutur seperlahan yang mungkin, dengan mata
yang terpejam, menahan bisa dalam jiwa. Pedih, ya Allah... Begini hebatkah
ujian imanMu buatku, ya Allah?
“Dia
tak ada ayah, Nuha. Dia hanya ada seorang ibu. Ayah apa kalau tak tahu
kewujudan anaknya? Bayi ni hanya ada kau sejak hari pertama lagi, sejak sebelum
roh dia ditiupkan lagi. Sembilan bulan dia hidup dengan apa yang kau makan,
biiznillah. Dan sekarang, biiznillah, dia lahir. Kau rasa, apa yang Allah nak
kau, sebagai seorang hamba yang ada iman untuk buat? Fikir, Nuha. Allah aturkan
sesuatu itu bersebab dan berakibat. Mustahil sesuatu berlaku itu tanpa punca
dan mustahil sesuatu berlaku itu sia-sia. Jika tidak mendapat kebaikan,
sekurang-kurangnya, ada pengajaran dalam setiap keburukan. Kau tak rasa ke yang Allah amanahkan kau
untuk besarkan dia sebagai seorang Muslim? Walaupun pada asasnya, ayahnya
seorang kafir. Tetapi ingat, daripada riwayat Muslim, Rasulullah pernah
bersabda, setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibu
bapalah yang bertanggungjawab menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani. Kau bukan
bodoh untuk tak tahu bahawa anak ini tidak pernah kafir melainkan ibu bapanya
ingin dia menjadi kafir.”
Anak
ini tidak pernah kafir melainkan ibu bapanya ingin dia menjadi kafir. Benarlah
kata Wardina. Setiap manusia itu lahir dalam keadaan fitrah, menyukai perkara
fitrah. Tetapi dalam keadaan sekarang ini, sanggupkah aku? Sejujurnya, aku
masih belum memiliki kekuatan dan kesanggupan itu.
“Menerima
dia bukan suatu pilihan dan menyingkirkan dia juga bukan suatu pilihan, Dina.
Kau rasa apa reaksi ibu dan abang kalau aku bawa dia pulang? Dengan wajah dia
yang tak ada rupa Melayu, kau rasa apa yang ibu dan abang akan fikir? Perkara
pertama yang mereka fikir dah tentulah, aku di tanah orang ini, melakukan
perbuatan terkutuk, bukannya belajar. Kau ingat senang ke Dina untuk aku buat
suatu keputusan yang tepat tentang diri bayi tu?”
“Tanyalah
kepada Allah, Nuha. Mohon petunjuk dia. Bayi ini milik Allah, dan diri kau
milik Allah. Hati ibu dan abang itu Allah yang pegang. Bila-bila pun Dia boleh
bolak-balikkan hati kita. Mungkin reaksi mereka nanti tidak seperti yang kau
fikir. Siapa tahu?”
“Aku
tak seberani tu, Dina.”
“Aku
ada. Allah ada. Kita tahu kebenarannya, Nuha. Bukan salah kau.”
Bukan
salah aku. Ya, memang bukan salah aku. Lelaki itu. Dia yang mengkhianati
perkenalan kami dengan kebiadabannya.
MATAKU
sibuk berkeliaran memerhati arah tujuan langkah kaki kecil itu. Elok-elok
tengah berlari, boleh pula dia buat drama nak tersembam. Lajunya jantung aku
berfungsi, memang tak boleh diungkapkan dengan kata-kata. Apabila nampak dia
tidak jadi untuk jatuh, aku tersenyum syukur. Senyum comel yang bertujuan
mengusik itu singgah pada pandanganku.
“Be
more careful, Aryan!” Mata aku bulatkan merenung wajah itu. Dia tersengih
dan meneruskan lariannya.
“Ibu
Aryan!!!” Dari jauh, aku mendengar laungan yang kuat itu. Siapa lagi yang
memanggilku dengan gelaran itu jika bukan Wardina. Langkah gadis itu yang
semakin mendekat kupandang dengan senyuman.
“Amboiii,
menyombong dengan aku, ya? Bajet orang UK sangat kau ni. Mentang-mentang anak
kau lahir sini, terus lupa daratan, kan?” Seperti biasa, mulut Wardina mula berceloteh
perkara yang tak berapa berfaedah. Dia sudah melabuhkan duduknya di atas bangku
yang sama yang dihuni aku.
“Bila
kau sampai UK? Tak bagitahu pun nak datang.” Wajah Wardina kupandang sekilas.
“Buat
apa bagitahu kau? Kalau aku bagitahu pun, aku tetap kena naik teksi dari
lapangan terbang tu.”
“Hmmm,
ibu dengan abang aku okey ke kat Malaysia tu?” soalku, ingin tahu.
“Okey.
Aku ni sebenarnya malas dah nak bersubahat dengan kau. Berbuih sangat dah mulut
aku temberang ibu dengan abang. Lepas ni aku dah tak nak tolong dah. Dah
setahun dah pun kita habis belajar tapi kau tetap menjeruk dekat UK ni. Aryan
tu pun dah pandai bercakap sekarang ni. Baliklah, Nuha.”
“Eee,
bagusnya kawan aku ni. Tak apa, nanti aku bagi upah eh?”
“Aku
serius ni, Nuha. Jomlah, balik Malaysia.”
“Eh,
aku ada benda nak cerita ni...” Terus aku ubah topik lain. Mata masih tetap
pandang Aryan.
“Apa
dia? Pandailah kau ni, ubah cerita pula...”
“Dengarlah
ni.”
“Ya,
aku dengar.”
“Aku
dah buat passport untuk Aryan tau?”
“So?
Kau fikir aku heran ke sebab kau kaya duduk UK ni nak bawa Aryan jalan-jalan?”
“Kau
rasa aku nak pergi jalan mana?”
“Manalah
aku tahu. Yang pasti bukan Malaysia, kan?”
“Yang
pasti ialah Malaysia.” Aku mengangguk-angguk.
“See,
aku dah cakap dah.” Aku tersenyum nipis mendengar bicara terlebih yakin Wardina
itu.
“So,
kau nak tak naik flight sama-sama kita orang?” Soalan pembuka minda buat
Wardina aku lontarkan.
“Gila
apa? Aku tak kaya okey, sampai nak ikut kau pergi melancong.”
“Tak
nak ikut sudah.Aku punya tiket flightpergi Malaysia seminggu lagi, tau?”
Masing-masing
diam selepas itu. Sesekali mata aku mengerling memandang Wardina.
“Kau
nak buat apa pergi Malaysia?” Akhirnya! Aktif pun otak kawan aku ni.
“Balik
rumah ibu. Tapi tak lama. Lepas mereka boleh terima Aryan, aku balik sini
semula.”
“Aryan
tahu?” Dari hujung mata, aku nampak Wardina sedang memandang aku.
“Tahu.
Dia sendiri cakap yang dia tak sabar nak jumpa ibu.”
“Aku
harap ibu dengan abang terima dia. Aryan tu budak paling comel yang pernah aku
jumpa. Rugi siapa tak sayang dia.”
No comments:
Post a Comment